Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 4 Januari 2010

Peguam Menulis - Implikasi Keputusan Kes Kalimah Allah


Salam semua,

Alhamdulillah, hari ini saya kembali semula ke pejabat setelah bercuti lebih kurang 10 hari. Masuk ke pejabat, saya hampir tak nampak kerusi tempat duduk saya kerana 'tray in' saya telah dipenuhi dengan fail-fail yang menimbun sehingga melindungi kerusi di pejabat. Mulanya saya berhasrat untuk menyemak lebih dahulu fail-fail yang menimbun, tetapi saya teringat arahan Dato' Pengerusi MAIS supaya saya menyediakan kertas sembah taklimat ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor berkenaan isu keputusan kes kalimah Allah yang menyebelahi pemohon. Berikut adalah antara points di dalam kertas penulisan saya:-

LATARBELAKANG

Kes ini adalah berkenaan tuntutan pihak gereja Kristian Titular Roman Katholik Arcbishop Kuala Lumpur terhadap Kementerian Dalam Negeri (Responden Pertama) dan Kerajaan Malaysia (Responden Kedua) untuk membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah bagi tujuan penerbitan bahan bercetak mereka iaitu 'Herald Catholic Weekly'. Pihak MAIS telah turut memfailkan permohonan untuk dimasukkan sebagai pihak di dalam tindakan ini, kerana kewajipan MAIS untuk mempertahankan kesucian agama Islam di Negeri Selangor. Bagaimanapun, permohonan pihak MAIS ditolak oleh Mahkamah pada 11.11.2009 yang lalu kerana Mahkamah berpandangan pihak MAIS tidak mempunyai kepentingan/ locus standi terhadap isu tersebut.

Antara lain, dalam penghakiman lisannya, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut menyatakan seperti berikut:-

1) Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hakim itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan “Allah”.

2) Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya. Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.

3) Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah. Menurutnya, apa yang dimaksudkan oleh Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan adalah, kita perlu bertolak ansur untuk mempertahankan keharmonian.

4) Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

5) Perintah larangan yang dikeluarkan menyatakan penggunaan perkataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam serta menggugat ketenteraman Negara.

6) Pihak responden (KDN dan Kerajaan Malaysia) dalam hujahnya tidak memberikan sebarang bukti bagaimana penggunaan perkataan Allah boleh mengganggu ketenteraman awam atau kekeliruan di kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.


IMPLIKASI KEPUTUSAN KES KALIMAH ALLAH

1) Penghakiman Hakim Datuk Lau Bee Lan itu memberi pengertian bahawa orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tersebut selagi ianya adalah diedarkan di kalangan orang bukan Islam. Contohnya, kita akan melihat di dalam penerbitan Bible Kristian ayat-ayat berbunyi seperti berikut:-

a) “Engkau adalah Messias anak Allah yang hidup."

( Matius 16 : 16)

b) “Kerana ia telah berkata :Aku adalah anak Allah.”

( Matius 27 : 43)

c) “Kasih kurnia menyertai kamu dan damai sejahtera dari Allah, bapa kita dan dari Tuhan Yesus ( Jesus) Kristus."

(Galatia 1 : 3 )

2) Keputusan ini akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad seperti mana yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan al-Kitab dan sebagainya.

3) Kalimah Allah sudah tidak menjadi hak eksklusif dan keistimewaan umat Islam semata-mata seperti yang diputuskan Kabinet pada 16 Mei 1986 yang melarang agama lain menggunakan kalimah Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.

4) Keputusan ini juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi keistimewaan terhadap kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Berikut adalah beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kedudukan istimewa terhadap agama Islam:-

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan

Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan

Memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.

Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan

Memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembangunan syiar Islam.

Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan

Memperuntukkan bahawa Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan

Memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

5) Keputusan ini juga bertentangan dengan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam sahaja. Keputusan ini akan meletakkan pihak pemohon (gereja Katholik) sebagai pihak yang membuat kesalahan jenayah di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam), kerana menggunakan kalimah Allah iaitu yang merupakan salah satu perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumberkan Islam yang disenaraikan di dalam Bahagian I kepada Jadual Enakmen berkenaan yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam. Terdapat 10 buah negeri yang memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di dalam Enakmen ini kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

6) Keputusan Mahkamah ini adalah bertentangan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri yang memperuntukkan bahawa pihak Majlis adalah pihak yang mempunyai kuasa dan sebagai pihak yang berkepentingan dalam mempertahankan agama Islam. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang (statutori) untuk menasihati Sultan di dalam semua perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, melainkan perkara-perkara berkaitan Hukum Syarak dan pentadbiran keadilan. Justeru, kewajipan menjaga agama adalah merupakan tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri.

7) Penghakiman ini adalah bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang menyatakan bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain. Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

8) Tambahan pula, keputusan ini juga bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil 2/2008 yang bersidang pada 10 Jun 2008 yang mengesahkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa terdapat perbezaan istilah Allah antara Islam dan Kristian di mana penganut Kristian merujuknya sebagai ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu ciri aqidah trinity (3 Tuhan dalam 1) sedangkan di dalam Islam ianya bermaksud Tuhan Yang Maha Esa. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam kitab asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru, yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis di dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ‘Eloh’, ‘El’, Elohin dan juga ‘Yhwh’ manakala di dalam Bahasa Greek pula perkataan yang membawa maksud Tuhan ialah ‘Theos’. Terdapat kalimah Allah di dalam Bible Bahasa Arab. Kalimah ini wujud kerana sesetengan Kristiah Arab seperti Syiara dan Mesir yang muncul sebelum kedatangan Islam meyakini konsep uniti (keesaan Allah) ia berbeza sama sekali dengan konsep triniti.

9) Keputusan ini turut membuktikan bahawa isu berkenaan dengan agama Islam tidak wajar dibicarakan di Mahkamah Sivil, kerana Hakim sivil kurang arif dengan perkara-perkara berkaitan dengan agama Islam.


TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL OLEH MAIS

Selain daripada tindakan memfailkan permohonan untuk dijadikan sebagai pihak di dalam kes kalimah Allah ini, pihak MAIS turut melaksanakan beberapa tindakan seperti berikut:-

1) Pada 13 Mac 2009 MAIS telah mengadakan satu sidang akhbar bagi menyatakan pendirian MAIS berhubung isu ini di mana MAIS berpendirian bahawa penggunaan kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja. Larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan penganut agama Islam tentang konsep keesaan Allah. Ini kerana, Allah yang dimaksudkan di dalam agama Yahudi dan Nasrani adalah tidak tunggal dan mempunyai anak.

2) Rentetan dari sidang media itu juga, MAIS telah mengambil langkah mengedarkan sesalinan kenyataan media dan pendirian MAIS berhubung isu ini ke masjid-masjid seluruh negeri Selangor.

3) Selain itu, MAIS turut menulis surat bertarikh 19 Mac 2009 bagi menyatakan pendirian ini kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri seluruh negara. Pihak MAIS turut berhasrat untuk membuat rayuan terhadap permohonan pihak MAIS yang ditolak oleh Mahkamah demi menjaga kepentingan dan akidah umat Islam supaya tidak dikelirukan dengan penggunaan kalimah tersebut oleh orang bukan Islam.


CADANGAN TINDAKAN SUSULAN YANG PERLU DIAMBIL OLEH PIHAK-PIHAK YANG TERLIBAT

1) Pihak Kerajaan Malaysia dan KDN hendaklah dengan kadar yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Bee Lan ini serta memohon menggantung perintah yang dikeluarkan itu.

2) Bagi Majlis Agama Islam Negeri-Negeri yang tidak dapat mencelah di dalam permohonan tersebut hendaklah segera membuat rayuan supaya dimasukkan sebagai pencelah, untuk mempertahankan dan menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam. Pihak MAINS hendaklah mengarahkan peguam masing-masing untuk membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi untuk menjaga kepentingan umat Islam.

3) Majlis sebagai penasihat kepada Sultan selaku Ketua Agama Negeri-negeri hendaklah menasihati DYMM Sultan mengenai isu dan implikasi penggunaan kalimah Allah ini oleh orang bukan Islam terhadap orang Islam yang berkemungkinan dikelirukan dengan penggunaan istilah Allah yang akan menggugat kefahaman akidah mereka. Sebagai pihak berkuasa utama selepas DYMM Sultan, pihak Majlis juga disaran supaya membuat satu kenyataan akhbar bagi menyatakan pendirian Majlis di dalam isu ini.

4) Negeri-negeri hendaklah menguatkuasakan dengan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam. Terdapat 10 buah negeri yang memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di dalam Enakmen ini kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Bidangkuasa negeri-negeri terhadap isu ini dinyatakan di dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan di mana negeri boleh mewujudkan undang-undang untuk mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

5) Dicadangkan supaya negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera. (iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan)

6) Majlis Raja–Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa.

7) Menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, Yang Di Pertuan Agong juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut. Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

8) NGO-NGO Islam hendaklah memainkan peranan sebagai ‘pressure group’ untuk mengadakan perhimpunan secara aman bagi menzahirkan bantahan terhadap keputusan tersebut di samping menunjukkan bahawa berlakunya ‘public disorder / kekacauan awam sekiranya keputusan tersebut dikekalkan. NGO-NGO ini juga hendaklah mendesak kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadadap keputusan tersebut. Di samping itu, NGO-NGO Islam hendaklah bekerjasama dengan badan-badan kerajaan yang terlibat bagi menguatkuasakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Umat Islam).

9) Semua pihak yang terlibat hendaklah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya isu-isu berkaitan agama Islam tidak lagi dibicarakan di Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi oleh Hakim yang bukan beragama Islam.

Kemungkinan ini entri terpanjang yang pernah saya tulis. Apapun, semoga penulisan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian. Saya turut mendapat makluman daripada blog http://membelaislam.wordpress.com/bahawa n beberapa NGO ISLam sedang mengaturkan satu perhimpunan besar-besaran secara aman untuk membantah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan gereja Roman Titular menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan Herald Catholic Weekly. Perhimpunan tersebut dirancang untuk diadakan pada 8hb Januari 2010 selepas solat Jumaat di Masjid Negara. Tunggu untuk maklumat lanjut.


"Memelihara Kesucian Islam"

Nurhani

Bangunan Sultan Idris Shah

Seksyen 5

Shah Alam

4 ulasan:

ibnu_maulub berkata...

salam kak hani..
hehehe..
amboi2 pergi cherating tak ajak ae.. :p
thank kak atas maklumat berkaitan dengan kes kalimah Allah ini.
insyallah bersama-sama kita berjuang mempertahankan kalimah Allah demi Islam tercinta..

Hunny berkata...

Waalaikumsalam Alif,

Yolah! Moh la kita sama2 pertahankan agama tercinta. Mudah2an Allah membantu memudahkan usaha kita bersama.

Pemerhati MAIS berkata...

Salam.

Ustazah Hani.. saya petik balik tulisan anda sendiri seperti berikut :-

"Terdapat 10 buah negeri yang memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di dalam Enakmen ini kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan"

4 negeri orang Non Muslim boleh guna "Allah" sedangkan 10 negeri lain, Non Muslim tak boleh guna.. cuba fikirkan sejenak atas dhamir yang jelas tanpa sebarang kepentingan..

Takut2lah.. yg kita ramai2 sibuknya bukan berjuang atas jalan Allah (FiSabiLillah).. tapi "FiSabiLil Enakmen" atau "FiSabiLilQanun" .. yg qanun ciptaan manusia tu berbeza2 antara negeri2 di Malaysia. Malu lah kat orang bukan Islam.

Wahai pejuang2 Islam, kita seharusnya menghabiskan usaha & tenaga utk perjuangan mempertahankan & menegakkan hukum shariah, supaya Islam itu kembali menjadi Diin yg memerintah.. bukan memperjuangkan "benda2 sampingan" yang tiada kaitan dengan menegakkan hukum Allah. Wassalam

Hunny berkata...

salam Pemerhati MAIS,

Apa tindakan anda? boleh kongsikan?