Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Jumaat, 26 Mac 2010

Diari - "Saya kesiankan dia.."


Salam semua,

Semalam saya dihubungi oleh seorang wanita yang berhajat untuk bercakap dengan saya. Untuk tujuan penceritaan semula, saya namakan dia Puan CT (bukan nama sebenar). Rupanya sudah beberapa kali beliau cuba untuk menghubungi saya dan bercakap sendiri dengan saya, tetapi disebabkan komitmen saya dengan mesyuarat dan perbincangan, beliau hanya meninggalkan nombor telefonnya pada saya.
"Boleh saya bercakap dengan Puan Nurhani?" tanyanya semasa gagang telefon saya angkat. Suaranya kedengaran agak resah.

"Saya bercakap. Boleh saya tahu sapa di sana?" saya bertanya semula.

"Ermmm.. saya ni, Puan CT.. nak tanya Puan berkenaan dengan kes saman terhadap suami saya. Dia ada sewa premis MAIS di kompleks Amaniah, Gombak. Suami saya tak tahu saya telefon ni. Kalau dia tahu tentu saya kena marah dengan dia," suaranya agak tersekat-sekat menerangkan kepada saya.

"Premis nombor berapa? Saya kena check dulu status fail ni. Apa nama company nyer yer?" saya bertanya lagi.

"X company. Sebenarnya Puan ada keluarkan saman dia sebab tak bayar sewa. Puan Hani bagi notis tuntutan tu kat alamat mana? Sebab suami saya tak duduk kat premis tu dah lama. Dia ofisnya di Kota Damansara. Tapi wallahi, demi Allah, saya dan suami saya bukan jenis tak bayar hutang. Semua hutang-hutang kami bayar. Tapi yang premis ni, dia dah lama tak duduk situ. dah lama dia pindah. Sebelum dia pindah, dia ada amanahkan kat penyewa yang masih duduk di premis berhampiran untuk jelaskan bayaran sewa dan serahkan kunci," panjang penjelasan Puan CT.

"Hmmm.. Saya kena semak dulu Puan. Cuma, kenapa baru sekarang yer hubungi saya? Sebab kes tu dah lama. Tak silap saya sejak tahun 2007," saya menjelaskan.

"Saya baru tau, sebab kebetulan saya nak cari kedai untuk sewa. Buat perniagaan herba. Saya tengok dalam laman web MAIS ada kedai kosong kat sini. Saya pun datang nak tengok tempat ni. Tengok-tengok, nampak surat-surat banyak kat kedai ni atas nama suami saya. Suami saya tak tahu ni Puan. harap-harap Puan jangan bagitau dia. Saya ni tak sengaja terjumpa surat-surat tu." terangnya.

"Ok. jadi apa yang Puan nak saya bantu ni? " saya bertanya lagi.

"Kalau boleh, Puan tengok kanlah balik kes tu. Sebab suami saya bukan tak boleh bayar. Boleh. Cuma mungkin dia tak dapat notis tu. Puan boleh hubungi suami saya?" tanyanya mengharap.

"Boleh, tapi kalau dah ada prove dia terima, dia kena bayar yer Puan," saya menjelaskan.

"Errmmm.. tapi takperlah.. Nanti dia tanya Puan pulak macam mana dapat nombor dia. nanti dia tau saya yang bagi. Saya cuma nak tolong dia ajer... Saya risaukan suami saya.." tiba-tiba Puan CT menarik balik cadangan beliau dan menyatakan kerisauannya.

"Ok takper. Puan bagi masa pada saya, saya semak fail suami Puan dulu. Nanti saya hubungi Puan balik," janji saya.

"Terima kasih Puan Hani. Minta jasa baik Puan Hani bantulah suami saya. Saya kesiankan dia. Dia bukan jenis tak bayar hutang," jelas Puan CT.
"Insyaallah, saya cuba bantu mana yang boleh," saya membalas.

Saya terharu dengan sikap wanita tersebut. Kerana kasih dan sayangnya pada si suami, dia sedaya upaya membantu menyelesaikan masalah suaminya, walau tanpa diketahui suaminya. Kerana sayangnya, dia memberanikan diri menghubungi saya, walaupun mungkin tindakan itu mengundang kemarahan suaminya sekiranya suaminya mendapat tahu. Sedaya mungkin dia cuba untuk menyelesaikan kesusahan suaminya.

Seorang sahabat saya berkata,

"Rasa belas dan kasihan inilah yang Nabi suruh kita mulakan untuk ditanam di hati kita. Bermula dengan rasa kasih ini, nanti akan timbul pula perasaan untuk sama-sama membantu saudara kita. Tetapi, untuk mengasihi seseorang, kita perlu menanamkan perasaan kasih itu kerana Allah. Ini kerana, ada orang yang membantu seseorang kerana simpati, kelemahannya, jika hilang rasa simpati, maka hilanglah pertolongan kita. Tetapi jika kita membantu kerana Allah, apa keadaan pun, kita akan membantu orang lain."

Sayang, cinta, kasih, andai diletak di tempat yang tertinggi iaitu kerana Allah, insyaallah ia kekal selamanya. Andai disalah guna, ia akan merosak jiwa, dan manusia bisa hilang akal kerana melayan nafsu cintanya. Mudah-mudahan Allah sentiasa membimbing hati-hati kita semua untuk mengasihi dan mengasihani keranaNya. Amin.


"Aku Dambakan CintaMu Allah"
Nurhani
Shah Alam

2 ulasan:

Guru berkata...

assalammualaikum hani

perempuan secara umumnya sanggup buat apa saja utk insan2 yang disayangi..
kita doakan moga kasih yang kita curahkan dibalas Allah dengan kedudukan yang baik di akhirat nanti

Hunny berkata...

Salam KL Citizen,

Perempuan, memang makhluk yang unik dan setia...