Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Rabu, 30 Disember 2009

Idea mencurah - Antara dua cinta

Salam semua,

Saat saya menulis entry ini, anak saudara saya Iman masih sedang asyik menonton channel 9 yang menyiarkan program hiburan Idola Kecil. Program tersebut adalah satu program realiti seperti Akademi Fantasia, yang disertai oleh kanak-kanak yang berbakat besar dalam bidang nyanyian dan lakonan. Kanak-kanak ini perlu berlakon dan menyanyi lagu yang ditentukan. Pemarkahan adalah berdasarkan undian secara SMS atau pemarkahan oleh juri yang dilantik.

Kebanjiran program2 realiti pada masa kini menyebabkan saya tertanya-tanya bagaimanakah rupanya bentuk hiburan yang akan wujud dalam tempoh 10 tahun akan datang? Tentunya lebih hebat, lebih melalaikan, lebih banyak "X" factor, lebih banyak masa yang terbuang dan dihabisi dengan menonton program-program seumpama ini. Itu belum dikira duit yang habis kerana menghantar SMS untuk membuat undian terhadap peserta yang diminati.

Peserta-peserta semuda 11 tahun diajar menari, berlakon, menari dan berkomunikasi dengan penonton dan membiasakan diri dengan pentas. Mereka turut diajar berpakaian yang menjolok mata, singkat dan mendedahkan aurat. Alah bisa tegal biasa. Mula-mula mungkin mereka segan, tetapi lama-kelamaan mereka tentu rasa ianya biasa sahaja. Mereka turut diajar dengan dunia penuh glamour sebagai seorang selebriti dan penghibur yang sentiasa diburu peminat. Penonton-penonton yang fanatik pula mula meniru gaya berpakaian si penghibur. Kononnya updated.

Itulah rupa sebenar dunia, walaupun mungkin hanya sekelumit daripada dakinya. Manis dan melalaikan. Penuh suka ria dan penuh nikmat yang dibajai dengan cinta yang mengasyikkan. Oleh itu, kita mesti mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu yang dapat membimbing kita dan akal kita bagi melawan nafsu cintakan dunia, dan mengutamkan dunia, tetapi melupakan akhirat. Teringat pesanan seorang sahabat, kalau mahu jadi baik, besarkan (utamakan) akhirat. Mudah-mudahan kita semua termasuk di dalam golongan orang yang membesarkan akhirat. Amin.

Langsung ingin saya petik lirik lagu antara 2 cinta nyanyian kumpulan The Zikr, yang relevan dengan entri ini:-


Apa yang ada

Jarang disyukuri

Apa yang tiada

Sering dirisaukan

Nikmat yang dikecap

Barukan terasa

Bila hilang

Apa yang diburu

Timbul rasa jemu

Bila sudah di dalam genggaman.



Dunia ibarat

Air laut

Diminum hanya menambah haus

Nafsu bagaikan fatamorgana

Di padang pasir

Panas yang membahang

Disangka air

Dunia dan nafsu

Bagai bayang-bayang

Dilihat ada

Ditangkap hilang..



Tuhan leraikanlah dunia

Yang mendiam di dalam hatiku

Kerana di situ tidak ku mampu

Mengumpul dua cinta

Hanya cintaMu

Ku harap subur

Dibajai bangkai

Dunia yang ku bunuh


Lagu : Antara dua cinta

Genre : Nasyid

Penyanyi : The Zikr

"Mengharap Redha Ilahi"

Nurhani

Kg Raja Musa

Kuala Selangor

4 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

Moral anak muda gambaran moral masyarakat dewasa, kalau kita tanam lalang tidak mungkin hasilnya padi.
Kalau wang matlamatnya, maka wanglah yang difikirkannya.
Kalau dunia sahaja difikirkannya maka tiadalah ruang utk berfikir yang lainnya.
wallahu aklam.

DrSam berkata...

Salam Hani,
Setuju benar dengan Pak Ngah. Hiburan yang melampau membuat kita senang lalai dan alpa. Generasi sekarang memikul tanggungjawab membawa ummah dimasa akan datang.

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,

Setuju dengan Pak Ngah. Tapi masyarakat kita semakin lemah. Kalimah Allah pun kita tak dapat pertahankan... Macam mana dengan moral anak muda... Perkara yang penting untuk difikirkan dan diatasi bersama.

Hunny berkata...

Salam Dr Sam,

Generasi sekarang means kita lah kan?:)