Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Rabu, 7 Oktober 2009

Diari - Takziah kepada YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS

Salam semua,

Pada hari Sabtu minggu lepas, saya berada di Terengganu untuk menghadiri sambutan Hari Audit Semalaysia yang mana pihak MAIS turut menerima anugerah pengiktirafan sebagai penerima 4 bintang bagi indeks akauntabiliti tertinggi bagi tahun 2008 dan merupakan satu-satunya institusi di negeri Selangor yang menerima anugerah tersebut. Dalam kegembiraan kami meraikan pengikitafan tersebut, pada hari Ahad bersamaan 4 November 2009, satu berita sedih diperolehi melalui sms daripada Dato' Pengerusi MAIS kepada Timbalan Setiausaha MAIS yang dipanjangkan kepada kami,'

"Ibunda saya yang dikasihi telah meninggalkan kami pada jam 8 malam tadi. Jenazah akan dikebumikan esok di Kg Melayu Rasa, Selangor pada jam 11 pagi"

"Innalillah. Satu lagi nyawa dicabut, entah bila giliran aku" bisik hati saya. Saya terus menyedekahkah surah fatihah kepada allahyarhamah.

Esoknya, pengumuman dibuat mengenai berita kematian ibu kepada YAD Pengerusi MAIS. Pihak MAIS menyediakan sebuah bas untuk membawa kakitangan untuk turut sama menziarahi ahli keluarga arwah dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah allahyarhamah. Saya dan dua orang lagi kakitangan wanita antara kakitangan wanita MAIS yang terawal sampai. Itupun halaman rumah telah dipenuhi dengan kaum lelaki dan ruang tamu telah pun dipenuhi dengan kaum wanita. Beberapa pegawai utama MAIS, JAIS, LZS dan anak syarikat MAIS telah pun sampai.

"Jenazah sedang dimandikan. Masuklah," sapa Dato' Azib melihat kehadiran saya dan pegawai PRO MAIS. Beliau kelihatan tenang.

Masuk saja ke dalam, tempat pun dah penuh, akhirnya saya duduk betul-betul di hadapan kain kapan yang telah disediakan untuk si mati. Time tu, memang satu perkara aje yang saya fikir, iaitu bagaimana agaknya keadaan semasa saya mati nanti. "Mudah-mudahan dipermudahkan," doa saya dalam hati.

Tidak lama kemudian, jenazah diangkat oleh cucu dan anak-anak si mati, semuanya lelaki. Sejurus selepas jenazah dibaringkan, kaum kerabat yang perempuan terus mengkafankan jenazah. Semuanya berlaku di hadapan mata saya. Subhanallah! Betul-betul Allah nak saya fikirkan saat kematian saya nanti..

Tidak lama kemudian, apabila jenazah siap dikapankan, petugas-petugas yang menguruskan jenazah memanggil waris-waris untuk memberi penghormatan buat kali terakhir kepada di mati sebelum kain kapan di bahagian muka jenazah diikat. Seorang saudara perempuan terdekat si mati hampir pengsan saat beliau memeluk dan mencium wajah si mati. Keadaan agak cemas seketika, namun akhirnya saudara perempuan tadi ditenangkan dan di bawa ke bilik bersebelahan dengan jenazah. Kesedihan jelas terbayang di wajah sanak saudara dan sahabat handai yang mengenali si mati.

Saat melihat YAD Dato Azib membacakan doa untuk jenazah ibundanya, tiba-tiba hati saya diruntun rasa sebak dan serasa takungan air mata saya mahu tumpah. "Sedihnya.. bagaimana nanti kalau emak pergi sebelum saya? bagaimana kalau orang-orang yang saya sayangi meninggalkan saya?Adakah begini keadaannya?" hati saya berbicara sendirian.

Lebih kurang jam 10.45 pagi, jenazah dibawa ke masjid Rasa yang terletak bersebelahan dengan rumah arwah untuk disembahyangkan. Alhamdulillah. Semuanya lancar dan dipermudahkan. Cuaca pun baik, tidak terlalu sejuk, tidak pula panas.

Kepada YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS dan keluarga, takziah diucapkan dan semoga sabar dan redha dengan ketentuan Ilahi. Didoakan semoga roh ibunda beliau dicucuri rahmat dan tergolong di dalam ahli syurga. Kepada diri saya dan sesiapa yang masih hidup, perbanyakkan amalan dan bekalan sebagai persiapan akhirat. Last but not least, menziarahi orang sakit dan yang telah meninggal dunia serta menghantar jenazah ke kubur adalah dituntut di dalam Islam, dan merupakan satu tanggungjawab muslim kepada muslim yang lain. Semoga dengan ziarah sebegini akan memperingatkan kepada sesiapa yang masih hidup ingatan untuk bersiap sedia dengan bekalan amal dan taqwa, sebelum hari itu tiba. Mudah-mudahan kita semua bersedia. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Seksyen 3
Shah Alam


Saya duduk betul-betul di hadapan kain kapan yang dibentang ini.

"Ya Allah. Semoga kau ampunkan dosa ibuku, dan kau tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang kau cinta," Amin.. Mungkin begitu doa Dato' Azib untuk arwah ibunya.

Masjid Rasa, tempat disembahyangkan jenazah ibunda.

Tetamu yang datang menziarahi jenazah untuk memberikan penghormatan terakhir. Mudah-mudahan kehidupan di dunia memberikan kita waktu yang cukup untuk menyimpan bekalan di akhirat. Al-Fatihah kepada arwah ibunda Dato Setia Pengerusi MAIS. Semoga rohnya dicucuri rahmat sentiasa. Al-Fatihah.

Tiada ulasan: