Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Jumaat, 29 Januari 2010

Diari - Akhirnya aku tersenyum jua...



"Hai la.. kenapa saya kena cakap banyak kali. Banyak sangat silapnya ni.. Letih saya macam ni, nak kena baca banyak kali," pagi-pagi lagi saya dah memberi ceramah panjang kepada seorang kakitangan saya. Agak tinggi pitching suara dan panjang teguran saya kepadanya pagi ini disebabkan saya terlalu pressure dan keletihan dengan tugasan-tugasan harian yang tak habis-habis. Saya sepatutnya berada di Jabatan Peguam Negara untuk menghadiri Mesyuarat Komuniti Syariah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Gani Patail, Peguam Negara yang bermula pada jam 9.30 pagi. Namun, disebabkan terdapat perkara-perkara yang urgent untuk saya selesaikan, hanya pada jam 9.30 pagi saya bergerak dari pejabat di Shah Alam, sedangkan saya sudah sampai di pejabat seawal 7.30 pagi. Beberapa orang pegawai kanan turut menemui saya berkenaan beberapa kes yang memerlukan tindakan saya. Ah! Sangat stress ya!!

Saya sempat memberi briefing kepada Rasyid, seorang pegawai di Bahagian saya untuk membuat penambahan kepada kronologi kes MAIS yang diminta oleh Pegawai Kewangan Negeri Selangor sebelum mengerling ke jam tangan yang menunjukkan waktu 9.25 pagi.
Oh no! I am late!!

"Asri, minta bagitau Nizam suruh tunggu saya kat lobi sekarang. Saya nak cepat ni. Dah lambat sangat," saya memberitahu Asri supaya memaklumkan kepada pemandu yang akan menghantar saya.

"Ok , Cik Hani," jawabnya pendek.

Saya keluar sebentar mengambil beberapa dokumen di luar bilik sebelum melihat Nizam berdiri di hadapan saya.

"Laaa.. Kenapa tak turun lagi? Saya dah lambat ni?" tanya saya tak puas hati.

"Tak pelah. Lambat sama-sama, sebab kita turun sama-sama," jawabnya selamba.

"Saya dah lambat ni, sapa yang kena tunggu sapa ni? Awak tunggu saya ke, saya tunggu awak? Takkan itu pun saya nak kena cakap!" saya berkata kepadanya dengan pitching yang agak tinggi sambil masuk ke bilik mengambil beg. Hati saya panas. Wajah saya terus tak ceria.

Saat saya menaiki lif untuk turun ke lobby, seorang pegawai penguatkuasa JAIS menegur saya;

"Hai kak. nak ke mana?" soalnya ramah.

Dalam keadaan tak ada mood dan hati panas dan muka yang saya cuba maniskan, saya menjawab,"Putrajaya".

"Oh! Best tu. Boleh ke Alamanda," katanya.

"Maaf la dik. Tak ada mood la hari ni. Hati panas," saya membalas.

"Oh! Takpe. Maaf yer,"jawabnya.

Sepanjang perjalanan ke Putrajaya, Nizam hanya mendiamkan diri. Saya mengisi masa membaca dokumen berkaitan dengan mesyuarat hari ini. Saya membalas panggilan tak berjawab Dato' Mufti yang bertanya sama ada saya hadir atau tidak di dalam mesyuarat tersebut. Saya memaklumkan kepadanya saya lewat hadir kerana menyelesaikan beberapa perkara urgent di MAIS. Tidak lama kemudian, saya menerima satu sms dari YAD Dato' Azib;

"Salam. Amacam penjelasan kalimah Allah dah siap?" Dato' Azib.

Dek kerana kesibukan, saya terlupa untuk meng emelkan draf kertas sembah taklimat mengenai penjelasan kes kalimah Allah kepada beliau. Saya terus menghubungi Hamidah, seorang pegawai di Bahagian saya meminta untuk diemelkan kertas tersebut kepadanya.

Tak lama kemudian, mesej saya berbunyi lagi;

"Salam, Datang tak?" Huda Jabatan Peguam Negara. Huda merupakan urusetia untuk mesyuarat pada hari ini. Saya membalas dan memaklumkan saya otw.

Sesaat kemudian, mesej saya berbunyi lagi;

"Wakil MAIS mana tak ada pun." Zainul Rijal.

Menyedari saya sudah terlalu lewat dan ketiadaan saya dikesan, sesampainya di lobi Jabatan Peguam Negara, saya bergegas keluar dari kereta. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Nizam saya melangkah keluar dan menutup pintu kereta.

Bedebuk!

Saya begitu kelam-kabut sehingga tidak menyedari bahawa jalan di lobi tersebut tidak rata, dan saya terjatuh kerana tersadung bucu jalan tersebut. Alamak! Macam mana boleh jatuh ni? Malunyerrrr!!!! Harap-harap tak ada la orang nampak..

"Puan ok ker?" seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas menerpa ke arah saya yang sedang bangun sambil mengibas-ngibaskan baju yang terkena debu.

"Oh! Takper. Saya ok jer, cuma sakit sikit," jawab saya sambil menekan-nekan kepala lutut yang terasa sedikit perit.

"Duduk la dulu. jalan ni memang bahaya sikit, sebab kita tak perasan ada bahagian yang tinggi," jawabnya dengan wajah tersenyum (gelakkan aku ke?) sambil meminta saya supaya duduk di kerusi tetamu yang disediakan.

"Yer ker? Tak per.. saya okey jer.. saya dah lambat nak ke mesyuarat dengan AG," terang saya tanpa diminta.

"Takpe. Puan rehat sekejap kat sana," ujarnya ramah.

Bila saya memasuki ruang lobi, baru saya perasan. Mak ai!! Ramainya orang kat kaunter!! Malunyerrr!!! Bila saya duduk di kerusi, hati saya seolah-olah digeletek. Saya terus tergelak-gelak mengimbas "zaman kejatuhan" saya sebentar tadi. Kah kah kah! Mesti chomel! Dan mesti kelakar! Hati saya yang panas terus disimbah dengan perasaan ceria. Bibir saya menguntum senyuman tak henti-henti. "Macam mana la aku boleh jatuh?" Setelah sekian lama tak jatuh, akhirnya terjatuh juga, memang rasa kelakar...

Satu sms sampai:

"Hani ok ke? Nizam.

Rupa-rupanya Nizam perasan saya terjatuh, tetapi segan nak membantu.

"OK. Tapi sakit siott!!!" saya membalas.

"Apa yang ko langgar? Eee ko ni... Ingatkan ko marah, jatuh guling-guling". Nizam.

Hampeh kau Nizam!!

Apapun, hikmah di sebalik episod kejatuhan saya kali ini, betul2 membuatkan saya terhibur, dan tersenyum semula. Alhamdulillah Allah, walaupun aku jatuh, aku tetap bahagia!


"Yang jatuh tetapi tersenyum"


Hunny


Shah Alam

Jumaat, 22 Januari 2010

Diari - Selamat Pengantin Baru

Pasangan Abdul Hadi dan isteri. Tahniah Bro!

Pasangan Fadilah dan suami. Tahniah sis!


Bergambar kenangan bersama pasangan pengantin.
Salam semua,

Sepanjang penghujung tahun 2009 dan awal tahun 2010, ada beberapa undangan perkahwinan yang sempat saya hadiri. Pesanan saya kepada pasangan mempelai, tahniah diucapkan dan semoga kekal bahagia hingga ke akhir hayat. Kepada si suami, saat kau terima nikahnya, tunaikan hak-hak isterimu, dan bimbinglah isterimu hingga mendapat syurga di dunia (ketenangan hati dan kebahagiaan berumahtangga) dan syurga di akhirat. Ingatlah, isterimu berasal dari tulang rusuk yang bengkok, berlemah-lembutlah dengannya, sayanginya dan perbetulkan kesilapannya dengan berhikmah, kerana, jika kau terlalu kasar, kemungkinan ia bisa patah, akan tetapi, kalau kau terlalu lembut, ia akan terus bengkok. Kepada si isteri, tunaikan hak-hak suamimu, taatinya selama mana dia tidak memerintahmu melakukan perkara yang mungkar. Ingatlah, syurgamu di telapak kaki suamimu. Mudah-mudahan Allah memberkati kalian. Mudah-mudahan kalian bertemu kerana Allah, bercinta dan berkasih sayang kerana Allah dan berpisah hanyasanya kerana Allah. Amin.


"Cintai Allah, cintai Islam"

Nurhani


Shah Alam


Selangor

Kenangan Lalu - Assesment PTD


Salam semua,

Minggu lepas, semasa mengemaskan nota-nota pembelajaran semasa mengambil Diploma Lepasan Ijazah Syariah di UITM dan pengajian Sarjana LLM Undang-Undang di UIA, saya terjumpa sekeping fail INTAN (Institut Tadbiran Awam Negara) yang saya perolehi semasa saya menghadiri assesment untuk Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 2007. Masa tu, memang saya betul-betul berminat nak jadi pegawai PTD, sebab mudah naik pangkat dan kerja pun dalam pelbagai bidang, jadi banyak yang saya dapat pelajari. Bagaimanapun, sudah ditakdirkan saya gagal melepasi assesment kedua tersebut. Rasanya sebab tak kuat lari kot semasa assesment untuk kecerdasan, iaitu berlari sejauh 2km! Bukan jauh mana pun, tapi sebab badan memang tak fit (but fat!), memang laa tak larat.. Hahaha...

Lepas tu, ada jugak catatan nama dan alamat kawan-kawan yang sama-sama training di sana. di atas kulit fail tersebut Tapi tak berhubung pun. Barangkali ramai yang dah dapat jadi PTD dan dah jadi pegawai kanan pun dalam kerajaan.

Anyway, saja saya nak kongsikan dan abadikan pengalaman di INTAN Terengganu ini di dalam blog ini. Dah tua-tua nanti bolehlah saya atau keluarga lain tengok, saya pernah juga nak kerja PTD. Selama lebih kurang 3/4 hari di INTAN, kami penuh dengan aktiviti LDK dan presentation yang mencabar. Bersemangat rasa nak kerja dengan kerajaan. Tapi akhirnya Allah takdirkan saya untuk berkhidmat di MAIS, membantu sebuah organisasi Islam, yang saya rasa lebih mulia dan agung. Paling penting, saya dapat membantu saudara seagama dan yang lebih penting, mempertahankan agama Islam. Insyaalllah...

"Mengharap Redha Ilahi"


Nurhani


Seksyen 5


Shah Alam

Rabu, 20 Januari 2010

Diari - Sidang media MAIS untuk isu kalimah Allah..

Salam semua,

Dah lama nak upload gambar-gambar mengenai sidang akhbar MAIS untuk isu kalimah Allah yang diadakan pada 11hb Januari 2010. Hanya pada hari ini ada kesempatan untuk digunakan sebagai rujukan dan kenangan di kemudian hari.

Sebelum sidang media dibuat, pihak MAIS telah mengadakan persidangan tergempar untuk membincangkan mengenai isu ini. Kemudian, tepat jam 11.30, ahli-ahli MAIS telah berkumpul di Masjid Negeri untuk sesi taklimat mengenai keputusan MAIS kepada NGO-NGO yang menghadiri Seminar Kefahaman Islam " Isu Kalimah Allah" yang dianjurkan oleh MAIS dan JAIS.

Berikut adalah gambar-gambar yang saya pilih untuk diuploadkan:-

YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS memulakan sesi taklimat dengan membentangkan keputusan MAIS.

Dato' Aidit Ghazali, salah seorang ahli MAIS, turut memberikan sedikit pesanan kepada NGO yang hadir.

Tuan Hj Zainul Rijal, mantan Presiden PGSM, sekarang Presiden Persatuan Peguam Pembela Islam, memberikan taklimat dari sudut perundangan.

SS Dato Setia Mufti Diaraja turut memberikan pandangan dari sudut Hukum Syarak dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

NGO- NGO wanita yang hadir memenuhi ruang masjid.


NGO-NGO lelaki yang turut sama mendengar taklimat mengenai isu kes kalimah Allah.

Tuan Hj Bokhari, bekas peguam, dan pengasas Maahat Tahfiz Wal Qiraat seksyen 3, Shah Alam yang juga ayahanda kepada seorang teman baik saya, turut memberikan pandangan.

YAD Dato' Hj Abu Bakar, Orang Besar Daerah Petaling, mantan ahli MAIS, turut memberikan pandangan dan sokongan terhadap tindakan MAIS.



Antara yang hadir, termasuk berbaju biru, Ustaz Mustafa Al-Muqri',(Imam Masjid Negeri), berbaju puith berkot, Dr Halim Tamuri (ahli MAIS).

Bertudung kelabu berbaju batik, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin ( ahli MAIS) turut hadir memberi sokongan.

Sidang media bermula.


Antara wartawan-wartawan dan wakil-wakil media yang hadir.


Banner yang tertera " penggunaan perkataan Allah hanya untuk orang Islam sahaja".


Mudah-mudahan Allah membantu perjuangan MAIS menyelamatkan nama Nya, demi menyelamatkan akidah ummah. Semoga entri ini kelak dapat dibaca oleh generasi akan datang, bahawa kami sedaya upaya jiwa dan raga akan mempertahankan Islam dari ancaman kuffar., supaya perjuangan kami ini diteruskan. Amin.

"Cintai Allah, CIntai Islam"
Nurhani
Shah ALam

Isnin, 18 Januari 2010

Peguam Menulis - Hujah-hujah pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh ugama bukan Islam.


Salam semua,

Saya tertarik dengan penulisan Dr Uthman El Muhammady di dlam Berita Harian mengenai isu penggunaan kalimah Allah, khususnya hujah-hujah yang dikemukakan. Saya mengambil hujah-hujahnya untuk dipaparkan kepada pengunjung blog ini, mudah-mudahan hujah-hujah bernas dari ilmuwan Dr Uthman ini dapat disebarkan untuk dikongsi dengan orang lain untuk mengukuhkan pendirian kita bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh ugama bukan Islam untuk memperihalkan mengenai Tuhan bagi ugama bukan Islam.

Hujah-hujah mengenai ini antaranya seperti berikut:-

Pertama: Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk bagi mendapat hajat mereka, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya. Kalau nama itu digunakan bagi Tuhan Jesus, atau Bapa Di Langit yang mereka meminta roti setiap hari daripada-Nya, atau triniti, itu tidak benar.

Kedua: Kalau Muslimin membenarkan pihak yang menyembah salib, atau Jesus atas kayu palang menyeru itu semua sebagai ‘Allah’, atau pihak yang menyembah patung Ganesh menyerunya dengan nama Allah, maka itu seperti Muslimin membenarkan pihak lain itu ‘memaki Allah’. Ini timbul daripada ayat bermaksud: “janganlah kamu memaki apa yang mereka sembah selain daripada Allah, lalu mereka memaki Allah dalam permusuhan dan dalam ketiadaan ilmu” ; ertinya kita membenarkan mereka menyeru nama ‘Allah’ kepada objek yang bukan Allah. Kita wajib menjaga kesucian nama Allah sedaya yang mungkin. Kalau tidak kita bersalah.

Ketiga: Kita wajib menjaga takdisnya nama Tuhan sedaya upaya kita. Ulama menyatakan bahawa kita wajib menjaga kesucian rahim wanita dengan memastikan ‘tiga kali suci’ atau ‘tiga kali haid’ baru rahim dikira suci, dan perkahwinan baru boleh diakadkan; maka kata ulama kalau dalam menjaga kesucian rahim dimestikan tiga kali suci, walhal kalau sekalipun sudah cukup, alangkah lebih beratnya pula hukum menjaga kesucian nama Tuhan supaya ia sunyi daripada apa-apa yang tidak patut baginya seperti memanggil nama Allah walhal yang dituju adalah ‘Tuhan Jesus’ atau ‘Bapa Di Langit…’

Keempat: Kita bukan berada dalam budaya yang nama ‘Allah’ digunakan oleh mereka yang beragama lain, maka kalau kita membenarkan penggunaan itu, ia akan mengelirukan orang beriman yang ramai terdiri daripada orang awam. Itu akan menimbulkan kekacauan rohani dan membinasakan agama dan manusia dari segi hidup rohani mereka. Kita wajib mengelak diri daripada perkara demikian.

Kelima: Dalam Oxford English Dictionary yang terbesar itu dinyatakan bahawa Allah adalah tuhan bagi orang Islam. Demikian juga dalam Encyclopedia Brittannica dan Encyclopedia of Religion and Ethics suntingan Hastings. Jadi mengapa pula nama jalalah ini hendak digunakan oleh mereka, dan dalam majalah versi bahasa Melayunya pula? Adakah mereka akan menggunakan nama ini dalam Bible mereka semua dalam semua bahasa dunia?

Keenam: Mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia yang wajib diterima semua pihak, dan agama ialah urusan Yang di-Pertuan Agong dan dalam negeri-negeri urusan Sultan, dan fatwa kebangsaan sudah menentukan bahawa ismu jalalah atau nama Allah itu adalah untuk agama Islam. Maka dalam konteks ketaatan kepada perlembagaan tidak ada sesiapa yang patut mempersoalkan kedudukan agama Islam dan perkara yang berkaitan dengan pengamalannya. Dengan itu penggunaannya yang tidak wajar, hendaklah dilarang.

Ketujuh: Kepercayaan lain boleh diamalkan dengan ‘aman dan damai’ dan mempersoalkan penggunaan Allah khusus bagi orang Islam dan agama Islam bukanlah perbuatan mengamalkan kepercayaan lain dengan ‘aman dan damai’ sebab ia menimbulkan keresahan sebagaimana yang jelas dalam laporan media. Dengan itu penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Kelapan: Walaupun dalam hubungan dengan hak-hak kebebasan manusia sejagat, artikel 29 memberi kenyataan:

Artikel 29(2) deklarasi itu memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus. Sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat demokratik.

“Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berdasarkan Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan menjejaskan keamanan”. (Lihat dalam laman web Malaysian Bar: http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/realiti_kebebasan_media_di_malaysia.html?date=2010-01-01 )

Kesembilan: Kita boleh memahami hal ini dengan menggunakan misalan dan perbandingan. Katakanlah ada seorang raja negeri yang besar; ia sedang berada di Balai Penghadapannya; ramai orang yang berada di Balai Penghadapannya itu. Katakanlah di Balairong Seri, tiba-tiba ada seorang yang datang, dengan diperhatikan oleh raja besar itu, kemudian ia bertemu dengan tukang sapu sampah berhampiran, lalu ia mengadap orang itu. Katanya ‘Tuanku Yang Dipertuan! ‘tentu sekali orang itu akan mendapat murka raja itu. Demikian kedudukannya. Maka kalaulah muslimin membenarkan pihak lain menggunakan nama Allah untuk ‘Tuhan Jesus’ atau untuk ‘Bapa di Langit…’ maka itu adalah tempelak terbesar terhadap Allah Yang Maha Esa dan maha Tinggi.

Dengan itu sedaya upaya Muslimin jangan memberi izin pihak lain menggunakan nama ini secara tidak sepatutnya. Manfaatkan kewenangan yang Tuhan kurniakan kepada Muslimin untuk menyuci dan meninggikan nama-Nya agar Ia tidak dicemari sesiapa. Kalau kewenangan itu tidak dimanafaatkan mungkin Tuhan akan mencabutnya, dijauhkan Allah.

Semoga hujah-hujah ini dapat membantu meyakinkan pihak-pihak yang masih mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam khususnya penganut Catholic dalam penulisan mereka. Mudah-mudahan Allah membantu kita menyelamatkan namaNya dari dihina dan dicerca.

"Cintai Allah, Cintai Islam"

Nurhani

Seksyen 5

Shah Alam

**Sumber: Berita Harian, http://membelaislam.wordpress.com/2010/01/17/mukmin-berhak-pertahan-kalimah-allah/

Jumaat, 15 Januari 2010

Diari - Gerhana Matahari 15 Januari 2010


Salam semua,



Rasanya baru ajer 31 Disember lepas berlaku gerhana bulan cincin. Hari ni, 15 Januari 2010, berlaku pula gerhana matahari. Saya sebenarnya dah terlupa ada gerhana matahari hari ini. Namun, tengahari tadi, semasa waktu rehat yang panjang, saya sempat tidur kerana terlalu letih. Saya bermimpi mengenai gerhana matahari yang berlaku, tapi saya tidak mengambil kisah sangat, kerana ia sekadar mimpi.

Jam 3 petang tadi, saya menghadiri mesyuarat penyelarasan bagi pewartaan fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Ustaz Halem Hapiz, Timbalan Setiausaha MAIS. Turut hadir adalah ustaz Mat Jais Kamos, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

"Banyak kali dah gerhana yer... Tahun lepas dah dua kali.. Tahun ini rasanya baru hari tu gerhana bulan, ini gerhana matahari pulak," kata Ustaz Halem.

"Eh! Gerhana ke Ustaz? Bila?" tanya saya.

"Ni, kejap lagi ni, pukul 3 lebih," jawabnya.

"Biasalah.. Tanda-tanda kiamat," ulas Ustaz Jais.

"Iyerr.. hmmm.. Nauzubillah.."
ucap saya.

"Kenapa nauzubillah pulak? Kiamat berlaku, memang pasti," tanya Ustaz Jais.

"Tak la Ustaz. Tak ready laa.. Amalan tak cukup," jawab saya tersipu-sipu.

"Apa pulak tak ready.. Kena la ready.." tegur Ustaz Jais, sinis tetapi penuh makna.

"Yer lah.. Tau.. Kena lah "ever ready" macam battery ever ready tu," saya membalas menyebabkan semua yang hadir tersenyum.

Manusia, sentiasa tak bersedia bila bercakap mengenai kiamat dan kematian. Termasuklah saya. Namun teguran Ustaz Jais mengingatkan saya, we must be ever ready, sebab kita tak tahu bila saat kematian kita tiba dan bilakah kiamat yang pasti itu tiba. Dan bila saat itu tiba, adakah cukup amalan baik kita?

Gerhana sentiasa mengingatkan saya pada hari kiamat yang pasti, dan mengingatkan saya pada amalan saya yang tak pasti Allah terima atau tidak. Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat supaya sentiasa menambah amalan, sebab kita tak pasti amalan kita yang manakah yang Allah terima. Dunia hanya persinggahan, akhirat tempat yang hakiki. Mudah-mudahan amalan kita semua diterima sebagai bekalan di akhirat. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani

Shah Alam

**Fakta-fakta gerhana matahari 15hb Januari 2010 - Bermula 3.02pm, maksimum 4.20pm & tamat 5.38pm. Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.

Rabu, 13 Januari 2010

Diari - Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan mengenai tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah

Salam semua,

Tak sempat nak update apa-apa, just nak share keputusan muzakarah fatwa kebangsaan bagi hal ehwal ugama Islam mengenai penggunaan kalimah Allah untuk rujukan semua yang mencari-cari sandaran hukum mengapakah kalimah Allah hanya berhak digunapakai oleh orang Islam dalam memperihalkan Tuhan bagi orang Islam sahaja. Ini pun saya ambil dari blog membelaislam.wordpress.com. Semoga bermanfaat kepada yang membacanya.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Bil. Muzakarah : Kali Ke-82

Tarikh : 5 Hingga 7 Mei 2008

Tempat : Holiday Villa Hotel & Suites

Alor Star Kedah

1) Ulasan/Hujah

i. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

vi. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

vii. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

viii. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

ix. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

x. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

xi. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii. Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2) Keputusan

i. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Cintai Allah, Cintai Islam"


Nurhani

Shah Alam

Selangor

Selasa, 12 Januari 2010

Diari - Kalimah Allah hanya untuk umat Islam



Salam semua,

Awal-awal pagi lagi saya sudah dihubungi oleh YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS.

"Hani, nanti kena buat follow up untuk statement kalimah Allah tu," arahan Dato' menyebabkan perut saya yang lapar semakin berkeroncong.

"Ait! Ada follow up lagi ker? Ingat dah selesai.." gerutu saya dalam hati.

"Mana boleh selesai. Belum lagi. Banyak lagi kena buat. Kena hantar resolusi kepada DYMM Sultan, buat resolusi untuk serah pada YDPA, kepada KDN supaya diorang tak kuar permit, kepada menteri agama kita kena bagi juga, maklumkan mengenai isu kalimah Allah ini non-justiciable, tak boleh bawak ke Mahkamah, dan press statement kita bagi pada Perak dan semua MAINS (majlis agama Islam negeri)," tegas Dato'.

"Errrk..." rasa pening sekejap menerima arahan yang bertubi-tubi menyebabkan saya 'blank' seketika.

"Tapi Dato' Setia, untuk Majlis Raja-Raja dan YDPA, urusetianya JAKIM." saya menegaskan.

"Tak apa lah. JAKIM urusetia, tapi resolusi dan kertas kerja kita la sediakan," ujar Dato' Pengerusi.

"Ok Dato'. Insyaallah, saya boleh bantu sediakan, nanti saya liaise dengan JAKIM untuk kemuka kepada MRR dan YDPA," penuh yakin saya menjawab, walaupun rasa macam nak demam memikirkan nak buat semuanya secepat mungkin.

Hari ini, saya menyertai bengkel pungutan khairat yang dianjurkan oleh Bahagian MAL dan Bahagian Audit Dalam MAIS. Saya men'silent'kan telefon. Di samping berbelas-belas missed call yang saya terima, rupanya ada beberapa mesej daripada sahabat-sahabat saya yang tak dibaca di kedua-dua hp milik saya.

"Nama keluar suratkhabar. Tahniah dapat keluar statement tegas isu kalimah Allah," sender 012393****.

Daripada sms yang diterima, saya mengagak tentu berita mengenai kalimah Allah yang keluar, tetapi tak pasti suratkhabar mana. Saya terus membalas mesej tersebut,"

"Suratkhabar mana?"

"Utusan.."jawabnya.

Kemudian saya melihat mesej di hp satu lagi.

"Salam. Tahniah atas usaha mempertahankan kalimah Allah, walau mulanya 'maleh bebenor'. Sekarang orang macam saya, faham la dari sudut perundangan (baru baca blog), SYABAS dey inspektor sahab!" Helmi ALC.

"Allah untuk Islam. Penasihat Undang-Undang MAIS Nurhani Salwa Binti Jamaluddin.. Siap kuar Utusan... hehehe.. Tahniah Kak, teruskan perjuangan." Aliff.

"SYABAS PADA MAIS! SELANGOR LEAD THE PACKS! STATEMENT MAIS DIAMATI MAJLIS2 LAIN". Haji Rahim Peguam.

"Amboi. Dah mengadap Sultan nampak. Bila lagi nak dapat pingat?" Fadli Amin.

Syukur, alhamdulillah.. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan usaha kami. Mudah-mudahan Allah memudahkan tindakan susulan kami untuk mempertahankan kesucian kalimah ini daripada disalahguna. Doa dan sokongan kalian semua amat bermakna bagi kami.

Di sini saya turut memaparkan keratan akhbar Utusan bertarikh 12 Januari 2010 sebagai satu bukti bahawa saya pernah berjuang untuk mempertahankan kalimah ini.

SHAH ALAM 11 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.

Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.

“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini hari ini.

Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).

“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.

Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

"Cintai Allah, Cintai Islam"
Nurhani

Shah Alam


Isnin, 11 Januari 2010

Diari - Mesyuarat MAIS dan Sidang Media mengenai kalimah Allah


Salam semua,

Awal-awal pagi lagi saya sudah berada di Bilik Mesyuarat MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) di Bangunan SUK untuk membentangkan kertas kerja mengenai keputusan kes kalimah Allah di dalam Persidangan Mesyuarat Khas MAIS Bil 1/2010. Mesyuarat ini diadakan sebagai menjunjung titah perintah DYMM Sultan Selangor supaya anggota MAIS berbincang dan meneliti isu penghakiman kes tersebut dan menetapkan pendirian MAIS dan Kerajaan Islam Selangor. Alhamdulillah, persidangan berjalan lancar seawal 8.30 pagi dan tamat pada jam 11 pagi. Kesemua anggota MAIS yang hadir tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut yang memberi ruang kepada gereja Katholik menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka. Saya turut ditunjukkan sesalinan naskah terkini Herald, The Catholic Weekly yang dibawa oleh Tuan Haji Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Pembela Islam. Walaupun pihak gereja nampaknya menghormati keputusan Mahkamah supaya tidak menggunakan kalimah Allah, namun sebaliknya, apa yang memeranjatkan saya, pihak gereja tersebut menggunakan kalimah Ilahi dan Iman dalam penulisan mereka, sedangkan kalimah tersebut turut dihalang penggunaannya oleh ugama bukan Islam menurut Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 yang telah dikuatkuasakan.

Saya diminta oleh YAD Dato' Setia Pengerusi untuk menyediakan kenyataan media bagi pihak MAIS untuk rujukan YAD Dato Pengerusi semasa sidang media yang berlangsung pada jam 1 tengahari di masjid negeri hari ini.

"Hani. Sediakan draf kenyataan media. Minta Datin Paduka LA Negeri semak dan peguam kita semak," arahan Dato' Pengerusi pada hari Rabu lepas kepada saya.

Aura negatif dalam hati saya berbisik," Ish! Kerja aku ke? Kita kan ada PRO? Apasal la aku yang kena buat?" saya mempersoalkan arahan Dato'. Sebaliknya, aura positif saya berkata,
"Okla tu. Nanti kat akhirat Allah tanya, apa kau dah buat masa nama Allah dicemar dan dicabul oleh al-kuffar, aku ada jawapannya. Ada la saham kat akhirat," bisik hati saya.

"Ok Dato' Setia. Nanti saya minta Rohana yang buat," saya bersetuju, tetapi masih cuba mengelak kerja tambahan, kerana di samping itu, saya perlu menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan di dalam mesyuarat MAIS.

"Apa pulak Rohana yang buat. U ajer yang buat. Ini isu undang-undang," jawapan Dato membuatkan saya tersentap.

"Ok lah. Nanti saya sediakan," akhirnya saya menjawab pendek, kerana dah malas nak fight sapa yang kena buat. Adalah hikmahnya, mungkin Allah nak beri pahala lebih kat saya. Tambahan pula, saya berpendapat, boleh juga saya improve skills penulisan saya.


Selepas sidang bersama media selesai, saya makan tengahari bersama seorang ahli MAIS, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin.

"Saya dah pergi dua tiga sidang media, tapi saya rasa, kenyataan media hari ni, yang paling agresif. Saya rasa sebab yang buat Hani," komen beliau jujur.

"Hiii... Yer ker? Maaflah Datin. Dato' Pengerusi minta saya sediakan, saya sediakanlah... Tapi, nak buat macam ner.. Yang draf PC tu pun brutal orangnya." saya menjawab.

"Eh. Takpe. Baguslah. Kita kena agresif isu ini. Bukan boleh main-main. Kena serius." sambung beliau.

Di sini, saya paparkan kenyataan media MAIS untuk bacaan pembaca blog ini dan juga boleh disebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Insyaallah, kenyataan ini juga akan dikeluarkan di media massa iaitu semasa rancangan berita pada malam ini dan juga di suratkhabar-suratkhabar seluruh negara esok. Semoga ketetapan dan pendirian MAIS sebagai pihak berkuasa utama di dalam Negeri Selangor bagi perkara-perkara berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran Islam mengenai isu keputusan kes kalimah Allah dapat dihayati oleh semua umat Islam khususnya di Negeri Selangor, demi menjaga akidah umat islam dan menjaga kesucian agama Islam.

KENYATAAN MEDIA MAIS BERHUBUNG KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH OLEH MAHKAMAH TINGGI PADA 31 DISEMBER 2009

Berikutan daripada keputusan kes di atas yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”, Pengerusi MAIS Dato’ Setia Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid dan Dato’ Salehuddin Bin Saidin, Ahli MAIS telah dititah menghadap DYMM Sultan Selangor pada pagi Selasa yang lalu. Turut sama menghadap ialah Timbalan Setiausaha MAIS, Tuan Haji Abdul Halem Hapiz Bin Salihin dan Penasihat Undang-Undang MAIS, Cik Nurhani Salwa Binti Jamaluddin.

Di dalam perjumpaan tersebut, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan supaya isu berkaitan kes tersebut hendaklah dibincangkan dengan teliti oleh Ahli-ahli MAIS. Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Baginda bertitah bahawa Negeri Selangor hendaklah teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama di Negeri Selangor. Baginda turut menitahkan supaya pihak MAIS memaklumkan kepada rakyat negeri Selangor bahawa telah terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah ini dalam memperihalkan mengenai agama bukan Islam iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang telah diwartakan sejak tahun 1988 di negeri Selangor dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 10 Jun 2008 yang telah memutuskan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Bagi menjunjung titah perintah DYMM Sultan tersebut, sehubungan itu, pihak MAIS telah mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk bersama NGO-NGO Islam pada 5hb Januari 2010 bagi membincangkan dan meneliti isu ini di mana pihak MAIS dan NGO-NGO yang terlibat telah membantah dengan sebulat suara terhadap keputusan tersebut.

Selanjutnya, satu kertas kerja telah dibentangkan di dalam Mesyuarat MAIS yang bersidang pada hari ini (11hb Januari 2010) yang membincangkan mengenai kesan-kesan keputusan tersebut terhadap agama Islam, akidah umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan Negeri dan persoalan mengapakah kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama bukan Islam. Persidangan kali ini turut meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang berkaitan khususnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam, dan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.


Mesyuarat MAIS turut membincangkan mengenai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10hb Jun 2008 yang menyatakan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Setelah menimbang dan meneliti fakta-fakta yang berkaitan, peruntukan undang-undang dan fatwa di atas, pihak MAIS memutuskan dan berpandangan seperti berikut:-

1) Istilah Allah dalam konteks budaya Malaysia tidak boleh bermakna selain daripada apa yang difahami; Allah itu bermaksud Tuhan Yang Maha Esa. Makna ini berlainan daripada makna ‘GOD’ dalam agama Kristian, iaitu tuhan berkonsepkan ‘TRINITY’. Jadi apabila Allah dibenarkan dipakai dalam konteks Kristianiti, maka ia memberi pelbagai implikasi yang membahayakan masa depan umat Islam dan mengelirukan kerana Allah itu boleh bermakna Tuhan Yang Esa atau tuhan yang ‘trinity’.


2) Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”, tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mahkamah sepatutnya memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam sebagaimana keputusan Mahkamah di dalam kes Meor Atiqurrahman v. Fatimah Sihi dan yang lain [2000] 1 CLJ 393 yang memutuskan bahawa; “Islam ialah ugama bagi persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di Negara seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan seperti agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”


3) MAIS juga menegaskan bahawa keputusan Hakim Lau Bee Lan tersebut secara jelasnya bertentangan dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.


4) Selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


5) Penggunaan Kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan kerana Mahkamah bukanlah forum yang sesuai membincangkannya. Ia merupakan perkara non-justiciable yang terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.


6) Kerajaan Malaysia sendiri pada 16 Mei 1986 telah melarang agama lain menggunakan kalimah Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah dan keputusan tersebut sewajarnya dikekalkan dan perkataan tersebut adalah eksklusif bagi umat Islam. Sekiranya keputusan Mahkamah ini dikekalkan ia pasti akan mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku masyarakat pribumi dan majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenteraman awam sekiranya tidak ditangani dengan baik.


7) MAIS menegaskan penolakan permohonan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk mencelah di dalam kes ini oleh hakim yang sama adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri yang memperuntukkan bahawa pihak Majlis adalah pihak berkuasa utama selepas DYMM Sultan yang mempunyai kuasa dan sebagai pihak yang berkepentingan dalam mempertahankan agama Islam. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang (statutori) untuk menasihati Sultan di dalam semua perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, melainkan perkara-perkara berkaitan Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan. Justeru, kewajipan mengurus pentadbiran agama Islam adalah merupakan tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri. Pihak MAIS telahpun mengarahkan peguam MAIS untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi untuk menjaga kepentingan umat Islam. Pihak MAIS turut menyeru kepada semua MAINS lain untuk sama-sama merayu /mencelah di dalam kes ini demi mempertahankan dan menjalankan tanggungjawab statutori mereka untuk mempertahankan agama Islam.


8) Pihak MAIS dengan bantuan JAIS dan pihak polis akan menguatkuasakan dengan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.


9) Pihak MAIS juga menegaskan bahawa pihak Kementerian Dalam negeri (KDN) perlu bertindak lebih tegas di dalam tindakannya berdasarkan peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan kalimah tersebut atau apa-apa perkataan lain yang khusus bagi umat Islam pada masa-masa akan datang.


10) Pihak MAIS turut menyokong tindakan pantas Kerajaan Malaysia dan pihak KDN membuat rayuan dan memohon penangguhan untuk pelaksanaan perintah tersebut, dan pihak MAIS berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan bijaksana, untuk kesucian Islam dan turut mengekalkan kebebasan dan keharmonian beragama di dalam negeri dan Persekutuan.


11) Pihak MAIS juga merafak sembah ke bawah Majlis Raja–Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini kerana isu penggunaan kalimah Allah ini adalah berkaitan dengan hal ehwal agama Islam bahkan ini adalah selaras dengan sumpah jawatan baginda untuk mempertahankan Islam pada setiap masa. Campur tangan raja-raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja menyentuh bidang kuasa raja-raja Melayu dalam urusan agama Islam, tetapi sekaligus menyentuh secara langsung sensitiviti umat Islam Malaysia.


12) Pihak MAIS turut merafak sembah ke bawah Yang DiPertuan Agong untuk menggunakan kuasa baginda yang sedia ada di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut. Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

13) Seterusnya, pihak MAIS turut mendesak kerajaan persekutuan dan menteri yang bertanggungjawab di dalam isu ini dan juga JAKIM untuk membuat tindakan yang wajar bagi menyelesaikan isu ini dengan segera.

14) Pihak MAIS turut mendesak Kerajaan Persekutuan supaya isu-isu berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi oleh Hakim yang bukan beragama Islam.

Resolusi mesyuarat MAIS ini akan disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk di bincangkan oleh Raja-Raja Melayu di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang kelak.

Bagi memastikan masyarakat Islam jelas berkaitan isu yang hangat diperkatakan ini, MAIS dengan kerjasama JAIS telah membuat beberapa program penerangan berkaitan isu kalimah Allah ini. Selain menerusi bacaan-bacaaan khutbah bermula pada 8 Januari 2010, pihak MAIS turut meminta dan menggalakkan masjid-masjid, institusi Islam dan NGO2 di seluruh negeri Selangor menggantung kain rentang sebagai tanda bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah ini oleh agama bukan Islam.


Pihak MAIS selaku pihak berkuasa utama dalam hal ehwal agama Islam di dalam Negeri Selangor selepas DYMM Sultan tidak akan berkompromi dalam apa jua hal yang menggugat kedudukan Islam di dalam Negeri Selangor dan DYMM sebagai Ketua Agama adalah bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam setiap masa. Pihak MAIS berpendirian menyokong institusi raja-raja melaksanakan apa jua tindakan yang wajar dan suaimanfaat bagi memelihara kesucian agama Islam. Adalah penting kedudukan agama Islam dipelihara setiap masa sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan (Negeri Selangor) 1959 yang memperuntukkan bahawa Agama Islam sebagaimana yang dianuti dan diamalkan dalam Negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama Negeri, dengan syarat bahawa semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang-orang yang menganutinya di mana-mana bahagian Negeri ini.

Sekian, والسلام.

"Cintai ALlah, Cintai Islam"


Nurhani

Shah Alam