Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 31 Ogos 2009

Diari- Merdekakah kita?

Salam semua,

Hari ini, 31hb Ogos 2009 adalah Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 52. Alhamdulillah. Syukur kerana Allah Taala memberikan peluang untuk kita meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52. 52.. bukannya satu waktu yang singkat. Kalau kita Pegawai Kerajaan, lagi 5 tahun nak pencen. Kalau dari sudut fizikal manusia, memang kita dah digelar 'orang tua' atau 'golongan veteran'. Ayat yang lebih sopan untuk mereka adalah 'warga emas'. Tapi memang tak pernah ada yang beranggapan bahawa di usia 52 tahun, kita masih tergolong dalam golongan muda atau remaja, melainkan orang yang mempunyai masalah mental. Maknanya, negara kita telah cukup 'tua' dan matang pemikirannya.

Namun, persoalannya, adakah negara kita benar-benar 'merdeka'? Merdeka dari perkara-perkara songsang, budaya songsang, ajaran songsang, ideologi songsang, akidah songsang.. Rasanya baru tadi saya membaca Sinar Harian online menulis berita mengenai seorang gadis berumur 15 tahun dicabul bapa saudaranya yang berumur 42 tahun. Minggu lalu, saya membaca blog Mazidul Akmal (Pengacara 360) yang menulis mengenai blog2 gay yang tanpa segan silu memaparkan biodata dan mengaku mereka gay. Sejak dua minggu yang lalu media -media cetak menulis mengenai kritikan dan komen negatif yang dilemparkan terhadap badan-badan islam mengenai hukuman ke atas Kartika Dewi yang mengaku meminum air kencing syaitan. Siaran TV masa kini (setelah 52 tahun merdeka) yang majoritinya memilih untuk menyiarkan hiburan berbentuk realiti TV, kerana mengaut keuntungan yang lumayan (menyebabkan saya sangat jarang menonton TV), kecuali program-program tertentu. Tak masuk dengan mata yang sakit melihat 'free show' 'punggung-punggung' anak-anak gadis kita yang pakaiannya ketat, singkat dan menjolok mata. Saya turut membaca dalam Harian Metro pagi ini kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam "Ops Masih Ada yang Sayang" yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini. Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.

Merdekakah kita kalau perkara-perkara itu masih membelenggu setiap jiwa manusia yang berfikir? Merdekakah kita? Wajarkah kita mengaku negara kita telah merdeka? Allah berkata:"Tidakkah kamu berfikir?"

Tahun ini, masjid di sebelah rumah saya mengadakan sambutan Merdeka di masjid. Disebabkan jarak yang terlalu hampir dengan masjid, saya dapat mendengar Tuan Imam membacakan doa. Walaupun suaranya tidak begitu jelas, namun, ramai yang mengaminkan doanya. Alhamdulillah, kemungkinan sudah tiba masanya kita membuat anjakan paradigma dengan membuat program-program 'cintakan negara' di masjid, bukan di dataran-dataran atau tempat yang mencampurkan lelaki dan perempuan tanpa sekatan, dengan countdown yang akhirnya menyebabkan ramai remaja kita 'down' di tangan nafsu sendiri.

Apapun, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada semua. Kita mungkin merdeka dari penjajah, tetapi belum merdeka dari jiwa penjajah yang penuh dengan budaya songsang dan ideologi songsang. Kita juga belum merdeka dari akidah-akidah songsang yang sering mengganggu umat Islam. Mudah-mudahan kita yang merdeka dapat membantu me'merdeka'kan yang lain, yang belum tahu nilai satu 'kemerdekaan' sebenar. Merdeka seorang hamba, apabila dibebaskan oleh Allah dari dosa-dosanya, dan diberi ganjaran syurga setimpal dengan amalannya. Semoga Ramadhan ini, memberi satu kemerdekaan bagi kita dan keluarga kita. Allahumma barikna fi Ramadhan... Ya Allah, berkatilah kami dalam Ramadhan ini yang penuh kebberkatan.. Amin..

"Mengharap Redha Ilahi"


Nurhani


Kampung Raja Musa

Kuala Selangor

2 ulasan:

Ustaz Amin berkata...

Dulu orang bermati-matian berjuang untuk memerdekankan tanah air dari penjajah negara,

sekarang, ada ke orang bermati-matian memerdekakan diri dari penjajahan rohani.

Malahan, berapa ramai orang yang sengaja menghulur tengkok untuk dijajah rohaninya.

Dan juga berapa banyak, program di atur yang sengaja di atur untuk menjajah rohani.

Kalau orang atasan masih terjajah, bagaimana ingin diharapkan orang bawahan merdeka?

Hunny berkata...

Salam ustaz,

Dulu dan sekarang, pejuang tetap ada dan masih meneruskan perjuangan. Cuma medannya berbeza dan cabarannya berbeza. Jihad wajib diteruskan. Pilihlah pemimpin yang betul dan membimbing kita ke jalan yang diredhai.