Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 24 April 2010

Renung Sejenak - Ikhlas itu tertindas?

Salam semua,

Saya sangat tertarik dengan artikel yang saya baca dalam email saya mengenai orang-orang yang merasakan dirinya sangat ikhlas dalam membuat kebaikan dan kebajikan, tetapi seolah-olah tidak diberi ganjaran yang sewajarnya. Saya menerima email ini daripada dalam respekgroup yang saya sertai.

Ceritanya begini...

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.

“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya,

“Kakak punya berapa orang anak?”


Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”

“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”


“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.


“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”


Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”

“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get backGolden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. Allah is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”

“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?.. .....petikan dari Genta Rasa.

"Ikhlaskan hati bentuk peribadi"
Nurhani
Shah Alam

Jumaat, 23 April 2010

The untold stories - Between truth and lies..

MONOLOG

Aku memandu kereta selaju-lajunya menuju ke KLIA. Kata-katanya masih terngiang-ngiang di telinga aku.

“Dia dah hilang. Aku tak tau nak carik mana. Ko kena tolong aku. Kau yang mulakan, kenalah kau selesaikan. Aku blank ni, tak tau nak buat apa,” suaranya penuh kebimbangan. Bimbang sahabatku akan melakukan sesuatu perkara di luar jangka.

Sungguh! Aku tak menyangka perkara sebegini akan terjadi. Petang tadi aku bertemunya, atas permintaannya. Aku berbual mesra dengannya, mendengar kisah hidupnya dan cerita cintanya. Cintanya yang menjadikan dirinya cekal dan tabah mengharungi segalanya bersama kekasih hati. Aku turut berkongsi sedikit cerita cintaku dengannya. Wajah mulusnya ku tatap. Sukar untukku fahami hatinya kala itu, walau ku yakin dan pasti, cintanya masih utuh pada kekasihnya. Terkadang wajahnya tersenyum bahagia, terkadang air matanya menitis, mengenangkan kisah silam, ombak dan badai yang hadir, dalam cintanya. Aku fahami hatinya yang terluka. Saat aku menunaikan solat Zohor, aku terdengar esakan kecilnya semakin kuat. Hati aku tak keruan. Namun aku lega bila akhirnya, wajah itu tampak semakin tenang. Lewat petang itu, sebelum kami pamitan, janjiku padanya, aku tak akan teruskan. Janjinya padaku, insyaallah kami akan bertemu lagi di lain masa, bersama kekasih hatinya.

Namun, panggilan telefon usai solat Maghrib itu benar-benar menyebabkan jantungku tersentap.

Haaaa??? Hilang???

Aku khali sejenak. Ya Allah! Ujian apakah ini? Aku menadah tangan dan solat Maghribku aku akhiri dengan doa, “Ya Allah! Hidayahkanlah aku dan sahabat-sahabatku jalan yang lurus dan Kau redhai...” Aku mencapai kunci kereta dan bergegas ke KLIA. Sempat aku memberitahu teman serumahku, aku perlu membantu sahabatku. Sebelum keluar, sempat aku mengerling jam di dinding yang menunjukkan jam 8 malam. Aku singgah sebentar untuk mengisi minyak dan membeli roti untuk mengalas perut kerana terlalu lapar. Sepanjang hari aku tidak makan kerana menemaninya dan mendengar ceritanya.

Mujur kenderaan di lebuhraya tak banyak. Sepanjang memandu ke sana, aku tak putus-putus membaca surah al-fatihah dan aku sedekahkan kepada sahabatku. Doaku, dia tak melakukan perkara yang di luar dugaan. Ya Allah! Ujian apa yang sedang kau beri pada kami? Hatiku terus sebak mengenangkan pertemuan kami petang tadi.

Suasana di KLIA nampak muram, semuram hati aku. Aku bertemu dengan sahabat yang menghubungiku. Wajahnya sugul dan penuh kebimbangan.

“Cuba cari dia di Surau” katanya lemah. Dia terus melangkah pergi.

Aku betul-betul tak tahu nak mula dari mana. KLIA bukannya kecil. Aku hanya mengharapkan semoga Allah memberiku petunjuk dalam pencarianku. “Ihdinassirotolmustaqim” doaku berulang-ulang dalam hati.

Aku masuk ke lif. Aku memerhatikan butang-butang di dalam lif. Harus ke mana aku? Tingkat berapa? Bagaikan ada sesuatu yang menyebabkan aku menekan butang tingkat 5. DEPARTURES. Aku terus menuju ke surau di Tingkat 5. Pencarianku hampa. Ada beberapa muslimah sedang solat Isyak, tetapi dia yang ku cari tiada. Aku bungkam. Allah! Mana harusku cari, di tempat luas sebegini?

Aku teragak-agak untuk meneruskan pencarian atau solat Isyak dulu. Akhirnya, aku mengambil wudhuk, dan solat Isyak. Kemudian, aku solat hajat dua rakaat memohon supaya Allah mempermudahkan pencarianku. Aku berdoa,

” Ya Allah! Ampunkan aku, ampunkan dia dan ampunkan sahabatku. Beriku petunjukMu, Allah. Bantulah aku. Aku mesti mendapatkannya, untuk kebaikan semua.”

Air mata yang ku tahan sejak petang tadi akhirnya gugur jua.

Aku keluar dan menuju ke pondok polis di Tingkat 5. Aku memaklumkan kepada pegawai polis yang bertugas mengenai sahabatku. Aku meminta pertolongan mereka untuk menjejaki sahabatku itu.

Tempat terakhirnya di Surau Tingkat 3. Dia pakai baju biru dan tudung biru,” aku menjelaskan kepada pegawai polis yang bertugas. Aku lihat pegawai itu terus menelefon seseorang.

“Ini ada kes kehilangan. Boleh check CCTV di Surau Tingkat 3. Perempuan, baju biru, tudung biru,” katanya.

Aku menunggu dengan penuh harapan. “Ya Allah! Harap-harap ada lah”... doaku dalam hati.

Tak lama kemudian, telefon di kaunter berbunyi,

Ya, ok. Terima kasih.” Pegawai polis itu meletakkan gagang dan memaklumkan bahawa sahabat aku tidak dapat dikesan oleh CCTV tingkat 3. Aku mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis tersebut. Kecewa sungguh hatiku bila jawapan itu yang aku dengar. Langsung aku melangkah keluar dari pondok polis tersebut. Aku mencari-cari di sepanjang jalan, kiri dan kanan. Tandas dan tempat-tempat makan. Tapi hampa.

Tiba-tiba, aku ternampak seseorang sepertinya lebih kurang 200 meter di hadapanku. Betul ke dia? Aku mengamatinya dan sah! Memang dia! Allahuakbar! Rasa macam tak percaya. Tapi memang betul dia! Aku cepat-cepat menghubungi sahabatku memberitahu berita gembira tersebut. Sambil itu, aku terus mengekorinya. Dia berjalan keluar menuju ke arah passenger pick up, seperti menunggu seseorang.

“Nisak!” Aku memanggil namanya, saat aku betul-betul hampir dengannya. Dia memusingkan badannya dan memalingkan wajahnya ke arahku. Matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis. Wajahnya penuh kesedihan. Jiwanya nampak kosong. Hatiku bagai disiat-siat. Jiwaku diruntun sayu. Aku memeluknya erat.

“Nisak. Kenapa kau buat macam ni? Kenapa? Tadi kan kau janji nak jumpa aku lagi? Kau nak ke mana ni? Kenapa kau nak pergi? Kau tak ingat ke anak-anak kau? Keluarga kau? Permata hati kau?” Air mata aku mengalir deras. Tak sanggup nak melihat wajahnya. Hatinya benar-benar terluka.

“Biarkan aku pergi. Kau jangan ikut aku. Dia tak sayang aku lagi. Dia tinggalkan aku,” ucapnya dalam sedu-sedan dan esakan.

“Nisak. Dia sayangkan kau. Dia tak pernah tinggalkan kau. Dia risau pasal kau. Dia cari kau tadi. Ingat anak-anak kau Nisak. Mereka perlukan kau,” ucapku tertahan-tahan dengan esak tangisku.

“Sudah.. jangan ikut aku. Aku nak pergi. Aku nak pergi. Lepaskan aku. Lepaskan aku,” katanya tenggelam timbul dengan esak tangisnya.

“Aku tak akan lepaskan Nisak. Tak akan. Kalau aku lepaskan, aku akan menyesal selama-lamanya,” ujarku dalam sedu-sedan sambil memperkemas pelukan dan pegangan tanganku.

Saat dia cuba melepaskan diri daripadaku, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi,

“Kau kat ner?”tanyanya pada seseorang. “Takpe.. Aku ke sana. Kau tunggu” katanya sambil melangkah pergi.

“Kau nak ke mana Nisak?” tanyaku bertalu-talu. Air mataku makin deras.

“Dah la. Lepaskan aku. Jangan ikut aku Ni, aku nak pergi jauh,” katanya teresak-esak.

“Tak boleh Nisak. Tak boleh.. Aku tak boleh lepaskan kau. Tak boleh,” kataku.

Nisak menuju ke lif dan menekan butang 3. ARRIVAL. Aku masih memegang tangannya. Tak mahu lepas. Dia minta dilepaskan, tapi aku tak mahu lepaskan. Sampai di Tingkat 3, tiba-tiba dia merentap kuat tanganku dan berlari, cuba melepaskan diri.

“Nisak!” jeritku. Ya Allah! Dia terlepas! Aku cuba mengejarnya tetapi tak berdaya. Kakiku dah penat mencarinya di sekitar kawasan KLIA. Allah! Bantulah hambaMu ini Allah!! Dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa. BantuanNya tiba juga. Tiba-tiba muncul seorang insan berjubah putih di hadapanku, berlari mendapatkan Nisak. Rupa-rupanya ada seorang sahabatku yang lain yang berada di kawasan tersebut telah ternampak akan Nisak dan menerpa mendapatkannya. Nisak meronta-ronta cuba melepaskan diri. Aku terus memegangnya. Nisak! Hati kecilku menjerit. Kekesalan melanda jiwaku. Andai ku tahu ini akan terjadi, tak mungkin ku ceritakan kebenaran padamu, wahai sahabat. Andai ku tahu ianya melukai hatimu, biar ku kuburkan saja kebenaran itu dalam liang kekecewaanku. Alangkah baiknya andai Allah izin kita kembali ke saat itu.... Tapi mana mungkin...:(

Ya Allah..Sesungguhnya kebenaran itu memang pahit untuk aku dan dia terima.. Memang pahit.. Mungkin sebab itu, ada pihak yang memilih untuk menyembunyikan kebenaran.. Bimbang lebih teruk kesannya.. Bimbang lebih banyak hati yang terluka.. Ya Allah.. Besarnya dugaan ini kau pada kami Ya Allah.. Namun, aku redha atas segala ujianMu Ya Allah. Aku redha..

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Shah Alam

Rabu, 21 April 2010

Diari - Hati Panassss..

Salam semua,

Hari ini saya dikejutkan dengan satu berita yang saya benar-benar sukar nak dipercayai. Seseorang telah berbohong dan memfitnah saya dengan kenyataan-kenyataan palsu yang memang menyebabkan hati saya panas. Saya beristighfar banyak kali.. Saya turut berdoa moga Allah mengampuni saya dan melindungi saya serta menutup keaiban saya.. Ya Allah.. kau ampunilah aku Allah, Kau lindungilah aku, Kau tutuplah aib aku Ya Allah...

Kepada pembuat fitnah tersebut, walau kemungkinan ada salahku padamu, yang aku tak berapa pasti, tapi tolonglah, renung-renungkanlah ayat ini:-

Firman Allah bermaksud: â€Å“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.â€� (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: â€Å“Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.â€� (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (ZINA) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; An-Noor [24:4]

Firman Allah bermaksud: â€Å“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.â€� (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: â€Å“Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: â€Å“Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.â€� (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Aku rasa teraniaya sangat-sangat.. Doa orang yang teraniaya makbul kan? Cuma masih lagi tak sampai hati nak doakan yang kecelakaan pada dia. Apa yang aku doa, semoga Allah memberinya petunjuk dan hidayah untuk bercakap benar... Ya Allah! Tutuplah keaibanku, keluargaku dan sahabat-sahabat yang menyayangiku.. Aminnn...


"Allah Maha Mengetahui"

Nurhani

Shah Alam

Selasa, 20 April 2010

Diari - Taqwa

Dinner malam ini..
Salam semua,

Seawal jam 7.45 saya dah sampai di pejabat. Sudah ada tiga orang kakitangan Bahagian yang dah sampai. Saya masuk dan terus menghidupkan komputer. Sempat saya melihat email-email yang berlambak di dalam Inbox Yahoo saya. Antaranya laporan-laporan dan kertas-kertas kerja dan notification Facebook.

Jam 8.35 pagi, saya bergegas ke lobi untuk ke JAKIM dan Jabatan Peguam Negara. Saya pergi bersama Rasyid. Jam 9.05 kami dah sampai di Blok D7, Parcel D, Putrajaya yang menempatkan blok pentadbiran JAKIM. Saya bertemu dengan Cik Taqwa, di Bahagian Penyelidikan JAKIM. Pertama kali mendengar namanya, saya bertanya sahabat saya, Fadhlina yang mengenalkan saya dengannya;

“Dia lelaki ke perempuan Fadh?”
“Ish! Kau ni.. Perempuan laaa..” kata Fadhlina.
“Nama dia memang Taqwa?” tanya saya lagi, tak percaya.
“Iye laaa.. Orangnya pun bertaqwa,” katanya sambil bergurau.

Pertama kali saya berjumpa dengan Taqwa, memang wajah ayunya penuh dengan keikhlasan. “Subhanallah! Cantiknya..” Puji saya dalam hati.. Dan dia bersungguh-sungguh membantu kami mendapatkan info yang kami perlukan. Alhamdulillah.. Terasa dipermudah urusan saya untuk menyediakan kertas kerja untuk dibawa mengadap Tuanku petang ini. Saya betul-betul bersyukur dipertemukan dengan Taqwa. Semoga dia digolongkan di dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.

Semasa kami sedang berbincang, Dato’ Azib menghubungi saya,

Saya nak mengadap petang ni. Saya nak report dan info tu jam 3 petang ni yer..” katanya, pendek.

“Insyaallah Dato’. Saya cuba,” jawab saya.

Lebih kurang setengah jam saya dan Rasyid berbincang dengan Taqwa. Selesai berbincang, saya menelefon senior saya Noor Huda yang berkhidmat sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara. Saya memaklumkan untuk singgah sebentar di pejabatnya untuk mendapatkan sesalinan naskhah Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang. Lebih kurang setengah jam juga masa yang saya habiskan sementara menunggu naskhah tersebut difotostat. Sambil menunggu, kami berdua berbincang mengenai isu-isu pentadbiran undang-undang Islam termasuk isu pengurusan muallaf, agihan zakat, rundingcara akidah, dll.

Selesai di JPN, kami terus sahaja pulang ke Shah Alam. Saya membahagi-bahagikan kerja dengan Rasyid supaya dapat menyiapkan kertas kerja tersebut pada masanya. Jam 2.30 petang, sewaktu saya dan Rasyid masih struggle menyiapkan paper tersebut, saya dihubungi oleh Aziah, PA Dato’ Azib. Disebabkan saya tengah struggle, Hamidah menjawab panggilan tersebut.

“Cik Hani ada? Dato’ nak jumpa, dengan paper tu,” jelas Aziah.

"Ermmm.. Dia belum siap lagi la.. Tengah struggle ni.. Dia kata bagi masa setengah jam,” Hamidah menjawab bagi pihak saya.

10 minit kemudian, Aziah menghubungi saya lagi,

“Kak. Dato’ tak boleh tunggu. Dia nak ke Concorde. Dia dah pergi,” kata Aziah.

“Haah? Aduhhh!! Penat i struggle tau nak siapkan paper ni. Dah tengah print dah ni.” saya membalas dengan nada tak puas hati.

Hmmm.. ntahla.. Akak tanya la kat Dato’ sendiri.” Cadang Aziah.

Saya menghubungi telefon bimbit Dato’, tapi tidak diangkat.

Hmmm... macam mana ni? Getus hati saya.

Sedang saya tertanya-tanya dan memutuskan untuk menghantar sendiri dokumen tersebut ke istana, Aziah menghubungi saya,

“Kak, Cik Alang (driver Dato’) nanti dia datang ambik jap lagi,” kata-katanya menggembirakan saya.

Saya menjangkakan Cik Alang tentu akan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk menghantar Dato’ ke Concorde dan mengambil dokumen dari saya. Jadi saya menyemak semula kertas cadangan tersebut dan membuat sedikit pindaan. Sewaktu saya ingin memprint dokumen yang baru, Aziah menghubungi saya,

“Kak, Cik Alang dah tunggu..”

“Uh! Cepatnyerr.. kak Hani ada pinda sket, ni tengah print yang baru ni..” jawab saya.

Cik Alang tak boleh lama, nanti Dato’ tunggu.. Dia nak ke istana,” jelas Aziah.

“Tunggu la jap..” pinta saya. “Tengah print ni,” tambah saya.

Dalam masa lebih kurang 1 minit, dokumen saya siap diprint.

“Alamak!! Kenapa tak tersusun pulak ni?” saya menjerit kecil. Rupa-rupanya docs yang diprint sebanyak 3 salinan perlu disusun satu demi satu muka suratnya.

“Argggghhh!!! Tensennyerr!!” luah saya.

Mujurlah ada staf saya yang terpaksa saya kerahkan untuk menyusun segera kertas kerja tersebut. Sorang susun kertas kerja, sorang fotostat lampiran2 sebanyak 3 salinan, saya susun semua salinan dan menstaplekan kepada 3 salinan.

Siappppp!!!

Saya terus menelefon Aziah.

“Yah. Dah siap docs nya ni.. Encik Rasyid turun sekarang nak bagi,” kata saya.

“Cik Alang dah pergi. Dia kata Dato’ dah tunggu kat Concorde,” jelas Aziah.

Adusss!! Lagi sekali kena tinggal? Habis? Macam ner nak bagi docs ni kat Dato?”tanya saya tak puas hati.

“Jap. Tadi rasanya Nizam nak ke istana. Akak kirim kat dia,” kata Aziah.

Saya terus menghubungi Nizam, pemandu MAIS. Alhamdulillah, memang dia nak ke istana dan belum pergi lagi. Saya cepat-cepat meminta Rasyid menyerahkan docs yang baru disediakn kepada Nizam.

Selesai saja docs tu dihantar, saya dihubungi Dato’ Azib,

“Saya dah dapat paper ni, tapi panjangnyerrrr.. Kenapa u tak buat ringkasan?” tanyanya pada saya.

“Errkk.. Dato’. Saya nak siapkan 27 mukasurat tu pun tak sempat, lagi nak buat ringkasan,” jelas saya.
“Kena la ada.. Takkan Tuanku nak kena baca semua 27 mukasurat? Buat ringkasan 1 mukasurat jer,” kata Dato’ Azib, bertenang aje aku dengar.

1 mukasurat? Biar betull!!! 27 ms nak ringkaskan jadi 1 ms jerr?? Hati aku menjerit, tapi tetap kontrol ayu.
“Dato’ nak sekarang ker?” tanya saya lagi, sambil memandang ke arah jam dinding. Hampir jam 4 pm.

“Takpelah. Esok ajer,” jawapannya membuat aku menarik nafas lega. Phewww...

Hanya selepas meletak gagang telefon, aku betul-betul rasa lega.. Alhamdulillah.. Rasa berbaloi kepayahan yang aku lalui untuk buat paper ni. Akhirnya semua kepayahan itu aku rasa manis bila semuanya dah disediakan dan dikemukakan. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Betul-betul terima kasih. Kerana aku rasa bantuan Allah tiba semasa aku perlukannya . Thanks Allah . Thanks sangat2.. :)

Saya menyambung menyemak fail-fail dan surat-surat yang sampai. Jam 7 pm, saya balik ke rumah, perut rasa lapar sangat. Nora potong buah-buahan sedap untuk kami kongsi makan sama-sama. Ada epal, pear dan sunkist. Sedapp!! Thanx Nora.. semoga Allah permudahkan Nora jawab soklan exam esok.. :)

“Cintai Allah, Cintai Islam”
Nurhani
Shah Alam

Diari - Cuti ke tak?

Salam semua,

Tadi saya mengambil cuti kerana nak menghabiskan masa di kampong dengan emak dan keluarga. Terasa dah lama tak jumpa keluarga. Tapi cuti pun macam tak cuti, sebab telefon tak berhenti-henti berdering. Ustaz Suhaimi menelefon,memaklumkan mengenai kematian seorang muallaf berbangsa Nepal. Nama beliau dah didaftarkan dalam Daftar Muallaf Negeri. Waris si mati yang bukan Islam menuntut jenazah si mati untuk dikebumikan di Nepal. Saya menasihatkan mereka untuk mendapatkan perintah mahkamah sekiranya negotiation dengan waris gagal. Alhamdulillah, pada sebelah petangnya saya dimaklumkan, waris bersetuju supaya si mati diurus dan dikebumikan di Malaysia secara Islam. Satu mesej daripada pegawai Syariah Bahagian saya mengesahkan perkara ini:-

“Salam Bos, kes Nepal tu,Ustaz Lee kata, family dia setuju ngan kebumi di sini so saya cadang tak perlu kita dapatkan perintah Mahkamah.”

Dato’Khusrin turut menghubungi saya bertanyakan mengenai serangan peribadi seorang Ustaz terhadap beliau di dalam blog peribadi ustaz tersebut dan tindakan yang boleh diambil terhadap Ustaz berkenaan.Saya memberikan beliau dua options iaitu di bawah undang-undang sivil dan di bawah Suruhanjaya Komunikasi. Dato’ Khusrin meminta saya membaca artikel yang ditulis di dalam blog ustaz berkenaan supaya saya dapat memberikan pandangan mengenainya.

“Kat kampong saya tak ada line la Dato’, tak leh nak view,” kata saya.

“Kampung kat ner?” Tanya Dato’ Khusrin.

“Kat Kuala Selangor,” jawab saya, jujur.

“Kat Kuala Selangor tak ada internet? Teruknya kampong tuu... Internet pun tak ada..” Dato’Khusrin melawak.

“Sabar jer lah.. Kalau Hulu Selangor, mesti kami dah dapat free internet Dato’,”saya membalas. Haahahhahaha!

Paling kelakar, bila YAD Dato’ Azib menelefon lebih kurang jam 12 tengahari, adik saya yang mengangkatnya.

“Hani tengah mandi,” jawab adik saya.

“Haaaa? Mandi kat mana?” Tanya Dato’ Azib kehairanan, sebab beliau tak tahu pun saya bercuti. Mungkin dia membayangkan saya berada di pejabat.

“Ermmm.. kat umah laaa..” jawab adik saya, penuh kejujuran.

Kebetulan saya baru siap berpakaian, dan adik saya terus menyerahkan telefon kepada saya. “Dato Azib called,” katanya.

“Asssalamualaikum Dato’,” ucap saya.

“Waalaikumsalam. Kamu cuti ke?” tanyanya.

“Ha’ ah Dato. Ujung minggu semalam saya berbengkel dengan Prof Zaleha, ni saya balik kampung jap ziarah orang tua,” jawab saya, juga penuh kejujuran.

“Ha lah! “balas Dato’menyebabkan saya tersentak.

“Alah Dato’. Mak ayah saya kan ada lagi, saya ziarah laa.. lagipun lama saya tak balik,” saya membalas.

“Kamu ni asyik cuti jer..” balasnya, tak puas hati sebab saya bercuti. (Satu hari jer kot? Itupun tak cuti sangat, sebab phone asyik bunyi..huhuhu.)

“Esok kamu ada yer?” Tanyanya lagi, nakkan pengesahan.

“Insyaallah Dato’. Saya ada esok.” Saya memberikan jaminan.

Lebih kurang jam 2.30 tengahari, satu mesej masuk ke telefon saya.

“Salam percutian.Esok petang saya ke istana. Tolong check info XXXXX saya nak sembah petang esok.” DATO’ AZIB.

Patutlah nak saya masuk esok, rupanya nak saya bantu sediakan bahan nak mengadap Tuanku esok. Hehehhee..

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Shah Alam

Isnin, 19 April 2010

Diari - Emak dan Kampung..

Salam semua,

Pulang dari Bengkel di Hotel Quality, tiba-tiba rasa hati meronta-ronta nak balik kampung. Mana taknya, dah tiga minggu saya tak pulang ke kampung. Kebiasaannya, tiap-tiap minggu saya akan pulang. Saya mengemas kain baju yang perlu termasuk hadiah-hadiah dari Surabaya untuk mak, abah dan adik-beradik yang lain. Sempat juga saya mengupdate status di dalam facebook saya sementara menunggu adik lelaki saya memulangkan kereta saya yang dipinjam untuk mengambil adik perempuan saya yang tamat semester pengajian di UTM Johor.

Sebelum pulang, saya dikunjungi oleh Liza, teman baik semasa mengambil pengajian Master LLM di UIA. Semenjak semalam beliau menghubungi saya untuk bertemu, tetapi disebabkan saya sibuk dengan program penyelidikan, saya tak sempat bertemu beliau. Oleh kerana Liza belum makan tengahari, saya menemani Liza ke medan selera di Seksyen 2 Shah Alam. Medan selera ini terkenal dengan ABC Coklatnya yang sedap. Macam ABC biasa jugak, cuma ditambah coklat dan ice cream. Rasanya? Memang sedap! Harganya RM3. Saya memesan 5 bungkus ABC dari kedai ABC Fradoo. Hari ini orang agak ramai. Budak ABC tu pun Nampak struggle nak sediakan tempahan ABC yang banyak. Sebab minat sangat dengan ABC Fradoo ni, saya meminta nombor handphone owner kedai tersebut supaya lebih mudah nak berurusan. Biasanya, saya akan menghubunginya dulu, dan datang kemudian untuk mengambil dan membayar. Tetapi hari ni, tak plan pun nak beli, jadi terpaksalah tunggu order siap.

Saya tak makan, sebab dah makan di Hotel sebelum check out. Selesai makan, saya menghantar Liza ke Kompleks PKNS dan meneruskan perjalanan pulang. Sebelum itu, sempat saya memaklumkan kepada pegawai di Bahagian saya,saya akan bercuti esok. Sepanjang perjalanan pulang, saya memasang radio. Terasa semakin tension bila kebanyakan lagu yang saya dengar semuanya mengenai kekecewaan dalam percintaan. Akhirnya saya mematikan radio, membaca surah al-fatihah sebanyak-banyaknya dan menyedekahkan bacaan saya kepada orang-orang yang saya kenang. Doa saya, semoga Allah menghidayahkan saya dan semua yang saya sayangi jalan yang lurus dan diredhai.

Saya membawa kereta agak laju, sebab nak mengelakkan ABC yang saya bawa cair. Tapi, kalau tak bawak ABC pun, memang saya suka bawak keta laju. Rasa lebih tenang dan konfiden semacam. Hilang sekejap problem sebab bila kita bawak kenderaan dengan laju, kita perlu lebih berhati-hati dan menumpukan sepenuh perhatian kepada pemanduan kita. Nasib baik kereta saya tak selaju mana pun. Cuma 1.5cc ajer.. jadi tak ada lah laju sangat..

Tiba-tiba handphone saya berdering;

“MAK”.

Saya mengangkat telefon. “Assalamualaikum mak,”ucap saya.

“Waalaikum salam. Dah sampai mana?” Tanya emak.

“Dah sampai Berjuntai Bestari mak,” jawab saya. “Kenapa mak? Ada nak kirim apa-apa ker?” Tanya saya lagi.

Tak lah. Ngko dah makan ker? Nasik tak tau la ada ke tak.. “ jawab mak.

“Tak apa mak. Tadi dah makan.Kenyang lagi. Nanti jumpa kat umah yerr. Assalamualaikum,” kata saya.

Saya mematikan panggilan dan meneruskan pemanduan. Mengingatkan emak, tiba-tiba hati saya terasa sayu. Emak sentiasa ingat pada anak-anak, dan sentiasa pastikan anak-anaknya dapat makan. Kalau kami masih kecil lagi, ok juga. Ni kami dah besar-besar ni pun, masih juga ditanya dah makan ke belum. Saya rasa betul-betul bersyukur dapat emak macam mak. Mak pernah kata “belum rezeki saya untuk bertemu jodoh”. Betul-betul bertambah kesyukuran yang saya panjatkan. Emak tak pernah nak pressure saya suruh kawin cepat, walau dia pernah juga bertanya sama ada saya dah ada teman istimewa ke belum. Kalau emak orang lain agaknya dah pening kepala sebab anak daranya usia makin meningkat, tapi belum bertemu jodoh. Malah emak menggalakkan saya belajar hingga ke peringkat PhD.

Sering emak bertanya bila saya nak sambung pengajian PhD saya. Insyaallah mak. Akan ku pastikan cita-citaku dan hasratmu tercapai. Doakan yang terbaik untuk anakmu ini. Mungkin jodohku belum pasti, tetapi ajalku sudah pasti. Dan sebelum ajalku tiba,aku ingin belajar dan terus menimba ilmu Allah, selagi diizin Allah. Untuk apa? Untuk ku manfaatkan dan kongsikan agar dapat menjadi bekalku di akhirat. Kenapa? Kerana aku yakin dengan kata-kata Kekasihmu Muhammad SAW, tiga perkara akan dibawa sebagai bekal ke akhirat iaitu,ilmu yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakan dan sedekah jariah yang berkekalan. Harta? Aku tak punya harta yang banyak untuk ku sedekahkan. Hanya doa dan kasih sayang yang tak ternilai untuk semua orang yang mengasihi aku. Cuma, alhamdulillah.. aku sangat -sangat bersyukur, walaupun tak berharta, aku tak meminta-minta, dan sedikit harta yang ku perolehi, insyaallah, ada bahagiannya untuk wakaf dan zakat. Anak? Bagaimana mau punya anak, sedangkan ayahnya belum ku jumpa? Hehehe.. jadi, bagaimana mau ku peroleh doa anak yang soleh untukku, bila ajalku tiba nanti?

Lalu, apa yang aku mampu tambah sebagai bekalan akhiratku adalah ilmu yang aku pelajari dan manfaatkan. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan pencarian ilmuku. Doa emak dan abah sentiasa mengiringiku.. Mudah-mudahan aku berjaya.. :) Amin..

Emak dan cucu-cucunya.. Tak ternilai jasa emak pada aku dan kami semua.. Semoga Allah mengampuni emak dan membalas jasa mak dan kasih sayangnya pada kami yang tak mengharap balasan.. Amin..

“I luv my family”

Nurhani

Shah Alam

Diari - Bengkel Pemurniaan Laporan Akhir Penyelidikan / Analisa Kes Murtad di Negeri Selangor

Salam semua,

Hujung minggu ini , Sabtu 17hb April 2010 sehingga 18hb April 2010, saya terlibat dengan bengkel pemurniaan laporan akhir projek analisa kes-kes murtad di Negeri Selangor. Bengkel selama dua hari tersebut diadakan di Hotel Quality, Shah Alam. Sebenarnya projek ini telah bermula sejak tahun 2008 dan selesai pada tahun 2009.Cuma laporan projek belum dikemukakan sepenuhnya kepada MAIS. Antara lain, projek penyelidikan ini telah mengenalpasti punca permasalahan murtad di negeri Selangor dan mencadangkan tindakan yang perlu diambil oleh agensi-agensi yang berkaitan.

Bengkel ini dihadiri oleh anggota pasukan penyelidik yang dilantik oleh MAIS terdiri daripada pensyarah UiTM, PM Dr Mohamad Azam Mohd Adil (Ketua Penyelidik), pensyarah UIAM (Prof Datin Paduka Dr zaleha Kamaruddin, Pen Prof Dr Fauziah, dan pegawai MAIS iaitu saya dan Ustaz Juraish (bekas Pegawai Syariah MAIS). Shakirah, penolong pegawai di Bahagian saya turut dilantik sebagai Research Assistant. Sebenarnya, terdapat beberapa pensyarah UIAM dan UiTM yang turut terlibat, tetapi tidak dapat menyertai bengkel kerana kurang sihat dan ada komitmen lain.

Bengkel bermula seawal jam 10 pagi. Kami berhenti rehat pada jam 1.30 tengahari untuk makan dan solat. Kemudian kami menyambung semula bengkel pada jam2.30 petang sehingga jam 6 petang. Kemudian kami berhenti rehat dan masuk semula ke bilik bengkel pada jam 9.30 malam. Terharu melihat komitmen yang ditunjukkan oleh lain-lain anggota penyelidik yang hadir. Masing-masing bersungguh-sungguh nak menyiapkan laporan akhir, sanggup menahan rasa mengantuk sampai jam 1.30 pagi! Saya memang dah tersengguk-sengguk sebab terlalu mengantuk, tapi sebab tengok yang lain masih bersemangat, saya cuba bertahan jugak.

“Hanis dah senyap jer ni..” usik Dr Fauziah apabila saya tidak menunjukkan sebarang respond bila ditanya.

Hehehehe.... Maaf Doc.. dah sampai London.. hehehe..

Alhamdulillah.. akhirnya, siap juga laporan akhir penyelidikan kami pada jam 1.30pagi. Mata masing-masing dah kuyu. Kami bersalaman dan pulang ke bilik masing-masing. Nasib baik saya dah solat Isyak, jadi masuk bilik terus aje landing atas katil dan tidur...Allah.. Letihnya.. Seharian berfikir..Semuanya untuk selamatkan akidah umat Islam. Mudah-mudahan usaha kami yang sedikit ini dapat membantu menyelesaikan krisis ini yang berlaku di Selangor, khususnya dan di negeri-negeri lain juga. Amin.

Saya dan Prof Datin Paduka Zaleha Kamaruddin. Dulu Dekan Kuliyyah of Laws UIAM. Sekarang Timbalan Pengarah IKIM. Seronok bekerja dengan beliau. Tak lokek ilmu dan sangat humble. Dia bahasakan dirinya "Kak Li".

Prof Madya Dr Azam Adil UiTM, ketua penyelidik untuk projek penyelidikan ini. Bertudung putih, Shakirah, Research Assistant yang dilantik.

Ustaz Juraish, dulu Pegawai Syariah MAIS, sekarang dah ada firma guaman syarie sendiri, pun turut terlibat. Masa beliau di MAIS lagi projek ni dah bermula.

Dari kiri: Pen Prof.Dr Fauziah, dulu lecturer saya masa ambil LLM di UIA, ajar subjek Usul Fiqh II, tak sangka akhirnya berjumpa semula dan boleh bekerjasama dalam projek ni. Prof Datin Paduka Dr Zaleha (TP IKIM), Saya, Ustaz Juraish.

Berbincang sampai pukul 1.30 pagi. Semuanya untuk mendapatkan hasil laporan yang terbaik.

“Berjalan, Melihat & Mentafsir”

Nurhani

Quality Hotel

Shah Alam