Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Rabu, 30 September 2009

Diari - Kerja dan raya..

Salam semua,

Hari ini saya kembali semula ke pejabat setelah lebih seminggu bercuti raya. "Amboi kamu! Raya sakan nampak," perli Dato' Pengerusi MAIS semasa saya bertemunya pagi ini. " Mana ada Dato'. Saya ke UTM Johor hantar adik saya," jawab saya, nak cover line sebab cuti lama sangat. Semenjak dua hari lepas, saya dimaklumkan, ramai yang menghubungi saya di pejabat, tetapi diberitahu saya masih bercuti. "Ramai boyfren Kak Hani cari Kak Hani," kata Nora, teman serumah yang juga pegawai di Bahagian Pembangunan Hartanah MAIS. "Ye ke? Ramai betul tu boyfren Kak Hani, yang mana satu?," tanya saya sambil tergelak. "Boypren Kak Hani sorang yang pendek-pendek tu, sorang yang kurus tinggi dan sorang lagi yang ada tahi lalat, "balas Nora sambil tersengih-sengih. "Siapa yer," tanya saya, pura-pura tak tahu. Mendengar jawapan Nora, saya terkekeh-kekeh ketawa, sebab saya maklum ketiga-tiga orang yang dimaksudkan. Untuk tidak menjatuhkan air muka sesiapa, saya tidak dapat mendedahkan ketiga-tiga orang tersebut, walaupun saya 100% pasti kakitangan MAIS dapat mengagak siapa individu yang Nora maksudkan. Apapun, yang pasti, kalau ketiga-tiga individu ini mencari saya, saya dapat membayangkan volume kerja-kerja yang perlu dibuat oleh Bahagian saya tentu bertambah.

Sahlah!Hari ini saya masuk ke pejabat, fail-fail dah bersusun tinggi kat meja nak kena semak dan urus. Pagi-pagi seawal jam 8.30 pagi Dato' Pengerusi dah bertemu saya untuk menyediakan dua paper ke Mesyuarat MAIS yang bersidang pada 6hb Oktober ini. Kebetulan pulak, hari ini saya dah menetapkan sesi temuramah bersama pelajar-pelajar dari Fakulti Undang-Undang UITM bertanyakan mengenai perundangan Syariah. Nama pun temu ramah, memang lah terlebih ramah sampai interview lajak ke jam 1.40 tengahari.

Raya, raya jugak. Kerja, kerja jugak. Tak boleh tidak kena dibuat kerana tanggungjawab. Tak boleh dilewatkan. Mudah-mudahan urusan pelaksanaan kerja-kerja ini dipermudahkan. Hajat di hati nak update diari sepanjang cuti raya. Insyaallah, ada masa nanti saya akan buat juga. Hari ini, nak bereskan kerja-kerja atas meja. :) See ya!

"Salam Aidilfitri 1430H"

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Sabtu, 26 September 2009

Diari - Salam Eidul Fitri 1430H

Salam semua,
Telah seminggu umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Eidul Fitri bagi tahun hijrah 1430. Rasanya belum terlewat untuk saya mengucapkan selamat berhari raya dan maaf zahir batin jika ada penulisan saya yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atas kekhilafan dan kesilapan saya, tanpa disengajakan. Taqabbalallahu minna wa minkum. Kullu a'min wa antum bikhair. Semoga amalan kita diterima Allah. Semoga kita semua dipanjangkan umur dan bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan.
"Mengharap Redha Ilahi di Aidilfitri"
Nurhani Salwa
Pekan Kuala Selangor

Rabu, 16 September 2009

Diari - Sepandai-pandai tupai melompat...

Salam semua,

Gambar di atas ada kaitan dengan entri saya kali ini. Rasa sangat gembira membaca berita ini dan nak kongsi dengan semua:-

SHAH ALAM, 16 Sept (Bernama) — Selepas tiga tahun mengelak daripada dibicarakan, ketua ajaran sesat ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, bakal menyambut Aidilfitri dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini , Rabu memerintahkan supaya dia ditahan sehingga tarikh perbicaraan akan datang.

Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad mengeluarkan arahan itu selepas membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid agar Abdul Kahar, 59, ditahan kerana beberapa kali gagal hadir pada perbicaraan kesnya walaupun waran tangkap telah dikeluarkan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Sept ini untuk sebutan bagi menyambung waran tahanan terhadapnya.

Abdul Kahar ditahan pasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang.

Terdahulu, Abdul Shukor berkata kehadiran Abdul Kahar di mahkamah bukan atas kerelaan atau kesedarannya tetapi kerana telah ditangkap oleh penguatkuasa Jais, dan oleh itu, mahkamah perlu mengeluarkan waran tahanan terhadapnya sehingga tarikh perbicaraan akan datang pada 7 Okt ini.

“Tertuduh banyak kali mengelak untuk hadir ke mahkamah. Walaupun tindakan menahan tertuduh boleh memudaratkan kesihatannya tetapi mahkamah perlu pandang satu lagi kemudaratan lebih besar (iaitu) kepada agama Islam jika tertuduh dijamin,” katanya.

Abdul Kahar mendakwa kegagalannya hadir pada perbicaraan sebelum ini disebabkan dia menerima beberapa ugutan bunuh sehingga terpaksa melarikan diri.

Tertuduh berkata sehingga kini dia juga masih gagal mendapatkan khidmat peguam dan memohon mahkamah memberi peluang kepadanya untuk mencari peguam bagi mewakilinya.

“Saya merayu agar mahkamah membenarkan saya dijamin bagi membolehkan saya menyambut hari raya bersama keluarga. Saya bukan nak mengelak tetapi takut dengan ugutan bunuh dan sekiranya saya ditahan saya tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab saya kepada keluarga.

“Saya berjanji jika saya dijamin saya tidak akan melakukan apa-apa tindakan termasuk sebar risalah dan juga akan menghadiri perbicaraan,” katanya.

Peguam pemerhati bagi Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar ketika merujuk dakwaan ugutan bunuh yang diterima tertuduh berkata, sekiranya tertuduh ditahan dalam penjara, keselamatannya akan terjamin kerana akan dikawal sepanjang masa berbanding jika dia berada di luar tahanan.

Abdul Kahar dituduh telah menyatakan, mendakwa dan mengisytiharkan diri sebagai “rasul orang Melayu di zaman ini” sedangkan pernyataan dan dakwaan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Dia juga didakwa menjelaskan doktrin palsu yang bertentangan dengan hukum syarak berhubung agama Islam, antaranya menyatakan sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar, dan ibadah haji pula sia-sia dan merugikan.

Bagi tuduhan ketiga, Abdul Kahar didakwa mengingkari dan melanggar arahan Mufti iaitu masih menjelaskan amalan dan mengajar Ajaran Kahar Ahmad sedangkan ia telah difatwakan sebagai menyeleweng daripada Islam.

Pertuduhan keempat menyebut bahawa tertuduh didakwa telah mempersendakan amalan Islam dengan menyatakan: “Ibadah haji ialah perkara yang diada-adakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan tujuan mengaut keuntungan” dan “Buat apa sembahyang tunggang-tonggek, membebel sendirian dan ia umpama orang mabuk dan berjudi”.

Abdul Kahar juga dituduh menyebarkan pendapat dan ajaran, antaranya rasul tidak benar, yang bertentangan dengan hukum syarak dan fatwa yang masih berkuat kuasa di Selangor.

Tertuduh, yang tidak bekerja, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman bernombor 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Hulu Klang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

– BERNAMA

Syabas kepada Penguatkuasa JAIS! Kalian mengulangi sejarah para sahabat Nabi yang berperang pada bulan Ramadhan, di samping berperang dengan lapar dan dahaga, kalian tetap komited. Betullah Ramadhan bulan yang penuh rahmat. Mudah2an Kahar mendapat hukuman setimpal dengan kesalahannya memesongkan akidah umat. Takbir! Allahuakbar!

* Atas tu, gambar Kahar..

"Menegakkan yang hak, membanteras yang salah"

Nurhani

Seksyen 5

Shah Alam


Selasa, 15 September 2009

Diari - Akademi Ramadhan 2009

Salam semua,

Nampaknya Ramadhan ini memanglah bulan yang penuh dengan rezeki dan keberkatan, kerana dengan rahmatNya, Allah sentiasa mengurniakan tugasan yang tak habis-habis untuk saya dan kakitangan di Bahagian Undang-Undang. Memang seronok membuat tugasan di bulan Ramadhan ini, kerana sedar tak sedar, dah nak berbuka.

Setiap minggu di sepanjang bulan Ramadhan ini, saya akan pulang ke kampung halaman, kerana nak berbuka bersama keluarga. Ramadhan kali ini, memang tak pernah berbuka seorang diri. Selalunya saya akan berbuka di rumah kakak di Seksyen 19 Shah Alam. Kalau tidak pun, bersama anak-anak yatim atau rakan-rakan sepejabat. Alhamdulillah. Terasa seronok betul Ramadhan kali ni. Tak sangka dah tinggal 5 hari aje lagi nak berpuasa. Terasa cepat sangat masa berlalu.

Ramadhan kali ini juga buat pertama kalinya dalam sejarah hidup (sejak diwajibkan berpuasa ke atas saya), pagi tadi, 15hb September 2009, saya tak bangun sahur. Sebab memang tak sedar langsung alarm handphone saya berbunyi. Kemungkinan terlalu letih kerana semalam saya bertolak pulang dari kampung pada jam 6.22 pagi, kemudian terus bergelumang dengan tugasan di pejabat dan melayani pelanggan yang datang. Tambahan pula, para boss saya meminta satu tugasan dihantar pada hari ini untuk diserahkan kepada Setiausaha Sulit DYM Sultan Selangor untuk mendapatkan perkenan Tuanku. Jam 3.45 petang baru siap dua tugasan, baki dua lagi tugasan, saya menghubungi boss saya untuk menghantar melalui email. Alhamdulillah, permintaan saya disambut baik dan jam 5.45 petang, saya selesai dengan tugasan ketiga dan keempat.

Selepas solat Asar, saya bergegas ke Sunway Damansara untuk memenuhi jemputan berbuka puasa yang dianjurkan oleh sebuah syarikat. Beberapa orang kakitangan MAIS turut hadir. Selepas berbuka, saya bergegas ke Rumah HIV di Petaling Jaya untuk solat Isyak dan terawih. Sempat la jugak join, walaupun agak lewat sampainya.

Balik ke rumah, lebih kurang jam 10.45 malam, saya bersembang dengan house mate saya, Nora, yang baru kematian ayah. Sepanjang malam mendengar cerita beliau mengenai ayahnya, pengalamannya menjaga ayahnya sepanjang ayahnya sakit, menyebabkan airmata saya berlinang. Jauh di sudut hati, walaupun masih banyak lagi kekurangan, saya rasa bersyukur kerana masih mempunyai ayah dan hati saya rasa bertambah kasih dan sayang pada ayah saya. Saya rasa lebih kurang jam 12.30 malam baru saya melelapkan mata.

Saat-saat terakhir menjelang Syawal ini, rasa sedih nak lepaskan Ramadhan. Banyak yang saya lalui Ramadhan ini. Ujian tugasan, kepimpinan, perasaan, persahabatan, kepercayaan, semuanya bercampur-aduk, semuanya diuji dalam Akademi Ramadhan ini. Apapun, alhamdulillah, saya redha, dan berpandangan, semua ujian itu perlu saya lalui sebagai persediaan untuk menghadapi
ujian sebenar.

Mudah-mudahan saya lulus dalam Akademi Ramadhan ini. Sekurang-kurangnya saya jadi manusia lebih baik. Amin..


"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Seksyen 5

Shah Alam

Khamis, 10 September 2009

Diari - Pergi Tak Kembali

Salam semua,

Lebih kurang jam 7 pagi 7 September 2009 yang lalu, telefon saya menerima mesej daripada rakan serumah yang menyewa bersama di Shah Alam. Mesejnya pendek, tetapi mengejutkan saya.

"Kak, ayah saya dah tak ada,"

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.." ucap saya di dalam hati.

Terus saya teringat kepada ayah beliau yang memang sakit dan memang berulang alik ke hospital. Semasa ayah beliau ditempatkan di wad HUKM, saya sempat melawat ayah beliau. Kebetulan saya di kampung, dan jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tg Karang (lebih kurang 15 minit dari rumah saya) saya memutuskan untuk menziarahi beliau. Saya mengajak emak dan ayah untuk pergi bersama. Sesampainya kami, van telah bersedia untuk menghantar jenazah ke kubur. Kedengaran imam mengimami solat jenazah. Disebabkan terlalu ramai orang dan keadaan agak sesak, saya tak sempat berjumpa dengan housemate saya. Tambahan pula, sejurus selepas solat jenazah dan doa selesai, beliau terus mengikut rombongan menghantar jenazah ayahnya ke kubur. Saya sedekahkan fatihah semampunya dan mengaminkan doa bersama tetamu yang hadir.

Dalam perjalanan pulang, saya menerima satu lagi sms dari seorang sahabat yang berbunyi,

"Al-Fatihah. Jenazah arwah Esranizam akan di bawa balik ke rumah ayahnya di No.165, Lorong 3, Taman Intan Mutiara, Jalan Kg Banjar, Teluk Intan, Perak. Kebumi insyaallah selepas Asar."

"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.." ucap saya. Terus saya menyedekahkan fatihah untuk allahyarham. Allahyarham Esranizam adalah rakan sekuliah saya semasa menuntut di UIAM dalam jurusan sarjana muda undang-undang. Tersentak saya menerima berita kematian beliau. Tambahan pula di usia yang masih muda beliau telah pergi meninggalkan dunia ini.

Teringat saya lagu Allahyarham Ustaz Asri Rabbani, PERGI TAK KEMBALI, yang mana pada tanggal 13 Ogos 2009,penyanyi lagu ini, Ustaz Asri turut pergi tak kembali. Selepas menerima berita kematiannya, sempat juga saya menziarahi jenazah beliau dan keluarganya di Bukit Lanchong. Rasa terkilan kerana sepatutnya program Malam Amal Waqaf MAIS pada tahun ini, kami mengundang Rabbani, tetapi bertukar artis di saat-saat akhir. Disebabkan disiplin dan komitmen Rabbani, pada dua tahun sebelum ini, memang kami mengundang Rabbani. Kebetulan saya diminta menguruskan persembahan pentas, jadi, secara tak langsung saya lebih mengenali ahli kumpulan ini daripada artis nasyid lain. Sebelum itu juga, saya ada meminta jasa baik Ustaz Asri untuk mendapatkan lagu untuk kumpulan nasyid saya semasa festival nasyid Selangor tahun 2005. Kehilangan beliau memang amat dirasai oleh peminat genre nasyid macam saya.

Apapun, itu bukan mesej utama saya. Saya suka mengingatkan diri saya dan teman-teman, untuk mempersiapkan diri sebelum kita 'pergi' yang tidak akan kembali. Dalam sebuah hadith ada dinyatakan, ada 3 perkara yang akan dibawa semasa kita'pergi' iaitu 1) ilmu yang bermanfaat 2) sedekah jariah yang berkekalan dan 3)anak soleh yang mendoakan. Mudah-mudahan kita semua mempersiapkan diri kita untuk meninggalkan dunia ini dengan bekalan yang cukup.

Khusus kepada saudari Nora dan keluarga serta sanak saudara, ucapan takziah saya kepada semua. Semoga tabah dengan dugaan dan redhailah pemergian ayahanda tercinta. Cepat atau lambat, masa kita akan tiba juga. Paling penting, kita harus bersedia. Teruslah mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin..

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 19
Shah Alam

Sabtu, 5 September 2009

Diari - "Terima kasih la sebab menyampah kat aku.."


Salam semua,

Sebenarnya terlalu banyak cerita yang hendak ditulis, tetapi idea tak keluar. Agaknya sebab rasa bersalah kepada seorang sahabat baik. Disebabkan satu tindakan yang beliau buat, (yang saya rasa kurang wajar), saya menegurnya, then, terpacul kata-kata ini dari mulut saya,

"Menyampah la dengan kau ni, sebab orang tegur tak nak dengar."

Sahabat saya ini, walaupun kedengaran seperti tidak berpuas hati dengan kenyataan saya, sebaliknya membalas dengan kata-kata berikut,"

"Alhamdulillah. Terima kasih laa sebab menyampah kat aku,"
"Lepas semua benda aku buat nak tolong diorang, dugaan macam2 aku dapat nak tolong diorang, campur ko membebel lagi kat aku, sekarang ni pulak, ko menyampah kat aku Hani, terima kasih lahh," katanya lagi.

"Saya ni jujur orangnya (perasan!). Kalau saya menyampah, saya cakap jerrr terus terang," saya membalas.

"Salah ker?" tanya saya tanpa rasa bersalah.

"Hani, Hani.. Memang la kita diminta berlaku jujur, tapi tidak dalam 3 perkara." katanya.

"Aku nak ingatkan kau, tiga perkara kita tak perlu berlaku jujur.. Pertama, dalam peperangan. Kalau kau askar, takkanlah kalau musuh tanya strategi peperangan, kau nak bagi tau? Kedua, kalau kita benci kat orang, kita tak boleh cakap kat dia, kita benci kat dia.. Ketiga, kalau kita tahu, dengan bercakap benar, akan membawa kemudharatan yang lebih besar. Contohnya, time cuti raya, pencuri tanya, rumah ni ada orang tak, sedangkan kita tahu dia pencuri, takkan nak kata tak ada orang.. Jadi kau fikir-fikirkanlah.." sahabat saya mengingatkan.

"Alamak! Jadi saya ni masuk kategori kedua lah? Ye ke? Apa plak? Bukan apa. Saya tak nak jadi munafik, berpura-pura, jadi saya cakap jer la terus terang.." saya masih tak nak mengalah walaupun dah termalu, sebab terlajak kata.

"Hehehe.. Hani, Hani.. Tak kisahlah.. yang penting, aku dah ingatkan. Terpulang lah kat kau nak terima tak," ulasnya pendek.

Pagi ini, saat saya bangun dari tidur, kata-katanya masih saya ingat. Saat saya menonton Air Force One sampai jam 12.30 tengahari, pesanannya masih segar dalam minda saya. Pesanan pada diri sendiri, lain kali jangan cakap main sedap mulut ajer.. Kena berfikir dulu sebelum mengeluarkan kata-kata. Pada sahabat baik saya, mohon maaf banyak-banyak, dan terima kasih banyak-banyak kerana sentiasa mengingatkan dan meninggalkan pesanan-pesanan yang baik untuk saya fikirkan dan amalkan.

Teringat saya pada kata-katanya satu ketika dulu,

"Sahabat yang baik seperti lebah. Kadangkala dia memberimu madu (pujian) bila kita berbuat baik, dan kadangkala dia memberimu sengat (teguran) jika kita membuat salah."

Memanglah kau sahabat yang baik :) Renung-renungkan :)

"Manusia Mudah Lupa"

Nurhani

Seksyen 19
Shah Alam

Selasa, 1 September 2009

Diari - Malam 12 Ramadhan

Salam semua,

Malam ini adalah malam ke-12 Ramadhan. Sekejap sangat rasanya dah 12 hari umat Islam berpuasa. Malam ke 12 Ramadhan tahun ini, saat orang lain bertarawikh, saya dan tiga orang kakitangan saya masih di pejabat menyiapkan folder untuk Muzakarah Undang-Undang MAIS yang akan diadakan pada 3 September ini.

Sepanjang pagi tadi saya bermesyuarat dengan beberapa ahli Majlis membincangkan mengenai cadangan untuk mengadakan garis panduan untuk mengawal kenyataan berhubung agama Islam dikeluarkan oleh orang yang tidak diberi kuasa. Ini untuk mengelakkan sesuatu kenyataan berhubung agama disensasikan dan dipolitikkan oleh parti-parti tertentu, yang menyebabkan rakyat keliru, kerana kenyataan yang berbeza-beza. Pada sebelah petangnya, saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Undang-Undang yang terakhir sebelum program tersebut pada 3 September ini di Grand Blue Wave Hotel.

Saat saya masuk ke pejabat semula, saya baru terperasan seorang kerani telah pun bertukar ke Bahagian lain. "Bila Zura tukar ke bahagian tu Midah?" tanya saya pada Hamidah, Penolong Pegawai Syariah saya. "Dah seminggu dah kak, tak perasan ker.." kata Hamidah. "Mak ai! Dah seminggu rupanya.. Hmmm.. tak perasan la.." kata saya. Rupa-rupanya kerana terlalu fokus dengan kerja menyebabkan saya terlupa untuk mengamati persekitaran tempat kerja saya. Seperti juga pada pagi tadi, seorang pegawai di bahagian lain menghubungi dan bertanya pada saya," Cik Hani, bila kita cuti raya?"soalnya ramah. Saya pada waktu itu, kerana terlalu sibuk menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat pagi tadi, menjawab," Maaf lah yer.. saya tak sempat nak fikir bila cuti raya. Pagi ni saya ada meeting urgent. Minta tanya orang lain lah yer," kata saya. Telefon pula tak berhenti-henti berdering kerana ramai peserta yang menghubungi pejabat kami untuk pengesahan kehadiran. "Aduss!! Boleh pecah kepala macam ni".. kata hati saya.

Mesyuarat pagi tadi menghasilkan satu resolusi supaya satu garis panduan diwujudkan yang akhirnya dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Undang-Undang untuk menyiapkannya pada hujung minggu ini. "Betul-betul murah rezeki bulan Ramadhan ni," kata saya. Walaupun dah mengantuk, mudah-mudahan Allah beri saya dan sahabat-sahabat saya kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 7