Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Jumaat, 31 Julai 2009

Renung Sejenak - Teman Sejati

Salam semua,

Lagu 'Teman Sejati' nyanyian kumpulan nasyeed Brothers asyik terngiang-ngiang dalam minda saya.Walau terlalu banyak yang terpendam dan ingin diluahkan, ini saja yang mampu untuk saya curahkan pada ketika ini. Kata-kata dari Imam Shafie yang agung, ingin saya kongsikan dengan semua yang bergelar sahabat, sama ada yang dekat dan yang jauh, lebih-lebih lagi sudi menerima saya sebagai sahabat atau temannya..

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Persahabatan turut ditakdirkan begitu. Bertemu, Berkenalan, Berpisah. Perjalanan masih panjang, perjuangan masih belum selesai. Yang menjadi Adat, yang patah tumbuh yang hilang berganti. Mudah-mudahan mendapat ganti teman yang lebih baik. Mudah-mudahan digantikan Allah sahabat yang lebih unggul. Kita hanya manusia, Allah jua yang berhak menentukan yang terbaik bagi kita. Tidak salah berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. Wallahua'lam.

Nurhani

Seksyen 3
Shah Alam

Khamis, 30 Julai 2009

Diari - Hargailah ketika mereka ada..

Salam semua,

Sepanjang hari ini, rasa kepala sekejap2 pening dan imbalance. Saat saya menaip entri ini pun, semacam jer rasa. Tapi boleh tahan lagi. Cuma mata memang rasa nak terpejam. Maybe sebab letih sangat. Tapi, letih-letih pun, malam tadi sempat juga dengar kuliah Israk Mikraj di Masjid Meru sampai jam 10.00 malam, tapi tertidur jugak. Sampai di rumah, terus on laptop untuk buat kertas kerja untuk dibentangkan pagi tadi. Ngantuk punya pasal, jam 1 tido, jam 5 pagi dah bangun untuk sambung. Nak mengekalkan stamina, terpaksalah meneguk kopi, untuk tahan mengantuk. Agaknya sebab banyak sangat minum kopi, kepala pun pening, tambah tak cukup tido.. Mujur masa present paper tak weng weng.

Empat orang staff tak ada hari ni, dua orang MC, dua orang lagi join bengkel membuat peraturan sekolah Islam di Kampung Jawa, menambahkan ke'pening'an. Cari fail pun boleh tak jumpa, walhal semua dah ditagging. Tinggallah kerani 3 orang, masing-masing dengan tugas masing-masing. Semalam, disebabkan arahan untuk membentang paper hanya dimaklumkan pada mesyuarat sebelah petang, saya terpaksa mencari fail sendiri, dan akhirnya tensen sendiri sebab tak jumpa. Hanya selepas menelefon kerani terbabit, usaha mencari menemukan hasil. Satu fail dah ditutup, satu lagi diserahkan kepada pegawai lain.

Apapun, mungkin Allah nak tunjuk dan meminta saya berfikir, walaupun kadang2 kita rasa sesuatu benda atau perkara itu sebagai kecil sahaja, ataupun kita boleh mendapatnya pada bila-bila masa, namun bila tak ada, barulah kita sedar betapa kita memerlukannya dan betapa banyak manfaatnya pada kita.Contohnya, seorang pencari fail, mungkin dianggap kecil tugasannya kerana hanya salah satu cabang perkeranian sahaja, tapi kalau dah beribu2 fail yang ada, untuk disusun atur, tugas itu menjadi begitu penting. Contoh lain, kerani pentadbiran, mungkin pekerjaan itu tidak begitu memerlukan mereka memerah daya berfikir dan mencambah idea, tetapi bila mereka tak ada memang patah sayap juga pegawai atasan, sebab tidak biasa melakukan tugasan perkeranian.

Bagi saya, peranan pegawai di bahagian sokongan (penolong pegawai/pembantu tadbir) ini amatlah penting, khususnya dari sudut pengurusan masa. Banyak masa pegawai yang dapat dijimatkan apabila perkara-perkara seperti mencari fail, membuat minit, menelefon, mengesahkan kehadiran, membuat draf surat dll dibuat oleh pegawai di kumpulan sokongan. Bagi golongan pegawai, mereka tidak boleh goyang kaki sahaja. Tanggungjawab mereka lebih besar, kerana mereka memerah otak dan berfikir, menghadiri mesyuarat, membuat kajian, membentang kertas kerja, mendapatkan keputusan serta perlu menyemak kerja-kerja pegawai bawahan yang dibuat selaras dengan polisi majikan, dan lain-lain arahan yang diarahkan oleh pengurusan atasan. Justeru, saya tidak pernah berfikir bahawa peranan mereka itu kecil. Tambahan pula, apabila di dalam satu hadis menyatakan bahawa setiap ketua adalah bertanggungjawab terhadap orang bawahannya. Jika pegawai bawahan saya melakukan kesilapan, sudah tentu saya juga yang akan disoal, kerana tidak memantau gerak kerja pegawai bawahan.

Bermula 1 Ogos 2009, Bahagian kami akan kehilangan seorang kakitangan yang cemerlang. Bagi pihak Bahagian Undang-Undang MAIS, jutaan penghargaan kepada beliau kerana sudi berkongsi dan mencipta kejayaan bersama kami untuk MAIS dan umat Islam di Selangor. Sudah tentu pemergiaannya sangat dirasai, kerana banyak kenangan pahit manis yang kami lalui bersama, khususnya menentang golongan yang menghina dan merendah-rendahkan Islam. Semoga hijrahnya kelak akan lebih memajukan beliau dan MAIS. Semoga hijrahnya diredhai ALlah.

'Mengharap Redha Ilahi'

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Isnin, 27 Julai 2009

Diari - Mimpi..

Salam semua,

Setelah dua hari di Institut Latihan Dakwah Selangor, pada malam hari kedua, saya bertolak pulang ke kampung. Sahabat saya menghantar saya sampai ke pekan Tanjung Karang. Saya menghubungi emak untuk meminta sesiapa di rumah mengambil saya di sana. Abang sulung saya bermurah hati untuk mengambil saya di Tanjung Karang. Perjalanan ke rumah saya mengambil masa lebih kurang 20 minit dari pekan Tanjung Karang. Jam 11 malam kami tiba di rumah. Disebabkan sudah lewat malam, saya tidak berkesempatan untuk bersembang-sembang dengan emak atau ayah.

Pagi Ahad, saya menghantar adik saya ke pekan Ijok, Kuala Selangor. Beliau yang belajar di UTM pulang sekejap menumpang sahabatnya yang turut belajar di universiti yang sama. Lebih kurang jam 11 pagi, kami sampai di stesen Petronas Ijok. Tak lama kemudian, sahabat adik saya sampai.

Semasa perjalanan pulang ke rumah, emak menceritakan bahawa beliau bermimpi mengenai saya. "Macam mana mak boleh mimpi pasal orang (saya) ni?" tanya saya sambil tergelak2. "Orang (saya) pun tak mimpi, mak pulak yang mimpi,"tambah saya. Kata emak," Entah. Aku pun tak tau. Cuma yang aku ingat, ada orang bagi ko anak. Anak lelaki. Cantik budaknya. Putih, panjang, lawa. Dalam mimpi tu, aku boleh teringat ko belum kawin, sampai aku cakap," Elok juga ada orang bagi ko anak ni, An. Boleh jaga ko nanti."sambungnya lagi. "Hiiii... ," saya masih tergelak-gelak lagi. Emak menyambung," Aku terbangun pastu aku cerita kat abah, "Bah, Bah. Apa la An tu nak dapat. Rezeki apa agaknya yer.. Aku kok (bahasa Jawa) mimpi dia dibagi anak," kata emak."Aku kata, kalau dapat rezeki yer, Alhamdulillah..,"katanya lagi. "Hmm. Emak. Kalau anak tu maksudnya rezeki ke?"tanya saya. "Lah. Anak kan bawak rezeki, maknanya rezeki lah," jawab emak. "Takdelah. kalau orang (saya), anak tu mungkin jugak maknanya tanggungjawab," kata saya. "selalunya anak kan rezeki," emak tak nak mengalah. "Ye lah, kalau betul yer, alhamdulillah," jawab saya. "Kalau tak pun, agaknya memang nak dapat anak la kot, maknanya ayahnya hensem la! Heheh," gurau saya.

Tadi sebelum pulang, saya menceritakan mimpi emak kepada kakak ipar saya. "Eh! Kak Jun pun pernah la mimpi dibagi anak, tapi Kak Jun tak larat jaga. Lagipun kakak kak Jun kan belum ada anak, jadi Kak Jun pun bagila dia,"kata kakak ipar saya. "Itu maknanya, nak dapat rezeki, tapi ko bagi orang," tetiba je mak menyampuk. "Tapi orang (saya) mimpi dua kali mimpi yang sama," kata kakak ipar saya. "Yerlah, tak kisah la berapa kali pun, tapi seolah2 nya macam tu la. Ko dapat rezeki, tapi dibagi orang lain," emak menyambung.

Apapun, saya pun bukan pentafsir mimpi, jauh sekali ada sixth sense (deria keenam). Kalau benarlah saya ditakdirkan untuk beroleh rezeki yang besar dan indah, saya terima, kalau Allah berpandangan itu yang terbaik bagi saya. Kalau tak ada pun saya terima, kalau Allah merasakan itu yang terbaik untuk saya. Sapa2 yang pernah bermimpi/ boleh mentafsir mimpi emak saya, bolehlah kongsikan di sini.

"Mengharap redha ilahi"

Nurhani
Seksyen 3
Shah Alam
1am

Jumaat, 24 Julai 2009

Diari - Ntah hapa-hapa

Salam,

Seminggu ini sememangnya penuh dengan penyelesaian isu-isu perundangan di MAIS. Semalam seharian di Port Dickson memenuhi undangan Bahagian Kewangan MAIS untuk menyemak semula Tatacara Kewangan MAIS dan Amalan perbendaharaan yang digunapakai. Banyak yang perlu dipinda dan diperbaiki, untuk memudahkan gerakkerja MAIS. Hari ini seharian di pejabat menyiapkan tugasan harian. Bermula malam ini hingga esok malam, saya dijemput untuk membeikan taklimat dan penerangan kepada Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Masjid yang baru dilantik Jun tahun ini hingga Mei 2011 mengenai kaedah-Kaedah Pegawai masjid dan Jawatankuasa Kariah Masjid. Semakin lama bekerja, semakin banyak ilmu yang perlu ditambah, semakin banyak isu yang perlu diselesaikan dan cabaran yang dihadapi. Apapun, mudah-mudahan kita diberi ilmu dan kekuatan untuk meneruskan tanggungjawab yang diberi. Amin.

"Mengharap redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Selasa, 21 Julai 2009

Diari - Israk Mikraj

Bismillahirrahmanirrahim

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya Muhammad pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa di Palestin yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Isra' : Ayat 1

Salam semua,

Hari ini bersamaan 27 Rejab adalah salah satu daripada hari-hari kebesaran Islam, yang wajar diingati dan diraikan, kerana perjalanan Nabi Muhammad SAW, daripada Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin lebih kurang 1400 tahun yang lalu, sememangnya meninggalkan kesan yang begitu besar kepada kita umat akhir zaman. Saya memang menunggu-nunggu tibanya hari ini.

Namun, disebabkan terlalu asyik dengan kerja dan kesibukan dunia, saya terlupa bahawa hari yang saya tunggu2 itu jatuh pada hari ini. Saya cuma teringat bila seorang kakitangan memaklumkan bahawa beliau berpuasa. Mujurlah sahabat saya, Ustaz Amin mengajak ke ceramah Israk Mikraj selepas waktu pejabat di sebuah masjid di Kelana Jaya, dapatlah juga meraikan hari besar umat Islam ini.

Banyak pengisian yang saya perolehi melalui ceramah selama 1 jam yang disampaikan oleh Ustaz Amin sendiri. Ayat 1 Surah Al-Isra' berjaya dikupas dengan baik oleh beliau. Antaranya, surah Al-Isra' ini dimulakan dengan ayat tauhid, iaitu subhanallazi, dan diakhiri juga dengan ayat tauhid, iaitu yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui".

Ustaz Amin turut menyimpulkan, iktibar daripada Israk Mikraj adalah penghayatan rukun-rukun Iman yang enam, iaitu:-
1) Beriman kepada Allah (kerana dalam perjalanan ini Rasulullah SAW bertemu dengan Allah)
2)Beriman kepada Rasul (kerana Nabi Muhammad menemui rasul2 terdahulu semasa diisrakkan)
3) Beriman kepada malaikat (jumpa malaikat tak tahu berapa jumlahnya kerana terlalu ramai)
4) Beriman kepada kitab (jumpa rasul yang menerima kitab2 terdahulu)
5) Beriman kepada Qadha' dan Qadar (kerana beliau ditunjukkan dengan kesan/balasan untuk orang-orang beriman dan ingkar dengan suruhan Allah); dan
6) Beriman dengan Hari Qiamat (kerana Nabi ditunjukkan dengan syurga dan neraka)

Terdapat beberapa kesimpulan lain secara keseluruhan, bagaimanapun, Allah sengaja menjadikan peristiwa Isra' dan Mikraj ini supaya untuk mengukuhkan iman kita kepada Allah kerana mempercayai peristiwa ghaib ini. Banyak lagi kesimpulan yang boleh dibuat, tetapi buku catatan saya tertinggal di dalam kereta. Apapun, saya yakin Ustaz Amin akan menceritakan mengenai Israk dan Mikraj ini dengan lebih lanjut di dalam blog beliau. Semoga kita semua semakin dikukuhkan iman dan Islam kerana Allah.

Mengharap redha Ilahi,

Nurhani
Seksyen 24
Shah Alam.

Sabtu, 18 Julai 2009

Diari - Mengharap Keredhaan Allah

Salam semua,

Kadang-kadang, saya bertanya pada diri sendiri, "Kenapa aku yang perlu buat semua ini?" Soalan ini sering terlintas di benak saya, terutamanya saat-saat saya diberikan tugasan yang mencabar dan melampaui keupayaan diri sendiri. Sepanjang minggu ini, soalan itu kerap muncul, lebih2 lagi bila saya kerap diduga dengan ujian perasaan dan persahabatan. Ada sahabat yang mempertikaikan kapasiti saya untuk membantu kerja-kerja beliau. Sebaliknya, ada juga yang betul-betul memerlukan saya dalam tugasan mereka. Ada juga sahabat yang meminta pertolongan saya sekadar untuk mendengar luahan perasaan mereka. Ada juga yang rasa gembira bila bekerja bersama dengan saya, ada juga yang tidak gembira. Pada saya, itu semua asam garam kehidupan. Kadang-kadang kita diperlukan, kadang-kadang kita tidak diperlukan. Kadang-kadang kita diharap untuk sama-sama membantu, kadang-kadang tiada siapa yang mengharap pada kita. Apapun, pada saya, dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi, saya yakin dan redha, bahawa saya tidak boleh menaruh dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada manusia, untuk menyelesaikan sesuatu atau semua perkara. Saya yakin dan percaya bahawa, kalau niat kita baik dan untuk membantu agamaNya, yang penting adalah kita berusaha sebaik mungkin dan menyerahkan semuanya kepada Allah untuk ditentukan. Hanya Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi kita, kerana kita hanya mampu merancang dan berusaha, tetapi Allah yang layak menentukan hasil usaha kita.

Pada hari Selasa 14/7/2009, saya dimaklumkan bahawa beberapa orang pembeli pangsapuri di Seksyen 16 akan mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan SUK pada hari Rabu kerana kelewatan penyerahan kunci rumah kepada pembeli. Saya menyatakan kepada pegawai yang terlibat supaya bertenang, kerana kita telah usahakan sehabis baik untuk menangani isu tersebut. Malamnya, saya serahkan pada Allah untuk membantu MAIS. Alhamdulillah, saya dikhabarkan, tunjuk perasaan tidak dapat dijalankan pada hari tersebut, kerana dihalang oleh pengawal keselamatan SUK.

Pada hari Rabu 15/7/2009, saya bersama dua orang pegawai MAIS dan Ustaz Amin menemui Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Shah Alam untuk mendapatkan katil terpakai untuk digunakan bagi penempatan baru pesakit HIV Muslim di Rawang. Alhamdulillah, Allah membuka pintu hati Tuan Haji Mohd Johar bin Ismail untuk memberikan katil-katil hospital yang terpakai tetapi masih elok untuk digunakan.

Pada hari Khamis 16/7/2009, saya memanggil satu mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai misi 'menyelamat' saudara semuslim di gereja di Rawang. Mesyuarat tersebut pada awalnya hampir-hampir tidak dapat diadakan kerana kuasa saya memanggil mesyuarat tersebut dipertikaikan. Tetapi semuanya kuasa Allah. Dia yang menggerakkan hati Setiausaha MAIS yang juga Pengarah JAIS untuk meneruskan mesyuarat dan mempengerusikannya walhal mesyuarat tersebut awalnya saya minta dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha MAIS. Alhamdulillah, Allah jua yang menentukan supaya mesyuarat diakhiri dengan keputusan menubuhkan dua penempatan alternatif kepada pesakit2 HIV di sebuah kawasan di Subang dan Kuang, Selangor. Kedua-dua buah penempatan tersebut akan diuruskan oleh dua badan NGO Islam, iaitu Yayasan Al-Ijabah dan Yayasan Budi, dengan pembiayaan di pihak MAIS.

Pada hari Jumaat 17/7/2009, saya dilantik sebagai Ketua Urusetia Persembahan untuk Malam Amal Waqaf 2009 yang diadakan pada malam ini. MB akan turun untuk merasmikan program. Selepas solat Jumaat, saya menghadiri rehearsal bersama syarikat event management yang dilantik untuk membuat gimmick dan menyediakan artis untuk menjayakan program malam ini. Malam ini betul2 membuatkan saya dan sahabat2 MAIS yang lain sedar, bahawa sememangnya kita tidak boleh menyandarkan harapan dan keyakinan atas kepandaian dan kekuatan manusia semata2, kerana sesungguhnya Allah jua Yang Maha Kuasa. Gimmick yang dirancang oleh perunding yang berupa sebuah globe yang terbelah dan mengeluarkan Mesin ATM, sebagai simbol untuk berwakaf melalui ATM, tidak menjadi! Malunya kami, Allah saja yang tahu, sebab MB dah tekan dengan dua-dua tangan beliau, tapi nothing happened!! Sedangkan sepanjang petang kami dah cuba globe tu tiga kali, menjadi semuanya, tetiba time betul2, mesinnya meragam.. ada masalah teknikal katanya. ArrrgggHH!! Tapi memang kami semua malu betul, sebab MB dah poyo dah, memula tekan sebelah tangan, tapi tak jadi apa, tekan dua2 belah tangan, tak jadi jugak!! Sudahnya, malam tu jugak, kami bagi tazkirah percuma pada perunding, sebab tak sediakan alternatif langsung kalau globe tu tak berfungsi. Saya memang mengamuk, sebabnya, bacaan selawat yang dijanjikan tak ada, artis datang lambat, gimmick tak menjadi. Paling tensen bila kami diberitahun oleh salah seorang urusetia yang berjumpa dengan pengerusi MAIS, Dato' Azib ada berkata,"Program malam ni sedihnya"katanya. What a bad remark..

Petang tadi, lebih kurang jam 3 petang, saya menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Tilawah Saudara Baru di Kompleks Yayasan Restu. Sempat saya bersembang dengan Pengarah Program, Ustaz Helmi. "Ustaz tau tak malam tadi gimmick kami tak menjadi?" tanya saya. "Tau, malam tadi time yang sama saya dok tengah menggulung wayar kat sini," katanya. "Oh! Patutlah kami ada masalah wiring kat sana, rupanya sebab ustaz dah ambik wayar tu,"gurau saya. "Kes-kes macam ni, kadang2 puncanya dari hati,"Ustaz Helmi menyambung. "Saya teringat kata Dato' Khusrin (Pengarah JAIS), memang nampak kita dah buat dan usaha, tapi hati kita niat lain. Tu yang Allah nak tunjuk, jangan terlalu berserah dan harap pada manusia" katanya lagi. Terus terang saya setuju 100 peratus dengan kata-kata beliau dan menyesali tindakan malam tadi kerana percaya 100% kepada kebolehan dan keupayaan perunding, tanpa menyerahkan dan bertawakkal kepada Allah. "Astaghfirullah," hati saya berbisik. "Patutlah malam tadi tak menjadi, rupanya kami semua yakin sangat dengan perunding,"kata saya."Lagipun diorang perunding) macam ada riak sikit la, sebab diorang cakap program MAIS ini sap sap soi (lebih kurang 'senang' la maksudnya), coz diorang dah biasa buat program besar-besar,"kata saya. "Patut lah," ulas Ustaz Helmi, pendek. "Ada masalah dengan hati la tu," katanya lagi.

Jauh di sudut hati saya, saya amat-amat terkesan dengan perbualan singkat bersama Ustaz Helmi tadi. Teringat juga pesanan sahabat saya Ustaz Amin yang mengingatkan bahawa kita membantu orang lain kerana Allah, bukan kerana nama, atau kerana harta, atau kerana manusia. Sama juga, apabila kita melaksanakan tugas dan amanah, semuanya dibuat demi mendapat keredhaanNya juga, bukan untuk nama atau kemasyhuran. Sebagai Muslim, wajarlah semua perkara yang kita buat, kita buat dengan bersungguh-sungguh dan terbaik, dan wajiblah kita bertawakkal untuk mendapatkan redhaNya. Selepas itu, apa jua keputusan yang kita dapat, hendaklah kita meredhainya, kerana sesungguhnya kita telah usahakan yang terbaik, dan Allah telah menentukan yang terbaik. Mudah-mudahan apa yang kita semua usahakan diredhai oleh Allah. Amin.

Mengharap Redha Ilahi,

Nurhani
Kg Raja Musa
Kuala Selangor
18 Julai 2009

Isnin, 13 Julai 2009

Diari - What a wonderful world..

Salam semua,

Hari ini memang hari yang ceria untuk saya. Terasa semua urusan dipermudahkan. Bermula jam 8 pagi saya dan sahabat saya Puan Norraini, berjumpa dengan Timbalan Setiausaha, untuk menyerahkan laporan siasatan yang kami usahakan sepanjang 3 hari. Saya turut mengajukan isu pesakit HIV beragama Islam di sebuah gereja di Rawang. Alhamdulillah, penerimaan beliau positif, bahawa MAIS perlu membantu. Kemudian, kami berdua ke Lembaga Zakat Selangor untuk bertemu Ustaz Helmy, pegawai zakat yang ramah dan lemah lembut, yang menyatakan kesudian untuk bersama-sama membantu menyumbang dana zakat dalam operasi mengeluarkan pesakit HIV tersebut. Lebih kurang jam 9.30 pagi, saya mempertemukan Ustaz Amin, orang yang banyak berusaha untuk mengeluarkan pesakit HIV dari gereja tersebut dengan YAD Dato' Pengerusi MAIS. Alhamdulillah, Dato' Pengerusi memaklumkan persetujuannya untuk membantu, dan meminta saya menyediakan kertas kerja ringkas untuk persetujuan beliau.

Kemudian, saya dan Puan Norraini meneruskan perbincangan kami bersama Dato' Pengerusi selama lebih kurang 1 jam bersama YAD Pengerusi. Lebih kurang jam 11.30 pagi, perbincangan selesai. Seorang saksi untuk siasatan kami telah pun menunggu di pejabat. Kami bergegas ke pejabat Norraini bagi menyoal siasat saksi berkenaan selama lebih kurang 1 jam lebih.

Pada sebelah petangnya, kami mengikuti perbincangan bersama LZS sehingga jam 3.30. Selepas itu, kami bergegas menghadiri mesyuarat di SPRM Selangor, sehingga jam 5.30 petang. Balik ke pejabat, walaupun waktu bekerja saya sudah tamat, telefon pejabat saya masih berbunyi. Bila saya angkat, rupanya PA kepada ADUN Kota Anggerik iaitu YB Yaakob Sapari yang ingin berbincang dengan saya mengenai penyerahan kunci projek pembinaan di Seksyen 16 Shah Alam.

Sebelum pulang ke rumah, saya singgah di pejabat Ustaz Amin di seksyen 9 untuk berbincang dengan lebih lanjut mengenai pelaksanaan misi 'menyelamat' pesakit AIDS yang beragama Islam dari gereja di Rawang. Jam 9.15 malam baru saya sampai di rumah. Fuh! Walaupun rasa letih, tapi saya puas hati, kerana rancangan saya hari ini semuanya dapat dilaksanakan. Mudah-mudahan rancangan untuk esok dan akan datang terus dipermudahkan. P Ramlee kata , rasa dunia ini , hai ana yang punya! Really thankful to Allah. What a wonderful world! Alhamdulillah.. :)

Mengharap redha Ilahi,

Hunny
Seksyen 3
Shah Alam

Ahad, 12 Julai 2009

Diari - From Shah Alam with love..

Inilah ceritaku:-

Bab 1- Dari Shah Alam ke Meru


Semalam, aku dan kakak serta dua anak perempuannya pulang ke kampung sekejap, temankan emak yang keseorangan di rumah, sebab ayah ke Ijtimak Tabligh Antarabangsa di KLIA. Saja nak surprise kat emak, tak bagitau pun kami nak balik. Kami bertolak lebih kurang jam 7.00 pm. Kami singgah untuk solat Maghrib di rumah makcik di Meru. Selepas solat, semasa membetul-betulkan tudung di cermin yang betul2 terletak di sebelah dapur, anak saudara ku Najah berkata," Mama, ada bau sedap la. Macam bau tomyam jerr',"katanya selamba. Kakak ku berkata," Hish! Mana ada. Tu bau makanan kat kedai lahhh," sambung beliau sambil menarik tangan anaknya. Kebetulan rumah makcik saya betul2 terletak di belakang kedai makan. Hidung saya segera menangkap bau tomyam. "Ha ah la. Bau tomyam kedai belakang," ulas aku pendek. Tiba2 makcik saya bertanya,"Tak nak makan dulu ker?" kakak dan aku serentak menjawab," Tak payah la cikk!!" Nanti kat rumah jer kami makan,"sambung kakak saya. "Acik ada masak tomyam, dah panaskan pun," ujarnya. "Oh! Tomyam acik ker sebenarnya? Ingatkan kedai belakang. Alamak! Malunya!!,"kata saya sambil tergelak-gelak. Mesti makcik saya kata,"Ayat power budak2 nih!"walaupun kitorang tak ada niat pun. Dek kerana hidung saya dan Najah, akibatnya, kami dijamu tomyam sampai kenyang. Hahaha!!

Bab 2 - Dari Meru ke Kampung

Kemudian kami meneruskan perjalanan. Sampai di rumah lebih kurang jam 9.30. Rumah dah gelap. "Dah tido emak agaknya,"kata kakak. Betul2 emak tak perasan kami balik. Dia boleh buat tak tau jer, sampai la berkali2 kami ketuk pintu, pun dia tak sedar. Akhirnya, kakak ku menghubungi telefon bimbit emak."Emak. Kitorang ada kat luar ni, bukak la pintu,"kata kakak saya. "Betullah emak. Kitorang kat luar ni," kata kakak lagi. "Mesti emak tak caya nih," getus hatiku. Tak lama lepas tu, emak membuka pintu." kenapa balik tak cakap?"tanyanya. "Sajer nak surprise mak, rupanya kitorang yang tersurprise, sebab mak tak bukak pintu," kata ku. Dalam hati kesian kat emak sebab kena bangun buka pintu untuk kitorang.


Bab 3 - Dari atas tikar mengkuang ke bilik air


"Kesian anak aku"kata emak, bila aku ceritakan beban kerja di pejabat. "Cariklah kerja lain,"katanya lagi. "Insyaallah, kalau ada rezeki, mak doakanlah," jawab aku. Nampak wajah emak risau memikirkan kerja-kerja aku yang tak habis-habis. Aku punya kerja, emak pulak yang risau. Itulah emak. Aku terus ke bilik air untuk mandi dan bersedia untuk pulang ke Shah Alam.

Bab 4 - Dari pintu rumah ke kereta

Aku kucup tangan emak. Kemudian aku peluk emak dan aku cium kedua-dua belah pipi emak."Emak. Doakan orang yang baik-baik ye mak," kata saya."Yelah,," jawab emak, pendek. Sebaik saja aku masuk ke kereta, aku teringat pesanan seorang saksi yang aku soal-siasat semalam. Menurut beliau, kalau nak dipermudahkan urusan di dunia, bila balik kampung jumpa emak, minta maaf pada emak dan minta dihalalkan makan, minum dan susu. Sebelum bertolak pulang, sempat aku ucapkan pada emak, "Mak. Orang mintak maaf yer mak, halalkan makan minum, dan susu emak yer. Doakan urusan dan kerja kami dipermudahkan,"kataku. Aku melihat airmata bergenang di mata tua emak. "Aku halalkan,"katanya. Tiba-tiba aku rasa sedih sangat. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan emak. Rasa nak peluk emak dan lap airmata emak. Dalam hatiku berkata,"Emak! Ampunkan dosaku mak!Doakan kejayaan anakmu ini."

Bab 5 - Dari kampung ke Shah Alam

Perjalanan pulang terasa cepat. Anak-anak buah aku turut menikmati kelancaran perjalanan pulang. Siap tunjuk arah kat mama diorang, jalan ke Shah Alam. Tak tidur pun. Alhamdulillah. Kakak menghantar aku sampai ke rumah. Aku terus start enjin kereta menuju ke pejabat. Tak masuk rumah pun. Rasa ada satu semangat berkobar-kobar nak siapkan report. Bilik pejabat yang panas pun aku tak heran. Berpeluh-peluh pun aku tak kisah. Dari jam 10.30 pagi sampai 6.30 petang aku bertahan. Kenapa ye? Tiba-tiba aku teringat emak. Agaknya semuanya kerana doa emak. Mungkin semuanya kerana redha emak. Mungkin kerana kasih sayang emak. Emak! Serasa ada airmata yang gugur, serasa ada rindu yang belum terlerai.

From Shah Alam with Love;

Hani
Shah Alam
12 Julai 2009

Sabtu, 11 Julai 2009

Diari - Mata dah ngantuk, tapi tangan nak menulis..

Salam semua,

Selama seminggu ini, rasanya terlalu banyak perkara yang saya lalui, sepanjang tempoh waktu yang singkat. Selain dari tidak dapat meng'update' blog ini kerana kesibukan bekerja dan keletihan yang keterlaluan bila tiba waktu malam disebabkan perkara-perkara rutin yang dilaksanakan di pejabat dan selepas waktu pejabat. Ni pun dah ngantuk, tapi nak menulis juga untuk mengingatkan pada diri sendiri aktiviti sepanjang minggu.

Bermula Isnin 6/7/2009, saya telah hadir ke Mahkamah Sivil 3 Shah Alam untuk mendengar keputusan perbicaraan permohonan pertikaian mengenai status agama seorang muallaf bernama Mohan Singh (nama Islamnya, Mohd Hazzeri bin Abdullah). Walaupun Mahkamah Syariah telah memutuskan bahawa Mohd Hazzeri adalah seorang Islam, namun waris beliau tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut lalu memfailkan permohonan di Mahkamah Sivil. Pihak MAIS telah membuat bantahan awal atas alasan mahkamah Sivil tidak ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pihak waris. Sejurus selepas keputusan diumumkan, ramai wartawan menunggu di luar Mahkamah untuk mendapatkan kenyataan peguam MAIS. (Kalau tengok berita, ada la muka saya masuk TV, sebab dok mengekor belakang lawyer.. )

Kemudian, saya diarahkan oleh Pengerusi MAIS untuk ke UIA untuk menghadiri perbincangan bersama Dekan Kuliyyah Undang-Undang UIAM, Datin Paduka Prof Dr Zaleha bin Kamaruddin yang juga adalah merupakan seorang ahli MAIS bagi membincangkan engenai isu pindaan terhadap undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), Law Reform Act dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan). Lebih kurang dalam jam 7 malam, baru kami bergerak pulang. Kebetulan malam yang sama, saya dan sanak saudara saya telah merancang untuk mengadakan dua surprise party kepada makcik kami di Taman Sri Andalas., Klang dan pakcik kami di Batu Belah Kelang. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar, walaupun saya orang yang terakhir datang ke majlis. Memang la letih sebab rushing ke sana ke mari, tapi seronok dapat berkumpul walaupun sekejap.

Selasa 7/7/2009, pada sebelah pagi saya dan kakitangan di Bahagian Undang-Undang berusaha untuk menyiapkan paper untuk di bawa oleh Pengerusi, Setiausaha, Mufti dan beberapa ahli MAIS mengadap ke bawah DYMM Sultan Selangor. Dimaklumkan bahawa Tuanku pada dasarnya bersetuju dengan cadangan pindaan sekiranya tidak bertentangan dengan Hukum Syarak dan memberi manfaat dan keadilan kepada rakyat. Pada sebelah petang , saya juga telah diminta untuk membantu menderaf kenyataan akhbar pihak MAIS berhubung isu pindaan undang-undang tersebut. Pada malam hari yang sama, saya dan beberapa sahabat daripada MAIS telah menghadiri perbincangan bersama NGO Islam untuk usaha mengeluarkan beberapa orang Islam yang menghidap penyakit HIV yang ditempatkan di sebuah gereja di Rawang. Jam 11 malam perbincangan selesai. Saya dan beberapa sahabat turut menyambung membincangkan perkara ini sehingga jam 2 pagi...

Rabu 8/7/2009, saya turut serta di dalam perbincangan mengenai satu kajian yang sedang dijalankan oleh MAIS bersama anggota penyelidik dari UIAM dan UITM. Ini disebabkan saya turut dilantik sebagai seorang anggota penyelidik. Pada sebelah petangnya, saya terus ke Jabatan Peguam Negara untuk sesi perbincangan mengenai harta wakaf Kolej Islam Malaya yang disyaki disalahguna oleh pemegang amanahnya. Pukul 6.30 baru sampai pejabat. Dalam masa yang sama, saya turut dihubungi oleh YB Yaakob Sapari untuk mendapat penjelasan berhubung isu projek MAIS di seksyen 16. Ini kerana pemaju yang sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli enggan menyerahkan kunci untuk mengelakkan liabiliti yang mereka sepatutnya tanggung. Oleh kerana itu, pihak MAIS terpaksa dibebankan dengan tanggungjawab untuk menyerahkan kunci kepada pembeli demi kepentingan pembeli. Apapun, pihak MAIS sedang dalam tindakan untuk memfailkan saman terhadap pemaju yang terlibat.

Khamis 9/7/2009, saya dan seorang pegawai lagi dilantik sebagai ahli jawatankuasa penyiasatan satu kes high profile di MAIS. Untuk tujuan itu, saya dan seorang sahabat saya terpaksa menemuduga beberapa saksi yang terlibat dengan kes tersebut. Seramai 4 orang saksi dipanggil .Siasatan berlanjutan sehingga jam 8 malam. Kemudian saya ke Ampang untuk menghantar satu dokumen penting dan urgent kepada peguam MAIS di Dataran Ampang untuk digunakan di dalam satu kes MAIS. Jam 10 malam baru saya sampai di rumah. Alhamdulillah ada pemandu yang menghantar, kami kalau tidak, dah tentu tersengguk-sengguk memandu.

Jumaat10/7/1006 saya dan KAD (Ketua AUdit Dalam) MAIS diminta untuk menyambung siasatan berhubung kes tersebut. Hari ini seramai 5 orang saksi lain dipanggil. Huwargggh!! Sampai mengantuk2 menulis jawapan saksi. Jam 7, kami berdua masih di pejabat untuk menyiapkan laporan, kerana perlu dihantar minggu hadapan. Malam ini ada satu lagi surprise party sepupu saya yang perlu saya hadiri di Pulau Indah Klang. Sebelum ke sana, kami berdua singgah di pejabat Ustaz Amin untuk membincangkan beberapa isu berbangkit dengan pesakit HIV di Rawang. Perbincangan berlangsung sehingga jam 9 malam. Kemudian saya menghantar sahabat saya pulang ke rumahnya di Sijangkang, sebelum singgah ke Pulau Indah. Sampai di rumah jam 12.30 malam.

Huwarghhh!!! Sesungguhnya aku dah ngantuk..

Yang mengharap keredhaan Allah

Hani
Shah Alam

Ahad, 5 Julai 2009

Diari - Yesterday Once More..

Salam,

Yesterday once more? Nope. Hope yesterday would be the only 'black' yesterday in my entire life. How black the black is? Hmm.. Dunno.. Just read my first English poem to express my feeling:-

Our World

Really dunno where to begin
really dunno how to write
Looks simple but hard

Our world is complicated
but it is so real
too many things to ponder
too many responsibilities to perform,
too many obligations to settle,
too hard to respond

Everytime we did
sometimes we did not
every time we give
sometimes we take
but at anytime
never we give up

Sometimes we were praised
everytime we were blamed
sometimes they compliment
everytime they complaint
Sometimes we laughed
Many times we cried

This world taught me a lot
it's not easy to handle the tasks
cause we were judged
at each side
and will be questioned
a lot

Though the seasons keeps changing
sometimes hot sometimes raining
we were told to keep doing
for the sake of Ummah we still trying
be patience and never give up
face the misery and what not
sacrifying our lives for others
giving our times for matters
where other people don't bother
except few who ponder
so that people won't wonder

O' my dear friends should u listen
come join me in our world
cause its hard for me to do it alone
cause its impossible to carry it alone
for the time is still running
but we were still trying
settling conflicts which arising
but still no compromising

O' Allah The Most Merciful
Forgive us for the forgetful
Cause we are human who is playful

O' Allah The Most Merciful
Our world is so beautiful
Makes it good makes its wonderful
For our world is made to all
From the bottom to the top gals
Though sometimes we may fall
Though sometimes we found it dull
Its still our world

O' Allah give me strenght give me guidance
So that we keep on living in our world
Persistence and commitments shall be our words
With laugh and tears we shall sacrifice
For the betterment of our world


From the bottom of my heart:-

Nurhani
Kampung Raja Musa
Kuala Selangor
12 pm 5 Julai 2009

Khamis, 2 Julai 2009

Diari - Micheal Jackson in memory

Salam semua,

Kematian Micheal Jackson yang popular dengan lagu "U are not alone" dan "Beat It" menggemparkan peminat-peminatnya di seluruh dunia dan industri muzik. Banyak spekulasi mengenai tragedi kematiannya ditulis di dada-dada akhbar. Semenjak kematian beliau pada 25 Jun 2009, setiap suratkhabar yang saya baca (selalunya metro dan kosmo) menyiarkan kenangan dan sejarah mengenai artis tersebut. Lagu-lagunya pula sering dimainkan oleh DJ radio. Buletin Utama hari ini menyebut bahawa album penyanyi tersebut menduduki carta teratas album terlaris di pasaran UK dan US sejak kematiannya. Peminat-peminatnya masih meratapi dan menangisi kematiannya.

Tadi, saya ada menerima satu sms dari kawan lama yang berbunyi:-

"Disebabkan memperingati kematian MJ, saya telah mengorbankan nombor telefon saya 016-xxxxxxxx dan menggantikan dengan nombor telefon baru 013-xxxxxxxx, sebagai tanda saya menghargai dan mengingatinya. Apa pula sumbangan Tuan/Puan?Maaf, sebenarnya dah tak ada alasan lebih baik untuk saya menukar nombor telefon, jadi saya menggunakan kematian MJ sebagai alasan terbaik. Enjoy!"

Dalam hati saya berkata,"Macam2 cara orang nak menghargai dan memperingati MJ, walau selepas ketiadaannya". Terfikir saya, alangkah bagusnya kalau semasa saya mati, saya pun akan diingati, tetapi saya ingin mati dan diingati sebagai seorang penulis buku ilmiah dan undang-undang. Seperti Imam Al-Shafie, yang mana buku2 beliau menjadi rujukan utama di dalam bidang fiqh dan usul, Imam al-Ghazali dan lain-lain ulamak Islam yang terkemuka. Saya berdoa moga satu hari impian saya untuk menulis buku akan termakbul, sebagai satu waqaf tenaga dan idea kepada generasi akan datang, dan sebagai bekalan untuk saya di akhirat. Sebagai permulaan, blog saya ini adalah platform mengasah bakat saya. Mudah-mudahan Allah makbulkan. Amin..

Mengharap redha Ilahi,

Hunny
Seksyen 3
Shah Alam
2 Julai 2009