Salam semua,
Lebih kurang jam 7 pagi 7 September 2009 yang lalu, telefon saya menerima mesej daripada rakan serumah yang menyewa bersama di Shah Alam. Mesejnya pendek, tetapi mengejutkan saya.
"Kak, ayah saya dah tak ada,"
"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.." ucap saya di dalam hati.
Terus saya teringat kepada ayah beliau yang memang sakit dan memang berulang alik ke hospital. Semasa ayah beliau ditempatkan di wad HUKM, saya sempat melawat ayah beliau. Kebetulan saya di kampung, dan jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tg Karang (lebih kurang 15 minit dari rumah saya) saya memutuskan untuk menziarahi beliau. Saya mengajak emak dan ayah untuk pergi bersama. Sesampainya kami, van telah bersedia untuk menghantar jenazah ke kubur. Kedengaran imam mengimami solat jenazah. Disebabkan terlalu ramai orang dan keadaan agak sesak, saya tak sempat berjumpa dengan housemate saya. Tambahan pula, sejurus selepas solat jenazah dan doa selesai, beliau terus mengikut rombongan menghantar jenazah ayahnya ke kubur. Saya sedekahkan fatihah semampunya dan mengaminkan doa bersama tetamu yang hadir.
Dalam perjalanan pulang, saya menerima satu lagi sms dari seorang sahabat yang berbunyi,
"Al-Fatihah. Jenazah arwah Esranizam akan di bawa balik ke rumah ayahnya di No.165, Lorong 3, Taman Intan Mutiara, Jalan Kg Banjar, Teluk Intan, Perak. Kebumi insyaallah selepas Asar."
"Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.." ucap saya. Terus saya menyedekahkan fatihah untuk allahyarham. Allahyarham Esranizam adalah rakan sekuliah saya semasa menuntut di UIAM dalam jurusan sarjana muda undang-undang. Tersentak saya menerima berita kematian beliau. Tambahan pula di usia yang masih muda beliau telah pergi meninggalkan dunia ini.
Teringat saya lagu Allahyarham Ustaz Asri Rabbani, PERGI TAK KEMBALI, yang mana pada tanggal 13 Ogos 2009,penyanyi lagu ini, Ustaz Asri turut pergi tak kembali. Selepas menerima berita kematiannya, sempat juga saya menziarahi jenazah beliau dan keluarganya di Bukit Lanchong. Rasa terkilan kerana sepatutnya program Malam Amal Waqaf MAIS pada tahun ini, kami mengundang Rabbani, tetapi bertukar artis di saat-saat akhir. Disebabkan disiplin dan komitmen Rabbani, pada dua tahun sebelum ini, memang kami mengundang Rabbani. Kebetulan saya diminta menguruskan persembahan pentas, jadi, secara tak langsung saya lebih mengenali ahli kumpulan ini daripada artis nasyid lain. Sebelum itu juga, saya ada meminta jasa baik Ustaz Asri untuk mendapatkan lagu untuk kumpulan nasyid saya semasa festival nasyid Selangor tahun 2005. Kehilangan beliau memang amat dirasai oleh peminat genre nasyid macam saya.
Apapun, itu bukan mesej utama saya. Saya suka mengingatkan diri saya dan teman-teman, untuk mempersiapkan diri sebelum kita 'pergi' yang tidak akan kembali. Dalam sebuah hadith ada dinyatakan, ada 3 perkara yang akan dibawa semasa kita'pergi' iaitu 1) ilmu yang bermanfaat 2) sedekah jariah yang berkekalan dan 3)anak soleh yang mendoakan. Mudah-mudahan kita semua mempersiapkan diri kita untuk meninggalkan dunia ini dengan bekalan yang cukup.
Khusus kepada saudari Nora dan keluarga serta sanak saudara, ucapan takziah saya kepada semua. Semoga tabah dengan dugaan dan redhailah pemergian ayahanda tercinta. Cepat atau lambat, masa kita akan tiba juga. Paling penting, kita harus bersedia. Teruslah mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin..
"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani
Seksyen 19
Shah Alam
3 ulasan:
(Ucapan takziah dari saya)dan Al- Fatihah untuk arwah :Itu semuanya adalah janji Allah, semoga rohnya ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang diredhaai oleh Allah SWT. Amin.
Salam Hani.
Selamat Berpuasa dan sihat walafiat.
Diucapkan takziah kpd semua yang terlibat. Semoga Allah meletakkan mereka bersama-sama orang yang solih.
Benar kata Hani kita yang sedang menunggu ini sementara sampai ke meja penentuan kenalah persiapkan diri mencukupkan bekalan untuk ke sana sebagai tempat persinggahan yang ketiga.
Nampaknya masa berjalan sangat pentas tanpa disedari puasa kita hari ini telahpun masuk ke zon akhir iaitu zon terlepas daripada siksaan api neraka. Puasa yang berbaki belum tunai hanya tinggal 9/10 hari sahaja lagi.
Zon Rahmah dan Maghfirah telahpun berlalu diharap kita mendapat kedua-duanya, mendapatkan keduanya mendorong kita sekali gus mendapat kesemuannya.amin.
Kalau masa berjalan sangat pentas bermakna ianya berada di atas...hahaha, tersilap ejaan tu...yang betulnya masa berjalan sangat pantas. agaknya Pak Ngah makan sahur terlalu banyak kot.he3
Catat Ulasan