Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 31 Ogos 2009

Diari- Merdekakah kita?

Salam semua,

Hari ini, 31hb Ogos 2009 adalah Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 52. Alhamdulillah. Syukur kerana Allah Taala memberikan peluang untuk kita meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52. 52.. bukannya satu waktu yang singkat. Kalau kita Pegawai Kerajaan, lagi 5 tahun nak pencen. Kalau dari sudut fizikal manusia, memang kita dah digelar 'orang tua' atau 'golongan veteran'. Ayat yang lebih sopan untuk mereka adalah 'warga emas'. Tapi memang tak pernah ada yang beranggapan bahawa di usia 52 tahun, kita masih tergolong dalam golongan muda atau remaja, melainkan orang yang mempunyai masalah mental. Maknanya, negara kita telah cukup 'tua' dan matang pemikirannya.

Namun, persoalannya, adakah negara kita benar-benar 'merdeka'? Merdeka dari perkara-perkara songsang, budaya songsang, ajaran songsang, ideologi songsang, akidah songsang.. Rasanya baru tadi saya membaca Sinar Harian online menulis berita mengenai seorang gadis berumur 15 tahun dicabul bapa saudaranya yang berumur 42 tahun. Minggu lalu, saya membaca blog Mazidul Akmal (Pengacara 360) yang menulis mengenai blog2 gay yang tanpa segan silu memaparkan biodata dan mengaku mereka gay. Sejak dua minggu yang lalu media -media cetak menulis mengenai kritikan dan komen negatif yang dilemparkan terhadap badan-badan islam mengenai hukuman ke atas Kartika Dewi yang mengaku meminum air kencing syaitan. Siaran TV masa kini (setelah 52 tahun merdeka) yang majoritinya memilih untuk menyiarkan hiburan berbentuk realiti TV, kerana mengaut keuntungan yang lumayan (menyebabkan saya sangat jarang menonton TV), kecuali program-program tertentu. Tak masuk dengan mata yang sakit melihat 'free show' 'punggung-punggung' anak-anak gadis kita yang pakaiannya ketat, singkat dan menjolok mata. Saya turut membaca dalam Harian Metro pagi ini kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini. Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Merdekakah kita kalau perkara-perkara itu masih membelenggu setiap jiwa manusia yang berfikir? Merdekakah kita? Wajarkah kita mengaku negara kita telah merdeka? Allah berkata:"Tidakkah kamu berfikir?"

Tahun ini, masjid di sebelah rumah saya mengadakan sambutan Merdeka di masjid. Disebabkan jarak yang terlalu hampir dengan masjid, saya dapat mendengar Tuan Imam membacakan doa. Walaupun suaranya tidak begitu jelas, namun, ramai yang mengaminkan doanya. Alhamdulillah, kemungkinan sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma dengan membuat program-program 'cintakan negara' di masjid, bukan di dataran-dataran atau tempat yang mencampurkan lelaki dan perempuan tanpa sekatan, dengan countdown yang akhirnya menyebabkan ramai remaja kita 'down' di tangan nafsu sendiri.

Apapun, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada semua. Kita mungkin merdeka dari penjajah, tetapi belum merdeka dari jiwa penjajah yang penuh dengan budaya songsang dan ideologi songsang. Kita juga belum merdeka dari akidah-akidah songsang yang sering mengganggu umat Islam. Mudah-mudahan kita yang merdeka dapat membantu me'merdeka'kan yang lain, yang belum tahu nilai satu 'kemerdekaan' sebenar. Merdeka seorang hamba, apabila dibebaskan oleh Allah dari dosa-dosanya, dan diberi ganjaran syurga setimpal dengan amalannya. Semoga Ramadhan ini, memberi satu kemerdekaan bagi kita dan keluarga kita. Allahumma barikna fi Ramadhan... Ya Allah, berkatilah kami dalam Ramadhan ini yang penuh kebberkatan.. Amin..

"Mengharap Redha Ilahi"


Nurhani


Kampung Raja Musa

Kuala Selangor

Selasa, 25 Ogos 2009

Diari - Ramadhan yang mengujiku..


Salam semua,

Kebelakangan ini saya jarang mengupdate blog disebabkan komitmen kerja-kerja di pejabat. Tambahan pula, sekarang ini bulan Ramadhan, sebelah malam saya mempunyai komitmen di masjid.

Dalam entri saya lepas, saya berharap semoga Ramadhan ini akan menjadi lebih bermakna. Betullah doa orang yang berpuasa makbul. Ramadhan tahun ini, beberapa peristiwa pahit dan manis terjadi pada saya, walhal baru empat hari umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah ini.

Bermula pada Jumaat lepas, kesabaran saya benar-benar diuji apabila seorang peguam dan seorang anak guamnya melemparkan kata-kata yang kurang sopan kepada saya, disebabkan pertikaian terhadap isu kecil. Masing-masing nak menang. Anak guamnya dengan selamba menghamburkan kata-kata yang menyiat kesabaran saya. Kebetulan pula, saya baru habis mesyuarat menyiapkan afidavit jawapan bagi kes yang berkaitan. Memang letih sangat, sebab seharian memerah otak untuk menyiapkan jawapan. Bila ter'provoke' dengan kata-kata anak guamnya, saya berkata kepada peguam tersebut (dengan nada agak tinggi sebab stress),'

"I think u should do the talking, not him, since he's already appointed you. " kata saya.
Peguam tersebut meminta anak guamnya berhenti bercakap, tetapi disebabkan anak guamnya tidak berpuas hati dengan saya, dia terus angkat punggung dan berkata kepada peguamnya dengan nada marah," Dah la. Kita dah dengar apa LA MAIS cakap. Tak payah nak cakap panjang2, kita balik aje. Tak guna cakap kalau jawapan macam ni yang kita dapat," katanya marah-marah.

"Takk. Tuan, sekarang ni, u all dah la datang lambat, lepas ofis hour, minta kita extend masa, dah tu put the blame on MAIS. Semua pun salah MAIS, sedangkan tuan-tuan yang lambat sampai. Notis kita dah bagi awal pagi tadi kat peguam tuan," kata saya cuba mengawal keadaan. Dalam hati Allah saja yang tahu, sebab letih campur kena provoke, memang la geram.

"Nanti, nanti," kata peguam itu sambil mengangkat tangannya. "Boleh selesai ni," katanya lagi.

Anak guam beliau yang panas hati bangun dan terus berkata," Awak kena dengar arahan saya. Saya ni anak guam awak, saya beri arahan untuk kita balik saja," katanya marah-marah sambil menarik tangan peguamnya. Walaupun nampak tak puas hati dengan tindakan anak guamnya, dia terpaksa akur dan bangun.

"Terpulang kat Tuan. Isnin nanti boleh datang semula. Kita sentiasa beri peluang," kata saya pendek tetapi tegas.

Saya terus pulang ke rumah untuk solat Asar dan bersiap-siap untuk solat maghrib dan tarawikh di masjid negeri. Selepas Solat Asar, saya termenung sendirian memikirkan kejadian yang baru berlaku. Terasa malu sebab kalah dengan nafsu ammarah tadi. Menyesal dengan tindakan yang saya buat. Sedih sungguh rasanya. Rasa nak je jumpa pakcik tu balik dan minta maaf. (Terfikir nak bagi kurma kat pakcik tu...) Air mata ringan jer mengalir... beratnya nak menjaga hati...

Sengaja saya hadir awal di masjid negeri, untuk mencari ketenangan hati. Awalnya, seorang sahabat yang mengajak untuk bertarawikh bersama, saya tolak dengan baik. "Gi lah tengok muka orang yang tenang, baru cool sket," katanya pada saya. "Hmmm... tak pelah. I need time to be alone," kata saya ringkas. Jemaah memang sedikit semasa saya sampai, sebab saya sampai dalam jam 7.45 pm. Nak parking pun senang. Alhamdulillah... Rasa lebih tenang bila sampai saya. Sempat mendengar ceramah dari Imam Besar mengenai fadhilat Ramadhan. Lepas tarawikh, sempat saya sambung semula kerja-kerja sebelum melelapkan mata.

Sepanjang Sabtu dan Ahad, saya menyiapkan tugasan yang sama, tapi sebab banyak, memang tak dapat nak dihabiskan. Niat asal, tak nak balik, tapi sebab tak leh tahan dengan godaan nak berbuka dengan keluarga di kampung, saya akur dengan kehendak hati, dan saranan sahabat saya, untuk lihat wajah-wajah yang tenang dan saya sayang. Teringat pada abah dan emak, hati meronta-ronta nak balik. "Tak kisahlah siap kerja ker tak, nak balik gak," getus hati saya. Tambahan pula, teman2 serumah saya semuanya pun pulang ke kampung untuk berbuka bersama keluarga. Perjalanan ke kampung rasa mudah dan ceria, sebab jalan pun tak jem. 5 minit sebelum buka saya sampai. Semua adik-beradik lain ada, kecuali yang menuntut di UTM Johor. Terus hilang keserabutan dan kekusutan dalam kepala. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... :)

Pagi ini sekali lagi saya diuji. Seorang pakcik dan isterinya marah-marah kepada saya kerana satu isu yang berbangkit. Berbeza dengan pendekatan hujah balas, saya biarkan pakcik itu melepaskan rasa marahnya. Memang la rasa panas hati, tapi boleh bertahan. Mungkin sebab berpuasa dan pagi tadi bertadarus, rasa lembut sket hati kot. Hehehe..

Apapun, Ramadhan ini masih panjang. Banyak lagi ujian yang bakal saya lalui. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan pada saya untuk bersabar dan melalui ujian-ujian lain, untuk mendapatkan keampunan di akhir Ramadhan ini.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Jumaat, 21 Ogos 2009

Diari - Semoga Ramadhan ini penuh makna..


Salam semua,

Sempena Ramadhan Al-Mubarak tahun ini yang akan bermula esok, saya ingin mengambil peluang ini untuk memohon maaf kepada semua pengunjung blog, kemungkinan ada entry-entry saya yang menyentuh sensitiviti sesetengah pengunjung. Selain berpuasa, semoga Ramadhan ini kita penuhi dengan menunaikan ibadah-ibadah wajib dan sunat seperti bertadarus dan bersolat tarawih. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat menambah iman dan amal kita untuk bekalan di akhirat kelak. Selamat berpuasa dan selamat menyambut Ramadhan 1430H. Semoga puasa kita bukan sekadar mendapat lapar dan dahaga, tetapi diterima Allah. Semoga Ramadhan ini penuh makna.. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani Salwa Jamaluddin
Bangunan Sultan Idris Shah
Shah Alam Selangor

Isnin, 17 Ogos 2009

Peguam Menulis - Cabaran Baru di Pentas Kehakiman

Salam semua,

Dah lama tak menulis disebabkan kesibukan dengan kerja-kerja di pejabat dan aktiviti-aktiviti sosial di luar pejabat. Tambahan pula, sejak Pegawai Syariah MAIS meletak jawatan bermula 1hb Ogos 2009 yang lalu, tak menang tangan dibuatnya. Pagi saya di Mahkamah, petang bergelumang dengan fail-fail dan tugasan di pejabat. Yang tak berapa bagusnya, memang letih laaa, sebab turun naik Mahkamah Syariah. Yang bagusnya, saya amalkan ilmu-ilmu yang saya pelajari di UITM dan UIA, setelah sekian lama tidak beramal sebagai Peguambela dan Peguamcara. Banyak perkara-perkara basic yang saya dah lupa. Rasa pelik semacam jer bila berbicara di hadapan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, sedangkan lima tahun yang lalu, ini amalan biasa saya bila di Mahkamah.

Apapun, saya yakin dan percaya, Allahlah yang telah menetapkan bahawa pada tanggal 12hb Ogos 2009, saya akan mewakili MAIS sebagai Peguam Syarie di hadapan Mahkamah. Walaupun saya mungkin tidak bersedia, hanyasanya Allah jualah yang mengetahui dan meredhai bahawa saya benar-benar telah bersedia untuk cabaran yang baru, di pentas kehakiman.

Apapun, saya berdoa, mudah-mudahan cabaran baru ini dapat saya lalui dengan mudah dan dipermudahkan. Dan semoga redha Allah sentiasa bersama saya. Amin.


"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Selasa, 11 Ogos 2009

Diari - Gembira ...:D

Salam semua,

Pagi tadi, saya risau dan agak kelam kabut bersedia untuk membentang tiga kertas kerja di Mesyuarat MAIS Bil 3/2009. Walaupun ketiga-tiga kertas tersebut telah disiapkan, tetapi perasaan risau tetap ada. Risau kalau ada pertanyaan dari ahli mesyuarat yang tidak dapat dijawab. Malam tadi, saya pulang agak lewat kerana menyemak menyiapkan kertas terakhir.

Satu kertas berkenaan dengan isu hartanah wakaf milik sebuah kolej lama yang dipegang oleh Lembaga Pemegang Amanah Kolej tersebut. Untuk kertas pertama, seorang ahli Majlis yang juga Pengerusi jawatankuasa terbabit menawarkan diri untuk membentang kertas pertama. Kertas kedua berkenaan dengan cadangan pindaan undang-undang persekutuan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan pandangan daripada Majlis Agama Islam negeri-negeri. Semasa pembentangan kertas kedua, saya menjemput beberapa peguam swasta dari Persatuan Peguam Pembela Islam untuk sama-sama berkongsi pandangan mereka di dalam mesyuarat tersebut. Kertas yang kedua ini meminta pandangan daripada MAIS berhubung cadangan pindaan tersebut yang bercanggah dengan Hukum Syarak. Kertas kerja yang ketiga pula lebih menarik, iaitu berkenaan dengan isu penguatkuasaan larangan penjualan arak kepada orang Islam oleh MBSA.

Alhamdulillah, ketiga-tiga paper tersebut, telah dapat saya bentangkan dan diputuskan oleh ahli mesyuarat. Untuk paper pertama, cadangan kami untuk mengadakan pertemuan dengan Lembaga Pemegang Amanah kolej tersebut diluluskan. Untuk paper kedua, cadangan untuk mengadakan muzakarah bagi membincangkan cadangan pindaan kepada undang-undang persekutuan tersebut juga diluluskan. Bagi paper ketiga, cadangan supaya MAIS menguatkuasakan tindakan terhadap orang Islam yang meminum arak. menjual, mengedar, menawar untuk dijual, mempamer, dan yang bersangkutan, diluluskan oleh Mesyuarat. Ini bermakna, MAIS dan JAIS akan melaksanakan tangkapan dan pendakwaan terhadap mana-mana orang islam yang didapati minum arak/ menjual/membeli arak, seperti diperuntukkan di dalam seksyen18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Gembira tak terkata, sebab lega sangat bila dah habis mesyuarat. Tetapi kegembiraan itu tak lama, sebab habis mesyuarat aje, dah diminta untuk membuat program muzakarah berkenaan dengan cadangan pindaan tersebut pada 27/8/2009 oleh YAD Dato' Pengerusi MAIS dengan menjemput wakil-wakil daripada semua Majlis Agama Islam Negeri. Beliau turut meminta saya menyelaras taklimat yang dibuat oleh JAKIM pada 20/8/2009.

Pada sebelah petangnya, saya sempat berkongsi kegembiraan bersama sahabat baik saya yang baru dianugerahkan Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya setelah lima (5) tahun bersusah payah menghabiskan tesis beliau. Tahniah atas kecemerlangan anda, dan teruskan menimba ilmu pengetahuan.

Kegembiraan hari ini tidak berakhir di situ. Saya sempat menziarahi seorang sahabat di Puchong kerana mengalami alahan teruk akibat 'buatan orang'. Alhamdulillah., walaupun nampak pucat, kerana beberapa kali kena masuk air kerana tak lalu makan dan muntah-muntah, tetapi dia tetap jelita, dan bertambah jelita kerana telah turun 13kg tanpa berdiet!. Allah Maha Adil.

Saya dan beberapa sahabat lain yang turut serta pada mulanya berhasrat untuk makan malam di Johnny's.

"Selalu kalau ada Jusco, adalah Johnny's,"kata saya.

Namun niat kami teertangguh kerana di Jusco IOI Mall Puchong tak ada restoran Johnny's.

"Kita makan kat Gembira jer lah Hani," cadang seorang sahabat. "Kat situ meehon gorengnya sedap," katanya lagi. "Ok jer.." balas saya.

Akhirnya, kami berempat makan di Restoran Gembira, yang terletak di seksyen 3 Shah Alam. Alhamdulillah, memang sedap makanannya, dan kami berempat makan dengan gembira. Lepas sampai umah, walaupun rumah bersepah, sebab hati gembira, buat derk jer laa.. heheheh... Alhamdulillah. Terima kasih Allah, kerana memberikan kegembiraan kepadaku, kepada sahabatku dan saudara seislamku yang lain, yang memberikan kami satu ketenangan hati . Sesungguhnya nikmat kegembiraan ini betul-betul satu nikmat yang sangat tidak ternilai, dan mudah-mudahan hari-hari kami yang lain terus dipenuhi dengan nikmat kegembiraan dan ketenangan ini. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi:

Hunny
Shah Alam
10.30 malam

Sabtu, 8 Ogos 2009

Diari - Rumah ini, bukan rumah biasa..

Salam semua,

Semalam saya berkesempatan untuk menziarahi pesakit-pesakit HIV Muslim yang dipindahkan dari sebuah gereja di Rawang oleh Ustaz Amin ke penempatan baru mereka di Petaling Jaya. Sebelum ini, saya sempat berkunjung ke sana semasa penghantaran katil-katil dari Hospital Pakar KPJ Selangor (dahulunya SMC). Semasa pertama kali menziarahi rumah mereka, memang kosong, tak ada apa-apa. Katil tak ada, tilam tak ada, sejadah tak cukup, mesin basuh tak ada, meja kerusi pun tak ada. Saya dimaklumkan oleh Ustaz Amin, sebelum ni mereka tidur atas lantai simen. Sedih saya dengar. Mujurlah masih ada yang sayang dan prihatin, diberikan toto dan selimut untuk alas tidur.

Alhamdulillah. Malam tadi, terdapat banyak keperluan asas yang telah disumbangkan termasuk dari pihak MAIS, KPJ dan orang-orang perseorangan. Meja makan dan kerusi, katil, double decker, almari, cadar, tilam, bantal, mesin basuh dan peti sejuk sumbangan MAIS, telah sampai. Katil sumbangan KPJ juga telah disusun. Sejadah-sejadah bersusun dan terlipat kemas di ruang solat. Suasana lebih ceria berbanding pertama kali saya sampai. Ketika saya sampai, Mohamad Ali, salah seorang pesakit di sana, sedang belajar mengaji dengan Ustaz Yazid, yang ditugaskan untuk memberi bimbingan agama kepada penghuni-penghuni rumah tersebut. Jelas di telinga saya Mohamad Ali mengikut sebutan Ustaz Yazid.

"Alif, Ba, Ta..." sebutnya perlahan-lahan.

Mohamad Ali juga adalah saudara baru (muallaf) yang memeluk Islam pada tahun 2007 di Perkim. Di umur lewat 40-an, kesungguhan beliau untuk belajar mengaji menginsafkan saya.

"Alhamdulillah. Allah Maha Penyayang. Mereka masih mempunyai peluang, itupun jika diberi peluang,"bisik hati saya.

Sebelum pulang saya sempat menghadiahkan mereka kain-kain pelikat dan sejadah untuk solat.

"Rajin-rajin solat yer," kata saya pada Nasa, pesakit HIV yang rajin melayani tetamu. "Mestilah," jawabnya sambil tersenyum. Beliau sempat berkongsi cerita dengan saya semasa kunjungan saya kali pertama dulu. Teringat saya ceritanya.

"Dulu saya pernah balik sekali, nak jumpa anak-anak saya. Anak saya dua orang. Saya orang Pahang. Mak mertua saya halau saya. "KO JANGAN SENTUH CUCU AKU!!," marah emak mertuanya. "Diorang tak terima saya," katanya sedih.

"Kesiannyer," bisik hati saya. Jauh di sudut hati, saya berdoa, mudah-mudahan Allah bantu golongan seperti ini. Golongan ini telah melalui keperitan hidup yang mungkin kita sendiri tidak pernah lalui dan tidak dapat bayangkan. Keperitan, kesakitan, penderitaan mereka, hanya Allah sahaja yang tahu rahsia itu. Mereka perlu dibimbing dan dibantu. Mereka tidak dapat menguruskan diri mereka tanpa dibantu.

Subhanallah! Dan sesungguhnya saya sendiri melihat bantuan Allah itu didatangkan melalui hamba-hambanya yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu, saudara seagama. Disuntiknya keazaman dan kekuatan dalam diri hambaNya untuk membantu. Digerakkan mental dan fizikal hambaNya untuk membantu. Walau apa cabaran dan rintangan, hambaNya tetap meneruskan, kerana hambaNya percaya, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA .

Sekalung penghargaan kepada hamba-hamba Allah yang komited dalam membantu saudara seislam kita, mudah-mudahan Allah terus menetapkan hati-hati kamu untuk berbakti dan bekhidmat di jalanNya. Mudah-mudahan Allah melimpahruahkan rahmatNya atas kamu semua. Kepada hamba-hamba Allah yang lain, mari sama-sama membantu, walau sebesar zarah sekalipun, tetap Allah iktiraf. Rumah ini masih memerlukan sumbangan, termasuklah sebuah van untuk berulang-alik ke hospital. Insyaallah, pihak MAIS sedang dalam proses untuk mendapatkan sebuah van untuk kegunaan rumah ini. Buat sementara waktu ini, ada individu yang prihatin meminjamkan kereta peribadi mereka untuk menghantar pesakit.

Pesakit HIV ini, mereka mahu berubah, cuma mungkin tidak diberi peluang. Hanya cemuhan dan kejian diterima. Dibuang sahabat dan keluarga. Tidak ada siapa yang endah. Akhirnya 'dikutip' dan disayang oleh penganut lain. Pada sebahagian daripada kita, mereka ibarat bangkai bernyawa. Tidak ada nilainya pada kita. Tidak boleh dijadikan contoh pada yang hidup. Namun, sekurang-kurangnya, kita bantu mereka, memperbaiki diri dan meningkatkan amal, sebelum saat terakhir itu tiba. Sekurang-kurangnya, bila ditanya Malaikat pada hari kebangkitan;

"Nurhani, apa yang telah kamu lakukan apabila saudaramu terperangkap di dalam gereja?"

mungkinkah saya telah ada jawapannya?

"Masih ada yang sayang"

Nurhani
Seksyen 3
Shah Alam

Katil2 dari KPJ. Baju putih, Bro Mohamad Ali, baju hitam, Bro Nasa.

Tilam sumbangan KPJ.

Pandangan dari atas rumah.

Dapur basah. Banyak ruang kosong. Kalau dapur kita? Dah tak tahu nak letak barang di mana kan? Sebab dah penuh.

Toto dan bantal sumbangan hamba Allah yang baik hati sementara menunggu bantuan katil dan tilam. Mudah-mudahan Allah membalas satu kebaikan yang mereka buat dengan 10 kebaikan.

Mesin basuh sumbangan MAIS.



Almari pakaian sumbangan MAIS.

Peti ais sumbangan MAIS.

Katil sumbangan MAIS.

Berbaju biru, En Mohd Azis, wartawan dari Berita Minggu. Kata beliau," Kami tak dapat nak sumbang wang ringgit atau barang-barang. Apa kami buat, kami bagi publisiti, mudah-mudahan ramai umat Islam yang membuka mata untuk membantu." Alangkah bagusnya jika semua orang berfikiran seperti En Azis, membantu tak semestinya dengan wang ringgit. Kita boleh menggunakan kelebihan yang ada pada kita yang Allah kurniakan.

Jurugambar Berita Minggu mengambil foto Ustaz Amin bersama-sama sebahagian penghuni rumah HIV ini untuk dimuatkan di dalam Berita Minggu.

Saat saya bertolak balik, kebetulan baru masuk waktu Isyak. Ustaz Yazid mengalunkan azan. Tak perlu disuruh, masing-masing terus mengambil tempat di belakang Imam. Sebak hati saya kerana membayangkan keadaan mereka di gereja sebelum ini. Adakah situasi seperti ini terjadi? Adakah mereka dibimbing seperti ini? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sesungguhnya, rumah ini, bukan rumah yang biasa. Rumah ini didirikan atas dasar taqwa, atas dasar kasih sayang sesama saudara seislam, atas asas bahawa Islam itu satu jemaah, atas dasar kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu sesama Islam, tidak mengira pangkat dan keturunan. Rumah ini membuktikan Islam itu sememangnya seperti bangunan yang kukuh, disokong oleh penganut-penganutnya yang bertaqwa dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk menghidupkan bangunan itu menurut cara Islam yang sebenar. Allahummansurna wal muslimin. Ya Allah, bantulah kami dan (sekelian) orang-orang Islam. Amin.

Peguam Menulis - Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu


Artikel ini saya petik dari TKOdaily.net. untuk saya abadikan dalam blog saya dan mengingatkan saya dan sahabat-sahabat yang berkunjung mengenai kepentingan wasiat ini untuk generasi Melayu kini dan akan datang.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

"Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;


Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain." (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu - yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu - disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah, fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titah baginda.

Justeru, apa tanggungjawab kita yang masih hidup? Sewajarnyalah wasiat itu dilaksanakan dan dipertahankan, khususnya untuk mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan mempertahankan negara dari pengkhianat-pengkhianat bangsa. Bagaimana kita nak mula? Mulakan dengan diri sendiri, berniat dan sentiasa bersedia untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kemudian, mulakan dengan orang yang paling hampir dengan kita. Paling kurang, tinggalkan pesanan, mulakan dengan solat yang lima, kerana terdapat doa paling agung di dalam surah Al-fatihah, Ihdinassirotol mustaqim.. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar.. Amin.. Wallahua'lam.

"Islam diagung, Syariah dijunjung"

Nurhani
Seksyen 3
Shah Alam

7.45 pagi

Jumaat, 7 Ogos 2009

Diari - Bila dah lama tak buat..

Salam semua,

Semalam saya berpuasa sempena meraikan Nisfu Syaaban 1430. Seawal jam 4.30 pagi saya dah bangun untuk bersahur dan bersolat sunat. Memang kebiasaan saya, kalau bangun pagi-pagi, mesti layan kopi, nak tahan mengantuk. Untuk wanita yang 'rajin' macam saya, kopi yang biasa saya minum, mestilah 'kopi instant'! Hehehe... Jenama Manggoda. Sedap kopi ni, sebab ada campuran biji habbatussauda dan manggis. Efeknya, memang taktidur la lepas tu..

Sebelah pagi di pejabat, ok lagi.. bertahan, walaupun ada meeting bersama Ketua Bahagian di MAIS. Selepas Zohor, saya dan seorang pegawai MAIS bertolak ke Hospital PUSRAWI Kajang untuk menguruskan beberapa perkara. Saya memandu sendiri ke sana. Sebab dah lama tak drive, (in fact, saya memang tak suka drive time tengahari and waktu panas, sebab mengantuk) ditambah dengan puasa, memang laaaa mengantuk.. Sahabat saya sampai tersengguk-sengguk menahan ngantuk. Kami berjumpa dengan Encik Omar, Pengurus Operasi di sana. Sempat juga beliau meng'update' kami (selaku pengarah ganti) mengenai kes-kes terkini yang berlaku di Hospital tersebut.

Sampai pejabat lebih kurang jam 5 petang. Saya ingat nak balik dah, tapi seorang kakitangan, Shakirah, memaklumkan beliau nak stay back, dan minta saya menemaninya.

"Kesian pulak budak ni." kata saya.

Saya terus solat Asar. Habis solat memang dah tahan dah ngantuknya, terus tertidur atas sejadah.. Sedar-sedar, Shakirah kejutkan saya, dah pukul 7.15pm. Saya terus siap2 untuk Solat Maghrib, berbuka dengan meneguk air mineral, dan terus mencari tempat nak buka posa. Sebab letih sangat, minta Shakirah yang memandu. Habis berbuka, dalam pukul 9, beliau menghantar saya pulang. Kat rumah, sempat bersembang-sembang sekejap dengan housemate, sebelum melelapkan mata semula pada jam 11 malam.

Punya la mengantuk dan letih, bila puasa. Rasanya sebelum-sebelum ni, ok jer... tapi agaknya sebab dah lama tak buat... Tu la pasal. Peringatan untuk diri sendiri. Kena merajinkan diri untuk berpuasa sunat, tak la teruk sangat. Harap-harapnya, Ramadhan ni, tak la macam ni.. :)

Rabu, 5 Ogos 2009

Diari - Nisfu Syaaban 1430H

Salam semua,

Selepas Maghrib hari ini, 5hb Ogos 2009 adalah bersamaan dengan 15 Syaaban 1430 Hijrah. Bagi umat Islam, hari ini adalah hari Nisfu Syaaban di mana amalan kita diangkat ke langit dan diganti dengan buku amalan yang baru. Digalakkan untuk kita memperbanyakkan ibadah dengan bersolat dan membaca Al-Quran untuk memulakan lembaran baru di dalam buku catatan amalan kita. Marilah sama-sama berdoa semoga amalan kita sepanjang tahun lalu diterima Allah dan mari sama-sama kita memasang niat untuk menambah amal kebajikan di tahun ini. Amin..

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Seksyen 5
Shah Alam

Diari - Mesyuarat Komuniti Syariah MAIS

Salam semua,

Semalam Bahagian saya menganjurkan Mesyuarat Komuniti Syariah MAIS untukmembincangkan beberapa perkara berkaitan dengan pindaan terhadap beberapa undang-undang Persekutuan iaitu, Akta Memperbaharui Undang-Undang, Akta Undang-Undang Keluarga Islam dan Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS. Mesyuarat turut disertai oleh wakil-wakil dari Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Pembela Islam, Jabatan Mufti Selangor, panel-panel peguam MAIS dan beberapa orang ahli MAIS. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan khususnya terhadap cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap Akta Memperbaharui Undang-Undang, yang hanya terpakai terhadap perkahwinan orang bukan Islam.

Antara cadangan yang dikemukakan cuba untuk menyelesaikan isu apabila salah satu pasangan memeluk Islam. Sebelum ini, apabila satu pasangan memeluk Islam, pihak yang memeluk Islam tidak mempunyai hak untuk membatalkan perkahwinan tersebut di Mahkamah Sivil. Hanya yang masih di dalam agama asal boleh memfailkan perceraian di bawah Akta tersebut. Ini memberi kesan kepada pihak yang memeluk Islam kerana dari aspek perundangan sivil, perkahwinan mereka masih lagi berkuatkuasa. Walaupun, kemungkinan ada orang akan berkata;

"Alah, tak kisahlah bicara kat mana pun, janji kes selesai,"

Sebenarnya, mengapa umat Islam, yang mempunyai undang-undang Islam sendiri, perlu memohon di Mahkamah Sivil, sedangkan semua tuntutan boleh dibuat di Mahkamah Syariah? Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa, Islam adalah agama Persekutuan. Sepatutnya Islam dan undang-undang Islamlah yang layak diangkat dan dirujuk, bukan undang-undang sivil. Saya turut dimaklumkan oleh panel peguam yang hadir, bahawa Akta Memperbaharui Undang-Undang itu sebenarnya diilhamkan daripada Undang-undang Kristian. Bagaimana umat Islam harus 'abide' and follow the law, sedangkan ianya bertentangan dengan Islam?

Cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara memberi ruang kepada pasangan yang Islam untuk memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil, dan berhak membuat tuntutan untuk nafkah, hadhanah, harta sepencarian, etc., sedangkan sebagai seorang Muslim, sepatutnya perkara-perkara tersebut diputuskan di Mahkamah Syariah. Tambahan pula, apabila dibicarakan di Mahkamah Sivil, tidak dapat dipastikan sama ada hakim yang bersidang adalah seorang yang Muslim atau tidak.

Terdapat juga beberapa cadangan pindaan yang bercanggah dengan Hukum Syarak. Pada saya, cadangan pindaan ini perlu diteliti dengan merujuk kepada pakar-pakar dan mufti-mufti sebelum sebarang pindaan diluluskan oleh negeri-negeri. Ini kerana, sesuatu undang-undang akan berkuat kuasa untuk tempoh masa yang lama, bukan sehari dua. Generasi kita dan generasi akan datang akan menggunakannya. Mudah-mudahan, umat Islam akan membuka mata dan menyedari, bahawa kita bukan sahaja di attack dari sudut ekonomi, tetapi termasuk juga sudut undang-undang. Insyaallah, saya dan rakan-rakan peguam akan cuba pertahankan, selama mampu. Moga dipermudahkan dan diredhai Allah.


"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani
Shah Alam

Selasa, 4 Ogos 2009

Diari - Satu Anugerah..

Salam semua,

Rasanya baru semalam saya menang naib johan bowling di Melaka, hari ini ada satu lagi episod gembira yang ingin saya kongsikan. Saat saya menaip entry ini, saya baru sahaja pulang dari menghantar emak dan ayah ke rumah kakak di seksyen 19 setelah menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kakitangan MAIS bagi tahun 2008. Alhamdulillah, ini merupakan kali pertama saya menerima anugerah ini sepanjang tempoh 5 tahun bekerja di MAIS. Syukur sangat-sangat. Teringat saya kata-kata seorang pegawai wanita semasa saya dianugerahkan sebagai pemenang Pegawai Contoh MAIS bagi bulan April hingga Jun 2009 yang lalu.

"Tahniah. Lepas ni, mungkin boleh dapat APC (Anugerah Perkhidmatan Cemerlang) pulak" katanya berseloroh.

Rupanya, gurauannya itu menjadi kenyataan. Alhamdulillah. Malam ini, saya merupakan penerima anugerah pertama yang dipanggil untuk menerima anugerah tersebut daripada YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada yang menyokong dan mendoakan saya, khususnya pada emak dan abah yang banyak bersabar dengan kerenah saya. Juga kepada pihak MAIS kerana memilih saya dan memberi penghargaan kepada saya.

Sempat abah berpesan pada saya,"Lepas ni sujud syukur, jangan lupa."

Mudah-mudahan anugerah ini dapat membantu menambahkan rasa seronok untuk bekerja dengan cemerlang dan ikhlas di dalam diri saya. Mudah-mudahan ianya menjadikan saya lebiih baik dan terus cemerlang untuk tahun-tahun akan datang.

Apapun, kecemerlangan merupakan sesuatu perkara yang subjektif. Bagi umat Islam, cemerlang itu adalah apabila kita cemerlang di dunia tanpa melupakan akhirat dan menempah tiket ke syurga dengan kita bawa bersama semua ahli keluarga kita. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang cemerlang dan terus berjaya.

"Yang Bersyukur"
Nurhani

Seksyen 3 Shah Alam

Sijil dan wang tunai, anugerah bagi yang cemerlang.

VVIP (Very Important Persons In My Life) saya malam ini, mak dan abahku. Tanpa doa mereka, mana mungkin aku di sini..

Bersama kakitangan Bahagian Undang-Undang MAIS yang turut hadir. Lepas ni, korangnya turn plak.

Merakam kenangan bersama VVIP pada majlis tersebut, YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS, SS Dato' Pengarah JAIS dan Timbalan Setiausaha MAIS.

Berkongsi kegembiraan bersama anak-anak buahku. Kalaulah 'kecemerlangan' ini boleh ku wariskan, kan baguss...

Ahad, 2 Ogos 2009

Diari - We did it!

Salam semua,

Malam tadi, selepas selesai program penerangan undang-undang mengenai mualaf di Concorde Inn Sepang, saya dan dua orang sahabat meneruskan perjalanan ke Ayer Keroh, Melaka untuk menyertai Kejohanan Bowling Antara Agensi Agama Peringkat Zon Selatan. Disebabkan pemandu yang sepatutnya menghantar kami mengadakan majlis kenduri arwah di rumahnya, dia bertolak lewat dari Banting. Lebih kurang jam 1.15 pagi, kami bertolak dari Sepang. Kami sampai di Melaka lebih kurang jam 3.30 am. Kami tidur di rumah seorang sahabat kami di Bukit Katil. Sebab dah letih, saya tidur saja di belakang.

Pagi tadi, seawal jam 9 pagi kami sudah berada di Melaka International Trade Center, yang terletak kira-kira 5 minit dari Bukit Katil. Terdapat 60 pasukan yang berdaftar untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan Majlis Agama Islam Melaka. Setiap kumpulan mempunyai dua orang ahli (beregu). MAIS menghantar 4 pasukan, tiga pasukan lelaki (MAIS. KUIS dan LZS) manakala saya dan sahabat saya Suzana, satu-satunya beregu wanita mewakili MAIS.

Kami bermain 4 set permainan. Alhamdulillah, beregu saya dan Suzana berjaya merangkul Naib Johan Beregu Wanita pada kejohanan kali ini. Mata terkumpul kami lebih kurang 1069 mata (Suzana : 539 jatuhan pin, Saya : 530 jatuhan pin). Beregu lelaki dari KUIS pula mendapat tempat keenam. Dua beregu lagi tidak bernasib baik pada kali ini. Takper guys! Cuba lagi lain kali.

Kejohanan kali ini memberikan satu pengalaman manis kepada saya, kerana bermain di gelanggang bowling terbesar di Asia dan Malaysia (ada 51 lane bowling. Yang saya tahu, setakat ni paling banyak 36 lane jer, di Sunway Pyramid). Baru semalam, 1hb Ogos 2009,gelanggang bowling ini dirasmikan pembukaannya oleh YAB Menteri Besar Melaka. Dato' Mohd Ali Rustam. Lebih menyeronokkan, inilah kejohanan pertama yang diadakan di pusat bowling tersebut.

Apapun, tahniah kepada KSK Majlis Agama Islam Melaka kerana berjaya menganjurkan kejohanan seperti ini. Semoga perhubungan di antara agensi-agensi agama di seluruh Malaysia berjaya diperkasa melalui aktiviti-aktiviti seumpama ini. Pada yang menang, tahniah, pada yang kalah kita cuba lagi di tahun-tahun akan datang.

"Majulah sukan untuk Islam"
"Badan sihat otak cerdas"

Hani
Seksyen 3
Shah Alam
Piala 'kiut' untuk Naib Johan.

Diari - Program Ijtimak Pegawai Dakwah Mualaf 2009

Salam semua,

Hari ini saya dijemput menghadiri Program Ijtimak Pegawai Dakwah Mualaf bagi tahun 2009. Tujuan saya dijemput adalah untuk menjelaskan kepada Pegawai Dakwah Mualaf mengenai Peraturan-Peraturan Pendaftaran, Pengajaran dan Penjagaan Mualaf (Negeri Selangor) 2009 yang baru dikuatkuasakan pada 4 Jun 2009 yang lalu. Urusetia turut menjemput Tuan Mohd Fouzi Bin Mokhtar, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri sebagai Penceramah pada malam itu. Oleh kerana tajuk yang sama diberikan kepada kami, memandangkan status beliau lebih tinggi dari saya (kerana beliau bekerja di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor) saya memutuskan supaya Tuan Fouzi sahaja yang membentang, dan saya hanya membantu sahaja.

Tujuan peraturan tersebut digubal adalah untuk menjaga beberapa perkara penting terutamanya mengenai proses pengislaman seseorang. Di dalam kes Siti Fatimah Tan yanng berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini, memberikan kesan besar kepada badan-badan agama dan Majlis Agama yang melaksanakan pengislaman. Ini kerana, di dalam kes tersebut, pengislaman siti Fatimah Tan dikatakan tidak sah kerana beberapa faktor, antaranya kerana beliau tidak memahami maksud kalimah syahadah. Kemudian dari sudut kesaksian juga perlu dipatuhi. Paling penting, adalah pendaftaran sebagai seorang mualaf dan perakuan memeluk Islam kerana keduanya adalah bukti kukuh bahawa seseorang itu telah memeluk Islam.

Banyak perkara penting yang perlu dipelajari oleh pegawai dakwah dalam mempersiakan diri mereka untuk bertemu dengan orang bukan Islam. Mudah-mudahan ilmu yang dikongsikan tadi dapat membantu mereka menjalankan tanggungjawab dan kebajikan. Insyaallah.

Tolong tekan enter jer pun jadilah... paling penting kita turut serta.

Tuan Mohd Fouzi Bin Mokhtar, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri
Antara Pegawai MAIS yang turut serta.


"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani
Concorde Inn KLIA
Sepang

Justify Full