Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 25 Jun 2011

Diari : Nasi Lemak Buah Bidara..

Assalam,

Pagi tadi, disebabkan tiada sesiapa yang boleh diharap, aku menawarkan diri untuk menghantar nasi lemak yang emak masak kepada sekumpulan jemaah tabligh di masjid bersebelahan rumah. Biasanya, tugas itu dibuat oleh Abah, yang akan turut sama menyertai kumpulan jemaah berkenaan. 'Khidmat' dan 'ikram muslimin' (menghormati sesama Muslim) itulah prinsip Abah. Abah memang suka beri makan pada jemaah tabligh yang berkunjung ke masjid kami.

Disebabkan aku rasa agak malu juga nak menyerahkan bekalan yang dibawa, aku mengajak kakakku, adik perempuan dan 6 orang anak-anak buahku sebagai 'escort'. 

"Jom! Jom! Sapa nak ikut Cik An pergi kubur Atuk?" aku mengumpan mereka supaya mengikut aku ke masjid.

"Nak! Nak! Nak ikut Cik An!!" masing-masing bingkas bangun meninggalkan laptop masing-masing. Dari Najah yang berusia 10 tahun hingga yang termuda, Amani, 3 tahun, masing-masing teruja dengan ajakan aku untuk menziarahi kubur Atuk mereka.

Selepas bekalan nasi lemak dengan telur goreng dan sambal tumis diserahkan kepada para jemaah tabligh, kami terus ke kubur Abah. Aku membimbing anak-anak buahku untuk membaca surah Al-Fatihah dan surah-surah lazim untuk disedekahkan kepada Atuk mereka. Seterusnya, aku membacakan doa untuk almarhum dalam Bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh anak-anak buahku untuk mereka aminkan. Selebihnya, kami mengalunkan zikir beramai-ramai.

"Atuk tidur ke Cik An?" tanya Akid, 5 tahun dengan petahnya.

"Ha ah. Atuk tidur." Jawabku pendek. Terkedu dengan soalan Akid. Tak tahu nak jawab macam mana. Penat menahan air mata dari tumpah. Takungan air mata kakak dan adik tak usah cakap. Terus melimpah setibanya kami di kubur Abah. Tersedu-sedu menangis di tepi pusara Abah.

Aku menahan sebak. Aku sesungguhnya mengerti, yang pergi, tak akan kembali. Yang hidup, perlu teruskan hidup, jangan disia-siakan. Isikan dengan iman dan amal supaya kelak kami tersenyum tatkala dipanggil pulang.

Doa, doa, dan terus doa untuk Abah. Supaya pusara Abah terang dengan limpahan doa dan zikir kami. Supaya Abah dipelihara Allah dengan doa kami.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fua'nhu.. Ya Allah.. Ampunilah dosa Abahku dan Kau rahmatilah dia dan ampuni dosanya. Terima amalannya, jauhkan azab siksa kubur dan neraka. Sesungguhnya aku menyaksikan Abah menghambakan dirinya padaMu..

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih kulurutkan
Hilang Abah hanya sementara
Kerana Allah kami ditinggalkan

"Rindu Abah"
Nurhani
Kg Raja
Kuala Selangor

Selasa, 21 Jun 2011

Diari : Senyuman Terakhir Abah..

Assalam semua,

Masuk hari ini, dah 7 hari Abah tinggalkan kami. Perasaan sedih masih berbaki. Buat kerja pun tak fokus sebab asyik terkenang-kenang pada almarhum. Aku rasakan seolah-olah separuh jiwaku pergi dengan pemergian Abah.  Mujur masih ada iman dan aqal yang rasional, membuatkan aku akhirnya redha dan pasrah menerima kehilangan Abah.

Namun, aku akui, hidup perlu diteruskan. Life must go on. Walau aku sayang sangat pada Abah, tapi Allah lebih sayang dia. Allah dah pinjamkan Abah pada kami dan orang-orang lain yang sayang pada Abah selama 70 tahun. Aku patut bersyukur dengan nikmat Allah yang tak ternilai ini. 70 tahun itu, tempoh yang amat lama Al-Khaliq pinjamkan Abah pada kami berbanding dengan ramai kanak-kanak yang menjadi yatim piatu di usia muda. Alhamdulillah.. Syukur ya Allah... Tak terhitung nikmatMu ini apabila kami dianugerahkan seorang Abah yang sangat baik. Syukur..

Semalam dan hari ini, aku masih menerima ucapan takziah dari teman-teman yang tak berkesempatan menziarahi jenazah almarhum. Terima kasih pada semua teman yang mendoakan Abah dan datang berziarah.  Ucapan takziah dan doa kepada almarhum turut aku terima melalui SMS, blog ini dan Facebook. Terima kasih banyak-banyak. Moga Allah anugerahkan ganjaran pada yang mendoakan almarhum Abah. Aku teringat kata-kata adikku,

"Kawan-kawan Cik An memang true friends. Cik An susah diorang datang ziarah. Bagus sangat,"

Kata-katanya menyentuh hati aku. Akhirnya aku menyedari sesuatu yang membuatkan aku benar-benar terharu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Dia ambil cuma seorang Abah dan seorang insan yang paling aku sayang dari aku, tetapi Dia anugerahkan ramai orang di sekeliling aku untuk menyayangi aku. Ibu, adik-beradik, saudara-mara, dan teman-teman. Alhamdulillah.. Syukur..


Menurut cerita adik bongsuku yang berada dengan Abah di saat-saat akhir hayat Abah, Abah melemparkan senyuman pada adik. Mulanya adikku menyangka Abah cuma berjenaka dengannya. Abah menggelengkan kepala waktu adikku bertanya sama ada Abah rasa sakit. Apa yang adikku lihat hanyalah senyuman Abah. Adikku langsung tak menyangka itu senyuman terakhir Abah sebelum meninggalkan kami selama-lamanya. Aku doa, Abah terus tenang dan tersenyum walau Abah kini berada di alam lain. Abah tersenyum di akhir hayatnya, setelah 70 tahun menghabisi usianya dengan menyampaikan ilmu dan dakwah kepada umat Islam, mengamalkan sunnah-sunnah Nabi, dan paling utama dan paling Abah titikberatkan, adalah menjaga solat fardhu dan sunat. Aku doa supaya aku turut tersenyum, macam Abah, di akhir hayatku. 

Paling aku syukur, aku sempat bagitau Abah, aku sayang kat Abah. Aku doakan roh Abah tenang di sana. Al-fatihah.


"Say what you want to say when you have the time, tomorrow maybe one day late.
Our deepest regrets are words unsaid and things undone."

"Rindu Abah"
Nurhani
Shah Alam

Jumaat, 17 Jun 2011

Diari : Gerhana 13.6.2011..

Assalam,

Malam gerhana bulan tahun ni, aku solat gerhana dengan adik-adik aku. Jam 2.40 pagi, kami berlima melangkah ke masjid di sebelah rumah. Aku menelusuri jalan pintas ke masjid yang selalu Abah lalui.. Aku seolah-olah masih terdengar tapak kaki Abah ke masjid. Langkahnya cepat dan pendek-pendek, lebih-lebih lagi bila azan telah berkumandang. Itulah Abah. Sentiasa istiqamah menjaga solat fardhu dan sunat. Sembahyang di awal waktu, berjemaah dan mendapat takbiratul ula (takbir yang pertama). Tak pernah sekalipun dia meninggalkan solat fardhu, walaupun demam atau sakit. Hinggalah ke detik-detik terakhir hidupnya, Abah masih tetap bersolat Subuh, Zohor, Asar secara berjemaah di masjid, walaupun menurut diari beliau yang kami baca pada tarikh 13.6.2011, Abah sebenarnya telah merasa sakit kepala sejak awal pagi lagi, namun Abah tak beritahu pada sesiapa.

Mungkin sudah ketentuan Ilahi, Abah meninggalkan kami secara mengejut pada malam 13.6.2011 disebabkan tekanan darah tinggi. Aku masih ingat 2 jam sebelum Abah menghembuskan nafas terakhirnya, (semasa Abah di klinik) aku ucapkan salam terakhir aku padanya, dan berkata,

"Abah makan ubat yer.. Pastu rehat. Jangan lupa tau. Walaupun bukan ubat yang menyembuhkan kita, tapi kita kena usaha untuk baik. Ok Abah. I love you,"

Aku dengar Abah menyahut dengan suara yang kurang jelas, namun aku mengagak ianya disebabkan Abah letih dan pening kepala. Aku menyambung kembali tidurku, tanpa menyedari itulah perbualan terakhirku dengan Abah. Namun, panggilan telefon dari adik pada jam 11.40 menyebabkan aku tersentak dari lena.

"Kak. Siap sekarang, Mak suruh balik sekarang. Abah dah macam tak respond," kata adik.

Kelam-kabut aku capai apa yang ada. Aku sarung tudung dan capai kunci kereta. Sebelum pergi, aku menghubungi adik bongsuku di kampung, meminta supaya Abah lekas dihantar ke hospital. Adik bongsuku terdiam tak menyahut apa-apa. Akhirnya dengan suara tersekat-sekat menahan tangis, dia berkata,

"Kak.. Abah dah tak ada...."

Innalillahiwainna ilaihi rajiun.. Aku terduduk, menangis. Kak Nomi memelukku, cuba menenangkan aku. Ya Allah! Besarnya dugaan ini Allah! Kau ambilnya di saat-saat aku masih rindu kasih sayang dan belaian Abah, nasihat dan tunjuk ajar Abah, ilmu dan teguran Abah.  Allah Akbar! Kiranya sudah taqdirMu begini, aku redha Ya Allah, walaupun pemergiannya tidak ku jangka, sepantas ini. Benarlah apabila malaikat maut menjemput, tiada siapa yang dapat menghalang, kecuali dengan kuasaMu jua..

Rindu Abah, rindu suara Abah, rindu gurauan Abah, teringat pesanan Abah supaya kami jaga solat, teringat waktu bersama-sama Abah, ta'alim bersama Abah, makan bersama Abah, mengamalkan sunnah Nabi bersama Abah. Adab tidur, adab ke tandas, adab makan, adab bersama keluarga, adab bermusafir, dan macam-macam sunnah Nabi, semua Abah ajar.

Gerhana tahun 2011 ini, kami sekeluarga alaminya lebih awal dari orang lain. Kehilangan Abah, perpisahan dengan Abah, seolah-olah mengundang gerhana dalam keluarga kami. Walau kami sekeluarga redha dengan ketentuan Allah, namun, perpisahan ini amat mengejutkan, kerana Abah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang beliau akan meninggalkan kami.

Doa selalu pada Allah, semoga Abah ditempatkan di kalangan orang yang solihin, para pencinta Nabi dan syuhada'. Allahummaghfirlahu warhamhu waa'fihi wa' fu a'nhu. Amin.. Aku juga doa, mudah-mudahan, aku telah laksanakan tanggungjawab sebagai anak yang baik semasa Abah masih hidup. Semoga Abah redhai aku sebagai anaknya, dan halalkan makan dan minum aku. Sesungguhnya, aku benar-benar rindu pada Abah...


"Rindu Abah"
Nurhani
Shah Alam





Abah dalam kenangan ..1941-2011. Love you for the rest of my life in the world and in the hereafter. He is a great father, great leader, and a great teacher. May Allah bless you always..

Jumaat, 10 Jun 2011

Renung Sejenak : Jangan Kedekut Ilmu..

Assalam semua,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-

"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat".

Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi.

Kesimpulannya, kita kena berkongsi ilmu yang kita ada. Jangan kedekut. kalau orang bertanya, bantulah dengan ilmu yang kita ada.  Dah la nak belanjakan harta untuk sedekah pun lokek,  ilmu sedikit yang Allah beri pada kita pun nak kedekut juga.. Aduhaiii!!!

Tapi jangan la pulak bila tak berilmu nak memandai pulak share ilmu, sedangkan kita tak berilmu. Itu yang jadi ilmu salah dan sesat. Banyak kes sekarang. Orang kita yang tak berilmu, berguru dengan orang yang tak berilmu.. Memang lah sesat dan menyesatkan. 

Anyway, terus berkongsi ilmu Allah dan sebarkan selagi boleh. :)

"Ilmu Ibarat Lilin"
Nurhani
KUIS
Bandar Sri Putra

Khamis, 9 Jun 2011

Diari : SENYUM..:)

Assalam semua,

(Rindunya nak menulis!!:))

Bulan ni Bulan Rejab. Hari ini dah 7 Rejab 1432H.  Jom kita sama-sama memuliakan bulan Rejab dengan banyakkan berpuasa sunat, bersedekah dan amalan-amalan lain. Sesungguhnya, sedekah tidak menjadikan kita miskin. Ia hanya dorongan syaitan yang menakut-nakutkan manusia supaya tidak bersedekah. Bahkan kita dapat beroleh keampunan dan mensucikan kita dari dosa-dosa kecil yang kita lakukan. 

Ini bukan saya yang kata, tetapi Al-Quran Kalamullah yang berkata;

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan atau kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat kedekut); sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurniaan-Nya. Allah Maha Luas (limpah rahmatNya)lagi Maha Mengetahui." Surah Al-Baqarah : 268.

Kalau tak dapat bersedekah dengan harta, sedekah dengan tenaga, atau ilmu. Paling tidak, dan sedekah paling senang (seperti kata seorang teman) sedekahkanlah SENYUMAN, supaya bahagia dan tenang mata-mata yang memandang dan hati yang melihat.

SENYUM.. :) Tak perlu kata apa-apa..Senyum..:)



"Bila Hatiku Senyum..:)"
Nurhani
Bandar Sri Putra

Rabu, 1 Jun 2011

Diari : Salih Yaacob dah 4 kali...

Assalam,

Tajuk tu memang ada kaitan dengan entri aku kali ni. Kaitannya ialah, Salih Yaacob dah kawin 4 kali.. :) Entri kali ni pun pasal kawin.. Tak ada sapa tanya, namun aku bertanggungjawab untuk jelaskan..:P

Rasa dah terlalu lama tak update blog disebabkan sibuk dengan komitmen sedia ada. Masa di Cherengin Hills, JB baru-baru ni, Raudah ada jugak bertanya pada aku mengapa lama aku tak update. Jawapan standard adalah: sibuk dan tiada talian internet di rumah.

Walaupun aku sibuk, namun aku masih tetap cuba memenuhi undangan-undangan dari teman-teman, terutamanya undangan perkahwinan. Almaklumlah.. Musim mengawan (ehehheee).. Antaranya, my ex- housemate, Shikin, yang melangsungkan perkahwinan dengan jejaka idaman hatinya, Azuan. Tahniah Shikin, moga berkekalan hingga ke akhir hayat.

Pasangan comel Shikin & Azuan.

Wedding adik Ina.
Sempat juga ke kenduri Akma dan Khairil, kedua-duanya kakitangan MAIS. Tapi tak sempat nak ambil gambar pengantin sebab time kami datang, pengantin belum siap.

Oklah. Aku mau sambung kerja. Babai. Lain kali update lagi.Insyaallah.

 
Nurhani
Bandar Sri Putra
Kajang