Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 16 November 2009

Diari - Kursus Memahami Dan Menangani Ajaran Salah dan Sesat

Salam semua,

Pada 14hb November 2009, saya dijemput untuk menyampaikan ceramah di Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) di Sabak Bernam untuk Kursus Memahami dan Menangani Ajaran Salah dan Sesat. Saya diminta untuk menjelaskan kepada peserta kursus yang terdiri daripada pelajar-pelajar IPT, KUIS mengenai peruntukan undang-undang di Negeri Selangor yang berkaitan dengan ajaran sesat.

Di Negeri Selangor, terdapat 3 undang-undang yang berkaitan dengan ajaran sesat/ kesalahan akidah, iaitu:-
1)Bahagian II dan III Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
2) Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Pengembangan Terhadap Orang Islam) Negeri Selangor 1988
3) Seksyen 298A Kanun Keseksaan

Antara lain, peruntukan undang-undang di atas menyebut mengenai kesalahan-kesalahan berkaitan dengan akidah dan hukuman ke atas kesalahan yang diperuntukkan.

Bahagian II EJS 1995 memperuntukkan kesalahan dan hukuman membabitkan pemujaan salah, mendakwa sebagai orang bukan Islam untuk mengelakkan tindakan, takfir (mengkafirkan orang lain), menyampaikan doktrin palsu dan membuat dakwaan palsu seperti mengaku Nabi/ orang lain sebagai Nabi/wali/Imam Mahadi.

Sementara itu, Bahagian III enakmen yang sama memperuntukkan kesalahan berhubung kesucian agama Islam dan institusinya.Ini termasuk kesalahan seperti mempersenda ayat Al-Quran dan hadis,menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, memusnahkan atau mencemar tempat ibadat, menghina pihak berkuasa agama, memberikan pandangan yang bertentangan dengan fatwa yang berkuatkuasa, mengajar tanpa tauliah dan penerbitan agama yang bertentangan hukum syarak. Sebagai contoh, kes Rasul Melayu dan Ayah Pin di dakwa di bawah Bahagian II dan III Enakmen Jenayah Syariah Negeri.

Manakala Enakmen Ugama Bukan Islam pula memperuntukkan kesalahan ke atas pihak-pihak yang cuba menghasut/ mempengaruhi seseorang yang beragama Islam untuk masuk ke agama selain Islam. Bagaimanapun, masih belum ada satu kes pun yang diputuskan di bawah undang-undang ini.

Di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan kesalahan terhadap mana-mana pihak, sama ada Islam atau tidak yang cuba menimbulkan ketidak harmonian antara kaum dan agama, dan menyebabkan pertelingkahan disebabkan faktor pertikaian agama dan isu sensitif. Sebagai contoh, kumpulan Artikel 11 yang memperjuangkan kebebasan beragama dan mendesak kerajaan supaya meluluskan undang-undang murtad.

Selepas penjelasan mengenai perundangan selesai, saya meminta peserta menjawab soalan dan membentangkan hasil jawapan untuk menguji sejauh mana kefahaman mereka. Alhamdulillah, berkemungkinan kerana pesertanya muda2 dan pelajar IPTS, jadi, keseluruhan mereka dapat menjawab soalan yang saya kemukakan.

Saya menutup sesi pembentangan saya dengan membuat rumusan terhadap kesemua jawapan setiap kumpulan, sambil berpesan supaya semua peserta menjaga akidah masing-masing dan mengelakkan daripada terjebak dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam. Saya turut menasihatkan mereka supaya turut berpesan-pesan kepada semua orang yang mereka sayang supaya menjaga agama dan akidah masing-masing. Semoga Allah melindungi kita dan keluarga kita daripada anasir-anasir yang menggugat keimanan kita semua. Amin..



Peserta-peserta terdiri daripada penuntut Fakulti Syariah dan Undang-Undang, KUIS.


Peserta sedang tekun menjawab soalan dalam kumpulan.

Seorang pelajar lelaki sedang membentang jawapan sambil dibantu oleh ahli kumpulan yang lain.


Seorang pelajar wanita menunjukkan bakat sebagai pembentang.


Saya dibantu Shakirah sedang menilai pembentangan jawapan oleh peserta.


"Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad"


Nurhani



ILDAS


Sabak Bernam

2 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

Suatu aktiviti yang baik dan merangsangkan minda peserta.

Mungkin boleh diteruskan pula dengan kursus memahami adat salah dan sesat yang masih diamalkan oleh masyarakat Melayu dengan menggunakan pendekatan yang sama tetapi sasaran pesertanya dari kalangan ahli Qariah sesuatu masjid.

Aktivitinya bolehlah dibuat selepas satu masjid ke suatu masjid yang lain pula, pesertanya tanpa dicampurkan dengan ahli qariah masjid yang lain supaya kursus itu lebih berkesan dan mereka akan dapat sama-sama mengaplikasikan hasil pembentangan tersebut di tempat mereka nanti.

Mencadangkannya senang tetapi melaksnakannya itu bukanlah sesuatu yang mudah oleh itu anggaplah ini suatu percambahan minda sahaja.

Pak Ngah saja nak kacau je...he3

Hunny berkata...

Salam Pak Ngah,
Idea yang sangat baik, tapi kemungkinan kena jemput penceramah lain, sebab saya tak arif berkenaan adat salah dan sesat.Apapun, terima kasih sebab sajer 'mengacau' kami dengan cadangan yang baik itu..:) Insyaallah kami akan usahakan..