Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 30 November 2008

Memori 1 - Hadiah Hari Lahir

Di sebelah kiri, anak saudara saya, Najah Farahana, yang menyambut hari lahir yang ke 7 pada 24 November 2008. Di sebelah kanan, Iman Fatihah, yang akan menyambut hari lahirnya yang ke 6 pada 7 Disember 2008.


Salam semua,

21 November yang lalu merupakan hari ulang tahun kelahiran ibu saudara saya Puan Sarah yang ke 50 tahun. Abang sulung saya memberi idea untuk mengadakan sambutan hari lahir surprise! untuk beliau. Seminggu sebelum tarikh tersebut, saya telah membuat perancangan dengan wakil-wakil keluarga yang lain untuk masing-masing membawa sedikit makanan untuk jamuan tersebut. Saya juga turut memaklumkan kepada anak perempuan Puan Sarah mengenai rancangan tersebut dan beliau bersetuju untuk memberikan kerjasama. Pada tarikh tersebut, kami telah berkumpul di surau berhampiran rumah Puan Sarah di Meru dan selepas menunaikan solat Isyak di surau tersebut kami terus ke rumah beliau. Birthday Girl (Puan Sarah) amat terkejut dan merasa sangat terharu dengan kehadiran kami, lebih-lebih lagi apabila semua adik-beradik beliau turut hadir. Beliau yang masih bertelekung kerana baru selesai solat isyak menitiskan air mata kegembiraan atas sambutan tersebut. Kami yang hadir turut rasa hiba, tapi berjaya dikawal sebab perut dah berkeroncong. Jamuan diserikan dengan bacaan doa selamat oleh suami beliau sendiri dan masing-masing mengisi masa makan dengan berbual-bual mesra dengan sanak saudara.

23 November yang lalu, saya, adik perempuan saya, kakak, abang ipar dan dua orang anak saudara perempuan saya berjalan-jalan di pusat membeli-belah Jusco Bukit Tinggi, Klang. Di sana terdapat pameran kesedaran HIV dan penganjur telah menyediakan pertandingan dan program derma darah. Saya dan adik sempat menyertai pertandingan yang dianjurkan dan menderma darah. Kemudian saya diberitahu oleh kakak bahawa esok adalah hari lahir anak saudara saya, Najah Farahana. Saya dan adik bergegas membeli hadiah untuk anak saudara saya. Walaupun hadiah pensil warna yang kami beri tidaklah mahal, tetapi cukup untuk memberikan sekuntum senyuman di bibir comel Najah. Dengan perasaan malu-malu tapi mahu, beliau menerima hadiah yang kami beri.

Petang tadi, 30 November 2008, saya dijemput menghadiri majlis sambutan hari lahir anak sahabat baik saya yang berusia 8 tahun. Majlis diadakan sederhana tetapi meriah dengan kehadiran kaum keluarga tuan rumah dan sahabat handai. Majlis diserikan dengan bacaan maulid dan doa selamat oleh tuan rumah sendiri. Isteri tuan rumah yang pandai memasak menyediakan juadah yang enak untuk kami untuk petang itu. Saya mengisi masa yang senggang dengan berbual-bual dengan ahli keluarga tuan rumah yang jarang saya temui kerana kesibukan bekerja.

Sesetengah orang berpendapat bahawa sambutan hari lahir meniru budaya Yahudi dan Kristian. Tambahan pula, membazir mengadakan sambutan hari lahir. Pada saya, jika difikirkan, banyak manfaat dan ganjaran yang diperolehi dengan menghadiri sambutan hari lahir, dengan syarat, tiada perkara yang diharamkan oleh syarak berlaku.

Pertamanya, sambutan hari jadi memberi peluang kepada saudara-mara dan sahabat-handai bertemu dan berkongsi pengalaman masing-masing, lebih-lebih lagi yang jarang bertemu kerana urusan dan kesibukan masing-masing. Ini dapat menguatkan persaudaraan masing-masing. Keduanya, sambutan hari lahir yang dibuat selari dengan tuntutan Islam, seperti diserikan dengan bacaan doa, pesanan dan kata-kata yang baik, bacaan maulid, tentunya diberikan ganjaran pahala oleh Allah. Kata-kata yang baik yang diucapkan oleh jemputan yang hadir kepada kanak-kanak yang diraikan adalah satu pahala, senyuman tuan rumah kepada tetamu yang hadir, adalah satu kebaikan dan baginya pahala. Ketiganya, amalan bersedekah dan memberi makan kepada orang lain oleh tuan rumah dan memberi hadiah kepada kanak-kanak yang diraikan adalah ibadah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam. Keempatnya, memenuhi undangan seorang Islam yang lain adalah tanggungjawab seorang Islam kepada saudaranya, dan jika dilaksanakan, tentulah ganjaran yang besar dituliskan baginya. Dan yang kelima, pada saya, sambutan hari lahir yang saban tahun kita raikan, merupakan satu peringatan mengenai masa kita yang semakin diinjak usia, supaya bersedia dengan bekalan yang cukup ke akhirat, seperti mana firman Allah; di dalam surah Al-Asr"
Demi Masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali yang beriman dan beramal soleh, maka berpesan-pesanlah dengan kebaikan dan berpesan-pesanlah dengan kesabaran".

Bagi saya, itulah hadiah hari lahir yang paling baik. Nikmat persaudaraan, pesanan yang baik, doa, pelaksanaan tanggungjawab, ibadah bersedekah, dan peringatan semuanya diberi ganjaran oleh Allah, yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Bukan sahaja kanak-kanak yang diraikan dapat merasai hadiah tersebut, bahkan tuan rumah dan para hadirin turut menikmati 'hadiah hari lahir' daripada Allah swt. Nah! Begitu mudah sekali Allah memberi 'hadiah' kepada kita, tanpa disedari, walaupun cuma menghadiri sambutan hari lahir seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Allahu Akbar! Mudah-mudahan kita semua mendapat manfaat dari coretan ini. Wallahua'lam.




Tiada ulasan: