Warga emas mangsa ragut maut digilis treler
BUKIT MERTAJAM 10 Dis. - Seorang wanita warga emas maut digilis treler akibat terjatuh selepas dua lelaki bermotosikal meragut beg tangannya di Jalan Cheok Sah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Lim See Nya, 58, sedang menuju ke keretanya selepas membeli-belah bersama beberapa ahli keluarga di sebuah pasar raya di jalan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Singh berkata, dua suspek memakai topi keledar bertutup penuh dan seorang daripadanya bertindak meragut beg tangan See Nya menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.
Menurutnya, kebetulan sebuah treler yang melalui kawasan kejadian melanggar See Nya dengan tayar belakang kenderaan berat itu menggilis kepala mangsa.
"Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat kecederaan parah di kepala akibat kejadian itu," katanya.
Mohan menambah, kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa ahli keluarga mangsa yang menemaninya membeli-belah.
Beliau berkata, beberapa saksi sudah memberi keterangan dan polis sudah dapat mengenal pasti nombor plat motosikal yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.
"Usaha memburu suspek berkenaan giat dijalankan dan kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu," ujarnya.
Kes itu katanya akan disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kematian serta mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya segera menghubungi Inspektor Azwan Kamaruddin di talian 04-5382222 atau balai-balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Perasaan geram, marah, kasihan dan pilu bercampur-campur dalam diri saya. Biadap sungguh sang peragut yang tidak berperi kemanusiaan itu. Tindakan meragut yang dibuat oleh mereka telah menyebabkan wanita tua tersebut hilang nyawa. Saya hanya mampu berdoa semoga penjenayah tersebut dapat ditangkap dan diberi hukuman yang berat kerana menyebabkan kematian orang yang tidak berdosa. Sudahlah meragut, membunuh pulak tu..
Dalam masa yang sama saya juga terfikir, apabila nafsu mengatasi akal, manusia akan hilang pertimbangan dan melakukan apa yang disuruh oleh nafsunya, bukan apa yang difikirkan oleh akalnya. Manusia semakin hilang adab dan imannya senipis kulit bawang. Itulah punca peningkatan kadar jenayah yang berlaku dan kegiatan yang bertentangan dengan adab, budaya Melayu dan akhlak Islam. Justeru, saya menyeru kepada diri saya dan semua sahabat untuk sama-sama kembali kepada fitrah Islam. Bebaskan diri kita, anak-anak kita dan keluarga kita dari belenggu nafsu durjana!Kembali kepada akhlak dan adab Islam.
Sabda Rasulullah saw; "Innama bui'stu li utammima min makarimal akhlaq" Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan sebaik-baik akhlaq". Wallahua'lam. Mudah-mudahan kita tergolong di dalam golongan yang indah akhlaqnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan