Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Rabu, 7 Oktober 2009

Peguam Menulis - Prosiding Kes Rasul Melayu

Salam semua,

Pagi tadi saya sempat mengikuti prosiding kes pendakwaan terhadap Abdul Kahar yang mengaku sebagai Rasul Melayu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Tertuduh mengaku bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau di bawah seksyen 7, 8, 10, 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Tertuduh diwakili oleh peguam syarienya, Azmy Rais dan Zulkifli Yong, manakala pihak pendakwa syarie diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor sendiri dengan dibantu oleh pegawai pendakwa syarie JAIS. Terdapat juga beberapa peguam syarie yang turut hadir sebagai peguam pemerhati untuk pihak NGO-NGO Islam.

Seronok menyaksikan dan mendengar hujah-hujah yang dikemukakan oleh peguambela dan pendakwa yang disokong oleh fakta dan nas-nas al-quran dan sunnah. Peguambela tertuduh meminta Mahkamah meringankan hukuman kerana OKT adalah pesalah kali pertama, dan telah bertaubat. Menjawab permohonan meringankan hukuman OKT tersebut, Ketua Pendakwa Syarie meminta supaya hukuman yang setimpal dengan kesalahan beliau dikenakan, kerana tindakan Abdul Kahar bukan sahaja menyesatkan dirinya sendiri, tetapi juga orang lain.

Sesekali saya menjeling ke arah tertuduh yang berada di kandang pesalah, yang sentiasa menundukkan kepalanya. Dewan Mahkamah Tinggi Syariah penuh sesak dengan pengikut-pengikut beliau dan sanak saudara beliau serta penjamin-penjamin tertuduh. Dimaklumkan bahawa penjamin tertuduh adalah pensyarah di UITM. Tertanya-tanya saya bagaimana seseorang yang begitu educated boleh terpengaruh dengan ajaran sesat dan menyeleweng yang dibawa oleh Kahar Ahmad.

"Dah tua dah," bisik saya pada rakan di sebelah. "Mudah-mudahan sempat beliau bertaubat dan kembali ke jalan yang benar," getus hati saya. Jauh di sudut hati saya, saya mendoakan semoga Abdul Kahar benar-benar bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Lebih kurang jam 1.15 tengahari, kes ditangguhkan untuk keputusan pada 21hb Oktober 2009. Saya melihat ramai sanak saudara OKT yang hadir dan memberikan sokongan kepada Abdul Kahar, termasuk anak-anaknya.

Apapun, apa yang menarik untuk dikongsikan di sini adalah, walaupun manusia mempunyai akal untuk berfikir, sekiranya tidak digunakan pada jalan yang sepatutnya dan cara yang sepatutnya, kita mudah dipengaruhi dengan unsur-unsur yang kurang baik. Setinggi mana pun ilmu kita, kita masih tidak dapat menyamai ilmu Allah. Allahu Akbar! Allahuakbar!

Mengharap Redha Ilahi

Nurhani
Seksyen 5
Shah ALam


2 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

Kalau tidak kembali kepada kuasa Allah kita akan kehairanan tidak berkesudan, bagaimana begitu ramai mempercayai akan ( kononnya ) rasul Melayu itu.

Seperti kata Hani setinggi mana pun ilmu kita masih tidak dapat menyamai ilmu Allah.

Perkara yang perlu disedari dan diakui ialah kita memerlukan taufik dan hidayah Allah, dua perkara itu, jika disepadukan dengan ilmu maka iman kita insya Allah akan lebih mantap.

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,

Mudah-mudahan kita semua sentiasa beroleh taufiq dan hidayah Allah.. AMinnn...