Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 11 Januari 2010

Diari - Mesyuarat MAIS dan Sidang Media mengenai kalimah Allah


Salam semua,

Awal-awal pagi lagi saya sudah berada di Bilik Mesyuarat MTES (Majlis Tindakan Ekonomi Selangor) di Bangunan SUK untuk membentangkan kertas kerja mengenai keputusan kes kalimah Allah di dalam Persidangan Mesyuarat Khas MAIS Bil 1/2010. Mesyuarat ini diadakan sebagai menjunjung titah perintah DYMM Sultan Selangor supaya anggota MAIS berbincang dan meneliti isu penghakiman kes tersebut dan menetapkan pendirian MAIS dan Kerajaan Islam Selangor. Alhamdulillah, persidangan berjalan lancar seawal 8.30 pagi dan tamat pada jam 11 pagi. Kesemua anggota MAIS yang hadir tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut yang memberi ruang kepada gereja Katholik menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka. Saya turut ditunjukkan sesalinan naskah terkini Herald, The Catholic Weekly yang dibawa oleh Tuan Haji Zainul Rijal, Presiden Persatuan Peguam Pembela Islam. Walaupun pihak gereja nampaknya menghormati keputusan Mahkamah supaya tidak menggunakan kalimah Allah, namun sebaliknya, apa yang memeranjatkan saya, pihak gereja tersebut menggunakan kalimah Ilahi dan Iman dalam penulisan mereka, sedangkan kalimah tersebut turut dihalang penggunaannya oleh ugama bukan Islam menurut Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 yang telah dikuatkuasakan.

Saya diminta oleh YAD Dato' Setia Pengerusi untuk menyediakan kenyataan media bagi pihak MAIS untuk rujukan YAD Dato Pengerusi semasa sidang media yang berlangsung pada jam 1 tengahari di masjid negeri hari ini.

"Hani. Sediakan draf kenyataan media. Minta Datin Paduka LA Negeri semak dan peguam kita semak," arahan Dato' Pengerusi pada hari Rabu lepas kepada saya.

Aura negatif dalam hati saya berbisik," Ish! Kerja aku ke? Kita kan ada PRO? Apasal la aku yang kena buat?" saya mempersoalkan arahan Dato'. Sebaliknya, aura positif saya berkata,
"Okla tu. Nanti kat akhirat Allah tanya, apa kau dah buat masa nama Allah dicemar dan dicabul oleh al-kuffar, aku ada jawapannya. Ada la saham kat akhirat," bisik hati saya.

"Ok Dato' Setia. Nanti saya minta Rohana yang buat," saya bersetuju, tetapi masih cuba mengelak kerja tambahan, kerana di samping itu, saya perlu menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan di dalam mesyuarat MAIS.

"Apa pulak Rohana yang buat. U ajer yang buat. Ini isu undang-undang," jawapan Dato membuatkan saya tersentap.

"Ok lah. Nanti saya sediakan," akhirnya saya menjawab pendek, kerana dah malas nak fight sapa yang kena buat. Adalah hikmahnya, mungkin Allah nak beri pahala lebih kat saya. Tambahan pula, saya berpendapat, boleh juga saya improve skills penulisan saya.


Selepas sidang bersama media selesai, saya makan tengahari bersama seorang ahli MAIS, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin.

"Saya dah pergi dua tiga sidang media, tapi saya rasa, kenyataan media hari ni, yang paling agresif. Saya rasa sebab yang buat Hani," komen beliau jujur.

"Hiii... Yer ker? Maaflah Datin. Dato' Pengerusi minta saya sediakan, saya sediakanlah... Tapi, nak buat macam ner.. Yang draf PC tu pun brutal orangnya." saya menjawab.

"Eh. Takpe. Baguslah. Kita kena agresif isu ini. Bukan boleh main-main. Kena serius." sambung beliau.

Di sini, saya paparkan kenyataan media MAIS untuk bacaan pembaca blog ini dan juga boleh disebarkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Insyaallah, kenyataan ini juga akan dikeluarkan di media massa iaitu semasa rancangan berita pada malam ini dan juga di suratkhabar-suratkhabar seluruh negara esok. Semoga ketetapan dan pendirian MAIS sebagai pihak berkuasa utama di dalam Negeri Selangor bagi perkara-perkara berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran Islam mengenai isu keputusan kes kalimah Allah dapat dihayati oleh semua umat Islam khususnya di Negeri Selangor, demi menjaga akidah umat islam dan menjaga kesucian agama Islam.

KENYATAAN MEDIA MAIS BERHUBUNG KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH OLEH MAHKAMAH TINGGI PADA 31 DISEMBER 2009

Berikutan daripada keputusan kes di atas yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”, Pengerusi MAIS Dato’ Setia Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Mufti Negeri Selangor Dato’ Setia Hj. Mohd Tamyes bin Abdul Wahid dan Dato’ Salehuddin Bin Saidin, Ahli MAIS telah dititah menghadap DYMM Sultan Selangor pada pagi Selasa yang lalu. Turut sama menghadap ialah Timbalan Setiausaha MAIS, Tuan Haji Abdul Halem Hapiz Bin Salihin dan Penasihat Undang-Undang MAIS, Cik Nurhani Salwa Binti Jamaluddin.

Di dalam perjumpaan tersebut, DYMM Sultan Selangor telah menitahkan supaya isu berkaitan kes tersebut hendaklah dibincangkan dengan teliti oleh Ahli-ahli MAIS. Sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Baginda bertitah bahawa Negeri Selangor hendaklah teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain, bagi memelihara akidah umat Islam dan keharmonian beragama di Negeri Selangor. Baginda turut menitahkan supaya pihak MAIS memaklumkan kepada rakyat negeri Selangor bahawa telah terdapat undang-undang yang menghalang penggunaan kalimah Allah ini dalam memperihalkan mengenai agama bukan Islam iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang telah diwartakan sejak tahun 1988 di negeri Selangor dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 10 Jun 2008 yang telah memutuskan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau dimasukkan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Bagi menjunjung titah perintah DYMM Sultan tersebut, sehubungan itu, pihak MAIS telah mengadakan beberapa siri perbincangan termasuk bersama NGO-NGO Islam pada 5hb Januari 2010 bagi membincangkan dan meneliti isu ini di mana pihak MAIS dan NGO-NGO yang terlibat telah membantah dengan sebulat suara terhadap keputusan tersebut.

Selanjutnya, satu kertas kerja telah dibentangkan di dalam Mesyuarat MAIS yang bersidang pada hari ini (11hb Januari 2010) yang membincangkan mengenai kesan-kesan keputusan tersebut terhadap agama Islam, akidah umat Islam, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan Negeri dan persoalan mengapakah kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama bukan Islam. Persidangan kali ini turut meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang berkaitan khususnya Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan, tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam, dan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.


Mesyuarat MAIS turut membincangkan mengenai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10hb Jun 2008 yang menyatakan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.


Setelah menimbang dan meneliti fakta-fakta yang berkaitan, peruntukan undang-undang dan fatwa di atas, pihak MAIS memutuskan dan berpandangan seperti berikut:-

1) Istilah Allah dalam konteks budaya Malaysia tidak boleh bermakna selain daripada apa yang difahami; Allah itu bermaksud Tuhan Yang Maha Esa. Makna ini berlainan daripada makna ‘GOD’ dalam agama Kristian, iaitu tuhan berkonsepkan ‘TRINITY’. Jadi apabila Allah dibenarkan dipakai dalam konteks Kristianiti, maka ia memberi pelbagai implikasi yang membahayakan masa depan umat Islam dan mengelirukan kerana Allah itu boleh bermakna Tuhan Yang Esa atau tuhan yang ‘trinity’.


2) Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 31 Disember 2009 oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Datuk Lau Bee Lan yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik di dalam penerbitan mereka “The Herald Weekly”, tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Mahkamah sepatutnya memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam sebagaimana keputusan Mahkamah di dalam kes Meor Atiqurrahman v. Fatimah Sihi dan yang lain [2000] 1 CLJ 393 yang memutuskan bahawa; “Islam ialah ugama bagi persekutuan tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di Negara seperti Kristian, Buddha dan Hindu. Islam bukan seperti agama lain atau berdiri sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”


3) MAIS juga menegaskan bahawa keputusan Hakim Lau Bee Lan tersebut secara jelasnya bertentangan dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja.


4) Selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


5) Penggunaan Kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan kerana Mahkamah bukanlah forum yang sesuai membincangkannya. Ia merupakan perkara non-justiciable yang terletak di bawah kuasa Raja-Raja Melayu.


6) Kerajaan Malaysia sendiri pada 16 Mei 1986 telah melarang agama lain menggunakan kalimah Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah dan keputusan tersebut sewajarnya dikekalkan dan perkataan tersebut adalah eksklusif bagi umat Islam. Sekiranya keputusan Mahkamah ini dikekalkan ia pasti akan mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku masyarakat pribumi dan majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenteraman awam sekiranya tidak ditangani dengan baik.


7) MAIS menegaskan penolakan permohonan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri untuk mencelah di dalam kes ini oleh hakim yang sama adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri yang memperuntukkan bahawa pihak Majlis adalah pihak berkuasa utama selepas DYMM Sultan yang mempunyai kuasa dan sebagai pihak yang berkepentingan dalam mempertahankan agama Islam. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang (statutori) untuk menasihati Sultan di dalam semua perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, melainkan perkara-perkara berkaitan Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan. Justeru, kewajipan mengurus pentadbiran agama Islam adalah merupakan tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri. Pihak MAIS telahpun mengarahkan peguam MAIS untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi untuk menjaga kepentingan umat Islam. Pihak MAIS turut menyeru kepada semua MAINS lain untuk sama-sama merayu /mencelah di dalam kes ini demi mempertahankan dan menjalankan tanggungjawab statutori mereka untuk mempertahankan agama Islam.


8) Pihak MAIS dengan bantuan JAIS dan pihak polis akan menguatkuasakan dengan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.


9) Pihak MAIS juga menegaskan bahawa pihak Kementerian Dalam negeri (KDN) perlu bertindak lebih tegas di dalam tindakannya berdasarkan peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan kalimah tersebut atau apa-apa perkataan lain yang khusus bagi umat Islam pada masa-masa akan datang.


10) Pihak MAIS turut menyokong tindakan pantas Kerajaan Malaysia dan pihak KDN membuat rayuan dan memohon penangguhan untuk pelaksanaan perintah tersebut, dan pihak MAIS berharap supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan bijaksana, untuk kesucian Islam dan turut mengekalkan kebebasan dan keharmonian beragama di dalam negeri dan Persekutuan.


11) Pihak MAIS juga merafak sembah ke bawah Majlis Raja–Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri yang mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini kerana isu penggunaan kalimah Allah ini adalah berkaitan dengan hal ehwal agama Islam bahkan ini adalah selaras dengan sumpah jawatan baginda untuk mempertahankan Islam pada setiap masa. Campur tangan raja-raja Melayu dalam urusan ini amat diperlukan kerana ia bukan sahaja menyentuh bidang kuasa raja-raja Melayu dalam urusan agama Islam, tetapi sekaligus menyentuh secara langsung sensitiviti umat Islam Malaysia.


12) Pihak MAIS turut merafak sembah ke bawah Yang DiPertuan Agong untuk menggunakan kuasa baginda yang sedia ada di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk isu ini ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut. Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

13) Seterusnya, pihak MAIS turut mendesak kerajaan persekutuan dan menteri yang bertanggungjawab di dalam isu ini dan juga JAKIM untuk membuat tindakan yang wajar bagi menyelesaikan isu ini dengan segera.

14) Pihak MAIS turut mendesak Kerajaan Persekutuan supaya isu-isu berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi oleh Hakim yang bukan beragama Islam.

Resolusi mesyuarat MAIS ini akan disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk di bincangkan oleh Raja-Raja Melayu di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang kelak.

Bagi memastikan masyarakat Islam jelas berkaitan isu yang hangat diperkatakan ini, MAIS dengan kerjasama JAIS telah membuat beberapa program penerangan berkaitan isu kalimah Allah ini. Selain menerusi bacaan-bacaaan khutbah bermula pada 8 Januari 2010, pihak MAIS turut meminta dan menggalakkan masjid-masjid, institusi Islam dan NGO2 di seluruh negeri Selangor menggantung kain rentang sebagai tanda bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah ini oleh agama bukan Islam.


Pihak MAIS selaku pihak berkuasa utama dalam hal ehwal agama Islam di dalam Negeri Selangor selepas DYMM Sultan tidak akan berkompromi dalam apa jua hal yang menggugat kedudukan Islam di dalam Negeri Selangor dan DYMM sebagai Ketua Agama adalah bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam setiap masa. Pihak MAIS berpendirian menyokong institusi raja-raja melaksanakan apa jua tindakan yang wajar dan suaimanfaat bagi memelihara kesucian agama Islam. Adalah penting kedudukan agama Islam dipelihara setiap masa sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 47 Undang-Undang Tubuh Kerajaan (Negeri Selangor) 1959 yang memperuntukkan bahawa Agama Islam sebagaimana yang dianuti dan diamalkan dalam Negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama Negeri, dengan syarat bahawa semua agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai oleh orang-orang yang menganutinya di mana-mana bahagian Negeri ini.

Sekian, والسلام.

"Cintai ALlah, Cintai Islam"


Nurhani

Shah Alam




2 ulasan:

Cikgu Nan berkata...

Tahniah ! Semoga ada tempat di sisi Allah swt

Hunny berkata...

Alhamdulillah, amin... mudah-mudahan termakbul :)