Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 20 Disember 2009

Diari - Perjalanan Hijrah 1431

Salam semua,

Sudah lama saya tidak menulis disebabkan tahap kesihatan yang kurang baik dan kesibukan menyiapkan kerja-kerja Bahagian sebelum berakhir tahun 2009. Setelah beberapa malam tidak dapat tidur yang berkualiti kerana terganggu dengan batuk dan selsema yang berpanjangan, akhirnya malam tadi saya dapat tidur lena. Itupun setelah menelan ubat-ubatan yang diberi oleh sebuah klinik di Shah Alam.

Perjalanan Hijrah I

Pada 13hb- 15hb yang lalu, saya dan beberapa kakitangan MAIS yang lain, bertolak ke Pulau Pinang untuk menghadiri program Bengkel Penafaran KPI MAIS yang dikendalikan oleh Yang Bhg Dato' Aidit bin Ghazali, perunding motivasi dari Akademi Aidit. Program kami sangat penuh di sana, sehinggakan apabila ada waktu terluang, saya lebih suka berehat di bilik sahaja. Sementelahan, badan pun rasa kurang sihat, kemungkinan disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan panjang dengan menaiki bas JAIS. Malamnya pula, saya tak henti-henti batuk, dan selsema pun semakin teruk, yang menambahkan lagi rasa kurang selesa. Bagaimana agaknya keadaan Rasulullah semasa hijrah beliau ke Madinah? Tentu lebih sukar dan lebih banyak cabarannya, tetapi dia tak pernah berkeluh-kesah.


Perjalanan Hijrah II

Pada hari Rabu dan Khamis, kami mengadakan Bengkel untuk menyemak dan membuat target/ sasaran kerja Bahagian Undang-Undang MAIS untuk tahun 2010, di samping memperbaiki Fail Meja masing-masing kerana pasukan Audit Dalaman ISO MAIS akan membuat auditan pada minggu hadapan, bermula 21hb hingga 23hb Disember 2009. Kami perlu bersedia berhijrah, daripada perkara yang lama kepada yang baru.


Perjalanan Hijrah III

Khamis malam, bertepatan dengan 1 Muharam 1431, saya dijemput untuk menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah bersama anak-anak yatim dan al-hafiz Yayasan Al-Ijabah di USJ 4. Saya mengajak tiga orang sahabat MAIS untuk bersama-sama membaca doa awal dan akhir tahun di sana. Selepas program selesai, saya dan dua orang adik saya pulang ke kampung dan kami sampai di kampung lebih kurang jam 1.30 pagi. Semoga semua pihak yang hadir dapat merasai pengalaman berhijrah bersama anak-anak yatim ini.

Jumaat pagi, satu mesej sampai di telefon saya;

"Hani. Mung tau dok, bila Dr Yusof mari ceramah di Masjid negeri?" Asmak.

Saya terus menghubungi PRO JAIS dan MAIS bertanyakan mengenai masa dan tempat ceramah al-fadhil Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi. Saya mengesahkan maklumat yang diterima daripada PRO MAIS dan JAIS bahawa program tersebut akan diadakan selepas solat maghrib di Masjid Negeri.


Perjalanan Hijrah IV

Semalam, saya sempat menghadiri dua majlis kenduri walimatul urus kakitangan MAIS di Batang Kali dan di Shah Alam. Meriah perkahwinan kedua-dua pasangan mempelai tersebut. Paling seronok, apabila melihat wajah pengantin perempuannya, yang tak putus-putus menguntum senyuman! Jelas kebahagiaan terpancar di wajah mereka. Saya mendoakan semoga kadua-dua pasangan ini beroleh kebahagiaan berpanjangan dan dapat menjadi isteri-isteri dan suami-suami yang solehah dan soleh, serta mendapat zuriat yang soleh dan solehah. Mereka baru sahaja berhijrah daripada kehidupan keluarga yang lama dan membina keluarga yang baru. Semoga hijrah mereka bermanfaat kepada agama dan ummah.


Perjalanan Hijrah V

Pulang dari majlis perkahwinan, saya dan adik perempuan saya berehat sebentar di kediaman saya di Shah Alam sementara menanti waktu Maghrib, untuk solat di masjid negeri dan menghadiri program ceramah Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi. Kami sampai di perkarangan masjid lebih kurang jam 7.16. Keadaan penuh sesak dan menyukarkan kami untuk mencari parking. Setelah berpusing beberapa kali, saya mendapati jemaah-jemaah telah pun membuat double parking. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membuat double parking di sebelah sebuah kereta Mercedes Benz. Saya juga meninggalkan nombor telefon saya, takut2 kalau kereta di belakang saya menghadapai perkara emergency untuk keluar segera.

Masuk-masuk sahaja ke dewan solat, saya kagum dengan bilangan jemaah yang hadir yang luar biasa ramainya. Penuh dewan solat utama dengan jemaah yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Alhamdulillah! Bisik hati saya. Betullah Allah kata, Allah meninggikan darjat orang-orang yang berilmu. Majlis berlangsung dengan ucapan perasmian oleh YAB Menteri Besar Selangor. Antara lain, Dr Yusof mengupas mengenai kepentingan berhijrah dan kesan-kesannya kepada kesatuan umat Islam. Beliau turut mengaitkan hijrah dengan konsep kesatuan ummah, iaitu bila mana suku Aus dan Khazraj bergabung untuk membantu Nabi Muhammad SAW, serta orang-orang Muhajirin dan Ansar. Dan inilah hijrah yang paling agung, yang tercatat dalam sejarah, iaitu hijrah seseorang hambaNya kerana Allah. Mudah-mudahan kita beroleh hijrah yang paling agung ini.

Insyaallah gambar-gambarnya, ada kelapangan nanti, saya upload.

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Kampung Raja Musa

Kuala Selangor

2 ulasan:

leenoh berkata...

Salam Hani.

Pada masa sihat amalkan minum atau menelan beberapa titik madu lebah tualang, dapatkan yang asli dari MARDI madu Kuala Nerang, Kedah.atau mana-mana keluaran,

Insya Allah selsema akan dapat dikurangkan dan badan pun sihat....begitulah kata Tok Moh...he3

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,

Insyaallah... saya cuba la petua Tok Moh baru ni.. mana tau, berkesan.. Boleh la bukak business pas ni..heheheh..