Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 29 Disember 2008

Diari 13 - Salam Maal Hijrah


Salam semua,

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1430. Semoga bertambah iman amalan, seiring dengan peningkatan umur. Malam tadi saya mengajak adik untuk memulakan tahun baru Hijrah ini dengan menghabiskan masa di masjid negeri Selangor. Alhamdulillah. Ramai sungguh jemaah yang hadir, sampai nak parking pun susah. Ini menunjukkan kesedaran umat Islam mengenai Islam semakin meningkat. Alhamdulillah, mudah-mudahan perkara kebajikan seperti ini kekal selamanya.


Serangkap pantun berkerat-kerat buat semua:

Walau umur dah makin usai,
Anak dah makin ramai,
Badan dah makin lunyai,
Selesaikan perjuangan kita yang belum selesai,
Dengan khidmat bakti yang disemai
Dan budi yang dituai, agar Islam yang syumul tercapai.

Salam Maal Hijrah 1430

Moga ibadah dan amal bertambah..

Jumaat, 26 Disember 2008

Renung Sejenak 7- Sejarah vs Al-Quran

Al-Quranul Karim
Salam semua,

Hari ini, satu berita di suratkhabar menarik perhatian saya. Berita tersebut menyatakan bahawa seorang Professor di Universiti Petronas mendakwa bahawa Francis Light bukanlah orang pertama yang membuka Pulau Pinang, tetapi seorang Melayu yang dikenali sebagai Dato’ Jenaton Bin Raja Labu sejak tahun 1749. Beliau berpandangan bahawa keperluan untuk menggali semula sejarah untuk memperbetulkan fakta sejarah tersebut.

Menurut Kamus Wikipedia, sejarah merupakan koleksi maklumat ataupun fakta masa lalu. Apabila digunakan sebagai nama bidang pengajian, sejarah merujuk kepada penyelidikan dan tafsiran rekod-rekod masyarakat manusia. Istilah "sejarah" berasal daripada Bahasa Greek "ιστορία" ("pemerian penyelidikan"), dan mempunyai etimologi yang sama dengan perkataan bahasa Inggeris"cerita" (story).

Ensiklopedia Britannica 1911 pula mengatakan bahawa "dari segi am, sejarah adalah kesemua yang terjadi, bukan sahaja mengenai fenomena terhadap hidup manusia, bahkan juga dengan alam semulajadi. Ia merangkumi segala yang mengalami perubahan, dan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh sains moden, kesemua alam semesta dan setiap bahagiannya mempunyai sejarah masing-masing kerana tiada sesuatu yang benar-benar tidak berubah-ubah."

Pada saya, Al-Quran bukan sahaja terdapat kesemua yang dikategorikan sebagai sejarah, malahan perkara yang akan datang dan belum berlaku, malahan yang sedang berlaku. Itulah beza Sejarah Melayu dengan kitab Al-Quran, kitab suci bagi orang Islam, yang tidak pernah berubah kandungan atau bercanggah kenyataan di dalamnya. Itulah mukjizat Al-Quran, sebesar-besar mukjizat, yang kekal turun temurun, sejak diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun dahulu. Semoga saya dan sahabat-sahabat tergolong di kalangan pencinta Al-Quran. Amin.

Khamis, 25 Disember 2008

Diari 12 - My Mum, My Love


Ibu dan kami

Salam semua,


Sempena cuti Krismas, saya balik ke kampung menjenguk keluarga. Saya dan dua adik lelaki saya bertolak pulang dari Shah Alam sekitar jam 11.50 malam. Kami konvoi dua biji kereta, kerana adik lelaki saya bercuti panjang, sedangkan saya perlu bekerja pada esok harinya kerana ada mesyuarat penting yang saya perlu hadiri.


Jalanraya agak lengang kerana mungkin disebabkan cuti sekolah dan waktu sudah lewat malam. Sebelum bertolak pulang, saya sempat meneguk kopi panas untuk menghilangkan mengantuk. Kami tiba di rumah lebih kurang jam 12.30 malam. Emak kami yang sudah pun tidur, bingkas bangun dan menyambut kepulangan kami. Begitulah kasih sayang seorang ibu, walau letih dan mengantuk macam mana sekalipun, jika anak-anaknya pulang, pastinya akan disambut dengan penuh mesra. Emak menasihati saya, supaya jangan membiasakan pulang lewat malam berseorangan, kerana bimbangkan keselamatan saya. Kerana sudah lewat malam, kami tak sempat bersembang panjang, dan masing-masing terus tidur.


Keesokan hari, kami mengadakan majlis sambutan hari jadi anak kakak di rumah. Semasa bersembang dengan emak, dia berkata, ”Kau janganlah keluar malam sorang-sorang. Bahaya. Macam-macam cerita sekarang ni mak dengar. Kalau naik lif tu pastikan ada kawan. Nak keluar malam pun, kenalah berteman.” kata emak lagi. Saya hanya tersenyum dan menganggukkan kepala, antara bersetuju dengan kata-kata emak dan untuk menghilangkan kerunsingan emak. ”Sayangnya emak pada saya,” kata hati saya.


Begitulah dalamnya kasih sayang ibu kita pada kita. Tak putus-putus walaupun kita dah dewasa dan matang. Saya yakin, bukan emak saya sahaja yang bersikap penyayang begitu. Rasulullah saw bersabda dalam satu hadis, apabila sahabat bertanya, siapakah yang patut ditaati selepas Allah dan Rasulnya. Rasulullah berkata kepada sahabat, ”Ibumu, Ibumu, Ibumu, kemudian barulah Rasulullah berkata, ”Ayahmu.”


Justeru, adalah wajib bagi kita mentaati ibu dan bapa seperti mana sabdaan Rasulullah saw, melainkan dalam perkara yang mungkar. Untuk ibutercinta dan ibu-ibu lain, terima kasih, atas segala kasih sayang, pengorbanan, nasihat dan tunjuk ajar. Doakan yang terbaik untuk anak-anakmu. Mudah-mudahan doamu itu menyelamatkan kami dari bala dan bencana. You are my mum, my true love.

Saya, abah, ibu dan adik.

Ibu dan cucunya yang riang dan nakal-nakal.


Cinta kepada Allah,

Cinta Rasul

Cinta Ibu Bapa

Cinta kepada Ummah

Cinta kepada Kecemerlangan

Marilah kita semua

Cintai 5 perkara, Cintailah....

Selasa, 23 Disember 2008

Peguam Menulis 2 - Hudud Law @ Civil Law

Salam semua,

Isu ini dibangkitkan semula apabila semakin hampir tarikh pilihanraya kecil di DUN Kuala Terengganu bulan Januari depan. Semalam, seorang sahabat saya bertanyakan mengenai keperluan pelaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia, dan saya terpanggil untuk menulis artikel ini.

Ijmak ulama telah bersepakat bahawa terdapat 3 jenis undang-undang jenayah Islam, iaitu Hudud, Qisas dan Taazir. Kesalahan Hudud adalah jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah ditetapkan hukumannya oleh Islam. Terdapat 7 jenis kesalahan Hudud, minum arak (sebat 40 kali), berzina (rejam bagi pasangan yang sudah berkahwin, dan sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin) , menuduh berzina (Qazaf)( 80 kali sebatan), mencuri (potong tangan), merompak berkumpulan (dipotong tangan dan kaki berselang-seli) dan memberontak (hukuman bunuh atau buang negara). Ada ulamak yang berpandangan bahawa murtad adalah kesalahan hudud yang dihukum bunuh sekiranya pesalah tidak mahu bertaubat. Secara ringkasnya, hukuman bagi kesalahan hudud merangkumi 3 jenis hukuman, iaitu, bunuh balas, potong anggota badan dan sebatan.

Takzir pula ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Kesalahan takzir adalah selain daripada kesalahan Qisas dan Hudud, dan hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu.Contoh kesalahan takzir adalah seperti yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri seperti, berkelakuan sumbang, berkhalwat, tidak menunaikan solat Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, liwat, dll.

Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi kesalahan membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja (al-qatl ) dan mencederakan seseorang (al-jarh). Terdapat pebezaan pendapat mengenai pembahagian kesalahan Qisas oleh fuqaha'.Hukuman bagi kesalahan Qisas adalah yang membunuh hendaklah dihukum bunuh dan yang mencederakan hendaklah dihukum. Hukuman bagi kesalahan ini hampir sama dengan kesalahan membunuh di dalam Kanun Keseksaan, yang mengklasifikasikan membunuh kepada jenayah membunuh dengan niat, tanpa niat dan mencederakan dengan niat atau tidak.

Di Malaysia, selaras dengan jadual 9, senarai 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri. Negeri-negeri telah menggubal Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah negeri dan berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah yang dibuat setakat bidangkuasa yang dibenarkan oleh Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah, iaitu, tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM 5,000 dan 6 kali sebatan. Melihat kepada jenis kesalahan yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah, keseluruhan kesalahan di dalam Enakmen tersebut adalah kesalahan takzir, dan bukan kesalahan Hudud atau Qisas.

Mengenai pelaksanaan hukuman Hudud di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam. Bagi orang bukan Islam, samalah dengan hukuman takzir, iaitu terpulang kepada pemerintah untuk menentukan hukuman. Contohnya, orang bukan Islam boleh dihukum dengan menggunapakai undang-undang sivil yang sedia ada.

Walaupun terdapat sesetengah pihak menyokong dan sebahagian lagi membantah untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia, pada pandangan saya, bukan undang-undang Hudud yang sepatutnya diperjuangkan. Apa yang paling penting adalah pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia. Dan pada pandangan saya, proses islamisasi undang-undang ini telah pun dilaksanakan di Malaysia, berdasarkan perkara-perkara berikut:-

1) Dari sudut Hukum Syarak, melalui institusi fatwa, ulamak-ulamak yang bersidang akan berbincang dan mengeluarkan Hukum Syarak berkaitan dengan perkara-perkara Hukum Syarak.Sekiranya ini difatwakan dan digazetkan, ianya adalah satu undang-undang dan fatwa itu hendaklah mengikat orang-orang Islam di negeri yang berkenaan.

2) Dari sudut pentadbiran keadilan, Mahkamah Syariah telah diwujudkan di Malaysia untuk mendengar kes-kes berkaitan orang Islam.

3) Dari sudut pentadbiran, Majlis Agama Islam negeri-negeri dilantik sebagai pentadbir, pemegang amanah harta orang Islam.

4) Dari sudut perundangan, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ini adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama bagi persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan mantan PM Malaysia, Tun Mahathir pada tahun 2002, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

5) Dari sudut skop dan amalan, undang-undang Islam bukan setakat Hudud sahaja, tetapi lebih luas termasuklah aspek muamalat, ibadat, jinayat, munakahat dan akidah. Setakat ini, di Malaysia, kita telah menggubal undang-undang Islam berkenaan dengan munakahat (Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam), muamalat (Islamic Banking System), ibadat (Majlis Agama sebagai Pemegang Amanah masjid dan harta wakaf), akidah (kesalahan ajaran sesat di bawah Enakmen Jenayah Syariah), fatwa (s.48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam), pentadbiran, (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri) dan banyak lagi contoh lain. Justeru, sebenarnya negara kita telah pun memulakan langkah menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat. Tinggal untuk menyempurnakan sahaja.

6) Dari sudut permulaan penguatkuasaan, Undang-Undang Islam telah wujud lebih awal di Malaysia sebelum zaman pendudukan British di Melaka, iaitu pada tahun 1511. Undang-undang yang digunapakai oleh negeri-negeri di Tanah Melayu pada masa itu adalah Undang-Undang Islam. Ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada peruntukan di dalam Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Pahang, Selangor dll yang sama dengan undang-undang Islam. Bukti lain dapat dilihat melalui Batu Bersurat Terengganu.

7) Dari sudut amalan dan praktis di Malaysia, Undang-Undang Islam telah wujud sebelum kewujudan English Law atau Common Law of England pada tahun 1826 melalui Charter of Justice. Dalam kes Ramah vs Laton, [1927] FMSLR Mahkamah memutuskan bahawa Islamic law is the law of the land.

8) Dari sudut sosial, melalui pemerhatian saya, walaupun penguatkuasaan undang-undang sivil adalah baik kerana meliputi orang Islam dan bukan Islam, tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan gejala sosial dan maksiat yang semakin meningkat di kalangan orang Islam.

Apapun polisi kerajaan dalam isu ini, pada pandangan saya, undang-undang yang terbaik adalah apabila pelaksanaan sesuatu undang-undang itu, akan menjaga dan melindungi 5 perkara penting dalam Islam iaitu, agama, diri, harta, kehormatan dan akal fikiran. Itulah yang terbaik dan disyariatkan. Tidak kira sama ada ia undang-undang sivil atau syariah, Hudud atau tidak, dibuat untuk orang Islam atau tidak, pastinya ia boleh diterima oleh semua golongan, sama ada Islam atau bukan Islam. Wallahua'lam. Ini cuma pandangan peribadi, kalau ada pandangan lain, boleh dikongsi di sini.


PELAKSANA hukuman sebat menjalankan hukuman itu ke atas
seorang lelaki yang didapati bersalah kerana berjudi
di halaman Masjid Agung Bireun, Aceh

Seorang Pegawai Syariah sedang menjalankan hukuman sebat
ke atas seorang wanita yang di dapati bersalah tinggal serumah
bersama teman lelakinya di hadapan masjid Banda Acheh


Isnin, 22 Disember 2008

Peguam Menulis 1 - Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988

Salam semua,

Pagi ini saya telah dijemput untuk menyertai taklimat khas berkenaan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang dianjurkan oleh JAIS dan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. Antara peserta yang hadir termasuklah Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Selangor, Ketua Polis Selangor dan pegawai-pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas, pegawai-pegawai kanan MAIS dan JAIS dan LZS, serta beberapa orang lain. Taklimat tersebut telah dirasmikan oleh YB Dr Hasan Hj Ali, selaku Exco Agama dan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor. Penerangan mengenai Enakmen tersebut disampaikan sendiri oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor manakala Prof Salleh Buang menerangkan mengenai takat kebebasan beragama di Malaysia.

Antara lain, taklimat yang disampaikan memberi pendedahan berhubung takat kuasa pihak berkuasa yang dilantik untuk mendakwa mana-mana orang bukan Islam yang sengaja menghasut memujuk dan mempengaruhi orang Islam untuk keluar dari Islam atau mengamalkan ajaran atau ugama selain Islam.

Selepas majlis taklimat selesai, sesi joal-jawab diadakan untuk memberi peluang kepada hadirin mengutarakan soalan atau pandangan mereka berhubung taklimat yang diadakan. Saya teringat pandangan salah seorang peserta yang mengatakan bahawa undang-undang tersebut tidak lagi relevan dan bersifat menindas kepada golongan bukan Islam dan mencadangkan supaya ianya dimansuhkan.

Jujurnya, saya kurang bersetuju dengan pandangan beliau. Asasnya, 3 perkara. Pertama, walaupun undang-undang tersebut telah digubal sejak tahun 1988, tetapi ianya diwujudkan selaras dengan undang-undang tertinggi di Malaysia, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana, Perlembagaan Persekutuan telah memberikuasa kepada Kerajaan Persekutuan atau Negeri untuk menggubal undang-undang untuk mengawal perkembangan dan penyebaran ugama bukan Islam terhadap orang Islam. Kedua, dari sudut siyasah syarriyahnya, undang-undang ini perlu untuk menjaga agama yang merupakan maqasid syariah yang paling utama, iaitu hifz addin. Yang ketiga, its my common sense, sedangkan ada undang-undang pun, ramai orang Islam kita murtad, kalau tak ada undang-undang yang mengawal, lebih rosak akidah ummat Islam di Malaysia. Sesiapa yang setuju dengan saya, atau dengan pandangan peserta tadi, bolehlah beri komen di sini. Wallahua'lam.. Moga-moga kita tergolong dalam golongan orang Islam yang mempertahankan Islam. Ameen..

Ahad, 21 Disember 2008

Renung Sejenak 6 - My Heart @ Kerajaan vs Swasta

Jantung
My Heart

Salam semua,


Saya termenung sejenak selepas membaca berita mengenai IJN bakal diswastakan. Saya takut membayangkan jumlah kos yang perlu dikeluarkan oleh pesakit-pesakit jantung negara ini utuk membiayai kos rawatan di IJN, sekiranya ia diswastakan. Kita saban hari didedahkan dengan kematian disebabkan penyakit jantung. Menurut Kajian yang dibuat oleh Ketua Jabatan Kardiologi Hospital Umum Sarawak dan Profesor Jemputan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Sim Kui Hian, berkata walaupun penyakit jantung atau berkaitan dengan arteri koronari sering dikaitkan dengan golongan berusia sebelum ini, tetapi keadaan itu sudah banyak berubah. Beliau berkata, dalam kajian yang dijalankannya, pesakit paling muda yang pernah dirawat berusia 23 tahun. "CAD (Coronary Arteri Disease) adalah pembunuh utama di dunia dengan 16.7 juta kematian setiap tahun dan hampir 80 peratus mangsa adalah dari negara berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.



Statistik kematian di hospital kerajaan seluruh Malaysia menyaksikan pada 2006, 15.5 peratus wanita meninggal dunia disebabkan sakit jantung manakala 9.9 peratus disebabkan strok. Angka ini tidak jauh beza dengan statistik tahun sebelum itu iaitu 14.9 peratus meninggal dunia kerana sakit jantung manakala 9.8 peratus disebabkan strok. Prof Dr Sim berkata, di kalangan lelaki, antara punca utama CAD tentu saja merokok dan 84 peratus daripada 1.4 bilion perokok datang dari negara membangun.


Selain merokok terdapat banyak lagi faktor risiko CAD. Dianggarkan 11.6 juta orang dewasa berusia 25 hingga 64 tahun berhadapan sekurang-kurangnya satu risiko sakit kronik (diet, tidak bersenam, obesiti, tekanan darah tinggi). Hanya tiga peratus saja daripada orang dewasa di Malaysia yang tidak memiliki faktor risiko itu," katanya.


Pada saya, kerajaan Malaysia tidak wajar meneruskan cadangan penswastaan IJN ini. Fikirkanlah kebajikan golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Sudah tentu mereka tidak mampu. Saya bersetuju dengan pandangan beberapa NGO supaya cadangan pengambilalihan Institut Jantung Negara (IJN) oleh Sime Darby Bhd. dibatalkan sama sekali dan bukan sekadar ditangguhkan seperti yang diumumkan Kabinet semalam untuk kebaikan semua rakyat berpendapatan rendah dan sederhana di Malaysia. Renungkan dan fikirkanlah wahai pembesar kerajaan..


Dalam masa yang sama, nampaknya, kenalah kita mulakan langkah untuk menyayangi jantung kita. Kenalah banyak exercise dan jaga pemakanan. Nasihat ini ditujukan untuk semua, khasnya untuk golongan overweight dan obesiti macam saya. Kenalah start jaga makan dan diet nampaknya.. Hehehehe...


Sayangi Jantung Anda,

Ingatlah insan yang tersayang,

Ingatlah kos rawatan yang mahal!!

Renung Sejenak 5 - Mawi, Populariti dan Majlis Perkahwinan

MAWI dan Ekin,
sah diijabkabulkan sebagai suami-isteri

pada 20 Dis 2008

Salam semua,

Menjadi satu kebiasaan apabila seseorang artis mendirikan rumahtangga, masyarakat menjangka populariti mereka akan menurun selepas berkahwin. Semalam, Raja SMS Malaysia, Mohd Asmawi Ani, atau nama popularnya MAWI selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, EKIN, yang juga seorang artis. Berita hari ini menyiarkan rungutan ramai wartawan kita yang dihalang daripada membuat liputan untuk majlis perkahwinan MAWI-EKIN yang dianggap Wedding of the Year 2008.

Dua perkara yang ingin saya kongsikan dengan semua:

1) Cukup menghairankan saya, kenapa masyarakat kita lebih mementingkan isu populariti seseorang artis daripada kewajipan artis itu menjaga batas-batas ugama Islam. Islam menuntut supaya penganutnya yang berkemampuan supaya berkahwin, untuk menjaga nasab dan keturunan dan mengelakkan zina. Di dalam sebuah hadis juga rasulullah s.a.w. bersabda bahawa, “Barangsiapa yang berkahwin, ia telah mendirikan separuh daripada Sunnahku”. Jujurnya, sikap artis seperti MAWI dan EKIN yang melangsungkan perkahwinan, di saat kegemilangan mereka, sepatutnya dicontohi oleh artis-artis lain dan juga orang lain, untuk mengelakkan fitnah, perbuatan sumbang dan gejala sosial di kalangan mereka.

2) Hukum memenuhi undangan perkahwinan adalah wajib apabila dijemput, dan haram apabila tidak dijemput oleh tuan rumah. Menurut satu hadis: "Apabila seseorang darimu dijemput menghadiri jamuan perkahwinan, maka hendaklah ia menghadirinya." - Diriwayatkan oleh al-Bukhari. Mafhum mukhalafahnya, kalau tidak dijemput, haram untuk kita hadir. Berlainan dengan wartawan2 kita, tidak dijemput pun tetap mahu hadir, sudahnya, bila tak dapat buat liputan, mengata pulak keluarga pengantin..

Buat Mawi dan Ekin, Selamat Pengantin Baru. Semoga dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dan isteri dengan baik. Buat syarikat2 media dan akhbar, udah2 la tu.. Cuba renung dan muhasabah diri, moga-moga coretan ini dapat dihayati oleh semua.

Diari 12 - Lawyer vs Artis?!

Kumpulan Rabbani

Salam Semua,


Disebabkan tiada aktiviti khusus yang saya rancang, sementelah terasa seperti mahu meraikan kebebasan daripada final exam yang baru habis, kebetulan di sebelah malam, saya dan beberapa sahabat merancang untuk mengikuti Program Santai Dakwah yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor di Dataran Shah Alam. Antara acara yang dianjurkan pada malam itu adalah persembahan nyanyian oleh berapa kumpulan nasyid terkemuka tanahair, termasuk kumpulan Rabbani. Apabila vokalis kumpulan itu mempelawa penonton-penonton untuk mencuba menyanyikan lagu kumpulan mereka, rakan-rakan lain meminta saya ke hadapan pentas untuk menyanyi, kerana mereka memang tahu saya meminati muzik nasyid. Saya pada mulanya memanglah malu, tetapi disebabkan minat, saya memberanikan diri untuk menerima pelawaan mereka untuk mencuba menyanyikan lagu kumpulan tersebut. Walaupun secara peribadinya, mereka memang mengenali saya, kerana sudah banyak program yang dibuat bersama, tetapi saya tidak pernah bersama-sama membuat persembahan pentas.


“Nervousnyer..” kata hati saya. Walaupun berselang-seli lawak jenaka dan usikan-usikan ahli kumpulan tersebut terhadap saya, namun, darah gemuruh saya tidak juga berkurangan. “Betul ker aku nak menyanyi ni?” kata hati saya lagi. “Macam tak confident jer..” bebel hati saya lagi. Saya yang pada mulanya memilih untuk menyanyikan lagu Intifada bersetuju menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali. Hahaha.. Memang kelakar sebab banyak lirik lagu tu yang saya tak ingat.. tetapi ahli Kumpulan Rabbani membantu menyebut lirik2 tersebut kepada saya. Rasanya, tak sampai seminit pun menyanyi, tapi rasa macam lama. Mana taknya.. Nervous giler.. Berterabur, campur pitching lari.. hahahaha.. Nampaknya pengalaman memasuki pertandingan nasyid peringkat Negeri Selangor beberapa kali tidak banyak membantu saya untuk menyanyi dengan baik. Mungkin sebab nervous kerana berdiri di atas pentas dengan Kumpulan Nasyid popular negara. Rasa macam suara sendiri pun tak keluar..


Sebelum turun ke pentas, sempat juga seorang anggota kumpulan tersebut menyatakan kepada penonton “ Rasanya, dia sorang jer peguam yang boleh menyanyi”. Kata-kata itu mengingatkan saya semasa zaman remaja saya, semasa masih mencari-cari identiti dan personaliti, tak tahu nak jadi apa bila besar. Pensyarah atau doktor atau peguam atau ahli politik atau akauntan atau penyanyi!? (Hehehe..) Akhirnya, bermula tahun 2002, kini genap 6 tahun saya telah berkhidmat sebagai pengamal undang-undang.


Pada saya, walaupun apa yang diimpikan berkemungkinan dimakbulkan atau pun sebaliknya, yang paling penting, kita perlu sentiasa menggunakan kemahiran dan mengamalkan ilmu yang kita ada untuk perkara-perkara kebaikan. Tidak kira sama ada kita peguam, penyanyi, pelakon, penyambut tetamu atau pengutip sampah, apa jua jenis pekerjaan yang dibuat dengan ikhlas dan dilaksanakan dengan baik, tentunya diberi ganjaran oleh Allah. Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah. Dan sekali-sekala, apa salahnya kita luangkan masa membuat perkara-perkara yang diminati, asalkan tidak terkeluar dari landasan yang dibenarkan Syarak. Mudah-mudahan kita termasuk di dalam golongan orang-orang yang mengamalkan ilmunya dengan ikhlas. Insyaallah.


"Mengharap redha Ilahi"

Hunny

Shah Alam

Diari 11 - I am back!!

Salam semua,


I am back!!! Yess!!! Back to blog!! Hehehehe.. 20 Disember 2008 berakhirlah sudah perjuangan menempuh ujian akhir di medan LLM AOIL di UIAM. Kertas terakhir saya serahkan kepada penjaga peperiksaan pada jam 12.40 tengahari. Itupun setelah berulangkali diingatkan oleh invigilator yang bertugas bahawa masa telah tamat pada jam 12.15 lagi.


Saya dan rakan-rakan kemudiannya mengambil peluang selama beberapa minit bertemu dengan pensyarah yang setia menunggu kami semua selesai. Beliau yang baru pulang menunaikan ibadah haji, dengan wajah berseri-seri, walaupun kurang sihat kerana batuk, menjemput kami menikmati buah tangan yang beliau bawa dari Makkah. Sempat juga bertanya mengenai salam pada Rasul tercinta dan doa yang saya kirim pada beliau untuk dibacakan. Alhamdulillah. Semuanya telah dilaksanakan oleh beliau. Tunggu keputusannya ajer.. insyaallah.. Mudah-mudahan semua yang didoakan oleh beliau akan dimakbulkan Allah. Amin..


Apapun, lega rasanya, setelah setahun setengah berkorban masa setiap hari Sabtu untuk attend kelas di UIAM. Mudah-mudahan diberi ganjaran oleh Allah. Insyaallah, pencarian ilmu saya tidak terhenti setakat ini. Saya pasti akan kembali juga untuk meneruskan pencarian ilmu ke peringkat yang boleh saya capai. Apapun, now it is time to blog!!



"Syoknyer!!"

Hunny

Jumaat, 19 Disember 2008

Diari 10 - Blog vs My Final Paper

Salam semua,

Baru seminggu tak menulis rasa dah lama tak menulis, rindu betul nak menulis.. Sibuk dengan exam final LL.M di UIAM. Dulu, tak reti langsung nak menulis. Cuma dalam exam ajer menulis.. Bila dah mula menulis, sehari tak menulis rasa macam setahun. Sampai kakak saya perli.. Asyik memblog, lama-lama jadi goblok! Hahaha.. . Insyaallah, Sabtu ni, kalau tak ada halangan, would be my final paper. Minta sahabat2 semua doakan saya dapat jawab dengan baik.

"Mengharap Redha Ilahi"

Hunny

Shah Alam

Sabtu, 13 Disember 2008

Diari 9 - Assignment vs Arak

Ban Liquor! Its prohibited to Muslims!!
Salam semua,

Sejak bangun pagi tadi, tak berganjak-ganjak saya dari kerusi. Menyiapkan assignment untuk dihantar hari Isnin minggu depan. Kakak sekeluarga balik ke kampung. Adik saya ke PC Fair di KLCC. Saya tekun mengadap laptop menaip tugasan.

"Hmm.. bilalah nak siap ni".. hati saya berkata.. Setakat ni baru dapat 6 mukasurat. Itupun belum edit lagi.. Sekurang-kurangnya ada 10-20 ms yang diminta oleh pensyarah.. Harap-harap dapat siapkan juga hari ni, kerana esok ada tugasan lain pulak nak dibuat.

Bila dah boring sangat, saya layari Utusan Malaysia ,Berita Harian dan Kosmo untuk mengetahui berita2 terkini tanah air (Hehehehe.. sebab tu lah tak siap2 assignment nyer..) Saya tertarik untuk mengulas mengenai satu berita yang dipaparkan:-

Port arak untuk remaja Islam


INILAH pusat hiburan yang menjadi port remaja Islam melepaskan ketagihan arak di Alor Star.

ALOR STAR - Di sebalik usaha kerajaan negeri yang cuba menyekat kegiatan meruntuhkan akhlak remaja, sebenarnya terpampang sebuah pusat hiburan di sini yang dijadi port anak-anak muda melepaskan ketagihan arak. Bukan setakat meminum arak malah premis yang dibuka bermula pukul 9 malam hingga 3 pagi itu juga dipercayai dijadikan lokasi pasangan kekasih bermadu asmara setelah khayal dengan arak dan dadah yang dibawa.

Tinjauan Kosmo! di pusat hiburan tersebut mendapati hampir 75 peratus pelanggan pusat hiburan bertemakan R&B (Rock & Blues) itu adalah ramaja Islam dan terdapat daripada mereka adalah pelanggan bawah umur.Yang paling sedihnya pula, selepas khayal dengan arak, segelintir anak muda di situ akan mencetuskan pergaduhan kerana ingin merebut perempuan.

Bekas pengunjung tetap pusat hiburan berkenaan yang mahu dikenali sebagai Farukh, 25, mendakwa, premis itu adalah tumpuan golongan anak muda melepaskan ketagihan arak secara terbuka tanpa perlu takut memandangkan pusat hiburan itu didakwa 'kebal' daripada diserbu oleh Jabatan Agama Islam Kedah dan polis. Menurutnya, setiap hari Rabu dan Jumaat, premis itu akan dipenuhi kira-kira 100 remaja Islam dan setiap dari mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM30 untuk menerima sebotol arak.- Bernama.


Setelah membaca artikel tersebut, saya berharap dan meminta supaya kegiatan tersebut dibendung serta merta, kerana ramai belia Islam yang terlibat. Teringat saya firman Allah swt yang maksudnya;"Sesungguhnya arak, berjudi dan bertenung nasib adalah sebahagian daripada amalan syaitan, justeru hendaklah kamu menjauhinya.Satu hadis yang telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Arak adalah ibu segala maksiat.

Tetapi, saya kurang bersetuju dengan pandangan Farukh, yang mengatakan bahawa premis arak tersebut 'kebal' daripada JAIN Kedah dan polis. Berkemungkinan tidak ada pihak yang membuat aduan sebelum ini, ataupun operasi premis ini dijalankan secara senyap-senyap.

Apapun, saya memuji Kosmo yang berjaya memaparkan kisah ini, supaya tindakan dapat diambil oleh pihak berwajib. Saya juga ingin menambah, tanggungjawab ini, bukan saja menjadi tanggungjawab pihak berkuasa agama atau pihak polis, tetapi semua orang Islam yang hendak melaksanakan Islam secara keseluruhan, bukan sebahagian sahaja, seperti firman Allah ; "Udkhulu fis silmi kaaffatan" yang bermaksud; Masuklah engkau ke dalam Islam secara keseluruhan.Insyaallah. Mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan yang mengamalkan Islam secara keseluruhan. Amin.

Say NO to liquor!! Arak Musuh Umat Islam!!

PERINGATAN!!

Orang Islam yang ditangkap meminum arak boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri, di mana sekiranya disabitkan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM5,000.00 atau kedua-duanya sekali. Sila sebarkan kepada Ummah!!



Jumaat, 12 Disember 2008

Renung Sejenak 4 - Masa


Salam semua,

Hari ini terasa berlalu begitu cepat. Jam 6 pagi saya sudah bangun bersiap-siap ke pejabat setelah 4 hari bercuti. Melangkah sahaja ke bilik, bertimbun-timbun fail di atas meja yang perlu dilihat dan dikerjakan. Sempat menyelesaikan dua tugasan, jam 9.30 pagi, saya bergegas ke bilik mesyuarat utama untuk mempengerusikan mesyuarat bagi program yang akan diadakan pada minggu hadapan. Mesyuarat tamat jam 11.30. Saya meneruskan kerja-kerja harian dan sedaya-upaya ingin menyelesaikan semua kerja yang diamanahkan kerana saya merancang untuk bercuti pada minggu hadapan kerana mengambil peperiksaan LLM.

Oleh kerana hari Jumaat, saya mengambil peluang waktu rehat yang lama untuk pergi ke pejabat pos mengambil surat berdaftar dan merehatkan badan di rumah. Dalam masa yang sama, saya dihubungi oleh rakan sepejabat yang inginkan pendapat saya mengenai isu perkhidmatan kakitangan MAIS. Saya kembali semula ke pejabat lebih kurang jam 2.45 petang. Saya menyambung semula tugasan, dan seringkali terganggu oleh laungan telefon yang berdering-dering minta diangkat. Semuanya meminta khidmat nasihat dan bantuan guaman. Sedar tak sedar sudah jam 5.30 petang. Saya solat Asar terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Saya mengatur langkah ke rumah kakak yang terletak tidak berapa jauh dari pejabat.

Sekarang sudah jam 12.30 tengah malam, dan saya masih menaip artikel ini. Hajat di hati nak menyiapkan tugasan LLM, tetapi laptop kesayangan digunakan oleh anak saudara yang tengah ketagih main computer game. Huh! Sekejap betul masa berlalu.. Besok dah nak mula hari baru..
Termenung sejenak saya bila mengingatkan masa selama 24 jam pada hari ni, di mana saya habiskan.. Harap-harapnya saya telah gunakan untuk perkara-perkara yang bermanfaat.

Teringat saya lirik lagu kumpulan Raihan yang bertajuk Demi Masa, yang diadaptasi daripada surah Al-Asr: 1-3:-

Demi masa,
Sesungguhnya manusia kerugian,
Melainkan yang beriman dan beramal soleh..

Ingat 5 perkara,
Sebelum 5 perkara,
Sihat sebelum sakit,
Tua sebelum muda,
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati....

Justeru, mudah-mudahan kita semua tergolong di dalam golongan manusia yang menghabiskan masa hidup kita untuk perkara yang bermanfaat dan diredhai Allah, sebelum tiba 5 perkara tersebut. Insyaallah.

Diari 8 - Detik 12.30 malam

Salam semua, Agaknya dah terbiasa tidur lewat, mata saya masih lagi segar walaupun jam dah menunjukkan tepat jam 12.30 malam. Apa lagi. Saya mengisi waktu dengan membaca Utusan Malaysia Online. Saya tertarik dengan satu berita yang memilukan hati saya apabila membacanya:-

Warga emas mangsa ragut maut digilis treler

BUKIT MERTAJAM 10 Dis. - Seorang wanita warga emas maut digilis treler akibat terjatuh selepas dua lelaki bermotosikal meragut beg tangannya di Jalan Cheok Sah, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Lim See Nya, 58, sedang menuju ke keretanya selepas membeli-belah bersama beberapa ahli keluarga di sebuah pasar raya di jalan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Singh berkata, dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh dan seorang daripadanya bertindak meragut beg tangan See Nya menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.

Menurutnya, kebetulan sebuah treler yang melalui kawasan kejadian melanggar See Nya dengan tayar belakang kenderaan berat itu menggilis kepala mangsa.

"Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala akibat kejadian itu," katanya.

Mohan menambah, kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa ahli keluarga mangsa yang menemaninya membeli-belah.

Beliau berkata, beberapa saksi sudah memberi keterangan dan polis sudah dapat mengenal pasti nombor plat motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Usaha memburu suspek berkenaan giat dijalankan dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu," ujarnya.

Kes itu katanya akan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kematian serta mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya segera menghubungi Inspektor Azwan Kamaruddin di talian 04-5382222 atau balai-balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.


Perasaan geram, marah, kasihan dan pilu bercampur-campur dalam diri saya. Biadap sungguh sang peragut yang tidak berperi kemanusiaan itu. Tindakan meragut yang dibuat oleh mereka telah menyebabkan wanita tua tersebut hilang nyawa. Saya hanya mampu berdoa semoga penjenayah tersebut dapat ditangkap dan diberi hukuman yang berat kerana menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa. Sudahlah meragut, membunuh pulak tu..



Dalam masa yang sama saya juga terfikir, apabila nafsu mengatasi akal, manusia akan hilang pertimbangan dan melakukan apa yang disuruh oleh nafsunya, bukan apa yang difikirkan oleh akalnya. Manusia semakin hilang adab dan imannya senipis kulit bawang. Itulah punca peningkatan kadar jenayah yang berlaku dan kegiatan yang bertentangan dengan adab, budaya Melayu dan akhlak Islam. Justeru, saya menyeru kepada diri saya dan semua sahabat untuk sama-sama kembali kepada fitrah Islam. Bebaskan diri kita, anak-anak kita dan keluarga kita dari belenggu nafsu durjana!Kembali kepada akhlak dan adab Islam.

Sabda Rasulullah saw; "Innama bui'stu li utammima min makarimal akhlaq" Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan sebaik-baik akhlaq". Wallahua'lam. Mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan yang indah akhlaqnya.


Khamis, 11 Disember 2008

Renung Sejenak 3 - Survivor @ Dakwah


Salam semua,

Entah kenapa, bait2 lagu kumpulan The Zikr @ Nada Murni mengenai cabaran pejuang dan pendokong Islam asyik bermain2 dalam fikiran saya dua tiga hari kebelakangan. Langsung saya teringin untuk kongsikan dengan pengunjung2 blog ini lirik lagu tersebut. Tajuknya saya tak pasti. Sesiapa yang ingat tu, boleh lah kongsikan dengan saya. Agaknya Sunnah Orang Berjuang kot..

Berjuang menempah susah,
Menanggung derita menongkah fitnah,
Itulah gelombang hidup samudera duka,
Seorang mujahid memburu shahid,


Dibuang dia berkelana,
Dipenjara dia u'zlah dibunuh syahid,
Namun jiwa tetap mara memburu cita,
Membara demi Allah dan RasulNya..


Berjuang tak pernah senang,
Ombak derita tiada henti,
Tenang tegang silih berganti,
Itulah sunnah orang berjuang...


Malamnya bagai rahib merintih sayu,
Dihiris dosa airmata,
Siangnya bagaikan singa di rimba,
Memerah keringat meluah tenaga...


Berjuang memang pahit,
Kerana syurga itu manis,
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,
Bukan sedikit pedih yang ditagih,


Berjuang ertinya terkorban,

Rela terhina kerna kebenaran,

Antara dua pasti terjadi,

Tunggulah syahid atau menang....


Lagu ni, saya tujukan khas untuk pejuang2 dan pendakwah2 Islam yang sedang dan terus bertungkus-lumus menghabiskan masa, tenaga dan keringat untuk Islam. Lillahi Ta'ala. Semoga terus kuat dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan, walaupun diduga dengan ujian dan tohmahan. Go Go Survivor!! Go Go Chayyok!!



Diari 7 - Daulat Tuanku!!

DYYM Sultan Sharafuddin Idris Shah

Salam semua, Hari ini, 11 Disember 2008, seluruh negeri Selangor bercuti sempena meraikan keputeraan the most eligible bachelor di Selangor iaitu DYMM Sultan Selangor.

Happy Birthday Tuanku! Patik mendoakan semoga DYMM Tuanku panjang umur dan dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat mentadbir negeri Selangor dengan aman dan tenteram. Patik juga berdoa semoga DYMM Tuanku dapat melaksanakan tanggungjawab Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor dengan adil dan saksama, supaya agama Islam dan Hukum Syarak tetap menjadi sumber rujukan dan undang-undang utama di Negeri Selangor.

Patik juga berdoa semoga Islam terus berkembang dan cemerlang di Negeri Selangor, dengan adanya DYMM Tuanku sebagai pembuat dasar-dasar Islam, manakala patik dan sahabat-sahabat patik sebagai pelaksana dasar-dasar Islam, simbiosis dan sinergi kita bersama sudah tentunya menjadikan Islam dan dakwah Islamiyyah terus cemerlang di Negeri Selangor, selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Bersempena juga dengan Hari Raya Qurban yang baru 3 hari berlalu, patik juga mendoakan semoga DYMM Tuanku dan semua umat Islam di Negeri Selangor sama-sama dapat berkorban diri, masa, tenaga dan harta benda untuk mempertahankan Islam dari dihina, difitnah dan dirosakkan oleh kafir laknatullah. Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd!

Diari 6 - Panggilan tengah malam..

Salam semua,

Jam sudah menunjukkan pukul 12.3o tengah malam. Malam ni saya tidur di rumah kakak saya untuk menyiapkan tugasan pejabat dan assignment yang perlu dihantar sebelum 15 Dis 2008. Kakak sekeluarga sudah nyenyak tidur. Untuk mengelakkan mengantuk, sambil menyiapkan tugasan, saya melawat blog rakan-rakan saya. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pemanggil yang tidak saya kenali, yang mengenalkan diri beliau sebagai Puan N. Puan N menelefon saya untuk mengetahui bagaimana beliau boleh membuat aduan mengenai kes khalwat di kawasan kediaman beliau. Saya yang terlupa nombor hotline penguatkuasa berjanji untuk menghubungi beliau selepas mendapatkan nombor tersebut. Dalam masa yang singkat, saya berjaya mendapatkan nombor hotline Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor; 1-800-88-2424, dan terus menghubungi Puan N.

Walaupun saya masih terkejut dengan panggilan tersebut, pertamanya kerana panggilan itu dibuat pada waktu tengah malam, dan keduanya kerana nombor saya yang didail oleh pemanggil, tetapi ia sebenarnya menjadikan diri saya berterima kasih dengan tindakan yang dibuat oleh Puan N.

Pertamanya, sikap Puan N yang begitu prihatin dengan masalah sosial yang berlaku, dan berusaha untuk membanteras jenayah syariah (khalwat),walaupun di saat orang lain telah melelapkan mata, sewajarnya dicontohi oleh orang lain. Apa yang dibuat oleh Puan N, iaitu mengadu ke Bahagian Penguatkuasaan JAIS, adalah tindakan yang tepat, selaras dengan syariah dan firman Allah swt; "Kuntum khaira ummatin ukhrijat linnas, ta'muruna bil makruf, watanhauna a'nil munkar, wa ulaika humul muflihun"..

Keduanya, hikmah panggilan yang dibuat kepada saya sebenarnya bonus kepada saya, kerana tanpa saya sedari, saya telah membantu beliau membanteras pelakuan dosa anak adam hanya dengan memberikan nombor hotline penguatkuasa JAIS, tanpa saya perlu turun ke crime scene untuk membuat tindakan.

Ketiganya, mengapa beliau tergerak untuk menelefon saya? Wallahua'lam. Allah Maha Mengetahui. Apa yang terlintas di fikiran saya, adalah, kerana sesungguhnya Allah tahu saya masih belum tidur!! Justeru, sayalah orang terbaik untuk membantu mendapatkan nombor tersebut, walaupun saya tidak mengenali Puan N. Sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui akan setiap sesuatu perkara...al-ayat.




Operasi pencegahan jenayah khalwat sentiasa dibuat oleh
Pegawai Penguatkuasa Agama untuk membanteras jenayah tersebut.


Antara aksi yang biasa dirakam semasa operasi serbuan oleh JAIS.

Syok bercinta sampai tak sedar Pegawai Penguatkuasa Agama JAIS dah sampai...

Rabu, 10 Disember 2008

Renung Sejenak 2 - Crazy Sales @ Solat


"Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya,
maka dia mendirikan agama, sesiapa yang meninggalkannya,
maka dia meruntuhkan agama"
Salam semua,

Hari ni saya isi dengan berjalan bersama kakak dan anak-anak saudara saya di pusat membeli belah Jusco Bukit Tinggi, sempena J Card Day. Lautan manusia memenuhi pasaraya Jusco terbesar di Malaysia. Pelanggan-pelanggan sibuk memilih barangan untuk dibeli. Saya yang pada mulanya berhasrat untuk membeli barangan kurang daripada RM50, akhirnya terpaksa membatalkan hasrat saya kerana barisan di kaunter pembayaran memerlukan saya beratur sekurang-kurangnya 2 jam!

Begitulah kegilaan manusia, bila berhadapan dengan barang @ perkara yang disukainya. Masa berjam2 yang dihabiskan langsung tidak terasa. Terdetik saya, alangkah baiknya kalau kegilaan manusia dichannelkan kepada perkara yang difardhukan, seperti solat? Sudah tentu kegilaan manusia berhibur dan berpesta dapat dikurangkan, kerana solat adalah ibadah yang mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, seperti firman Allah ; "Innassolata tanha a'nil fahsyai wal munkar".

Semasa berjalan di sekitar Jusco, saya terkesan dengan teguran anak saudara saya yang baru berusia 7 tahun, bertanyakan bila kami akan solat, sedangkan waktu Zohor sudah masuk. Walaupun masih kecil, tetapi telah tahu tentang ibadah solat. Begitulah peri pentingnya bimbingan dan asuhan ibu bapa terhadap anak-anak mengenai pembangunan tiang agama ini sejak kecil lagi.

Teringat saya bait-bait lagu Kumpulan nasyid Huda yang popular satu ketika dulu;

Suruhlah anak-anakmu bersembahyang, Sedari umurnya 7 tahun, Bimbing mereka lakukan kebaikan, Hidup dan mati kerana Tuhan...

Kewajipan bersolat mengingatkan pesanan ayah kepada kami adik-beradik bahawa solat adalah ibarat kepala kepada badan. Jika anggota badan yang lain tidak ada, manusia masih boleh hidup, tetapi tanpa kepala, mustahil bagi seseorang manusia untuk hidup. Justeru, saya ingin mengajak sahabat-sahabat semua untuk sama-sama mempromosi ibadah solat kepada orang lain. Insyaallah.