Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 8 Ogos 2009

Diari - Rumah ini, bukan rumah biasa..

Salam semua,

Semalam saya berkesempatan untuk menziarahi pesakit-pesakit HIV Muslim yang dipindahkan dari sebuah gereja di Rawang oleh Ustaz Amin ke penempatan baru mereka di Petaling Jaya. Sebelum ini, saya sempat berkunjung ke sana semasa penghantaran katil-katil dari Hospital Pakar KPJ Selangor (dahulunya SMC). Semasa pertama kali menziarahi rumah mereka, memang kosong, tak ada apa-apa. Katil tak ada, tilam tak ada, sejadah tak cukup, mesin basuh tak ada, meja kerusi pun tak ada. Saya dimaklumkan oleh Ustaz Amin, sebelum ni mereka tidur atas lantai simen. Sedih saya dengar. Mujurlah masih ada yang sayang dan prihatin, diberikan toto dan selimut untuk alas tidur.

Alhamdulillah. Malam tadi, terdapat banyak keperluan asas yang telah disumbangkan termasuk dari pihak MAIS, KPJ dan orang-orang perseorangan. Meja makan dan kerusi, katil, double decker, almari, cadar, tilam, bantal, mesin basuh dan peti sejuk sumbangan MAIS, telah sampai. Katil sumbangan KPJ juga telah disusun. Sejadah-sejadah bersusun dan terlipat kemas di ruang solat. Suasana lebih ceria berbanding pertama kali saya sampai. Ketika saya sampai, Mohamad Ali, salah seorang pesakit di sana, sedang belajar mengaji dengan Ustaz Yazid, yang ditugaskan untuk memberi bimbingan agama kepada penghuni-penghuni rumah tersebut. Jelas di telinga saya Mohamad Ali mengikut sebutan Ustaz Yazid.

"Alif, Ba, Ta..." sebutnya perlahan-lahan.

Mohamad Ali juga adalah saudara baru (muallaf) yang memeluk Islam pada tahun 2007 di Perkim. Di umur lewat 40-an, kesungguhan beliau untuk belajar mengaji menginsafkan saya.

"Alhamdulillah. Allah Maha Penyayang. Mereka masih mempunyai peluang, itupun jika diberi peluang,"bisik hati saya.

Sebelum pulang saya sempat menghadiahkan mereka kain-kain pelikat dan sejadah untuk solat.

"Rajin-rajin solat yer," kata saya pada Nasa, pesakit HIV yang rajin melayani tetamu. "Mestilah," jawabnya sambil tersenyum. Beliau sempat berkongsi cerita dengan saya semasa kunjungan saya kali pertama dulu. Teringat saya ceritanya.

"Dulu saya pernah balik sekali, nak jumpa anak-anak saya. Anak saya dua orang. Saya orang Pahang. Mak mertua saya halau saya. "KO JANGAN SENTUH CUCU AKU!!," marah emak mertuanya. "Diorang tak terima saya," katanya sedih.

"Kesiannyer," bisik hati saya. Jauh di sudut hati, saya berdoa, mudah-mudahan Allah bantu golongan seperti ini. Golongan ini telah melalui keperitan hidup yang mungkin kita sendiri tidak pernah lalui dan tidak dapat bayangkan. Keperitan, kesakitan, penderitaan mereka, hanya Allah sahaja yang tahu rahsia itu. Mereka perlu dibimbing dan dibantu. Mereka tidak dapat menguruskan diri mereka tanpa dibantu.

Subhanallah! Dan sesungguhnya saya sendiri melihat bantuan Allah itu didatangkan melalui hamba-hambanya yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu, saudara seagama. Disuntiknya keazaman dan kekuatan dalam diri hambaNya untuk membantu. Digerakkan mental dan fizikal hambaNya untuk membantu. Walau apa cabaran dan rintangan, hambaNya tetap meneruskan, kerana hambaNya percaya, SESUNGGUHNYA ALLAH BERSAMA KITA .

Sekalung penghargaan kepada hamba-hamba Allah yang komited dalam membantu saudara seislam kita, mudah-mudahan Allah terus menetapkan hati-hati kamu untuk berbakti dan bekhidmat di jalanNya. Mudah-mudahan Allah melimpahruahkan rahmatNya atas kamu semua. Kepada hamba-hamba Allah yang lain, mari sama-sama membantu, walau sebesar zarah sekalipun, tetap Allah iktiraf. Rumah ini masih memerlukan sumbangan, termasuklah sebuah van untuk berulang-alik ke hospital. Insyaallah, pihak MAIS sedang dalam proses untuk mendapatkan sebuah van untuk kegunaan rumah ini. Buat sementara waktu ini, ada individu yang prihatin meminjamkan kereta peribadi mereka untuk menghantar pesakit.

Pesakit HIV ini, mereka mahu berubah, cuma mungkin tidak diberi peluang. Hanya cemuhan dan kejian diterima. Dibuang sahabat dan keluarga. Tidak ada siapa yang endah. Akhirnya 'dikutip' dan disayang oleh penganut lain. Pada sebahagian daripada kita, mereka ibarat bangkai bernyawa. Tidak ada nilainya pada kita. Tidak boleh dijadikan contoh pada yang hidup. Namun, sekurang-kurangnya, kita bantu mereka, memperbaiki diri dan meningkatkan amal, sebelum saat terakhir itu tiba. Sekurang-kurangnya, bila ditanya Malaikat pada hari kebangkitan;

"Nurhani, apa yang telah kamu lakukan apabila saudaramu terperangkap di dalam gereja?"

mungkinkah saya telah ada jawapannya?

"Masih ada yang sayang"

Nurhani
Seksyen 3
Shah Alam

Katil2 dari KPJ. Baju putih, Bro Mohamad Ali, baju hitam, Bro Nasa.

Tilam sumbangan KPJ.

Pandangan dari atas rumah.

Dapur basah. Banyak ruang kosong. Kalau dapur kita? Dah tak tahu nak letak barang di mana kan? Sebab dah penuh.

Toto dan bantal sumbangan hamba Allah yang baik hati sementara menunggu bantuan katil dan tilam. Mudah-mudahan Allah membalas satu kebaikan yang mereka buat dengan 10 kebaikan.

Mesin basuh sumbangan MAIS.



Almari pakaian sumbangan MAIS.

Peti ais sumbangan MAIS.

Katil sumbangan MAIS.

Berbaju biru, En Mohd Azis, wartawan dari Berita Minggu. Kata beliau," Kami tak dapat nak sumbang wang ringgit atau barang-barang. Apa kami buat, kami bagi publisiti, mudah-mudahan ramai umat Islam yang membuka mata untuk membantu." Alangkah bagusnya jika semua orang berfikiran seperti En Azis, membantu tak semestinya dengan wang ringgit. Kita boleh menggunakan kelebihan yang ada pada kita yang Allah kurniakan.

Jurugambar Berita Minggu mengambil foto Ustaz Amin bersama-sama sebahagian penghuni rumah HIV ini untuk dimuatkan di dalam Berita Minggu.

Saat saya bertolak balik, kebetulan baru masuk waktu Isyak. Ustaz Yazid mengalunkan azan. Tak perlu disuruh, masing-masing terus mengambil tempat di belakang Imam. Sebak hati saya kerana membayangkan keadaan mereka di gereja sebelum ini. Adakah situasi seperti ini terjadi? Adakah mereka dibimbing seperti ini? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sesungguhnya, rumah ini, bukan rumah yang biasa. Rumah ini didirikan atas dasar taqwa, atas dasar kasih sayang sesama saudara seislam, atas asas bahawa Islam itu satu jemaah, atas dasar kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu sesama Islam, tidak mengira pangkat dan keturunan. Rumah ini membuktikan Islam itu sememangnya seperti bangunan yang kukuh, disokong oleh penganut-penganutnya yang bertaqwa dan mempunyai rasa tanggungjawab untuk menghidupkan bangunan itu menurut cara Islam yang sebenar. Allahummansurna wal muslimin. Ya Allah, bantulah kami dan (sekelian) orang-orang Islam. Amin.

7 ulasan:

leenoh berkata...

Salam Hani.
Pak Ngah rasa kagum dengan usaha tersebut.Allah telah memberi peluang kepada anda semua melakukannya kerana anda gemarkannya maka Allah izinkannya.
Allah sayangkan kalian. semoga berjaya mendapat keredaan-Nya.

sentosa77 berkata...

Salam Hani..
Saya pun kagum juga..

MaRdHatILLah(Fatahiyyah) berkata...

alhamdulillah..dh dpt bntuan dh..

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,

Mudah-mudahan kita semua mendapat redhaNya..:)

Hunny berkata...

Salam Zaidon,

Boleh la Encik Zaidon ziarah diorang ni. Sekurang2nya, kita ambil iktibar dan jadikan pengajaran.Kawan ketawa senang dicari, kawan menangis?

Hunny berkata...

Salam Ayong;

ALhamdulillah...:)Mereka masih perlu bantuan dan bimbingan.

Hunny berkata...

terima kasih kerana sama-sama membantu saudara-saudara seIslam kita di sana. Semoga terus di beri kekuatan oleh Allah