Salam semua,
Pada sebelah pagi tadi, saya dikunjungi oleh sahabat saya, Puan Masmadahnur Linda, Pegawai Undang-Undang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Saya mengenalinya kerana di kebanyakan persidangan dan program perundangan yang dianjurkan oleh mana-mana jabatan (kebiasaannya Jabatan Peguam Negara, IKIM, JKSM, PGSM dan MAINS), selalunya kami berdua hadir. Berbanding dengan saya yang sudah 6 tahun di MAIS, Puan Linda baru saja setahun jagung di MAINPP. Kunjungannya tadi untuk mendapatkan input daripada MAIS mengenai prosedur dan proses kutipan dan agihan saham wakaf Selangor. Di Pulau Pinang, saham wakaf ini masih belum diperkenalkan lagi.
Bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 2.30 petang, memang banyak yang kami
kongsikan. Kami turut bertukar-tukar enakmen-enakmen dan peraturan yang digunapakai di negeri masing-masing. Perbincangan turut disertai oleh PSU Bahagian MAL MAIS, Ustaz Khairie Solehan. Lepas satu, satu isu kami bincangkan dan kupas. Makin lama makin hangat. Perbincangan kami berlarutan dari satu isu ke satu isu yang lain. Mula-mula pengurusan wakaf Selangor. Kemudian, peraturan dan enakmen. Kemudian, isu pembayaran cukai tanah dan taksiran nominal ke atas tanah-tanah wakaf. Then, isu ISO, perjawatan, kenaikan pangkat, bidang tugas, bla bla bla... Sedar-sedar dah jam 2.30, dia meminta diri kerana tahu saya ada mesyuarat lain pada jam 2.30 petang. Saya sempat menyemak kertas kerja yang didraf oleh Ustaz Fahimi mengenai peguam Syarie bukan Islam untuk mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Jam 3 pm baru saya tiba di Mesyuarat kedua. Encik Anuar, pegawai kanan dari Institut Integriti Malaysia merangkap Pengerusi Mesyuarat telah tiba. Puan Norraini, Puan Zaihan dan Encik Jahaluddin, wakil KUIS, juga telah tiba. Encik Anuar yang memang berpengalaman di dalam perkara berkaitan Tadbir Urus yang baik (good governance),
berkongsi dengan kami yang hadir mengenai penetapan Good Governance di dalam kerajaan Malaysia. Seronok menimba pengalaman dan berkongsi ilmu daripada orang yang betul-betul berpengalaman seperti Encik Anuar.
Usai mesyuarat pada jam 4.45, saya menyelesaikan beberapa perkara termasuk meminit surat-surat masuk sebelum pulang. Ini kerana, esok, di awal pagi, saya dikehendaki menghadiri kursus pemantapan kaunseling untuk program AKRAM di Port Dickson selama 3 hari dua malam.
Pulang saja, saya dihubungi seorang sahabat saya, Puan Nurul, yang mengajak berjumpa di Subang Parade. Lebih kurang sebulan jugak kami tak berjumpa. Saya mengajak adik saya Mell ke sana. Banyak yang kami bincangkan dan kongsikan sambil melepak di Kenny Rogers Subang Parade. Sedang bersembang-sembang, mata saya menangkap kelibat seseorang yang cukup saya kenali, sedang makan bersama anak-anak dan isterinya. Kalau dulu, mungkin saya akan tegur dan bersalaman, tetapi setelah berlaku beberapa perkara yang kurang enak, saya berpura-pura tidak nampak. Kenapa? Tak perlulah saya kongsikan di sini...
Pada saya, jikalau kita bahagia, kita akan lebih bahagia jika kebahagiaan itu dikongsikan. Tentu lebih bermakna. Atau sebaliknya, jika kita dalam kesusahan, ada baiknya dikongsikan, kalaupun tidak berjaya diselesaikan, namun sekurang-kurangnya berhasil untuk mengurangkan penderitaan yang dihadapi. Dengan berkongsi pengalaman dan buah fikiran, banyak informasi dan idea yang kita dapat,dan memberi manfaat kepada pihak-pihak yang berkongsi.
Namun, masih ramai orang yang tak suka berkongsi. Padanya, sesuatu benda itu adalah hakmiliknya yang berkekalan, walhal tidak ada satu benda pun yang akan kekal dalam dunia ini. Semuanya hanya sementara. Tak ada yang kekal. Semuanya Allah pinjamkan kepada kita manusia sebagai satu nikmat supaya kita terus bersyukur dan lebih taat mematuhi perintahnya. Nikmat ketenangan, kesenangan, kasih sayang, kerjaya yang mantap, anak-anak yang soleh dan solehah, isteri yang solehah, suami yang soleh.. Semua tu, PINJAM. maknanya, bila-bila Dia boleh ambil dari kita.
Pernah ada orang bertanya saya, sanggupkah saya berkongsi kasih suami? Jujurnya, itu bukanlah kehidupan yang saya idamkan atau hajatkan, dan saya yakin, mana-mana wanita lain pun sama. Saya tidak pernah berdoa untuk berkongsi kasih, seboleh-bolehnya saya akan elakkan, namun kalau Allah dah taqdirkan, dan setelah memikirkan kelemahan dan kekurangan diri yang terlalu banyak untuk dihitung, hikmahnya terlalu besar. Dan tidak wajar bagi saya untuk menolak kemungkinan itu, jika itu yang terbaik bagi saya, walaupun mungkin perit untuk ditanggung. Sesungguhnya hanya yang Allah Maha Mengetahui taqdir dan apa yang terbaik untuk setiap hambaNya.
Dulu, ada seorang rakan saya yang berkata, disebabkan saya belum berkahwin, jadi perasaan itu tidak kuat, dan tidak ada perasaan memiliki, seperti orang yang telah berkahwin. Setelah berkahwin, perasaan memiliki itu akan jadi lebih kuat. Dalam satu lagu omputih tajuknya, "The boy is mine.." Exclusively.. :) Mungkin juga benar pandangannya. Ini terbukti bila seorang teman lama saya pernah berkata, "Bagi aku 2 juta pun, aku takkan bagi suami aku kat orang lain,". Heheheh.. Punya la sayang kat suami dia tu. Kalau suami dia tau, tentu suami dia makin sayang kat dia, dan tak cari perempuan lain.. hehehehe..
Anyway, ini bukan bermaksud, saya sudi untuk berkongsi kasih. Adalah syarat-syaratnya. Kalau kita sendiri tahu suami kita tak boleh berlaku adil, adalah zalim kalau kita benarkan dia kawin lain. Suami pulak, sepatutnya lebih tahu kemampuannya untuk berlaku adil. Kalau agak-agak tak mampu, lupakan saja hasrat itu.
Kawan-kawan lain pulak macam mana? Sanggup ke? :P
"Mengharap Kasih Ilahi"
Nurhani
Shah Alam