"Eh! Ustaz!" sapa saya.
"Uh! Awok lagi,"katanya dalam loghat Terengganu. Saya berbual sebentar bersama Ustaz Ropi sebelum diajak masuk ke Bilik Gerakan untuk sesi perbincangan dan suai kenal. Sesi perbincangan dipengerusikan oleh YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Terengganu, Dato' Hj Ismail. Saya mengenali Dato' Ismail semasa beliau membuat lawatan ke Baitul Ehsan sekitar tahun 2008. Saya ada menulis mengenai lawatan mereka di dalam entry saya sebelum ini. Banyak isu yang dikongsikan bersama di antara ahli rombongan. Isu poligami, isu kahwin luar kawasan, isu penguatkuasaan hukuman, dll.
Saat saya ingin bertanya soalan, tiba-tiba Dato' Ismail menyampuk,
"Eh! Dia ni.. Ada?? Tak perasan saya," katanya, seolah-olah terperanjat melihat kehadiran saya.
"Memang saya ada Dato'. Dato aje yang tak perasan. Sampai hati Dato'," saya melawak. Yang lain tergelak-gelak.
"Betullah saya tak perasan. Minta maaflah. Ini Penasihat Undang-Undang MAIS," katanya mengenalkan saya pada pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu tanpa diminta.
"Ermm.. ke, sebab saya kecik sangat Dato?" saya bertanya lagi. Masing-masing tergelak kerana memang maklum saiz badan saya yang tak berapa kecik nak dibandingkan dengan yang lain.
"Tak perasan saya," ulangnya lagi.
"Itulah. Takkan saya nak tersengih-sengih pulak," saya membalas disambut dengan gelak ketawa yang lain.
Gelak, gelak juga, serius, tetap serius juga. Selain dari perkongsian perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang kuasa, bon jamin, waran tangkap, dll perkara yang melibatkan pendakwaan dan penguatkuasaan kes-kes jenayah syariah, lawatan ini menemukan saya semula dengan 2 orang kenalan lama, Ustaz Ropi dan YAA Dato' Ismail. Ustaz Ropi dulu berkhidmat sebagai pegawai di Rumah Pelajar Mesir, Pahang. Kemudian sekembalinya ke tanah air, beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik kepada YAA Ketua Hakim Terengganu sehingga sekarang. Dato' Ismail pula memang terkenal sebagai salah seorang Ketua Hakim yang berani bersuara dan memberikan pandangan. Beliau banyak memuji kemajuan institusi Islam di Selangor berbanding di Terengganu.
Mudah-mudahan pertemuan antara dua jabatan berlainan negeri ini tidak berakhir di sini. Banyak persoalan yang masih belum terurai, dan tanggungjawab yang belum dilaksanakan. Pencarian ilmu dan pengalaman ini tak mungkin terhenti di sini. Walaupun jajahan takluk dan bidang kuasa berbeza, namun objektifnya tetap satu. Untuk Islam dan umat Islam.
"Berjalan, Melihat Mentafsir"
Nurhani
Shah Alam
Wakil JKS Terengganu. Dari kiri : Ustaz Mohd Ropi, Hakim Syarie (tak ingat nama) dan Hakim Syarie (tak ingat nama).