Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Khamis, 3 Disember 2009

Peguam Menulis - Kepentingan sebiji batu

Batu Bersurat Terengganu
Salam semua,

Semalam, Batu Bersurat Terengganu mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Daftar Memori Dunia Antarabangsa (MWIR).

Ini merupakan pengiktirafan keempat yang diperolehi Malaysia selepas Hikayat Hang Tuah (2001), Sejarah Melayu (2001) dan Surat-Surat Sultan Abdul Hamid (2001) iaitu di bawah kategori yang sama, menurut Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yati.

Merujuk kepada Wikipedia, Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan bertulisan jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Malaysia (di Terengganu) sebelum tahun 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang pada tahun 1899.

Isi teks batu bersurat ini mengenai undang-undang seorang raja. Catatan yang terkandung pada batu ini menyebut Islam sebagai agama rasmi dan menerangkan hukum-hukum Islam tentang maksiat dan segala kemungkaran. Catatan ini dipercayai sebagai bukti kedatangan agama Islam di Terengganu pada tahun 1303. Batu bersurat ini disimpan di Istana Sultan Terengganu sebelum di pindahkan ke Arkib Negara pada tahun 60-an.

Tarikh tepat bagi penulisan batu bersurat ini tidak dapat ditentukan dengan tepat. Teks pada batu bersurat ini ada menyatakan mengenai tarikh ia ditulis, iaitu "Jumaat"di bulan Rejab di tahun saratan di sasanakala Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua". Namun begitu, mesej teks ini agak kabur dan menimbulkan keraguan dalam kalangan sejarawan. Menurut kajian yang dilakukan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naguib Al-Attas, tarikh bagi batu bersurat ini ialah Jumaat, 4 Rejab 702 H, bersamaan dengan 22 Februari 1303M.

Mungkin sebahagian pembaca berpandangan bahawa batu ini tidak ada apa-apa kepentingan pun kepada kita. Apapun, saya berpandangan sebaliknya. Sebenarnya, yang paling signifikan untuk sama-sama difikirkan adalah, betapa sebiji batu bersurat ini membuktikan bahawa Islam telah bertapak sekian lama di Malaysia. Dan bahawasanya undang-undang Islam itu sendiri telah digunapakai dan diamalkan di Tanah Melayu sejak 1303. Bukan undang-undang Inggeris, bukan Perlembagaan Persekutuan, yang hanya terbentuk selepas pembentukan Malaysia. Bukan undang-undang yang digubal oleh British semasa zaman kependudukan Jepun atau pemerintahan resident. Bukan undang-undang yang dibuat oleh manusia, tetapi undang-undang Islam yang diiktiraf oleh Allah swt. Justeru, undang-undang ini telah terpakai sejak sekian lama, tetapi termansuh dengan kedatangan British Resident yang memperkenalkan undang-undang bertulis melalui Charter of Justice yang pertama pada tahun 1807. Oleh itu, tidak mustahil apabila kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia digubal dengan sedemikian rupa yang memberi kelebihan dan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam, iaitu sebagai agama persekutuan. Justeru adalah amat wajar sekiranya terdapat percanggahan di antara undang-undang Perlembagaan Malaysia dengan undang-undang islam atau Hukum Syarak, makanya undang-undang Islam dan Hukum Syarak yang sepatutnya kekal dan mengatasi undang-undang perlembagaan.

Walaupun hanya sebiji batu, ia sangat signifikan. Ia merupakan asas permulaan undang-undang Islam di Malaysia. Semoga 'kesan' daripada kewujudan batu ini di Malaysia diteruskan. Semoga satu hari nanti undang-undang Syariah akan diamalkan keseluruhannya di Malaysia. Amin.


"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani

Seksyen 3

Shah Alam

2 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

"Justeru adalah amat wajar sekiranya terdapat percanggahan di antara undang-undang Perlembagaan Malaysia dengan undang-undang Islam atau Hukum Syarak, makanya undang-undang Islam dan Hukum Syarak yang sepatutnya kekal dan mengatasi undang-undang perlembagaan".

Merujuk kepada ulasan Hani di atas umat Islam sepatutnya memberikan sokongan kepada pihak yang berusaha ke arah itu.

Hunny berkata...

salam Pak Ngah,

Setuju benar dengan pandangan Pak Ngah :)