Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 8 Ogos 2009

Peguam Menulis - Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu


Artikel ini saya petik dari TKOdaily.net. untuk saya abadikan dalam blog saya dan mengingatkan saya dan sahabat-sahabat yang berkunjung mengenai kepentingan wasiat ini untuk generasi Melayu kini dan akan datang.

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

"Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melalyu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;


Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain." (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu - yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu - disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah, fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titah baginda.

Justeru, apa tanggungjawab kita yang masih hidup? Sewajarnyalah wasiat itu dilaksanakan dan dipertahankan, khususnya untuk mempertahankan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan mempertahankan negara dari pengkhianat-pengkhianat bangsa. Bagaimana kita nak mula? Mulakan dengan diri sendiri, berniat dan sentiasa bersedia untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kemudian, mulakan dengan orang yang paling hampir dengan kita. Paling kurang, tinggalkan pesanan, mulakan dengan solat yang lima, kerana terdapat doa paling agung di dalam surah Al-fatihah, Ihdinassirotol mustaqim.. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kita jalan yang benar.. Amin.. Wallahua'lam.

"Islam diagung, Syariah dijunjung"

Nurhani
Seksyen 3
Shah Alam

7.45 pagi

Tiada ulasan: