Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 18 Januari 2010

Peguam Menulis - Hujah-hujah pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh ugama bukan Islam.


Salam semua,

Saya tertarik dengan penulisan Dr Uthman El Muhammady di dlam Berita Harian mengenai isu penggunaan kalimah Allah, khususnya hujah-hujah yang dikemukakan. Saya mengambil hujah-hujahnya untuk dipaparkan kepada pengunjung blog ini, mudah-mudahan hujah-hujah bernas dari ilmuwan Dr Uthman ini dapat disebarkan untuk dikongsi dengan orang lain untuk mengukuhkan pendirian kita bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh ugama bukan Islam untuk memperihalkan mengenai Tuhan bagi ugama bukan Islam.

Hujah-hujah mengenai ini antaranya seperti berikut:-

Pertama: Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk bagi mendapat hajat mereka, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya. Kalau nama itu digunakan bagi Tuhan Jesus, atau Bapa Di Langit yang mereka meminta roti setiap hari daripada-Nya, atau triniti, itu tidak benar.

Kedua: Kalau Muslimin membenarkan pihak yang menyembah salib, atau Jesus atas kayu palang menyeru itu semua sebagai ‘Allah’, atau pihak yang menyembah patung Ganesh menyerunya dengan nama Allah, maka itu seperti Muslimin membenarkan pihak lain itu ‘memaki Allah’. Ini timbul daripada ayat bermaksud: “janganlah kamu memaki apa yang mereka sembah selain daripada Allah, lalu mereka memaki Allah dalam permusuhan dan dalam ketiadaan ilmu” ; ertinya kita membenarkan mereka menyeru nama ‘Allah’ kepada objek yang bukan Allah. Kita wajib menjaga kesucian nama Allah sedaya yang mungkin. Kalau tidak kita bersalah.

Ketiga: Kita wajib menjaga takdisnya nama Tuhan sedaya upaya kita. Ulama menyatakan bahawa kita wajib menjaga kesucian rahim wanita dengan memastikan ‘tiga kali suci’ atau ‘tiga kali haid’ baru rahim dikira suci, dan perkahwinan baru boleh diakadkan; maka kata ulama kalau dalam menjaga kesucian rahim dimestikan tiga kali suci, walhal kalau sekalipun sudah cukup, alangkah lebih beratnya pula hukum menjaga kesucian nama Tuhan supaya ia sunyi daripada apa-apa yang tidak patut baginya seperti memanggil nama Allah walhal yang dituju adalah ‘Tuhan Jesus’ atau ‘Bapa Di Langit…’

Keempat: Kita bukan berada dalam budaya yang nama ‘Allah’ digunakan oleh mereka yang beragama lain, maka kalau kita membenarkan penggunaan itu, ia akan mengelirukan orang beriman yang ramai terdiri daripada orang awam. Itu akan menimbulkan kekacauan rohani dan membinasakan agama dan manusia dari segi hidup rohani mereka. Kita wajib mengelak diri daripada perkara demikian.

Kelima: Dalam Oxford English Dictionary yang terbesar itu dinyatakan bahawa Allah adalah tuhan bagi orang Islam. Demikian juga dalam Encyclopedia Brittannica dan Encyclopedia of Religion and Ethics suntingan Hastings. Jadi mengapa pula nama jalalah ini hendak digunakan oleh mereka, dan dalam majalah versi bahasa Melayunya pula? Adakah mereka akan menggunakan nama ini dalam Bible mereka semua dalam semua bahasa dunia?

Keenam: Mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia yang wajib diterima semua pihak, dan agama ialah urusan Yang di-Pertuan Agong dan dalam negeri-negeri urusan Sultan, dan fatwa kebangsaan sudah menentukan bahawa ismu jalalah atau nama Allah itu adalah untuk agama Islam. Maka dalam konteks ketaatan kepada perlembagaan tidak ada sesiapa yang patut mempersoalkan kedudukan agama Islam dan perkara yang berkaitan dengan pengamalannya. Dengan itu penggunaannya yang tidak wajar, hendaklah dilarang.

Ketujuh: Kepercayaan lain boleh diamalkan dengan ‘aman dan damai’ dan mempersoalkan penggunaan Allah khusus bagi orang Islam dan agama Islam bukanlah perbuatan mengamalkan kepercayaan lain dengan ‘aman dan damai’ sebab ia menimbulkan keresahan sebagaimana yang jelas dalam laporan media. Dengan itu penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Kelapan: Walaupun dalam hubungan dengan hak-hak kebebasan manusia sejagat, artikel 29 memberi kenyataan:

Artikel 29(2) deklarasi itu memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus. Sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat demokratik.

“Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berdasarkan Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan menjejaskan keamanan”. (Lihat dalam laman web Malaysian Bar: http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/realiti_kebebasan_media_di_malaysia.html?date=2010-01-01 )

Kesembilan: Kita boleh memahami hal ini dengan menggunakan misalan dan perbandingan. Katakanlah ada seorang raja negeri yang besar; ia sedang berada di Balai Penghadapannya; ramai orang yang berada di Balai Penghadapannya itu. Katakanlah di Balairong Seri, tiba-tiba ada seorang yang datang, dengan diperhatikan oleh raja besar itu, kemudian ia bertemu dengan tukang sapu sampah berhampiran, lalu ia mengadap orang itu. Katanya ‘Tuanku Yang Dipertuan! ‘tentu sekali orang itu akan mendapat murka raja itu. Demikian kedudukannya. Maka kalaulah muslimin membenarkan pihak lain menggunakan nama Allah untuk ‘Tuhan Jesus’ atau untuk ‘Bapa di Langit…’ maka itu adalah tempelak terbesar terhadap Allah Yang Maha Esa dan maha Tinggi.

Dengan itu sedaya upaya Muslimin jangan memberi izin pihak lain menggunakan nama ini secara tidak sepatutnya. Manfaatkan kewenangan yang Tuhan kurniakan kepada Muslimin untuk menyuci dan meninggikan nama-Nya agar Ia tidak dicemari sesiapa. Kalau kewenangan itu tidak dimanafaatkan mungkin Tuhan akan mencabutnya, dijauhkan Allah.

Semoga hujah-hujah ini dapat membantu meyakinkan pihak-pihak yang masih mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam khususnya penganut Catholic dalam penulisan mereka. Mudah-mudahan Allah membantu kita menyelamatkan namaNya dari dihina dan dicerca.

"Cintai Allah, Cintai Islam"

Nurhani

Seksyen 5

Shah Alam

**Sumber: Berita Harian, http://membelaislam.wordpress.com/2010/01/17/mukmin-berhak-pertahan-kalimah-allah/

2 ulasan:

ibnu_maulub berkata...

salam kak..
kak nak tanye, apa pendapat akak dengan mem'paten'kan kalimah Allah bagi orang Islam? maknenye dari segi undang-undang?

Tanpa Nama berkata...

Thanks honey for the hujah and post.
Nak pinjam hujah uthman elmuhammady ini. Okkan.