Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Rabu, 14 Oktober 2009

Diari - Tak tau nak tulis apa...

Salam semua,

Hari ni, sejak jam 8.30 pagi saya sudah berada di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk kes MAIS. Lebih kurang jam 11.40, kes-kes sebutan selesai. Saya, Pendaftar Muallaf Negeri Selangor dan Pegawai Wakaf MAIS bergegas untuk menghadiri program di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan MAIS untuk program sambutan Aidilfitri di sana. Sepanjang perjalanan pergi, saya tidur sebab keletihan dan terlalu lapar sebab tak sempat bersarapan.

Sampai di sana, saya diminta pula menjadi juri untuk pertandingan gerai tercantik. Walaupun majlisnya ringkas, tetapi meriah dengan kehadiran tetamu-tetamu dari kawasan berdekatan dan penghuni-penghuni pusat perlindungan tersebut.

"Umur berapa tahun dik?"tanya saya saja beramah mesra bersama beberapa orang penghuni di situ.

"Saya 19, dia 15, dia ni 19," jawabnya.

"Habis, ambik periksa kat mana?" tanya saya lagi.

"Saya dah tak sekolah, kalau yang ambik peksa, nanti diorang uruskan. Ambik periksa kat sini, ada orang datang" jawabnya.

"Yang adik ni, dah lama duduk sini?" tanya saya pada seorang lagi.

"Dah lama, saya dah ada anak pun. Ini saya tengah mengandung 7 bulan," jawabnya. Saya memerhatikan matanya yang berwarna coklat cair. Cantik! Bisik hati saya.

"Oh! Habis tu, anak sapa jaga?" tanya saya berminat nak tahu, kerana ini bermakna, paling kurang, beliau sudah dua kali melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Emak dengan ayah jaga, sebab saya pun tak tahu bila boleh keluar," katanya.

Tuhan! Dalam usia semuda ini, adik-adik ini sudah terjebak dengan maksiat dan keterlanjuran. Persetubuhan tanpa nikah sudah menjadi kebiasaan. Jenayah syariah kerana khalwat sudah menjadi asam garam mereka. Kerana itu mereka ditempatkan di sini. Untuk diberi pemulihan akhlak dan untuk dilindungi. Mereka diberi alternatif daripada dihukum penjara, yang akan memudharatkan adik-adik ini.

Wajah-wajah suci itu ku tatap.. Serasa seperti mahu ku tanya, tetapi berat mulutku nak mengucapkannya.. Adik-adikku.. Mengapa tergamak kau lakukan maksiat itu? Ke mana pergi aqal fikiranmu? Mana rasa malumu? Mana rasa takutmu? Mana ibu bapamu? Pernahkah mereka tanya ke mana kamu pergi, dengan siapa kamu berkawan, di mana kamu pada waktu2 yang sepatutnya kamu berada di rumah?



Oh Tuhan! Bagaimana nasib anak-anak generasi akan datang? Takut untuk ku bayangkan..Adik-adik ini sudah cukup membuktikan, kebejatan akhlak generasi masa kini.. Mudah-mudahan bimbingan dan pengajaran di Baitul Ehsan dapat menyedarkanmu, dan mematangkanmu dalam membuat pertimbangan.Di pusat ini, kami berusaha membantumu sekadar termampu, selebihnya terpulang pada dirimu dik! Bertaubatlah dik!Mudah-mudahan Allah terima taubatmu!



Pesanan pada diriku dan semua umat Islam! Ayuh sama-sama membantu, sebarkan ilmu dan dakwah sehabis mampu pada generasi kita. Manalah kita tahu, kemungkinan berkat satu pesanan yang kita beri, walau sebaris ayat, membantu menghalang adik-adik kita ini daripada ternoda di usia yang sangat muda. Teruskan berpesan-pesan untuk kebaikan. Semoga Allah memudahkan urusan kita membuat kebajikan. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani

Shah Alam
Selangor

4 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

Allah yang mencipta manusia, Dia mengetahui segalanya, sebab itulah sejak dari awal Allah memperingat dan melarang manusia mendekatinya. Jika sudah dekat tiada jaminannya lagi.

Iman kita pula ada kalanya bertambah dan ada ketikanya pula surut.

Hanya pada Allah kita memohon agar terhindar daripada dosa besar.amin.

DrSam berkata...

Salam Hani,
memang menjadi tanggungjawab kita, masyarakt dan terutama ibubapa untuk memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak agar dapat menilai mana yang dilarang oleh agama dan mana yang betul.

Pengaruh dan syaitan ada dimana-mana dan makin berleluasa. Semoga semua anak-anak kita dilindungiNYA.

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,

Betullah tu.. Kita kena selalu berdoa mohon dihindari daripada berbuat dosa besar.

Hunny berkata...

Salam Dr Sam,

Sebenarnya, banyak lagi faktor lain. Cuma saya mengambil pendekatan hukum syarak, penjaga yang sah untuk anak perempuan, sebelum berkahwin adalah ayah dan ibu. Parental advisory dan supervision memang sangat2 penting, lebih2 lagi untuk budak2 belasan tahun yang mudah dipengaruhi. Mudah2an kita semua dilindungiNya.