Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 25 April 2009

Peguam Menulis - Keputusan kabinet berhubung pemelukan Islam kanak-kanak

Salam semua,

Semalam, sewaktu menonton Buletin Utama, saya dikejutkan dengan keputusan daripada kabinet yang menetapkan kanak-kanak bawah umur kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama. Kabinet turut membuat keputusan bahawa mana-mana pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil dan bukannya Mahkamah Syariah.

Sesungguhnya saya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut disebabkan ianya tidak konsisten dengan kaedah fiqh yang membenarkan ibu bapa yang memeluk Islam untuk mengislamkan anak-anak mereka mengikut agama yang dianuti oleh ibu dan bapa mereka. Tambahan pula, Kabinet tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sebarang isu berkaitan agama Islam, memandangkan kuasa tersebut secara ekslusif terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri, iaitu DYMM Sultan Negeri-negeri @ YDPA. Dalam hati saya berkata, "What is this?" sambil tak henti-henti mengutuk keputusan kabinet tersebut. "Suka hati depa jer nak buat keputusan".. gerutu saya.

Selepas mendengar berita tersebut saya terus menghubungi mantan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Tuan Hj Zainul Rijal (sekarang Setiausaha Agong Persatuan Peguam Pembela Islam) untuk mendapatkan pandangan beliau yang turut menentang keputusan tersebut. Beliau turut memaklumkan kepada saya bahawa NGO-NGO Islam akan membuat sidang akhbar keesokan harinya untuk menyatakan bantahan terhadap isu tersebut.

Isunya, mengapa kami membantah?

1) Kerana keputusan tersebut dibuat oleh badan yang tidak mempunyai kuasa untuk memutuskannya. Bidang kuasa untuk memutuskan isu berkaitan pentadbiran agama adalah DYMM Sultan Negeri-negeri @ YDPA @ Majlis Agama Islam negeri, manakala berhubung dengan Hukum Syarak adalah Mufti negeri-negeri.

2) Kerana keputusan tersebut bertentangan dengan Hukum Syarak yang memperuntukkan mana-mana bapa atau ibu bukan Islam memeluk Islam, anak mereka dengan sendirinya menganut Islam kecuali jika anak itu berumur lebih 15 tahun. (Mufti Perak).

3) Kerana keputusan tersebut menyalahi hak pemelukan Islam oleh kanak-kanak di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. Berdasarkan pada peruntukan ini, persetujuan salah satu pihak sahaja adalah memadai dalam penentuan agama seorang kanak-kanak. Ini kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) adalah 'parent or guardian' bukannya 'parents or guardian' yang mana ia bermaksud ibu atau bapa atau penjaga.

4) Kerana keputusan tersebut menyalahi peruntukkan Enakmen Negeri-Negeri yang memperuntukkan bahawa seseorang kanak-kanak yang belum mencapai umur 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa mengizinkannya.

5) Kerana keputusan Jemaah Menteri tersebut bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 yang memberikan hak kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah untuk mengislamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan atau mendapat persetujuan isterinya, R. Subashini yang masih beragama Hindu.

Untuk akhirnya, saya ingin memetik kata-kata Mufti Perak Dato' Dr Harussani yang berkata, agama Islam tidak seharusnya dikorbankan hanya kerana mahu memuaskan kehendak pihak-pihak tertentu.''Jangan korbankan agama, akidah dan kepercayaan kita untuk hanya melayan atau menyenangkan orang lain dalam perkara ini." Mohon supaya artikel ini di'link'kan dalam blog masing-masing, untuk menyebarkan perkara ini. Bersama mempertahankan Islam, dan membela muallaf.


"Mempertahankan Islam, Tanggungjawab Ummah"

Nurhani Salwa Jamaluddin

Shah Alam, Selangor

25hb April 2009, 9.15am

6 ulasan:

..nOWa.. berkata...

saya juga sangat tidak bersetuju dengan keputusan kabinet ini yang ternyata dibuat tanpa mengambilkira sensitiviti umat Islam..lebih menyedihkan menteri terbabit pada saya bukanlah orang yang paling layak untuk mengulas perkara ini kerana kenyataan beliau terdahulu berhubung isu IFC juga pernah mengundang kontroversi dalam negara ini..(keterlaluan kah jika saya menyatakan bahawa beliau tidak layak berada dalam kabinet? Sangat tidak sensitif berhubung soal agama ya..) Umat Islam, mari kita bersama menunjukkan sokongan serta berjuang mempertahankan hak kita sebagai umat Islam demi memelihara kesucian agama Islam!

Leenoh berkata...

Salam.Hani
Pak Ngah yang belajar Ilmu Fiqah sikit-sikit ni pun terkejut.
Kita berharap keputusan hendaklah dibuat oleh mereka yang berhak dan tidak dipengaruhi oleh situasi politik.

Unknown berkata...

assalamualaikum hani. kakchik pun berpendapat seperti hani juga. naik juga rasa marah tapi cuba bersabar. perkara ni akan menjadi satu masalah & kekeliruan baru dalam masyarakat kita. kenapa j/kuasa itu diketuai koh tsu koon dan kenapa dato' jamil khir blh setuju? byk persoalan yg timbul. apakah rasionalnya tindakan itu?
hani, kakchik berdoa & berharap hani & rakan2 peguam pembela Islam akan berjaya dlm bantahan tu. kerajaan M'sia ni dah tak mau sokongan org Islam agaknya.

Hunny berkata...

Nowa,

Setuju dengan Nowa. Teruskan memelihara kesucian agama Islam.

Hunny berkata...

Pak Ngah,

Saya kira, orang yang tak belajar fiqh langsung pun rasa keputusan kabinet tu tak wajar, sebab fitrahnya dan kebiasaannya memanglah mak ayah yang masuk islam, anaknya akan ikut sama. Sewajarnya menteri yang terlibat berbincang terlebih dahulu dengan orang yang arif, bukan terus buat statement main sedap mulut aje..

Hunny berkata...

Kak Chik,

Insyaallah. kami akan teruskan memelihara kesucian Islam, selagi termampu. Doa dan sokongan kak Chik dan semua orang islam amat diperlukan untuk memberi kesedaran kepada orang Islam yang lain mengenai kewajipan dan tanggungjawab menjaga agama, sebagai objektif paling utama dalam Shariah.