Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 23 Disember 2008

Peguam Menulis 2 - Hudud Law @ Civil Law

Salam semua,

Isu ini dibangkitkan semula apabila semakin hampir tarikh pilihanraya kecil di DUN Kuala Terengganu bulan Januari depan. Semalam, seorang sahabat saya bertanyakan mengenai keperluan pelaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia, dan saya terpanggil untuk menulis artikel ini.

Ijmak ulama telah bersepakat bahawa terdapat 3 jenis undang-undang jenayah Islam, iaitu Hudud, Qisas dan Taazir. Kesalahan Hudud adalah jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah ditetapkan hukumannya oleh Islam. Terdapat 7 jenis kesalahan Hudud, minum arak (sebat 40 kali), berzina (rejam bagi pasangan yang sudah berkahwin, dan sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin) , menuduh berzina (Qazaf)( 80 kali sebatan), mencuri (potong tangan), merompak berkumpulan (dipotong tangan dan kaki berselang-seli) dan memberontak (hukuman bunuh atau buang negara). Ada ulamak yang berpandangan bahawa murtad adalah kesalahan hudud yang dihukum bunuh sekiranya pesalah tidak mahu bertaubat. Secara ringkasnya, hukuman bagi kesalahan hudud merangkumi 3 jenis hukuman, iaitu, bunuh balas, potong anggota badan dan sebatan.

Takzir pula ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Kesalahan takzir adalah selain daripada kesalahan Qisas dan Hudud, dan hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu.Contoh kesalahan takzir adalah seperti yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri seperti, berkelakuan sumbang, berkhalwat, tidak menunaikan solat Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, liwat, dll.

Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi kesalahan membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja (al-qatl ) dan mencederakan seseorang (al-jarh). Terdapat pebezaan pendapat mengenai pembahagian kesalahan Qisas oleh fuqaha'.Hukuman bagi kesalahan Qisas adalah yang membunuh hendaklah dihukum bunuh dan yang mencederakan hendaklah dihukum. Hukuman bagi kesalahan ini hampir sama dengan kesalahan membunuh di dalam Kanun Keseksaan, yang mengklasifikasikan membunuh kepada jenayah membunuh dengan niat, tanpa niat dan mencederakan dengan niat atau tidak.

Di Malaysia, selaras dengan jadual 9, senarai 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri. Negeri-negeri telah menggubal Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah negeri dan berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah yang dibuat setakat bidangkuasa yang dibenarkan oleh Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah, iaitu, tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM 5,000 dan 6 kali sebatan. Melihat kepada jenis kesalahan yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah, keseluruhan kesalahan di dalam Enakmen tersebut adalah kesalahan takzir, dan bukan kesalahan Hudud atau Qisas.

Mengenai pelaksanaan hukuman Hudud di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam. Bagi orang bukan Islam, samalah dengan hukuman takzir, iaitu terpulang kepada pemerintah untuk menentukan hukuman. Contohnya, orang bukan Islam boleh dihukum dengan menggunapakai undang-undang sivil yang sedia ada.

Walaupun terdapat sesetengah pihak menyokong dan sebahagian lagi membantah untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia, pada pandangan saya, bukan undang-undang Hudud yang sepatutnya diperjuangkan. Apa yang paling penting adalah pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia. Dan pada pandangan saya, proses islamisasi undang-undang ini telah pun dilaksanakan di Malaysia, berdasarkan perkara-perkara berikut:-

1) Dari sudut Hukum Syarak, melalui institusi fatwa, ulamak-ulamak yang bersidang akan berbincang dan mengeluarkan Hukum Syarak berkaitan dengan perkara-perkara Hukum Syarak.Sekiranya ini difatwakan dan digazetkan, ianya adalah satu undang-undang dan fatwa itu hendaklah mengikat orang-orang Islam di negeri yang berkenaan.

2) Dari sudut pentadbiran keadilan, Mahkamah Syariah telah diwujudkan di Malaysia untuk mendengar kes-kes berkaitan orang Islam.

3) Dari sudut pentadbiran, Majlis Agama Islam negeri-negeri dilantik sebagai pentadbir, pemegang amanah harta orang Islam.

4) Dari sudut perundangan, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ini adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama bagi persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan mantan PM Malaysia, Tun Mahathir pada tahun 2002, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

5) Dari sudut skop dan amalan, undang-undang Islam bukan setakat Hudud sahaja, tetapi lebih luas termasuklah aspek muamalat, ibadat, jinayat, munakahat dan akidah. Setakat ini, di Malaysia, kita telah menggubal undang-undang Islam berkenaan dengan munakahat (Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam), muamalat (Islamic Banking System), ibadat (Majlis Agama sebagai Pemegang Amanah masjid dan harta wakaf), akidah (kesalahan ajaran sesat di bawah Enakmen Jenayah Syariah), fatwa (s.48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam), pentadbiran, (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri) dan banyak lagi contoh lain. Justeru, sebenarnya negara kita telah pun memulakan langkah menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat. Tinggal untuk menyempurnakan sahaja.

6) Dari sudut permulaan penguatkuasaan, Undang-Undang Islam telah wujud lebih awal di Malaysia sebelum zaman pendudukan British di Melaka, iaitu pada tahun 1511. Undang-undang yang digunapakai oleh negeri-negeri di Tanah Melayu pada masa itu adalah Undang-Undang Islam. Ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada peruntukan di dalam Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Pahang, Selangor dll yang sama dengan undang-undang Islam. Bukti lain dapat dilihat melalui Batu Bersurat Terengganu.

7) Dari sudut amalan dan praktis di Malaysia, Undang-Undang Islam telah wujud sebelum kewujudan English Law atau Common Law of England pada tahun 1826 melalui Charter of Justice. Dalam kes Ramah vs Laton, [1927] FMSLR Mahkamah memutuskan bahawa Islamic law is the law of the land.

8) Dari sudut sosial, melalui pemerhatian saya, walaupun penguatkuasaan undang-undang sivil adalah baik kerana meliputi orang Islam dan bukan Islam, tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan gejala sosial dan maksiat yang semakin meningkat di kalangan orang Islam.

Apapun polisi kerajaan dalam isu ini, pada pandangan saya, undang-undang yang terbaik adalah apabila pelaksanaan sesuatu undang-undang itu, akan menjaga dan melindungi 5 perkara penting dalam Islam iaitu, agama, diri, harta, kehormatan dan akal fikiran. Itulah yang terbaik dan disyariatkan. Tidak kira sama ada ia undang-undang sivil atau syariah, Hudud atau tidak, dibuat untuk orang Islam atau tidak, pastinya ia boleh diterima oleh semua golongan, sama ada Islam atau bukan Islam. Wallahua'lam. Ini cuma pandangan peribadi, kalau ada pandangan lain, boleh dikongsi di sini.


PELAKSANA hukuman sebat menjalankan hukuman itu ke atas
seorang lelaki yang didapati bersalah kerana berjudi
di halaman Masjid Agung Bireun, Aceh

Seorang Pegawai Syariah sedang menjalankan hukuman sebat
ke atas seorang wanita yang di dapati bersalah tinggal serumah
bersama teman lelakinya di hadapan masjid Banda Acheh


10 ulasan:

al-Muhami berkata...

mana dapat gambar pelaksanaan hudud ni. bagus, senang nak bagi faham. Teruskan penyelidikan demi manfaat agama Islam dan manusia sejagat.

Tanpa Nama berkata...

salam....
bagi saya, hukum hudud perlu dijalankan di negara Malaysia, khasnya utk orang2 islam...

sekiranya ia tidak dimulakan, ia akan tak akan bermula sampai bila2...

tapi rasanya, sekiranya hukum hudud berjaya dijalankan, orang bukan islam akan tahu betapa adilnya hukum islam itu..

smile always....
senyum kepada org yg disayangi...

Azri berkata...

Kak hani, ana keliru. Tolong jelaskan

1.Ada kata ikut perlembagaan Malaysia is negara Islam. Ada kata tak. Mana satu yang betul ?


2.Hudud untuk orang islam saja? Ini betul ke seperti di Quran ?

Azri berkata...

Ustazah , jawab le.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

Salam Azri,

Maaf, lambat bagi jawapan. Mengenai soalan 1, terdapat dua pendapat mengenai kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Malaysia. Perbezaan pendapat ini akibat daripada perbezaan dari segi tafsiran undang-undang yang mentafsirkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman damai di dalam persekutuan. Sebagai contoh, dalam kes Che' Omar Che' Soh, Hakim Mahkamah Persekutuan di dalam kes tersebut mentafsirkan perkataan Islam di dalam perkara 3 sebagai rituals and ceremonies sahaja, dan bukannya Islam secara keseluruhan. Tetapi Mahkamah Persekutuan baru-baru ini di dalam kes Sulaiman Takrib, Abdul Kahar Ahmad lwn Kerajaan Malaysia telah mendefinisikan maksud Islam, melalui istilah precepts of Islam dengan lebih luas lagi,tidak hanya terhad kepada rukun Iman dan rukun Islam sahaja, tetapi juga termasuk perkara-perkara Hukum Syarak, larangan-larangan, perintah-perintah Islam. Secara ringkasnya, Islam adalah way of life. Di Malaysia, kita menggunapakai doctrine of binding precedent, iaitu keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat Mahkamah yang berada di bawahnya.Ini pendapat hakim.

Pada pendapat saya, peruntukan Perkara 3 sudah menjelaskan kedudukan Islam adalah istimewa berbanding agama lain, di mana agama lain hanya boleh diamalkan dengan syarat secara aman dan damai. Tetapi syarat tersebut tidak dikenakan terhadap Islam.Keduanya, kerajaan kita memperutukkan di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri masing2 mengenai penubuhan Majlis Agama Islam Negeri2, tetapi Majlis Agama Hindu atau Buddha atau Kristian tidak ada peruntukan undang-undang mengenainya, melainkan ditubuhkan di bawah undang-undang pertubuhan. Malaysia juga mengamalkan polisi kerajaan Islam sejak bertahun2, sebab itu adanya sekolah2 agama,subjek pengajian islam, syarat pembinaan masjid2 di setiap projek pembangunan,penekanan Halal, penguatkuasaan fatwa, penubuhan Mahkamah Syariah, penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah Negeri2,banyak lagi perkara lain,yang menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

2. Saya percaya terdapat beberapa pendapat mazhab mengenai pemakaian Hudud terhadap orang bukan islam. Ada yang kata terpakai, ada yang kata tidak. Apapun, pandangan saya yang tidak arif mentafsir Quran, ayat-ayat di dalam Al-Quran diturunkan kepada orang-orang islam. Ayat2 yang memerintahkan pelaksanaan Hudud, Qisas dan Taazir, perintahnya adalah ke atas orang Islam. Insyaallah, kalau ada kesempatan saya untuk merujuk kepada kitab2 muktabar, akan saya perjelaskan lagi.

Azri berkata...

Ustazah. Teerima kasih lah banyak banyak meluang kan masa beri jawapan. Malam ni bertambah lah ilmu saya yang bukan loyar ni...loyar buruk je. Ana tunggu jawapan susulan

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

Kepada Tanpa Nama,

Teruskan sokongan untuk pelaksanaan undang-undang Hudud, untuk membanteras maksiat yang semakin berleluasa.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

Untuk al-Muhami,

Saya search imej di google. Layari afais.blogspot.com untuk keterangan lanjut.

Tanpa Nama berkata...

SALAM..BAGUS TINDAKAN ANDA MENERANGKN SCR TEPERINCI..TERUSKN USAHA..INSYA ALLAH BANTUAN ALLAH SENTIASA BRSAMA ORANG YG INGIN TEGAK KN KEADILAN..SAYA SOKONG BERSAMA...

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

To Tanpa Nama,

Terima kasih atas sokongan :) Mudah-mudahan dipermudahkan. Allah bersama kita :)