Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 12 April 2009

Peguam Menulis - Thank you very much..

Salam semua,

Pada Jumaat malam, lebih kurang jam 10.30 malam, sewaktu saya menyiapkan entry mengenai kunjungan Ketua Hakim Syarie Terengganu ke Pusat Perlindungan Wanita MAIS, saya dihubungi oleh seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai F. F memaklumkan mengenai kematian seorang muallaf berbangsa India yang memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya (untuk tujuan penceritaan ini, saya menamakan si mati sebagai Raj). Beliau memperolehi nombor saya dari seorang rakan saya yang bertugas di Biro Bantuan Guaman. Beliau meminta pandangan dan nasihat saya untuk menyelesaikan isu Raj, yang telah memeluk Islam di PERKIM tiga tahun lalu, yang mati di sebuah Hospital di Selangor, dan keluarganya yang bukan Islam mahu menuntut jenazah si mati. Menurut F, beliau adalah saksi pengislaman Raj di PERKIM, dan meminta bantuan menyelesaikan isu tersebut. Beliau bertanya, sama ada dia perlu memaklumkan pengislaman Raj kepada keluarga Raj. Saya kata, perlu, kerana sebagai seorang Islam, kita perlu memberi penyaksian perkara yang benar. Saya meminta F mendapatkan maklumat berkenaan Raj untuk memastikan sama ada pengislaman Raj telah didaftarkan di MAIS atau di MAWIP.

Sementara menunggu maklumat daripada F berkenaan si mati, saya terus menghubungi pegawai di Bahagian Pembangunan Islam untuk 'standby' sekiranya terdapat pertikaian berhubung dengan status agama si mati. Saya turut menghantar sms kepada ketua Jabatan saya memaklumkan mengenai perkara tersebut. Selepas mendapat maklumat daripada F, pegawai Hal Ehwal Islam di BPI, terus membuat siasatan dan mendapati si mati adalah mualaf yang berdaftar di MAIS dan menerima bantuan bulanan dari pihak MAIS. Setelah berbincang dengan Pendaftar Mualaf, kami bersetuju untuk menyelesaikan isu melalui perbincangan bersama ahli keluarga Raj pada keesokan harinya. Tambahan pula, pihak kami mempunyai sedikit masa tambahan, kerana jenazah Raj masih lagi dibedah siasat di Hospital tersebut.

Pada hari Sabtu, semasa saya menghadiri Karnival Mesra MAIS, saya dihubungi oleh seorang yang mengenalkan dirinya sebagai Ir. Az dan memaklumkan bahawa F menelefon saya menggunakan hp beliau. Saya memaklumkan kepada beliau mengenai tindakan yang akan dibuat oleh MAIS dan bersedia membantu menyelesaikan perkara ini. Pada sebelah petangnya, saya dihubungi oleh seorang pegawai daripada Bahagian BPI MAIS, yang berbangsa India, memaklumkan bahawa keluarga si mati menerima berita pengislaman si mati dengan hati yang terbuka. Alhamdulillah! Bisik hati saya, kerana tidak perlu bertikai sehingga melibatkan isu perkauman demi mempertahankan hak seorang muslim yang telah mati, seperti kes pendaki Everest, Abdullah Moorthy dan beberapa kes lain. Ada beberapa kes yang mana pihak MAIS telah disaman oleh keluarga si mati kerana menuntut jenazah si mati sedangkan agama si mati adalah agama bukan Islam.

Apa yang saya nak kongsikan adalah, penyampaian maklumat, tindakan, dan kerja berpasukan adalah sangat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang mendesak dan memerlukan penyelesaian segera. Dalam kes ini penyampaian maklumat adalah ADUAN ke pihak berwajib supaya tindakan dibuat. ADUAN dibuat oleh F dan disokong oleh Ir.A. Tindakan dijalankan oleh MAIS, dengan kerjasama di antara Bahagian Undang-Undang dan Bahagian Pembangunan Insan MAIS. Kemudian, dengan kerjasama pihak polis dan hospital, jenazah tersebut dapat disemadikan di Tanah perkuburan Islam dengan selamat.

Sehari sebelum jenazah dikebumikan, saya menerima sms daripada Ir. A yang berbunyi :-

Assalamualaikum wbt. terima kasih di atas komitmen/bantuan & kerjasama cik/pihak MAIS dalam kes Allahyarham Raj. Insyaallah esok, kami akan sama-sama jalankan fardhu kifayah ke atas jenazah.

Tengahari tadi, lebih kurang jam 1.30 tengahari, saya dihubungi oleh Pegawai Muallaf MAIS di daerah berkenaan mengucapkan terima kasih atas bantuan tak seberapa saya. Paling mengharukan apabila pegawai berkenaan memaklumkan mengenai ucapan terima kasih daripada keluarga si mati kepada MAIS kerana menguruskan jenazah anak mereka dengan selamat dan penuh hormat seebagai seorang Muslim. Beliau turut memaklumkan kepada saya bahawa semasa solat jenazah, lebih daripada 50 orang Islam yang berada di dalam komuniti tersebut hadir menyembahyangkan jenazah si mati. Perasaan saya begitu gembira menerima ucapan terima kasih tersebut, kerana ia datang dari orang bukan Islam., yang seolah-olahnya melihat Islam itu begitu indah... Alhamdulillah.. Syukur kepada Allah yang memberi petunjuk dan kemudahan kepada kami untuk menyelesaikan kes ini.

Kepada sesiapa yang mempunyai aduan mengenai mana-mana muallaf yang terabai/ tidak mendapat bimbingan Islam sewajarnya, sila hubungi Bahagian Pembangunan Insan MAIS di talian 03 5514 3400, (samb. Bhgn pembangunan Insan MAIS) untuk mendapatkan nasihat/bantuan. Adalah lebih baik menyelamatkan aqidah semasa masih hidup daripada dipertikaikan setelah dia mati. Wallahua'lam.

'Memartabat Syariah, Undang-undang Allah'

Nurhani Salwa
Shah Alam
13 April 2009
1 a.m.

4 ulasan:

Ustaz Amin berkata...

teruskan berkhidmat untuk agama , bangsa dan negara

Leenoh berkata...

Salam.
Tugas yang mencabar juga kekadang tetapi berada di dalam gedung kebajikan, insya Allah kebaikannya menunggu di hadapan.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

Salam Ustaz Amin,

Terima kasih banyak2 atas sokongan.Insyaallah, akan ku teruskan, selama khidmat diperlukan.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

To Pak Ngah,

Betullah. Moga2 saya tetap terus dalam gedung kebajikan..