Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 30 November 2008

Memori 1 - Hadiah Hari Lahir

Di sebelah kiri, anak saudara saya, Najah Farahana, yang menyambut hari lahir yang ke 7 pada 24 November 2008. Di sebelah kanan, Iman Fatihah, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 6 pada 7 Disember 2008.


Salam semua,

21 November yang lalu merupakan hari ulang tahun kelahiran ibu saudara saya Puan Sarah yang ke 50 tahun. Abang sulung saya memberi idea untuk mengadakan sambutan hari lahir surprise! untuk beliau. Seminggu sebelum tarikh tersebut, saya telah membuat perancangan dengan wakil-wakil keluarga yang lain untuk masing-masing membawa sedikit makanan untuk jamuan tersebut. Saya juga turut memaklumkan kepada anak perempuan Puan Sarah mengenai rancangan tersebut dan beliau bersetuju untuk memberikan kerjasama. Pada tarikh tersebut, kami telah berkumpul di surau berhampiran rumah Puan Sarah di Meru dan selepas menunaikan solat Isyak di surau tersebut kami terus ke rumah beliau. Birthday Girl (Puan Sarah) amat terkejut dan merasa sangat terharu dengan kehadiran kami, lebih-lebih lagi apabila semua adik-beradik beliau turut hadir. Beliau yang masih bertelekung kerana baru selesai solat isyak menitiskan air mata kegembiraan atas sambutan tersebut. Kami yang hadir turut rasa hiba, tapi berjaya dikawal sebab perut dah berkeroncong. Jamuan diserikan dengan bacaan doa selamat oleh suami beliau sendiri dan masing-masing mengisi masa makan dengan berbual-bual mesra dengan sanak saudara.

23 November yang lalu, saya, adik perempuan saya, kakak, abang ipar dan dua orang anak saudara perempuan saya berjalan-jalan di pusat membeli-belah Jusco Bukit Tinggi, Klang. Di sana terdapat pameran kesedaran HIV dan penganjur telah menyediakan pertandingan dan program derma darah. Saya dan adik sempat menyertai pertandingan yang dianjurkan dan menderma darah. Kemudian saya diberitahu oleh kakak bahawa esok adalah hari lahir anak saudara saya, Najah Farahana. Saya dan adik bergegas membeli hadiah untuk anak saudara saya. Walaupun hadiah pensil warna yang kami beri tidaklah mahal, tetapi cukup untuk memberikan sekuntum senyuman di bibir comel Najah. Dengan perasaan malu-malu tapi mahu, beliau menerima hadiah yang kami beri.

Petang tadi, 30 November 2008, saya dijemput menghadiri majlis sambutan hari lahir anak sahabat baik saya yang berusia 8 tahun. Majlis diadakan sederhana tetapi meriah dengan kehadiran kaum keluarga tuan rumah dan sahabat handai. Majlis diserikan dengan bacaan maulid dan doa selamat oleh tuan rumah sendiri. Isteri tuan rumah yang pandai memasak menyediakan juadah yang enak untuk kami untuk petang itu. Saya mengisi masa yang senggang dengan berbual-bual dengan ahli keluarga tuan rumah yang jarang saya temui kerana kesibukan bekerja.

Sesetengah orang berpendapat bahawa sambutan hari lahir meniru budaya Yahudi dan Kristian. Tambahan pula, membazir mengadakan sambutan hari lahir. Pada saya, jika difikirkan, banyak manfaat dan ganjaran yang diperolehi dengan menghadiri sambutan hari lahir, dengan syarat, tiada perkara yang diharamkan oleh syarak berlaku.

Pertamanya, sambutan hari jadi memberi peluang kepada saudara-mara dan sahabat-handai bertemu dan berkongsi pengalaman masing-masing, lebih-lebih lagi yang jarang bertemu kerana urusan dan kesibukan masing-masing. Ini dapat menguatkan persaudaraan masing-masing. Keduanya, sambutan hari lahir yang dibuat selari dengan tuntutan Islam, seperti diserikan dengan bacaan doa, pesanan dan kata-kata yang baik, bacaan maulid, tentunya diberikan ganjaran pahala oleh Allah. Kata-kata yang baik yang diucapkan oleh jemputan yang hadir kepada kanak-kanak yang diraikan adalah satu pahala, senyuman tuan rumah kepada tetamu yang hadir, adalah satu kebaikan dan baginya pahala. Ketiganya, amalan bersedekah dan memberi makan kepada orang lain oleh tuan rumah dan memberi hadiah kepada kanak-kanak yang diraikan adalah ibadah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Keempatnya, memenuhi undangan seorang Islam yang lain adalah tanggungjawab seorang Islam kepada saudaranya, dan jika dilaksanakan, tentulah ganjaran yang besar dituliskan baginya. Dan yang kelima, pada saya, sambutan hari lahir yang saban tahun kita raikan, merupakan satu peringatan mengenai masa kita yang semakin diinjak usia, supaya bersedia dengan bekalan yang cukup ke akhirat, seperti mana firman Allah; di dalam surah Al-Asr"
Demi Masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh, maka berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran".

Bagi saya, itulah hadiah hari lahir yang paling baik. Nikmat persaudaraan, pesanan yang baik, doa, pelaksanaan tanggungjawab, ibadah bersedekah, dan peringatan semuanya diberi ganjaran oleh Allah, yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bukan sahaja kanak-kanak yang diraikan dapat merasai hadiah tersebut, bahkan tuan rumah dan para hadirin turut menikmati 'hadiah hari lahir' daripada Allah swt. Nah! Begitu mudah sekali Allah memberi 'hadiah' kepada kita, tanpa disedari, walaupun cuma menghadiri sambutan hari lahir seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Allahu Akbar! Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat dari coretan ini. Wallahua'lam.




Sabtu, 29 November 2008

Diari 2 - Keluarga, Sakinah, Mawaddah dan Rahmah

Salam semua,

Hari ini saya berkesempatan bersama-sama menjayakan program Hari Keluarga Majlis Agama Islam Selangor di Rebutia Learning Centre, Jalan Gombak berhampiran dengan UIAM. Lebih kurang 100 orang peserta (kakitangan MAIS dan keluarga masing-masing) turut serta dalam program tersebut. Masa inilah peluang untuk berkenalan lebih rapat dengan kakitangan lain, anak-anak, isteri, suami masing-masing. Macam-macam ragam peserta, terutamanya kanak-kanak. Urusetia program tekun mengendalikan acara-acara sukaneka. Walaupun keletihan, tetapi masing-masing seronok nampaknya. Lokasi yang dipilih juga bersesuaian dan nyaman kerana terdapat banyak pokok-pokok rimbun di sekeliling kawasan tersebut. Sungai yang terletak bersebelahan dengan kawasan sukaneka, walaupun mengalir deras disebabkan hujan yang selalu turun, menambahkan rasa nyaman. Rasa tenang dan bahagia, sampai nak tertidur pun ada.. Hehehehe.. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah atas nikmat yang diberi.

Yang saya nak ceritakan bukannya mengenai hari keluarga. Yang saya nak kongsikan sebenarnya peri pentingnya institusi keluarga dan kasih sayang keluarga demi membentuk manusia yang sihat dari sudut jasmani, rohani dan aqli. Lumrahnya, keluarga yang pecah belah melahirkan individu yang keliru pemikirannya, kosong jiwanya dan mengakibatkan kesan tidak baik pada jasmaninya.

Sepanjang kerjaya saya, saya berpeluang menemui banyak golongan manusia, yang muda, yang tua, yang kaya, yang miskin, yang intelek, yang kurang intelek, sebahagian yang lahir daripada keluarga yang porak-peranda (bermasalah) dan sebahagian lagi dibesarkan dalam keluarga yang sihat. Sudah tentulah berbeza karakter, pemikiran dan peribadi masing-masing. Kebiasaannya, mereka yang beroleh 'sakinah'
(ketenangan) di dalam hidup dan dilahirkan di dalam keluarga yang sihat, pergaulan mereka lebih mesra dan terbuka pemikirannya (open minded) serta berfikiran positif. Ini memudahkan mereka untuk dipimpin kepada perkara yang baik dan seterusnya memimpin. Ini berbeza dengan golongan yang kurang 'sihat', yang lebih cenderung untuk berfikiran negatif dengan karakter yang pasif dan kurang disenangi.

Berita-berita terkini saban waktu bercerita mengenai seribu satu jenis gejala keruntuhan akhlak dalam rumahtangga. Penzinaan, hubungan sejenis, pengkid, mak nyah, sumbang mahram, ayah rogol anak, anak dara lari dari rumah mengikut lelaki yang tidak dikenali, kawin tanpa kebenaran wali, dah jadi macam isu biasa. Ini mungkin disebabkan tiada 'sakinah' di dalam keluarga, justeru anggota keluarga mencari sumber kebahagiaan di luar rumah. Ayah dan ibu sibuk bekerja, anak-anak tak dihirau dan tidak ditegur, masa untuk bersama tidak ada, keluarga terumbang-ambing kerana tak ada yang membimbing. Virus-virus ini merupakan racun yang akhirnya memberi kesan yang tidak sihat kepada keluarga yang sihat, dan boleh mengakibatkan kemusnahan institusi keluarga jika tidak dicegah.

Setiap anggota keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab ayah sebagai ketua keluarga untuk memberi nasihat dan bimbingan, tanggungjawab ibu menguruskan rumahtangga, kewajipan anak-anak mentaati ibu bapa. Sekiranya semua tanggungjawab terlaksana dengan baik, ianya bertindak sebagai anti virus pada virus-virus yang menyerang.

Saya teringat sepotong ayat Al-Quran Yang Mulia, yang bermaksud, "Dan janganlah engkau membawa dirimu (dan keluargamu) kepada kehancuran". Justeru, mudah-mudahan kita semua dapat sama-sama merawat dan mencegah racun-racun perosak di dalam keluarga kita untuk mendapatkan sakinah (ketenangan) mawaddah( kasih sayang) dan rahmat (keberkatan) dalam hidup kita. Insyaallah.

Jumaat, 28 November 2008

Diari 1 - Takut dan Mengharap

Salam semua.

Ini penulisan pertama saya di blog ini. Semasa saya menulis, saya lihat kakak saya dan dua anak perempuannya sedang asyik menonton televisyen. Adik lelaki saya dan abang ipar masih menunaikan solat Isyak di surau sebelah. Suasana aman dan tenteram. Tidak ada ketakutan. Tidak ada kekacauan. Terfikir saya sejenak, Situasi ini tidak mungkin berlaku di Mumbai, yang penuh ketegangan dan kekacauan. Keganasan tercetus di banyak kawasan di Mumbai. Mayat-mayat bergelimpangan. Darah merata-rata. Yang menjadi sasaran orang-orang berbangsa Eropah. Yang menjadi mangsa orang yang tidak bersalah.. Polis bertebaran di seluruh Mumbai untuk menyelamatkan tebusan-tebusan yang masih ditawan. Beratus-ratus orang mati dan cedera. Ibu bapa kehilangan waris-waris penyambung generasi. Anak-anak jadi yatim piatu.

Sama juga halnya di Bangkok. Dua lapangan terbang utama di Bangkok dijadikan medan tunjuk perasaan oleh golongan anti kerajaan yang menuntut supaya Perdana Menteri Thailand meletak jawatan. Perdana Menteri mengumumkan keadaan darurat dan perintah berjaga-jaga. Tiada keamanan di kawasan-kawasan tersebut. Beribu-ribu orang terkandas di Bangkok dan tidak dapat keluar dari negara tersebut kerana perkhidmatan penerbangan dihentikan. Terdapat khabar angin kemungkinan berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera di sana.

Tentunya penduduk di Mumbai dan Bangkok berada dalam keadaan takut dan mengharap. Takut berlakunya kejadian yang lebih teruk, ditembak mati oleh militan, tercedera, terputus bekalan makanan dan perhubungan dengan dunia luar. Dalam masa yang sama, tentunya mereka mengharap supaya keadaan dapat dikawal dan kembali aman. Pada waktu ini, tiada apa yang lebih penting, melainkan keselamatan nyawa masing-masing. Harta berjuta pun tidak ada nilainya pada masa ini. Bayangkan seandainya kita yang mengalami situasi ini? Na'uzubillah..

Sebagai orang yang beriman, pada setiap masa kita perlu berasa takut dan mengharap. Bukan kepada manusia, tetapi kepada Allah s.w.t. Kita takut tidak dapat redhaNya, takut tidak dapat syurgaNya, takut dengan azabNya, takut tidak sempat bertaubat, takut untuk meninggalkan dunia dengan bekalan yang sedikit. Kita juga mengharap kepada keampunanNya, mengharap kepada keredhaanNya dan mengharap supaya amal ibadah kita diterima olehNya. Itulah yang dinamakan taqwa, iaitu takut kepada Allah, seperti maksud ayat Al-Quran ; s
esungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa.

Teringat saya kata-kata Rasulullah s.a.w kepada Sayyidina Abu Bakar semasa perjalanan beliau ke Madinah; "La takhaf, wa la tahzan, innaallaha ma'ana" (jangan kau takut, jangan kau bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama kita").

Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan sahabat-sahabat untuk sama-sama menyemai perasaan takut dan mengharap kita kepada Allah swt. Insyaallah.