Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 25 Januari 2009

Renung Sejenak 10 - Perhimpunan Ulama @ Fatwa

Salam semua,

Satu berita yang saya baca pada hari ini di suratkhabar Kosmo dan Berita Harian iaitu mengenai perhimpunan seramai 700 ulama di Indonesia menarik minat saya. Perhimpunan tersebut dijangka akan membahaskan beberapa isu termasuk sama ada orang islam boleh merokok, dan amalan yoga, yang baru2 ini diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Malaysia.

Pada pendapat saya, perhimpunan dan perbincangan mengenai hukum-hukum sesuatu perkara yang berlaku perlu sentiasa dianjurkan dan digalakkan, khususnya di kalangan cendekiawan dan ulamak Islam. Ini kerana, banyak perkara-perkara dan isu-isu terkini yang memerlukan kepada pandangan ulamak untuk menentukan hukum ke atas perkara tersebut dalam zaman serba moden ini. Ini untuk mengelakkan umat Islam mengamalkan atau menghukumkan sesuatu dengan hukum yang salah dan bertentangan dengan kehendak Islam.



Di dalam konteks penentuan Hukum dalam Islam, terdapat satu cabang ilmu Islam yang menceritakan mengenai kaedah-kaedah yang digunapakai oleh ulama-ulama Islam untuk menentukan Hukum bagi sesuatu isu, iaitu ilmu Usul Fiqh. Insyaallah, kalau ada kelapangan, akan saya jelaskan sedikit sebanyak mengenai kepentingan ilmu ini kepada pihak berkuasa agama dan pembuat dasar.


Dalam entri ini, saya hanya ingin berkongsi pandangan mengenai isu rokok. Pada saya, memang wajar untuk rokok ini diharamkan, sama ada jual belinya atau tindakan merokok itu sendiri. Ini kerana, pertamanya, merokok memang tidak ada manfaat. Ini adalah pembaziran. Jual beli barangan yang tidak bermanfaat dan membazir dilarang dalam Islam.


Keduanya, merokok boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan perokok. Ini adalah satu kemudharatan yang dilarang oleh Islam. Tidak pernah saya dengar merokok boleh memberi kesan positif terhadap perokok. Ketiganya, asap rokok juga mengganggu orang lain, dan menyebabkan rasa kurang selesa. Ini merupakan satu kacauganggu (walau bukan dalam bentuk yang ekstrem) terhadap orang di sekeliling. Bukankah tanggungjawab sesama Muslim itu menjaga hak Muslim yang lain?

Saya kira, ketiga-tiga alasan saya sudah cukup untuk tidak mengharuskan orang Islam merokok, melainkan ada sahabat2 yang berpandangan sebaliknya, bolehlah dikongsikan di sini, sementara menunggu keputusan Muzakarah Ulama Indonesia.:)

Kepada sahabat2 yang merokok, ini hanya pendapat peribadi saya. Harap tidak ada yang berkecil hati:) Kepada ulamak dan mujtahid, bukan isu ini saja yang perlu dibahaskan. Banyak lagi isu global yang memerlukan fatwa dan ijtihad. Mudah-mudahan kita sentiasa dalam rahmat Allah.

Khamis, 22 Januari 2009

Diari 25 - Jodoh..


Salam semua,

Esok petang, seorang teman baik saya akan ke Mekkah menunaikan ibadah umrah. Saya memang suka menghantar saudara-mara atau teman-teman sampai ke KLIA kalau ada masa terluang. Sebabnya, saya akan mengirimkan salam saya pada Rasulullah s.a.w. dan juga doa untuk dibacakan di Tanah Suci Mekah. Selain doa memohon keampunan dan minta dipanjangkan umur, diberi kesihatan dan dimurahkan rezeki, saya tak lupa minta didoakan untuk ketemu jodoh dengan lelaki yang soleh. Acapkali teman-teman sekeliling bertanya bilakah saya mahu mengakhiri zaman bujang. Ada yang menasihatkan saya supaya mengamalkan surah Al-Waqiah dan menunaikan solat Dhuha. Ada juga yang meminta saya mengamalkan solat Hajat dan berdoa setiap solat fardhu, mohon dipermudahkan jodoh. Tak kurang yang sudi berkongsi doa-doa menaikkan seri wajah dengan saya. Alhamdulillah, semuanya saya amalkan.

Pada pertengahan tahun 2007, sewaktu menunaikan ibadah umrah, saban waktu saya isi dengan berdoa di tempat-tempat yang doanya makbul, untuk kehidupan yang lebih baik, rezeki yang halal dan luas, ilmu yang bertambah dan bermanfaat, jodoh yang baik. Alhamdulillah, doa-doa saya untuk mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan DLSA, meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi (Master dan PHD), kesihatan tubuh badan, murah rezeki, dipermudahkan kehidupan, penyelesaian hutang, ketenangan hati, dipanjangkan umur, sentiasa berkasih sayang sesama keluarga, semuanya dimakbulkan. Alhamdulillah, terima kasih Allah. Cumanya, terdetik juga di hati, bila agaknya jodoh saya akan tiba? :)

Sekejap tadi saya melayari blog teman blogger saya, leewantan, di http://www.leewantam.com.. Seronok saya membaca tulisan beliau yang berpandangan bahawa menjadi kewajipan ibu bapa untuk mencarikan jodoh untuk anak perempuan mereka, lebih-lebih lagi yang telah sampai ke zon tersebut. Beliau juga berpandangan supaya masyarakat kita yang mengutamakan adat, supaya mengubah adat yang merugikan umat Islam, kerana yang lebih penting adalah membangunkan institusi keluarga yang sangat dituntut oleh Islam, bukan adat resam yang menyekat sosio budaya ummah.

Secara jujurnya, walaupun bersetuju dengan pandangan beliau, saya lebih suka mencari teman hidup saya sendiri, dan tidak bergantung dengan pilihan ibu bapa. Cuma, perasaan malu untuk memulakan perhubungan yang serius, termasuk membuat lamaran terlebih dahulu, masih lagi menebal dalam diri saya, walaupun hati kadangkala kuat berbisik, "I've found my Mr Right". Pernah sekali, atas desakan rakan-rakan yang melihat saya terlalu rapat dengan seorang jejaka, supaya bertanya sendiri kepada jejaka tersebut, sama ada beliau menaruh hati pada saya. Saya mencari waktu yang sesuai untuk bertanya, dan mengumpul keberanian untuk bertanya, how do you feel about me? Jawapannya, in negative. Sebagai wanita Melayu, yang masih tebal dengan perasaan malu , saya memang malu sangat-sangat. Seminggu saya tak jawab panggilan dan tak balas mesej jejaka itu, walaupun sesungguhnya kami terlalu akrab sebelum itu. Tapi , sebagai wanita yang educated dan matang, saya menerima penolakkan tersebut dan memuji tindakan berani saya, kerana beberapa kesan baik yang saya perolehi:


Pertama, saya tidak terus berada di dalam keadaan tertunggu-tunggu dan mengharap balasan cinta dari si dia. Kedua, boleh la fokus orang lain! Hehe.. Ketiga, tak perlu buang masa banyak, go and find other target, baby!

Malu untuk mengakui, hati ini sekali lagi diuji dengan perasaan cinta dan harapan. Pada seorang manusia bergelar lelaki. Hanya yang berbeda, episod cintaku kali ini didasari oleh cinta ku pada ilmu dan perjuangan memartabatkan agama Allah dan Rasulnya, bukan pada paras rupanya, harta atau keturunannya. Tapi pada agamanya.. Ayat-ayatnya tasbih, tahmid, takbir dan selawat Nabi tanda kasih sayang pada Rasulullah. Cuma, saya masih tertanya-tanya, adakah episod yang sama perlu diulang semula dalam bab lain perhubungan saya,? Dalam erti kata yang lain, adakah saya juga yang mesti memulakannya? Adakah cara selain berdoa dan bermunajat yang dapat membantu pencarian jejaka idaman saya? Entah lah..

Mungkin ada sahabat-sahabat yang sudi berkongsi pandangan dan cadangan untuk perkara ini. Yang pasti, saya pasti ada hikmah di sebalik semua ini, dan yang pasti, jodohku adalah rahsia Allah. Hanya Dia saja yang tahu..

Selasa, 20 Januari 2009

Diari 24 - Story telling

Petang tadi, semasa saya dan seorang kakitangan saya menikmati makan malam di sebuah restoran, seorang pakcik dalam lingkungan umur 60-an menyapa kami dan meminta izin untuk duduk di kerusi kosong di hadapan kami. Saya mempelawa beliau untuk makan bersama tetapi beliau menolak. Mulutnya tak berhenti-henti bercerita mengenai kisah hidupnya.


Dalam masa setengah jam, macam-macam cerita mengenai wanita yang diceritakan oleh Pakcik Kasim kepada kami berdua. Bermula dengan cerita kehancuran hatinya kerana ditinggal kekasih (cinta pertama beliau), beliau bercerita mengenai kerbau yang turut menangisi pemergiannya ke Semenanjung (he’s from Sarawak, actually a Chinese blood, but adopted, converted and raised by a Muslim family). Pakcik Kasim mengatakan bahawa telah berpindah ke Sabah untuk menjauhkan diri daripada bekas kekasihnya. Beliau juga mengatakan bahawa beliau baik dengan Datuk Siti Nurhaliza (even though hard for me to believe it, I just lend my ears) dan mengatakan Datuk Siti memang seorang yang baik, dan selalu memberi beliau duit poket. Menurut Pakcik Kasim lagi, telah 15 tahun beliau meninggalkan Sarawak dan belum pernah pulang lagi kerana tidak sanggup untuk berhadapan dengan kekasih pertamanya. Pakcik Kasim turut menyatakan ada juga wanita-wanita yang menggodanya, walaupun usianya telah lanjut. Beliau turut menyatakan bahawa beliau pernah berkahwin, tetapi tidak kekal dan telah bercerai, kerana bekas isteri beliau jatuh cinta kepada lelaki lain. Beliau turut mendakwa mempunyai ilmu untuk menjadikan seseorang suami ‘tertutup hati’ kepada wanita lain sesudah berkahwin. Pakcik Kasim juga mengatakan bahawa walau secantik mana seseorang wanita itu, tetapi tidak berguna jika hati si lelaki tidak terbuka untuk menerimanya. Beliau turut menasihati kami supaya hanya setia dengan seorang lelaki sahaja (hehehe.. pakcik setia ker?hahahaha..). Kami meminta diri setelah azan Maghrib berkumandang.


Sepanjang tempoh yang singkat itu, beberapa perkara dapat saya rumuskan hasil pertemuan singkat dengan Pakcik Kasim.


Pertama, manusia memang perlu teman dalam hidup, walau sekadar untuk bercerita. Ini nyata ditulis dalam Al-Quran, bahawa dijadikan manusia berpasang-pasangan dan berkabilah-kabilah untuk bertaaruf dan saling kenal-mengenali. Hawa juga diciptakan untuk menemani Adam a.s.

Kedua, wanita sememangnya mahkluk yang sangat istimewa. Dengan fizikal dan emosinya, ia boleh menawan dan menakluk hati seorang lelaki. Dengan fizikal dan emosinya juga, wanita mampu melemahkan semangat dan menghancurkan hati seorang lelaki, tanpa menggunakan kekuatan fizikal.

Ketiga, manusia mampu untuk bercerita tanpa henti mengenai perkara yang sangat diminatinya tanpa perlu menggunakan teks! Tepuk dada, tanya diri kita, agaknya apa cerita yang kita boleh ceritakan tanpa teks? Maknanya, memang kita minat dengan topik tu.. Hehehe.. Sampai saat ini, saya betul-betul mengagumi seorang Ustaz yang boleh menceritakan mengenai dakwah, perjuangan, hadith dan sirah Rasulullah s.a.w. tanpa teks. Respect lah Ustaz Amin!!


Keempat, jangan terus percaya dengan cerita yang diceritakan oleh orang yang tidak dikenali asal-usul dan latar–belakangnya. Di dalam Al-Quran terdapat ayat yang menyatakan apabila datang seorang yang tidak dipercayai membawa sesuatu perkhabaran, hendaklah dipastikan kesahihan khabar yang dibawanya terlebih dahulu. Ini penting untuk mengelakkan daripada tertipu dengan khabar yang dibawa.



Kelima, hidup di dalam jemaah adalah lebih baik daripada hidup bersendirian dan dituntut dalam Islam. Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. Di dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. bersabda bemaksud: “Orang-orang Islam itu adalah seperti satu bangunan yang kukuh dan saling bersandar antara satu dengan lain”. Banyak lagi ayat Quran dan hadith-hadith yang menggariskan mengenai konsep persaudaraan dalam Islam. Wallahu a’lam.

Peguam Menulis 6 – Tenancy Agreement


Salam semua,


Dah 3 hari tak update blog, kerana sibuk dengan tugas-tugas harian. Apapun, suka saya untuk berkongsi pengalaman mengendalikan kes tunggakan sewa premis MAIS. Semalam, saya didatangi oleh Mr. X, seorang penyewa premis milik MAIS, yang datang bertemu dengan saya untuk membuat rayuan penangguhan tindakan undang-undang terhadap syarikatnya yang gagal membuat pembayaran sewa kepada pihak MAIS sepanjang tahun 2008.


Saya berbincang seketika dengan pegawai yang menguruskan kes tersebut sebelum bertemu dengan Mr. X. Pelbagai alasan diberi oleh Mr X mengenai kelewatan beliau membuat pembayaran sewa dan tunggakan sewa kepada pihak MAIS dan menyerahkan kepada saya lima keping cek post dated untuk dipertimbangkan oleh saya. Saya menjelaskan kepada beliau mengenai tindakan undang-undang yang berhak diambil oleh pihak MAIS terhadap beliau selaras dengan Perjanjian yang telah ditandatangani oleh beliau sendiri pada tahun 2006. Tanpa prejudis, saya menerima cek-cek tersebut, dan menjelaskan kepada beliau bahawa pihak MAIS tetap akan meneruskan dengan tindakan undang-undang terhadap beliau, sekiranya beliau gagal untuk menjelaskan baki tunggakan sewa yang dituntut. Walaupun beliau nampak tidak berpuas hati dengan keputusan saya, namun itulah keputusan terbaik yang dapat saya putuskan, untuk menjamin kepentingan MAIS, kerana saya berpandangan, sekiranya Mr X dapat menyelesaikan semua tunggakan tersebut sebelum perintah Mahkamah diperolehi, saya akan meminta peguam MAIS menarik balik tindakan undang-undang yang difailkan.


Dari sudut perundangan, di dalam kes perlanggaran apa-apa kontrak termasuk sewaan, ianya ditadbir di bawah Akta Kontrak 1950. Akta ini menjelaskan mengenai perjanjian yang dibuat, tawaran dan penerimaan, dan perlanggaran sesuatu terma dalam perjanjian. Sekiranya terdapat perlanggaran mana-mana terma kontrak, pihak yang satu lagi berhak menamatkan kontrak atau memohon satu pengisytiharan di mahkamah supaya pihak yang melanggar kontrak menunaikan kewajipannya selaras dengan kontrak tersebut. Dalam istilah perundangannya, ini dinamakan perintah pelaksanaan spesifik, (specific performance) iaitu perintah Mahkamah supaya pihak yang melanggar kontrak memenuhi kewajipannya.


Untuk kes perlanggaran perjanjian sewaan, terdapat satu lagi Akta yang terpakai iaitu Akta Distress. Distress adalah tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh Tuan Tanah terhadap penyewa yang gagal membuat bayaran sewa atau melanggar lain-lain terma perjanjian sewa. Tuan Tanah akan mendapatkan perintah daripada Mahkamah Sivil untuk memasuki premis sewa dan menyita barang-barang yang terdapat di dalam premis yang disewa untuk dilelong kepada awam. Hasil daripada lelongan tersebut akan digunakan untuk membayar tunggakan sewa kepada Tuan Tanah. Bagaimanapun, bukan semua jenis barangan boleh dirampas oleh Tuan Tanah. Contohnya, barangan seperti pakaian, dokumen penting, makanan yang senang rosak (perishable) tidak boleh diambil. Ini untuk menjaga kepentingan penyewa.


Menurut undang-undang kontrak Islam, pihak yang mengalami kerugian kesan daripada perlanggaran terma perjanjian boleh menuntut gantirugi daripada pihak yang melakukan perlanggaran kontrak. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang bermaksud:-

“Orang-orang Islam itu adalah diikat dengan syarat-syarat mereka”

(Al-muslimuna i’nda syurutihim).


Insyaallah, kalau ada soalan berkaitan dengan perjanjian sewaan,atau lain-lain perjanjian, bolehlah saya membantu. Wallahu a’lam.

"Memartabat undang-undang dan keadilan"

Nurhani

Shah Alam

Sabtu, 17 Januari 2009

Diari 21 - Morning Exercise


Pagi ini, saya meluangkan masa untuk menonton rancangan Tanyalah Ustaz. Hos pada hari ini adalah sahabat seperjuangan saya, Ustaz Muhamad Abdullah. Tajuk yang dibahaskan adalah mengenai isu harta-harta yang haram menurut Islam. Menurut beliau, ada 15 harta yang haram dalam Islam. Bagaimanapun, beliau hanya sempat menjelaskan 5 sahaja daripada harta-harta yang haram, kerana menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh para penonton. Antara harta-harta yang haram termasuklah:-

1) Judi, apabila kemenangan seseorang merupakan kemenangan seseorang. Contoh, main golf, sapa menang, kena belanja. Peraduan SMS berbentuk pertaruhan, telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. "Dan sesungguhnya arak, judi, bertenung nasib adalah cabang dari amalan syaitan, maka hendaklah kau jauhi" Al-Quran.


2) Riba diharamkan secara qati’e. “Wa ahallallahul bai’a waharrama ar-riba” Dan telah aku halalkan jual beli dan mengharamkan riba - Al-Quran.


3) Rasuah – memberi sesuatu kerana niat sesuatu.

Hadis Ibn Majah “Laknat Allah atas orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah”.


4) Harta Curi – “Sesiapa yang ambil sesuatu tanpa izin tuannya, adalah curi”- Tok Kenali. Contohnya, mengambil pen atau kertas pejabat.


5) Harta hasil daripada tipudaya – “Man ghasshana falaisa minna” Maknanya, sesiapa yang menipu, bukan dari golongan kami"- Hadis.


Pada pandangan saya, program seumpama ini sangat berkesan dalam memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai isu-isu terkini dan semasa, kerana ianya lebih interaktif dan mediumnya lebih luas. Saya menyokong supaya perlu diperbanyakkan program seumpama ini, kerana program seumpama ini masing terlalu kurang dibandingkan dengan program hiburan yang saban hari bertambah dan tidak memberi manfaat kepada penonton. Tahniah kepada tv9 yang menyiarkan semula program Tanyalah Ustaz ini, mungkin disebabkan rating yang baik dan permintaan yang tinggi daripada penonton. Tahniah juga kepada semua ustaz yang diundang yang dapat menyampaikan ceramah dengan baik dan menjawab persoalan yang dikemukakan. Mudah-mudahan usaha yang dibuat beroleh ganjaran yang baik dari Allah s.w.t.



"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Kg Raja Musa

Khamis, 15 Januari 2009

Diari 20 - Islam is peace, Islam is beautiful..

Salam semua,

Hari ini, pada sebelah pagi, saya dipanggil untuk menyertai satu mesyuarat mengenai penggunaan kalimah-kalimah Islam dan nama-nama orang Islam di kuil-kuil dan tokong-tokong bukan Islam. Penemuan ini walaupun mengejutkan saya, (kerana terdapat banyak kes seumpama ini), tetapi jauh di sudut hati, (walaupun tidak saya suarakan dalam mesyuarat) saya merasakan bahawa ugama-ugama lain sebenarnya mengktiraf Islam sebagai satu agama yang boleh dipercayai oleh mereka, dan mendapat tempat di hati mereka. Kalau tak, masakan mereka boleh menggantung perkataan berunsur Islam di tempat pemujaan mereka? Sebaliknya, berkemungkinan mereka berniat untuk menghina Islam, dengan menggantung perkataan-perkataan tersebut di tempat sembahan mereka. Namun, saya lebih suka menggunakan pendapat pertama saya, kerana jika mereka mahu menghina, mereka tidak akan gantung di tempat yang tinggi, tempat yang mereka puja.

Apapun, secara baik, pihak-pihak yang terlibat telah diminta oleh pihak JAIS dan MAIS untuk menurunkan perkataan-perkataan yang melambangkan Islam di atas premis-premis mereka demi menjaga agama Islam dan mengelakkan sentimen perkauman dan keagamaan. Alhamdulillah, penyelesaian dapat dicapai dengan baik, walaupun ada beberapa pihak yang tidak dapat hadir.

Pada sebelah petangnya, seorang pegawai di bahagian saya memaklumkan bahawa seorang wanita berugama Hindu, yang suaminya telah memeluk Islam dan berkahwin lain, datang meminta nasihat daripada Bahagian Pembangunan Insan MAIS, bahagian yang menguruskan pendaftaran muallaf di Selangor. Beliau hadir bukan untuk memeluk Islam, tetapi meminta bantuan MAIS untuk menasihati suaminya mengenai tanggungjawab suaminya terhadap bekas isterinya, walaupun sudah menukar agama dan berkahwin lain. Subhanallah! Maha Suci Allah yang menggerakkan hati wanita tersebut untuk mendapatkan pandangan pihak kami, sedangkan beliau sebenarnya boleh meminta bantuan kepada saudara seagamanya, yang tentunya lebih dipercayai dari pihak kami. Pelik tetapi benar, tetapi itulah Islam. Indah bukan?

Apapun, ada dua perkara yang ingin saya simpulkan:-

Pertama, isu agama merupakan isu yang paling sensitif. Manusia berbunuhan atas sebab agama. Perang Israel dan Palestin, beratus-ratus nyawa tak berdosa menjadi korban, kerana agama. Puak Syiah dan Sunni, bertahun-tahun berperang sesama sendiri kerana perbezaan agama. Perang Salib antara orang Islam dan Kristian, juga sebab agama. Pada saya, untuk mengelakkan kehilangan nyawa, rundingan secara bersemuka adalah perkara terbaik sebelum tindakan lain diambil, melainkan apabila Islam diperangi, dan tidak ada cara lain untuk menyelesaikan konflik. Kita ambil iktibar perjanjian gencatan senjata yang dibuat oleh Rasulullah dengan orang Quraisy semasa memasuki Makkah untuk menunaikan Haji, walaupun perjanjian tersebut mungkin menyebelahi pihak Quraisy, tetapi ia menunjukkan Islam adalah agama yang bertolak ansur.

Kedua, hidayah, ilham, kuasa menggerakkan hati, semuanya datang dari Allah. Tanggungjawab kita sebarkan Islam, dan tunjukkan Islam itu sempurna dari semua segi. Hanya Allah yang akan menentukan siapa dan bila hidayah untuk menerima Islam atas seseorang. Untuk menyebarkan Islam, kita perlu bersedia dari semua sudut, akidah, ibadah, akhlaq, etc. Mudah-mudahan saya dan sahabat-sahabat tergolong dalam golongan umat Islam yang sentiasa memperbaiki diri untuk Islam.

Boleh tak kita bayangkan tulisan seperti Yasin diletak di atas patung ini? Tentu pelik bukan? Tapi itulah yang terjadi.

Atau tulisan ayat-ayat al-Quran diletakkan di dalam kuil ini? Tentu kita tak senang bukan?

Yang penting, kewajipan menjelaskan betapa Allah is Great! Allah Maha Besar! Tiada Tuhan melainkan Allah! Walaupun nampak mudah, tetapi sukar dilaksanakan.

"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani

Shah Alam

Rabu, 14 Januari 2009

Diari 19 - Dakwah Itu Berterusan

Salam semua,

Kebiasaannya, pada setiap hari Rabu, kalau ada kelapangan, saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai kuliyyah maghrib yang disampaikan oleh sahabat baik saya, Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin di Fakulti Perubatan Universiti Malaya. Seronok melihat adik-adik yang tekun mendengar ceramah yang disampaikan. Paling seronok, adalah semasa sesi soal-jawab yang diadakan selepas selesai ceramah. Macam-macam jenis soalan yang ditanya mengenai isu-isu berkaitan agama, fiqh dan hukum-hakam dalam Islam. Yang menariknya, Ustaz Muhamad akan cuba sedaya upaya memberi jawapan yang terbaik untuk setiap soalan yang dikemukakan, walaupun kadang-kadang soalan yang ditanya pada pandangan saya, soalan yang dikemukakan agak sukar untuk dijawab.

Apapun, berdasarkan pengalaman yang saya lalui, dua perkara ingin saya kongsikan di sini. Pertama, tahniah diucapkan kepada semua pendakwah yang bersedia untuk memberi penjelasan yang benar mengenai Islam dan Hukum Syarak, termasuk Ustaz Muhamad, dan juga lain-lain penceramah agama di luar sana, yang sanggup meluangkan masa mereka untuk memberikan penjelasan dan berkongsi ilmu masing-masing terhadap persoalan-persoalan mengenai Islam kepada golongan yang inginkan kepastian. Yang nyata, banyak masa mereka dikorbankan untuk terus menyebarkan mesej dakwah. Kedua, tahniah kepada mereka yang suka bertanya, termasuk adik-adik di Fakulti Perubatan UM, untuk mencari kebenaran demi menjadi manusia yang lebih baik dalam agama dan kehidupan. Syabas buat kalian. Moga-moga terus komited dan sentiasa dalam rahmat Allah. Kalian adalah pelapis untuk meneruskan penyampaian mesej dakwah untuk generasi akan datang. Teruskan usaha, tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Pelajar-pelajar lelaki yang sedang asyik mendengar tazkirah yang disampaikan.Masing-masing tekun mendengar. Insyaallah, mereka inilah kader-kader yang diharapkan dapat mewarisi ilmu yang diperolehi daripada penyampai, untuk disampaikan kepada generasi akan datang. Sabda Rasulullah s.a.w., "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat".

Pelajar paling tekun... sampai tertunduk-tunduk, punyalah khusyuk!! Hehehe..

Ustaz Muhamad sedang bersemangat menyampaikan tazkirah mengenai fiqh perubatan.

Sebahagian pelajar perempuan yang hadir. Nampak ceria dan bersemangat mendengar kuliyah yang disampaikan. Teringat zaman muda-muda di UIAM dulu.. Yang saya perhatikan, mereka memang rajin menyalin points yang penting yang disampaikan. Menurut Ustaz Muhamad, itu menunjukkan mereka memang nak belajar dan menimba ilmu. Tahniah buat gadis-gadis ayu ini. Teruskan usaha menambah ilmu!

Calon-calon wanita pelapis untuk menggalas tanggungjawab dakwah islamiyyah pada masa akan datang.

Jadual di surau Fakulti, sentiasa dipenuhi dengan program-program agama dan pengisian rohani. Alhamdulillah. Semoga diteruskan sampai bila-bila.

Selain memberi kuliyah maghrib di UM, Ustaz Muhamad juga merupakan pendakwah yang sering diundang oleh stesyen-stesyen TV tempatan untuk memberikan pandangan beliau. Gambar ini diambil semasa beliau menyampaikan ceramah bertajuk JIHAD untuk program Al-Kuliyyah, di TV3. Tahniah dan semoga Ustaz terus komited menyampaikan mesej dakwah kepada semua.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Shah Alam

Anti Israel 6 - Pray for Gaza

Salam,

I've got this doa from internet. Just to share with all of the readers. This doa is dedicated to our Muslims brothers in Gaza. May Allah save and bless them always.. May Allah send His Ababil and al-Rubu', to destroy the kuffar.

Sorry to our beloved brothers in Gaza,
We do not have anthing except doa,
"O Allah, save our brothers in Gaza".

Maaf, wahai sahabat-sahabat yang kami kasihi di Gaza..
Tiada yang kami miliki melainkan doa..
"Ya Allah, bebaskan saudara kami di Gaza daripada sekatan"

Selasa, 13 Januari 2009

Renung Sejenak 9 - Lima Perkara Yang Mesti Disegerakan

Salam semua,

Hari ini, saya nak kongsikan satu riwayat dari Hatim Al-Asom yang saya terbaca di dalam email yang dihantar.

"Terburu-buru itu termasuk sifat syaitan, kecuali pada
lima tempat", maka ia termasuk sunnah Rasulullah SAW:


1) Memberi makan tetamu, bila ia datang berkunjung.

2) Menyiapkan perkuburan mayat bila telah mati.

3) Mengahwinkan anak perempuan, bila cukup umur.

4) Membayar hutang, bila telah sampai masanya.

5) Bertaubat dari dosa, bila ia telah melakukannya.

Kata-kata Hasim dalam riwayat ini mengingatkan peri pentingnya mempercepatkan tindakan dalam kelima-lima perkara yang disenaraikan. Setelah saya meneliti riwayat ini, saya terasa kesal kerana mengambil masa yang lama untuk menggantikan barang seorang sahabat saya, yang menyebabkan beliau marah dengan sikap saya. Kecuaian saya itu menyebabkan perhubungan kami renggang kerana beliau terasa hati dengan sikap saya yang tidak melihat kepentingan untuk menggantikan barang miliknya dengan segera. Ada baiknya kalau saya telah membaca riwayat ini dan melaksanakan tindakan drastik, tentunya persahabatan kami dapat diselamatkan. Apapun, ia menjadi teladan kepada saya untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Justeru, saya menyeru diri saya dan pembaca semua untuk sama-sama menghayati riwayat ini dalam kehidupan harian kita. Mudah-mudahan kita tergolong dalam hamba yang mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Isnin, 12 Januari 2009

Peguam Menulis 5 - Undang-Undang Zakat


Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri. Ini termasuklah undang-undang mengenai Zakat Fitrah atau Baitulmal atau hasil ugama Islam yang seumpamanya.

Seterusnya, merujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri telah diberi kuasa untuk mengutip dan mengagih zakat dan fitrah di negeri masing-masing. Sebagai contoh, seksyen 86 Enakmen Pentadcbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk membuat kutipan zakat dan fitrah bagi pihak DYMM Sultan Selangor. Dalam melaksanakan kuasa tersebut, pihak Majlis juga diberikuasa untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan penetapan kadar zakat dan fitrah yang perlu dibayar,tatacara pemunguta zakat dan fitrah, pelantikan amil-amil bagi membantu untuk pungutan zakat dan fitrah dan kesalahan dan hukuman berkaitan dengan pungutan dan penyerahan pungutan zakat dan fitrah. Ini dinyatakan di dalam seksyen 87 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Pihak Majlis juga boleh mempertimbangkan rayuan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kadar zakat yang dikenakan ke atasnya. Ini dinyatakan di dalam seksyen 88 EPAINS 2003.

Di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, terdapat dua kesalahan yang berkaitan dengan zakat. Seksyen 21 enakmen tersebut memperuntukkan kesalahan tidak membayar zakat atau fitrah yang apabila disabitkan, seseorang boleh dikenakan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau tidak lebih 3 tahun penjara atau kedua-duanya. Seterusnya, seksyen 37 memperuntukkan untuk kesalahan membuat kutipan zakat atau zakat fitrah tanpa kuasa yang sah daripada Majlis jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Insyaallah, kalau ada apa-apa persoalan berhubung dengan undang-undang zakat, bolehlah saya membantu.

Tangan yang memberi, lebih baik dari yang menerima..

"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani

Shah Alam

Ahad, 11 Januari 2009

Anti Israel 5 - Let's Unite! For Islam!



Salam semua,

Semalam saya bersama beberapa sahabat menyertai Rapat Umum Selamatkan Gaza di Stadium Melawati Shah Alam, untuk mengumpul tabung dana kemanusiaan Gaza. Sepanjang majlis berlangsung, laungan takbir memenuhi seluruh ruang Stadium tersebut yang dipenuhi kira-kira 5,000 pengunjung. Kami dipertontonkan dengan video-video klip keganasan Israel di Gaza dan ucapan penuh semangat daripada tetamu VIP yang hadir, termasuk seorang wakil dari Gaza. Beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor juga turut hadir. Beberapa orang artis nasyid dijemput untuk mengalunkan lagu-lagu bertemakan perjuangan. Bacaan doa yang amat menyentuh hati dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri Selangor mengakhiri rapat umum tersebut.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah, kehadiran semua VIP dan tetamu adalah atas kesedaran dan tiket sebagai seorang Islam, walaupun berbeza fahaman politik masing-masing. Mudah-mudahan, saya dan semua umat Islam yang lain, khususnya yang menghadiri rapat umum tersebut terus komited untuk memboikot barangan Israel dan Amerika dan terus mendoakan sahabat-sahabat kita di Palestin.

Khaibar! Khaibar! Ya Yahud! Jaisyu Muhammad saufa ya'ud!! ( Khaibar! Khaibar! Wahai Yahudi! Tentera Muhammad pasti kembali!!) Down! Down! Israel!! Rise! Rise! Rise Muslims for Gaza!! For Islam!!


Bersama salah seorang sukarelawan program rapat umum sebelum program bermula.

Saudara Yusri Ibrahim, Presiden ABIM menandatangani resolusi Rapat Umum Selamatkan Gaza sambil diperhatikan oleh wakil-wakil NGO dan pertubuhan politik yang hadir.

Antara sebahagian pengunjung yang menghadiri rapat umum tersebut.

Aksi seorang kanak-kanak yang mengibarkan bendera Palestin di tengah-tengah stadium.




Si kecil ini mungkin belum mengerti makna keamanan. Tetapi, nasibnya sudah tentu lebih baik dari kanak-kanak di palestin, yang menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis!!

Israel Brutal Murderers, Zionis, Peace Palestine antara kain rentang yang dibuat.

Bersama rakan-rakan yang menyertai rapat Umum.

Kebanyakan yang hadir memakai bandana oren yang tertulis 'Save Gaza'. Kelihatan kain rentang yang tertulis, "Fight for Al-Quds, Fight for Justice, Unjust Law is No Law at All!!"


Sebahagian daripada orang ramai yang berpusu-pusu hadir di Stadium Melawati Shah Alam.

Skrin yang memaparkan kata-kata semangat untuk orang ramai yang hadir.