Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 1 September 2009

Diari - Malam 12 Ramadhan

Salam semua,

Malam ini adalah malam ke-12 Ramadhan. Sekejap sangat rasanya dah 12 hari umat Islam berpuasa. Malam ke 12 Ramadhan tahun ini, saat orang lain bertarawikh, saya dan tiga orang kakitangan saya masih di pejabat menyiapkan folder untuk Muzakarah Undang-Undang MAIS yang akan diadakan pada 3 September ini.

Sepanjang pagi tadi saya bermesyuarat dengan beberapa ahli Majlis membincangkan mengenai cadangan untuk mengadakan garis panduan untuk mengawal kenyataan berhubung agama Islam dikeluarkan oleh orang yang tidak diberi kuasa. Ini untuk mengelakkan sesuatu kenyataan berhubung agama disensasikan dan dipolitikkan oleh parti-parti tertentu, yang menyebabkan rakyat keliru, kerana kenyataan yang berbeza-beza. Pada sebelah petangnya, saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Undang-Undang yang terakhir sebelum program tersebut pada 3 September ini di Grand Blue Wave Hotel.

Saat saya masuk ke pejabat semula, saya baru terperasan seorang kerani telah pun bertukar ke Bahagian lain. "Bila Zura tukar ke bahagian tu Midah?" tanya saya pada Hamidah, Penolong Pegawai Syariah saya. "Dah seminggu dah kak, tak perasan ker.." kata Hamidah. "Mak ai! Dah seminggu rupanya.. Hmmm.. tak perasan la.." kata saya. Rupa-rupanya kerana terlalu fokus dengan kerja menyebabkan saya terlupa untuk mengamati persekitaran tempat kerja saya. Seperti juga pada pagi tadi, seorang pegawai di bahagian lain menghubungi dan bertanya pada saya," Cik Hani, bila kita cuti raya?"soalnya ramah. Saya pada waktu itu, kerana terlalu sibuk menyiapkan kertas kerja untuk dibentangkan dalam mesyuarat pagi tadi, menjawab," Maaf lah yer.. saya tak sempat nak fikir bila cuti raya. Pagi ni saya ada meeting urgent. Minta tanya orang lain lah yer," kata saya. Telefon pula tak berhenti-henti berdering kerana ramai peserta yang menghubungi pejabat kami untuk pengesahan kehadiran. "Aduss!! Boleh pecah kepala macam ni".. kata hati saya.

Mesyuarat pagi tadi menghasilkan satu resolusi supaya satu garis panduan diwujudkan yang akhirnya dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Undang-Undang untuk menyiapkannya pada hujung minggu ini. "Betul-betul murah rezeki bulan Ramadhan ni," kata saya. Walaupun dah mengantuk, mudah-mudahan Allah beri saya dan sahabat-sahabat saya kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 7

1 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.
Semoga apa yang dilakukan itu sama besar pahalanya dengan solat terawih atau lebih lagi kerana menjaga kesucian Islam itu adalah wajib sedangkan solat terawih itu Nabi sendiri tidak setiap malam ke masjid kerana ingin menyampaikan mesej bahawa solat terawih itu hanya sunat.
Kelihatan begitu bersungguh-sungguh orang Islam mengerjakan solat terawih mungkin kerana ianya datang hanya setahun sekali.
Sebenarnya zaman ini tiada siapapun yang tidak terlibat dengan politik. cuma diharapkan penggubalan garis panduan tersebut hendaknya dibuat dengan penuh teliti supaya ianya benar-benar dapat menjaga kepentingan Islam dan bukan bertujuan mengunci mulut sesuatu pihak yang ingin menegakkan dan melonjakkan lagi penghayatan Islam.Kenyataan ulamak biasanya berasas, jika berlaku keliru perlulah dibawa berbincang oleh mereka yang ahli bukan hanya terhenti sekadar perbincangan diakhbar sahaja yang mana perbincangan itu pula dipulopuri oleh mereka yang bukan bidangnya .
Semoga garis panduan itu mampu mengawal mulut mereka yang jahil dan masih memberi ruang kepada ulamak untuk berkata sesuatu yang bermanfaat walaupun mereka tiada mandat dari segi kuasa tetapi memiliki kuasa ilmu.
Pak Ngah doakan semoga Hani dan rakan-rakan berjaya menggubal garis panduan tersebut dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat seluruhnya.