Sebenarnya malam semalam saya telah merancang untuk melayari internet bagi mencari universiti untuk menyambung pengajian saya di peringkat PhD. Teringat pulak malam ini adalah malam perlawanan bola sepak Piala Dunia antara Argentina dan German. Argentina adalah pasukan faveret saya pada Piala Dunia tahun ini, sebab suka sangat kat penyerangnya yang comel, Messi. Namun, rancangan saya tak kesampaian, sebab saya memilih untuk menonton perlawanan tersebut! Ngeee... :)
Saya mengharapkan pasukan Argentina akan membelasah hebat pasukan Jerman, namun sangat mengejutkan bila German dapat mengalahkan Argentina 4-0 pada kali ini. Betul-betul Argentina jadi pasukan belasahan pemain Jerman.. Walaupun saya tak minat sangat Jerman, tetapi saya sangat-sangat memuji corak permainan pemain German yang tersusun dan penuh yakin. Semangat berpasukan jelas terpancar daripada corak dan strategi permainan mereka. Best sangat menonton perlawanan mereka, sehingga rasa nak buang air kecil pun sanggup tahan, tak nak miss part yang best-best!! Hahahha..
Namun, daripada apa yang saya lihat, pemain German sentiasa bekerjasama untuk mendapatkan gol bagi pasukan mereka, sedangkan sikap kerjasama di kalangan pemain Argentina agak kurang 'serasi'.
"Macam tak ada jiwa ajer depa main," komen saya pada adik saya Ajim, semasa sesi 'mengulas' perlawanan tersebut. Masing-masing membuat ulasan tersendiri.
"Maradona maybe pemain hebat, tapi bukan coach yang hebat. Tak ada strategi dan tak tactical," ulas adik saya.
Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya dapat menonton perlawanan penuh bola sepak WC 2010. Sebelum ini, saya sempat menonton perlawanan antara Brazil dan Portugal, dan malam kelmarin, 2nd half sahaja perlawanan antara Belanda vs Brazil. Itupun kejutan jugak sebab Brazil kalah.
Saya dapati, Piala Dunia kali ini, banyak pasukan gergasi seperti England, Brazil dan Argentina kecundang kepada lawan mereka, walaupun mereka membariskan pemain-pemain kelab yang hebat dan terkenal.
Saya bukannya nak komen sangat pasal permainan pemain-pemain pasukan dalam Piala Dunia ini. Sebab, saya bukannya peminat fanatik bola sepak. Minat sikit-sikit adalah. Cuma kadang-kadang bila ada kelapangan dan diajak oleh teman-teman yang minat bola sepak, saya join mereka menonton bola sepak dan menyokong pasukan Selangor. Sebenarnya, saya lebih tertarik untuk berkongsi satu pengajaran atau iktibar yang saya dapat simpulkan especially selepas menonton perlawanan antara German dan Argentina.
Dalam perlawanan bola sepak, 'teamwork' atau kerja berpasukan adalah perkara yang sangat penting dan menjadi faktor kejayaan sesuatu pasukan bola sepak. Gandingan tiga serangkai antara penyerang-penyerang Argentina seperti Thomas Mueller, Miroslav Klose dan Mesut Ozil di hadapan gawang gol berjaya menewaskan penjaga gol Argentina Sergio Romero dan memberi peluang kepada pasukan German untuk menambah mata demi mata. Pemain pertahanan German juga saya lihat bersungguh-sungguh mempertahankan gawang gol mereka daripada diterjah dan dibolosi oleh pemain Argentina. Paling menarik, penguasaan penjaga gol German yang sangat baik, dengan dibantu oleh pemain-pemain pertahanan German yang lain, membantu kepada kejayaan pasukan German menempah tiket ke separuh akhir. Berbeza dengan pasukan Argentina yang seolah-olah kehilangan rentak apabila dihujani serangan-serangan "hitler' pasukan German walaupun dilengkapi dengan Messi, bintang utama mereka dan Tevez, namun Argentina gagal mempamer aksi menyerlah. Messi sentiasa dikawal rapi oleh 3-4 orang pemain lawan, menyebabkan beliau sukar untuk memberi hantaran-hantaran cantik kepada pemain German yang lain. Benteng pertahanan mereka juga terlalu mudah dibolosi, dan berkali-kali pemain German menyerang dari sebelah kiri pintu gol Argentina. Nampaknya, pemain-pemain German telah mengetahui di mana kelemahan pemain Argentina. Dan ini adalah kesan daripada latihan dan bimbingan jurulatih pasukan German. Kredit dan pujian wajar diberi kepada beliau kerana memberikan bimbingan yang baik kepada pemain-pemain German.
Perkara ini yang sepatutnya diterapkan oleh semua organisasi, baik badan kerajaan atau NGO. Bekerjalah sebagai satu pasukan, bukan bersendirian, kerana berpasukan dan bekerjasama itulah yang lebih mudah membawa kejayaan kepada sesuatu organisasi. Walau bagaimana hebat pasukan lawan, walau bagaimana hebat ujian yang diberi, apabila kita bekerja secara berpasukan, ujian dan dugaan yang dihadapi dirasakan mudah untuk diselesaikan. Kejayaan yang diraih juga terasa lebih manis, kerana dikongsi bersama, apatah lagi jika setelah diduga dan diuji, organisasi tersebut tetap berjaya bahkan semakin cemrelang. Sesuatu organisasi akan pincang dan menampakkan kelemahan yang ketara sekiranya nilai semangat berpasukan ini tidak wujud di dalam organisasi tersebut. Justeru, ketua jabatan dan ketua sesuatu organisasi bertanggungjawab untuk menyemai semangat bekerja sebagai satu pasukan di dalam sesuatu organisasi.
Ketua sesebuah organisasi juga perlu bijak memimpin sesebuah organisasi. Ini kerana, kakitangan di dalam sesebuah organisasi masing-masing mempunyai sikap dan pemikiran tersendiri. Sama juga di dalam sesebuah pasukan bola sepak Piala Dunia, pemain-pemain yang mewakili negara dipilih dari kelab-kelab ternama dan berbeza, dan dihimpunkan di dalam satu pasukan. Jurulatih perlu bijak mengenalpasti posisi yang sesuai untuk seseorang pemain. Sama juga dengan organisasi, ketua organisasi perlulah memastikan kedudukan seseorang pegawai. adalah bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakannya.
Implikasi daripada semangat berpasukan ini, apabila sesuatu organisasi diuji dengan kegagalan, masing-masing akan terasa kesannya, apabila perasaan kecewa dan sedih itu dapat dikongsi bersama, sudah tentu kekecewaan itu dapat dikurangkan. Sama juga apabila sesuatu organisasi itu mencapai kegemilangan, semua orang berhak untuk berkongsi kegembiraan dan ganjarannya. Kesannya, pertahanan lebih ampuh, serangan lebih berhasil dan penuh strategi dan taktikal mampu menghancurkan lawan dan pesaing yang lebih hebat! Saya tak nampak apa yang buruk hasil dari kesatuan dan team work ini, melainkan yang kesan yang positif sahaja.
Jadi, mari lah kita berkerja secara berpasukan, insyaallah, kita mudah mencapai kejayaan yang gilang- gemilang!
Tahniah kepada pasukan German yang melayakkan diri ke separuh akhir setelah menewakan Argentina, antara pasukan pilihan 4-0.
Messi, sebelum ini adalah pemain terbaik dunia, namun gagal mempamerkan permainan yang mantap semasa menentang German.
"Ukhuwah itu indah"
Hani
Shah Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan