Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 12 Januari 2010

Diari - Kalimah Allah hanya untuk umat Islam



Salam semua,

Awal-awal pagi lagi saya sudah dihubungi oleh YAD Dato' Setia Pengerusi MAIS.

"Hani, nanti kena buat follow up untuk statement kalimah Allah tu," arahan Dato' menyebabkan perut saya yang lapar semakin berkeroncong.

"Ait! Ada follow up lagi ker? Ingat dah selesai.." gerutu saya dalam hati.

"Mana boleh selesai. Belum lagi. Banyak lagi kena buat. Kena hantar resolusi kepada DYMM Sultan, buat resolusi untuk serah pada YDPA, kepada KDN supaya diorang tak kuar permit, kepada menteri agama kita kena bagi juga, maklumkan mengenai isu kalimah Allah ini non-justiciable, tak boleh bawak ke Mahkamah, dan press statement kita bagi pada Perak dan semua MAINS (majlis agama Islam negeri)," tegas Dato'.

"Errrk..." rasa pening sekejap menerima arahan yang bertubi-tubi menyebabkan saya 'blank' seketika.

"Tapi Dato' Setia, untuk Majlis Raja-Raja dan YDPA, urusetianya JAKIM." saya menegaskan.

"Tak apa lah. JAKIM urusetia, tapi resolusi dan kertas kerja kita la sediakan," ujar Dato' Pengerusi.

"Ok Dato'. Insyaallah, saya boleh bantu sediakan, nanti saya liaise dengan JAKIM untuk kemuka kepada MRR dan YDPA," penuh yakin saya menjawab, walaupun rasa macam nak demam memikirkan nak buat semuanya secepat mungkin.

Hari ini, saya menyertai bengkel pungutan khairat yang dianjurkan oleh Bahagian MAL dan Bahagian Audit Dalam MAIS. Saya men'silent'kan telefon. Di samping berbelas-belas missed call yang saya terima, rupanya ada beberapa mesej daripada sahabat-sahabat saya yang tak dibaca di kedua-dua hp milik saya.

"Nama keluar suratkhabar. Tahniah dapat keluar statement tegas isu kalimah Allah," sender 012393****.

Daripada sms yang diterima, saya mengagak tentu berita mengenai kalimah Allah yang keluar, tetapi tak pasti suratkhabar mana. Saya terus membalas mesej tersebut,"

"Suratkhabar mana?"

"Utusan.."jawabnya.

Kemudian saya melihat mesej di hp satu lagi.

"Salam. Tahniah atas usaha mempertahankan kalimah Allah, walau mulanya 'maleh bebenor'. Sekarang orang macam saya, faham la dari sudut perundangan (baru baca blog), SYABAS dey inspektor sahab!" Helmi ALC.

"Allah untuk Islam. Penasihat Undang-Undang MAIS Nurhani Salwa Binti Jamaluddin.. Siap kuar Utusan... hehehe.. Tahniah Kak, teruskan perjuangan." Aliff.

"SYABAS PADA MAIS! SELANGOR LEAD THE PACKS! STATEMENT MAIS DIAMATI MAJLIS2 LAIN". Haji Rahim Peguam.

"Amboi. Dah mengadap Sultan nampak. Bila lagi nak dapat pingat?" Fadli Amin.

Syukur, alhamdulillah.. Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan usaha kami. Mudah-mudahan Allah memudahkan tindakan susulan kami untuk mempertahankan kesucian kalimah ini daripada disalahguna. Doa dan sokongan kalian semua amat bermakna bagi kami.

Di sini saya turut memaparkan keratan akhbar Utusan bertarikh 12 Januari 2010 sebagai satu bukti bahawa saya pernah berjuang untuk mempertahankan kalimah ini.

SHAH ALAM 11 Jan. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak di negeri ini berpegang teguh kepada pendirian mengharamkan pengunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa hari ini memberitahu, titah itu dinyatakan dalam pertemuan beliau dengan baginda pada 5 Januari lalu.

Katanya, turut menghadap baginda ekoran isu pengunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald-The Catholic Weekly ialah Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid; Ahli MAIS, Datuk Salehuddin Saidin; Setiausaha MAIS, Abdul Halem Hapiz Salihin serta Penasihat Undang-undang MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin di Istana Mestika di sini.

Menurut beliau, baginda memaklumkan pendiriannya mengenai perkara itu bertujuan memelihara akidah umat Islam serta menjaga keharmonian beragama setiap rakyat di Selangor.

“Dalam pertemuan itu, baginda menitahkan supaya isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dibincangkan dengan teliti oleh ahli-ahli MAIS.

“Sebagai Ketua Agama Islam negeri, baginda mahu semua peringkat berpegang teguh dengan pendirian mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat dan perbincangan dengan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di masjid negeri di sini hari ini.

Mohamad Adzib berkata, Sultan Selangor turut meminta MAIS memaklumkan kepada rakyat tentang wujudnya undang-undang menghalang pengunaan kalimah Allah dalam agama bukan Islam.

Menurutnya, larangan itu termaktub dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) yang diwartakan sejak 1988.

Malah, jelas beliau, larangan juga diputuskan Jawatankuasa Fatwa negeri pada 10 Jun 2008 yang memutuskan kalimah Allah khusus untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan atau dimasukkan dalam agama lain.

Ekoran keputusan jawatankuasa itu serta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan larangan tersebut pada Mei 2008, beliau menegaskan, MAIS membuat 14 ketetapan berhubung isu tersebut.

Menurutnya, antara ketetapan itu ialah istilah Allah bermaksud Tuhan Yang Maha Esa dan berlainan dengan maksud God dalam agama Kristian yang berkonsepkan Triniti (tuhan bapa, tuhan anak dan roh kudus).

“Jika kalimah Allah dibenar digunakan dalam ajaran Kristian, ia mendatangkan pelbagai implikasi membahayakan umat Islam pada masa depan kerana ia mengelirukan,” katanya.

Selain itu, Mohamad Adzib berkata, MAIS berpendirian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan menetapkan Islam agama rasmi Persekutuan dan keputusan itu juga bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan negara, katanya.

Beliau menegaskan, penggunaan kalimah Allah bagi merujuk agama bukan Islam tidak wajar dibicarakan di mahkamah kerana institusi itu bukan forum sesuai membincangkannya memandangkan ia perkara ‘non-justiciable’ di bawah bidang kuasa raja-raja Melayu.

Beliau turut memohon campur tangan Majlis Raja-raja selaku Ketua Agama Islam negeri-negeri selaras sumpah raja-raja Melayu untuk mempertahankan Islam pada setiap masa.

“Selain itu ialah mendesak Kerajaan Persekutuan menetapkan kes-kes berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil terutama melibatkan Hakim bukan Islam,” katanya.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my

"Cintai Allah, Cintai Islam"
Nurhani

Shah Alam


5 ulasan:

Leenoh berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
leenoh berkata...

Salam Hani.

Pak Ngah baca dalam - www.utusan.com.my. seperti yang dilaporkan di atas.

Syabas dan Tahniah kepada Hani.

Maaf tertinggal kesan padam di atas kerana tersalah ejaan setelah "posting".

Hunny berkata...

Waalaikumsalam Pak Ngah,

Alhamdulillah.. syukur.. tapi perjuangan ini belum selesai... doakan kami yer :)

MaRdHatILLah(Fatahiyyah) berkata...

tahniah kak..teruskan perjuangan mu..sy sntiasa mndoakan yang yg terbaik..untuk akk dan Islam..

Hunny berkata...

Salam Ayong,

Thanx. Amin, Insyaallah... sama-samalah kita berdoa supaya umat Islam semakin kuat dan bersatu dalam isu ini.