Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 2 Mac 2010

Peguam Menulis - Muzakarah Pakar IKIM " Memperkasakan Undang-Undang Berkaitan Islam : Peranan Majlis Agama Islam Negeri"


Salam semua,

Pada sebelah pagi tadi saya bersama Timbalan Setiausaha MAIS, Tuan Hj Abdul Halem Hapiz Salihin menghadiri Muzakarah Pakar di IKIM yang bertajuk "Memperkasakan Undang-Undang Berkaitan Islam : Peranan Majlis Agama Islam Negeri". Sebelum bertolak, saya sempat menyelesaikan beberapa perkara mengenai mesyuarat pada sebelah petang di MAIS yang akan dipengerusikan oleh YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS.

Kerana jalan sesak, kami sampai tepat-tepat pada jam 9 pagi, iaitu waktu program bermula. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh seorang Ustaz dari IKIM. Timbalan Pengarah IKIM, Prof Datin Paduka Dr Zaleha Kamaruddin mempengerusikan muzakarah dan bertindak selaku moderator. Antara pembentang kertas kerja adalah Tuan Hj Mahamad Naser Disa, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Syariah) dan Peguam Kanan Persekutuan, Dato' Hj Faiza Thamby Chik, Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tuan Mohamed Fouzi Mokhtar, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan Tan Sri Syeikh Ghazali, Penasihat Syariah Jabatan Peguam Negara. Peserta yang hadir kebanyakkannya wakil-wakil jabatan agama, majlis agama, jabatan mufti, jabatan kehakiman syariah, pengamal undang-undang dan ahli akademik dari pusat-pusat pengajian tinggi.

Kertas-kertas kerja yang dibentangkan menyentuh pelbagai isu perundangan, termasuk takat bidang kuasa persekutuan, had bidang kuasa Negeri dalam menggubal undang-undang berkaitan Islam menurut Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa dan peranan Majlis Agama Islam Negeri sebagai penasihat agama dan pihak berkuasa utama dalam semua hal ehwal pentadbiran agama Islam dalam negeri masing-masing selepas DYMM Sultan. Turut ditimbulkan adalah konflik perundangan yang sering berlaku di antara negeri dan persekutuan dan pengalaman Majlis Agama Islam Selangor dalam memperkasa undang-undang berkaitan Islam.

Usai pembentangan, sesi soal-jawab diadakan. Terdapat banyak persoalan dan cadangan yang ditimbulkan. Namun menurut pemerhatian saya terdapat sebilangan wakil-wakil jabatan yang hadir sebagai peserta masih kurang memahami bidang kuasa majlis agama sebagai pihak berkuasa agama utama dalam negeri. Masih banyak persoalan mengenai kekaburan undang-undang yang ditimbulkan mengenai kuasa-kuasa Majlis. Persoalan-persoalan sedemikian menyebabkan saya terfikir, "bagaimana mahu menasihati Sultan dan mentadbir hal ehwal islam, jika penasihat dan pentadbir serta pelaksananya tidak TAHU takat kuasa dan ilmu mengenai pentadbiran undang-undang Islam?" Pada saya, kefahaman dan ilmu perlu dipasak di dalam setiap penasihat dan pentadbir di setiap majlis agama. Tanpa ilmu dan kefahaman, bagaimana mahu melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi.

Saya turut berkongsi pandangan saya bersama peserta yang hadir. Terdapat 7 cadangan yang saya kemukakan supaya setiap Majlis Agama Islam Negeri (MAINS) memainkan peranan masing-masing untuk memperkasa undang-undang berkaitan Islam.

1) (knowledge) ilmu - setiap anggota Majlis dan pentadbir Majlis hendaklah diberi kefahaman dan ilmu yang mencukupi mengenai bidang kuasa, takat kuasa, tanggungjawab dan fungsi MAINS sebagai penasihat dan pentadbir hal ehwal agama negeri secara berterusan. Ini dapat dilaksanakan melalui program penerangan/ perbincangan yang berterusan,contohnya seperti yang dibuat oleh MAIS. Setiap anggota MAIS yang baru dilantik diberi pendedahan mengenai bidang kuasa MAIS dan peranan MAIS di dalam Munaqasyah Pemerkasaan MAIS yang dibuat pada awal tahun lepas. Failure to know the laws and jurisdictions of MAINS, no action can be expedite/taken.

2)MAINS hendaklah lebih responsif (bertindakbalas ) dalam setiap isu-isu sensasi dan terkini. Saya memberikan contoh artikel menghina Islam yang dibuat oleh P Gunasegaram yang dipertikai dan dibuat laporan polis oleh MAIS, tetapi tidak ada sebarang kenyataan atau tindakan yang dibuat oleh MAINS yang lain. Bila sudah ada ilmu, tentu kita akan lebih responsif.

3) Kordinator. Di setiap MAINS perlu ada badan penyelaras (koordinator) yang boleh memantau semua undang-undang berkaitan Islam yang perlu dikaji, dipinda, disemak atau jika ada pencabulan terhadap undang-undang tersebut. Di Selangor, diwujudkan Bahagian Undang-Undang MAIS untuk menyelaras semua aktiviti perundangan MAIS. Hanya ada 4 negeri sahaja yang mempunyai bahagian undang-undang. Dicadangkan semua MAINS negeri mewujudkan Bahagian Undang-Undang nya sendiri.

4) Speedy Action - hendaklah dilaksanakan oleh Setiausaha MAINS atau Pengarah JAINS. Tindakan mesti cepat dan segera. Saya memberikan contoh isu artikel menghina Islam oleh P. Guna. 23/2/2010 kertas kerja dibentang dalam Mesyuarat MAIS, 24/2/2010, kertas sembah taklimat kepada DYMM Tuanku, 25/2/2010, report polis dibuat terhadap Guna oleh Dato' Setiausaha MAIS, 26/2/2010, majlis mengadap DYMM Tuanku untuk medapat perkenan.

5) Networking (jaringan kerja) - MAINS hendaklah mempunyai jaringan kerja yang baik dengan semua pihak, baik di peringkat persekutuan dan negeri. MAIS mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan DYMM Sultan Selangor. At anytime pun, Tuanku panggil MAIS untuk mendapatkan nasihat MAIS. Contohnya, isu seorang ADUN yang nak wujudkan jawatankuasa khas mengkaji undang-undang Islam di Selangor. Tuanku panggil ahli MAIS mengadap. Tuanku tak berkenan dan minta MAIS maklumkan kepada DUN berkenaan. Contoh yang lain, MAIS telah memasuki banyak MOU dengan badan2 lain untuk kerjasama, Untuk isu-isu perundangan yang perlu diselesaikan segera, MAIS turut memanggil pihak-pihak termasuk NGO-NGO untuk berbincang, seperti Seksyen Syariah Jabatan Peguam Negara, PGSM dan PPM.

6) Penyeragaman Undang-Undang di seluruh negeri untuk memudahkan tindakan (tindakan bersepadu). Contohnya, isu kematian saudara baru di Selangor, yang tidak boleh diuruskan oleh Wilayah Persekutuan, kerana tidak ada peruntukan mengenai perintah bersaling (reciprocal action).

7) Peranan Conference of Rulers (Majlis Raja-Raja hendaklah diperkasa dan dipergiat, kerana keputusan mengenai perkara-perkara berkenaan dengan agama Islam boleh diputuskan di dalam persidangan tersebut dan bersifat mengikat (binding) ke atas semua negeri-negeri.

Selesai program, saya sempat bertukar-tukar kad nama dengan Dr Wan Azhar Wan Ahmad, Fellow Kanan / Pengarah Pusat Syariah, Undang-Undang & sains Politik IKIM, dan Che Rosmah, seorang peguam dari firma guaman Rosmah & Co. di Kelantan. Saya terus ke sesi jamuan, dan duduk semeja dengan Puan Syam, seorang Pegawai Penyelidik di IKIM. Saya memang mengenalinya kerana sering terlibat dengan program di IKIM.

"Hani, akak tengok, MAIN Selangor dah banyak maju daripada negeri lain. Apa pandangan Hani kalau akak jemput Hani untuk menulis pengalaman MAIS dalam Jurnal IKIM?" tanya Kak Syam.

"Ok gak tu Kak Syam. Saya pun suka jugak dapat menulis ni," jawab saya jujur.

"Ok lah kalau macam tu. Nanti akak propose cadangan pada TKP IKIM. Rasanya dia setuju," terang Kak Syam pada saya.

Selesai sahaja program di IKIM, kami bergegas pulang ke pejabat untuk menghadiri mesyuarat pada sebelah petang. Mesyuarat membincangkan bagaimana cara untuk menasionalkan isu-isu penghinaan terhadap Islam supaya penguatkuasaan dan pencegahan dilakukan di peringkat negara, bukan setakat di negeri-negeri. Mesyuarat dipengerusikan oleh YAD Dato' Setia Azib. Saya tertarik dengan pandangan yang dikemukakan oleh Y Bhg Dato' Aidit mengenai tahap kesedaran MAINS dalam menangani isu-isu seumpama itu. Beliau mengetengahkan prinsip AIDA (Awareness, Interest, Desire dan Action). Persoalannya, apakah tahap MAINS ketika ini? Adakah sudah ada kesedaran, atau telah ada minat, atau telah ada kesungguhan/ keghairahan, atau telah bertindak?

Melalui pemerhatian saya di dalam Muzakarah Pakar di IKIM, jujurnya saya berpandangan, MAIS sudah jauh ke depan berbanding MAINS lain. MAIS sudah di peringkat ke 4, iaitu ACTION. Ini menjawab kepada persoalan saya sebelum ini, mengapa hanya MAIS yang sentiasa mendepani isu-isu agama di negeri, tetapi tidak MAINS lain. Mungkin juga ada, tetapi kurang lantang. Justeru, saya meletakkan pemahaman undang-undang dan ilmu berkaitan undang-undang Islam di tempat yang pertama. Mesyuarat akhirnya bersetuju dengan resolusi untuk mengadakan program perkongsian dengan semua MAINS dan menjalin hubungan dengan Menteri Agama untuk meneruskan kefahaman undang-undang Islam di peringkat persekutuan.

Saya berharap semoga sedikit usaha yang MAIS jalankan untuk bersesama berganding bahu dengan semua pihak khususnya MAINS yang lain disambut baik dan dipermudahkan Allah. Amin.

"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani
Shah Alam


Suasana semasa muzakarah berlangsung. Seperti biasa, kaum Adam lebih ramai dari kaum Hawa, dan saya satu-satunya peserta wanita yang bersuara menyatakan pandangan.

Saya duduk bersebelahan pensyarah undang-undang UITM, Puan Roslinda. Dulu beliau menjadi koordinator untuk program DLSA (Diploma Lepasan Ijazah Syariah & Amalan) pada tahun 2007. Sengaja saya tanya pada beliau, ada tak orang dapat 4.00 dan beat result saya? Beliau menjawab,"setakat ni, belum ada lagi.." (Mmmm.. I am stil d best!)

Apa agaknya yang menggelikan hati mereka berdua yer? Sebelah kiri, YAA Dato' Zohdi, Ketua Hakim Syarie Selangor dan Tuan Hj Abdul Halem Hapiz Salihin Timb Setiausaha MAIS.

Pembincang pertama, Tuan Hj Mahamad Naser Bin Disa, Timb Ketua Penasihat (Syariah), Jabatan Peguam Negara yang membincangkan mengenai takat kuasa negeri dan persekutuan dalam perkara berkaitan agama Islam.

Pembentang kedua, Y Bhg Dato' Faiza Thamby Chik, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia yang membentangkan mengenai konflik perundangan yang biasa berlaku di antara negeri dan persekutuan.

Pembentang ketiga, Tuan Mohamed Fouzi Bin Mokhtar, Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri (Syariah) Negeri Selangor yang membincangkan mengenai pengalaman MAIS memperkasa undang-undang Islam.

Pembentang keempat, Tan Sri Syeikh Ghazali, Penasihat Syariah JPN yang membincangkan mengenai peranan JK Teknikal Undang-Undang dan Hukum Syarak.

Antara yang hadir, Dato' Ismail, Ketua Hakim Syarie Terengganu (berbaju hitam baris depan), dan Tuan Walid, Peguam Kanan Persekutuan (belakang kiri)

Khusyuk sungguh Ustaz Halem mendengar perbincangan. Sebelah beliau, YAA Ketua Hakim Syarie Johor.

Tiada ulasan: