Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 23 Ogos 2010

Diari - Rumah Kebajikan Ar-Riqab

Salam semua,

Hari ini saya dilantik sebagai moderator untuk sidang bengkel mengenai Rumah Kebajikan Ar-Riqab MAIS yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Ar-Riqab MAIS. Tujuan bengkel diadakan adalah untuk membincangkan mengenai garis panduan pendaftaran rumah-rumah kebajikan di bawah asnaf ar-riqab MAIS. Antara jemputan yang hadir termasuklah Puan Ziton (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Puan Salmah (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor), dan wakil-wakil dari JAIS, MAIS dan Jabatan Mufti Selangor.

Rumah Kebajikan Ar-Riqab MAIS ialah rumah kebajikan yang berdaftar dengan MAIS dan mendapat bantuan atau sumbangan daripada pihak MAIS melalui peruntukan asnaf Ar-Riqab, Lembaga Zakat Selangor. Setakat ini, seingat saya, terdapat melebihi 25 buah pertubuhan yang berdaftar di bawah MAIS yang dikategorikan sebagai ar-riqab serta layak mendapat bantuan daripada asnaf ar-riqab MAIS. Antara rumah yang mendapat bantuan asnaf termasuklah rumah perlindungan HIV muslim,rumah untuk penagih dadah Muslim, rumah perlindungan dan kebajikan untuk wanita Muslim, dll. Saya turut dimaklumkan, terdapat banyak lagi rumah kebajikan yang sedang memohon untuk mendapatkan bantuan peruntukan asnaf ar-riqab. Oleh kerana itu, satu garis panduan atau peraturan yang khusus perlu diwujudkan untuk membantu Bahagian Pengurusan Ar-Riqab melaksanakan tugasan mereka dengan lebih sempurna.

Bahagian Undang-Undang MAIS diminta untuk menyemak garis panduan yang telah pun dibengkelkan beberapa kali sebelum ini. Banyak juga komen dan pembetulan yang kami buat ke atas garis panduan tersebut. Namun, akhirnya, kami berjaya juga menyelesaikan bengkel tersebut dalam tempoh yang singkat. Walaupun kami sedang berpuasa, alhamdullah, nampaknya Allah permudahkan urusan kami.

Walaupun saya dan kakitangan di Bahagian saya tidak terlibat secara langsung dalam operasi rumah-rumah kebajikan ini, berbanding dengan penyelia rumah atau sukarelawan yang berkorban masa, tenaga dan seluruh kehidupan mereka, memerah keringat untuk membantu saudara-saudara semuslim kami yang perlu dibantu, (semoga Allah memberkati mereka), saya berdoa, semoga penglibatan kami yang sangat sedikit dalam usaha membantu golongan ar-riqab ini akan menyebabkan kami semua turut termasuk dalam golongan yang membantu golongan ar-riqab ini sebagaimana maksud hadis:-

"Barang siapa yang membantu golongan riqab ini, Allah akan membebaskan setiap sendinya dari api neraka."

Apa lagi perkara yang sangat-sangat diinginkan oleh seseorang muslim di akhirat kelak, selain pembebasan dari api neraka dan dimasukkan ke syurga? Allah A'lam. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pengusaha rumah-rumah kebajikan yang bersungguh-sungguh membantu golongan ini. Semoga Allah merahmati kamu semua. Saya percaya, pihak MAIS sentiasa menyokong kesungguhan dan usaha para pengusaha rumah kebajikan dan sukarelawan ini di atas dasar tanggungjawab dan kewajipan terhadap sesama muslim. Semoga Allah bersama kita..:)

Istana Budi, antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan daripada asnaf ar-riqab MAIS.

Darul Ukhuwah, Yayasan Al-Ijabah, yang menyediakan penempatan alternatif untuk pesakit HIV beragama Islam, turut menerima sumbangan peruntukan asnaf ar-riqab MAIS. Semoga Allah memberkati usaha kalian.


"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani
Shah Alam

Tiada ulasan: