Assalam,
Pagi tadi, disebabkan tiada sesiapa yang boleh diharap, aku menawarkan diri untuk menghantar nasi lemak yang emak masak kepada sekumpulan jemaah tabligh di masjid bersebelahan rumah. Biasanya, tugas itu dibuat oleh Abah, yang akan turut sama menyertai kumpulan jemaah berkenaan. 'Khidmat' dan 'ikram muslimin' (menghormati sesama Muslim) itulah prinsip Abah. Abah memang suka beri makan pada jemaah tabligh yang berkunjung ke masjid kami.
Disebabkan aku rasa agak malu juga nak menyerahkan bekalan yang dibawa, aku mengajak kakakku, adik perempuan dan 6 orang anak-anak buahku sebagai 'escort'.
"Jom! Jom! Sapa nak ikut Cik An pergi kubur Atuk?" aku mengumpan mereka supaya mengikut aku ke masjid.
"Nak! Nak! Nak ikut Cik An!!" masing-masing bingkas bangun meninggalkan laptop masing-masing. Dari Najah yang berusia 10 tahun hingga yang termuda, Amani, 3 tahun, masing-masing teruja dengan ajakan aku untuk menziarahi kubur Atuk mereka.
Selepas bekalan nasi lemak dengan telur goreng dan sambal tumis diserahkan kepada para jemaah tabligh, kami terus ke kubur Abah. Aku membimbing anak-anak buahku untuk membaca surah Al-Fatihah dan surah-surah lazim untuk disedekahkan kepada Atuk mereka. Seterusnya, aku membacakan doa untuk almarhum dalam Bahasa Melayu supaya mudah difahami oleh anak-anak buahku untuk mereka aminkan. Selebihnya, kami mengalunkan zikir beramai-ramai.
"Atuk tidur ke Cik An?" tanya Akid, 5 tahun dengan petahnya.
"Ha ah. Atuk tidur." Jawabku pendek. Terkedu dengan soalan Akid. Tak tahu nak jawab macam mana. Penat menahan air mata dari tumpah. Takungan air mata kakak dan adik tak usah cakap. Terus melimpah setibanya kami di kubur Abah. Tersedu-sedu menangis di tepi pusara Abah.
Aku menahan sebak. Aku sesungguhnya mengerti, yang pergi, tak akan kembali. Yang hidup, perlu teruskan hidup, jangan disia-siakan. Isikan dengan iman dan amal supaya kelak kami tersenyum tatkala dipanggil pulang.
Doa, doa, dan terus doa untuk Abah. Supaya pusara Abah terang dengan limpahan doa dan zikir kami. Supaya Abah dipelihara Allah dengan doa kami.
Allahummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fua'nhu.. Ya Allah.. Ampunilah dosa Abahku dan Kau rahmatilah dia dan ampuni dosanya. Terima amalannya, jauhkan azab siksa kubur dan neraka. Sesungguhnya aku menyaksikan Abah menghambakan dirinya padaMu..
Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih kulurutkan
Hilang Abah hanya sementara
Kerana Allah kami ditinggalkan
"Rindu Abah"
Nurhani
Kg Raja
Kuala Selangor
2 ulasan:
Doa penghubung kasih sayang...
akak..tersentuhhati baca entry akak ni..moga akak dikuatkan hati ye..insyaAllah..
Catat Ulasan