Assalam semua,
Tidur lewat malam semalam tidak boleh dijadikan alasan untuk aku bangun lewat hari pada hari kedua lawatan kerja kami ke Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ini kerana, pada jam 9 pagi, kami semua perlu berada di Majlis Agama Islam Kelantan untuk program lawatan kerja ke sana. Tepat jam 9 pagi, kami dah berada di sana. Kami disambut oleh Ustaz Afifi, pegawai Hal Ehwal Islam MAIK yang menguruskan masjid.
Melalui taklimat yang diberikan, di Kelantan, semua masjid di Kelantan diurus oleh pihak MAIK, berbeza dengan di Terengganu, semua masjid diurus oleh Jabatan Agama Terengganu dan mendapat peruntukan sepenuhnya dari kerajaan negeri Terengganu. Yang menarik di Kelantan, pembangunan masjid-masjid baru walaupun tidak mendapat peruntukan daripada Kerajaan negeri, namun ianya diperolehi menerusi sumbangan daripada ahli kariah dan umat Islam di Kelantan.
"Kami ingin menggalakkan supaya ahli kariah menyumbang untuk pembinaan masjid, mengambil contoh semasa Rasulullah SAW membina masjid, ussisa a'la attaqwa (dibina atas dasar taqwa) supaya mereka merasa kebersamaan untuk membangunkan masjid dan seronok untuk ke masjid."jelas pegawai MAIK.
Usai majlis taklimat dan penerangan mengenai pengurusan masjid di Kelantan, kami dibawa melawat ke dua buah masjid di Kelantan iaitu masjid Muhammadi, yang terletak berhampiran dengan Pasar Siti Khadijah, dan masjid As-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. Kami diberi taklimat ringkas berkenaan dengan pengurusan masjid-masjid oleh Tuan Imam masjid berkenaan.
Masjid As-Sultan Ismail Petra.
"Di sini, setiap anggota jawatankuasa tahfiz menyumbang sebanyak RM30 sebulan untuk membayar elaun guru tahfiz sebanyak RM600," kata Ustaz Sabri Abdullah, Imam Tua masjid As-Sultan Ismail Petra. (Di Kelantan, Imam dibahagikan kepada Imam Tua dan Imam Muda). Perghhh!! Hebat! Kalau kat tempat lain, JK Tahfiz yang dibayar elaun. Kat sini, diorang yang sponsor.
"Di sini kami banyak sukarelawan. Ada penceramah motivasi yang offer memberikan khidmat percuma kepada anak-anak muda di sini dengan mengadakan program-program di masjid. Penceramah tu pun hebat. Bukan yang biasa-biasa. Mereka nak KHIDMAT. Ada juga sukarelawan yang menawarkan diri untuk membersihkan tandas-tandas masjid," terang Imam Tua lagi.
"Kami negeri miskin, malu juga bila negeri maju macam Selangor sudi datang tengok kami. Ini saja yang terbaik yang kami boleh kongsi," kata Imam Tua, menyebabkan aku sebak, sebab walaupun mereka miskin HARTA, tapi mereka kaya ILMU dan berjaya menerapkan semangat untuk sentiasa BERAMAL kepada masyarakat sekeliling.
Imam Tua masjid As-Sultan Ismail Petra, Kelantan.
Sebelum ke masjid Muhammadi, kami dibawa ke Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK untuk jamuan makan tengahari. Maahad tahfiz ini awalnya adalah kelas pengajian Tafaqquh yang ditubuhkan oleh Kerajaan negeri Kelantan berpusat di masjid Muhammadi, tetapi dipindahkan ke bangunan sekarang, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, selepas pembinaannya siap pada tahun 2006. Kami turut diberi taklimat ringkas oleh Pengetua Maahad ini. Maahad ini turut menempatkan penghuni-penghuni Darul Aitam (Rumah Anak Yatim yang ditubuhkan oleh MAIK.)
Maahad Tahfiz Al-Quran, MAIK.
Selepas solat Zohor, kami dibawa ke masjid Muhammadi, sebuah masjid lama di tengah bandar Kota Bharu. Masjid ini dibina pada tahun 1867 semasa pemerintahan Sultan Muhamad II dengan menggunakan kayu. Bangunan kayu masjid ini telah diganti dengan konkrit semasa pemerintahan Sultan Muhamad IV. Masjid ini sangat penting dalam penyebaran Islam di Kelantan. Beberapa ulama masyhur di Kelantan turut mengajar di masjid ini termasuk Tok Kenali.
"Itu dulu rumah sewa saya. Dulu, 6 tahun saya belajar kat sini. Hari-hari saya ke masjid ini," kata Ustaz Halem Hapiz, TSU MAIS, yang mengetuai delegasi kami kali ini sambil menunjuk ke arah bumbung rumah sewa lamanya yang terletak di belakang sebuah kedai batik berhampiran masjid Muhammadi.
"Ye ke Ustaz? Ntah-ntah, ustaz jumpa isteri Ustaz pun kat sini," balas saya, mengusik. Usikan saya disambut dengan deraian tawa kawan-kawan lain.
Paling best, dan tak sangka, bila Ustaz Halem jawab, " Ha ah." Hahahahaaa.. Pancing aku mengena..:D. Mudah-mudahan, berjumpa jodoh di tempat yang baik, insyaallah, pengakhirannya baik.:)
Lebih kurang jam 4 pm, lawatan kami berakhir. Kami sempat ke Pengkalan Kubur untuk membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Lebih kurang jam 6 petang, kami bergerak ke destinasi seterusnya, Kuantan Pahang, untuk lawatan kerja esok ke Jabatan Agama Islam Pahang. Kami tiba di Lakeview Resort , Pekan, Pahang pada jam 3.45 pagi. Esok ada program lagi...
Masjid Muhammadi Kota Bharu Kelantan. Masjid tua yang penuh sejarah.
Serasa nyaman semasa melalui lorong ini. Terbayang lorong yang sama dilalui oleh Tok Kenali, Tuan Guru Taba dan ulama terkemuka Kelantan.
Tetap unggul walaupun sudah berusia.
"Berjalan, Melihat & Mentafsir"
Nurhani
Shah Alam
2 ulasan:
best nye pegi lawat tpt2 mcm ni... 'negeri miskin kaya ilmu'... kita pulak duduk 'negeri kaya tp miskin jiwa'.... camne tu?
EjaMaria,
Kalau nak negeri kaya jiwa, kita kena jadi contoh pada mereka.:)Mulakan dengan keluarga sendiri, kemudian barulah kepada masyarakat. semua pihak kena bersama-sama jalankan misi ini.
Catat Ulasan