Isu ini dibangkitkan semula apabila semakin hampir tarikh pilihanraya kecil di DUN Kuala Terengganu bulan Januari depan. Semalam, seorang sahabat saya bertanyakan mengenai keperluan pelaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia, dan saya terpanggil untuk menulis artikel ini.
Ijmak ulama telah bersepakat bahawa terdapat 3 jenis undang-undang jenayah Islam, iaitu Hudud, Qisas dan Taazir. Kesalahan Hudud adalah jenis-jenis kesalahan jenayah yang telah ditetapkan hukumannya oleh Islam. Terdapat 7 jenis kesalahan Hudud, minum arak
(sebat 40 kali), berzina
(rejam bagi pasangan yang sudah berkahwin, dan sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin) , menuduh berzina
(Qazaf)( 80 kali sebatan), mencuri
(potong tangan), merompak berkumpulan
(dipotong tangan dan kaki berselang-seli) dan memberontak (
hukuman bunuh atau buang negara). Ada ulamak yang berpandangan bahawa murtad adalah kesalahan hudud yang dihukum bunuh sekiranya pesalah tidak mahu bertaubat. Secara ringkasnya, hukuman bagi kesalahan hudud merangkumi 3 jenis hukuman, iaitu, bunuh balas, potong anggota badan dan sebatan.
Takzir pula ialah satu bentuk pelanggaran hak Allah yakni hak awam dan dalam masa yang sama juga merupakan satu dosa. Kesalahan takzir adalah selain daripada kesalahan Qisas dan Hudud, dan hukumannya terserah kepada budi bicara pemerintah atau hakim yang mendengar sesuatu kes itu.Contoh kesalahan takzir adalah seperti yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri seperti, berkelakuan sumbang, berkhalwat, tidak menunaikan solat Jumaat, tidak menghormati bulan Ramadhan, liwat,
dll.
Qisas pula ialah kesalahan yang merangkumi kesalahan membunuh dengan sengaja atau tidak sengaja
(al-qatl ) dan mencederakan seseorang
(al-jarh). Terdapat pebezaan pendapat mengenai pembahagian kesalahan Qisas oleh fuqaha'.Hukuman bagi kesalahan Qisas adalah yang membunuh hendaklah dihukum bunuh dan yang mencederakan hendaklah dihukum. Hukuman bagi kesalahan ini hampir sama dengan kesalahan membunuh di dalam Kanun Keseksaan, yang mengklasifikasikan membunuh kepada jenayah membunuh dengan niat, tanpa niat dan mencederakan dengan niat atau tidak.
Di Malaysia, selaras dengan jadual 9, senarai 2, Perlembagaan Persekutuan, undang-undang jenayah Islam adalah di bawah bidangkuasa negeri. Negeri-negeri telah menggubal Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan jenayah syariah negeri dan berkuasa untuk menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan jenayah syariah yang dibuat setakat bidangkuasa yang dibenarkan oleh Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah, iaitu, tidak melebihi 3 tahun penjara, denda RM 5,000 dan 6 kali sebatan. Melihat kepada jenis kesalahan yang diperuntukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah, keseluruhan kesalahan di dalam Enakmen tersebut adalah kesalahan takzir, dan bukan kesalahan Hudud atau Qisas.
Mengenai pelaksanaan hukuman Hudud di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam. Bagi orang bukan Islam, samalah dengan hukuman takzir, iaitu terpulang kepada pemerintah untuk menentukan hukuman. Contohnya, orang bukan Islam boleh dihukum dengan menggunapakai undang-undang sivil yang sedia ada.
Walaupun terdapat sesetengah pihak menyokong dan sebahagian lagi membantah untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia, pada pandangan saya, bukan undang-undang Hudud yang sepatutnya diperjuangkan. Apa yang paling penting adalah pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh di Malaysia. Dan pada pandangan saya, proses islamisasi undang-undang ini telah pun dilaksanakan di Malaysia, berdasarkan perkara-perkara berikut:-
1) Dari sudut Hukum Syarak, melalui institusi fatwa, ulamak-ulamak yang bersidang akan berbincang dan mengeluarkan Hukum Syarak berkaitan dengan perkara-perkara Hukum Syarak.Sekiranya ini difatwakan dan digazetkan, ianya adalah satu undang-undang dan fatwa itu hendaklah mengikat orang-orang Islam di negeri yang berkenaan.
2) Dari sudut pentadbiran keadilan, Mahkamah Syariah telah diwujudkan di Malaysia untuk mendengar kes-kes berkaitan orang Islam.
3) Dari sudut pentadbiran, Majlis Agama Islam negeri-negeri dilantik sebagai pentadbir, pemegang amanah harta orang Islam.
4) Dari sudut perundangan, Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ini adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama bagi persekutuan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Ini dikukuhkan lagi dengan kenyataan mantan PM Malaysia, Tun Mahathir pada tahun 2002, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.
5) Dari sudut skop dan amalan, undang-undang Islam bukan setakat Hudud sahaja, tetapi lebih luas termasuklah aspek muamalat, ibadat, jinayat, munakahat dan akidah. Setakat ini, di Malaysia, kita telah menggubal undang-undang Islam berkenaan dengan munakahat (Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam), muamalat (Islamic Banking System), ibadat (Majlis Agama sebagai Pemegang Amanah masjid dan harta wakaf), akidah (kesalahan ajaran sesat di bawah Enakmen Jenayah Syariah), fatwa (s.48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam), pentadbiran, (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri) dan banyak lagi contoh lain. Justeru, sebenarnya negara kita telah pun memulakan langkah menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam secara berperingkat-peringkat. Tinggal untuk menyempurnakan sahaja.
6) Dari sudut permulaan penguatkuasaan, Undang-Undang Islam telah wujud lebih awal di Malaysia sebelum zaman pendudukan British di Melaka, iaitu pada tahun 1511. Undang-undang yang digunapakai oleh negeri-negeri di Tanah Melayu pada masa itu adalah Undang-Undang Islam. Ini dapat dibuktikan dengan melihat kepada peruntukan di dalam Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Pahang, Selangor dll yang sama dengan undang-undang Islam. Bukti lain dapat dilihat melalui Batu Bersurat Terengganu.
7) Dari sudut amalan dan praktis di Malaysia, Undang-Undang Islam telah wujud sebelum kewujudan English Law atau Common Law of England pada tahun 1826 melalui
Charter of Justice. Dalam kes Ramah vs Laton, [1927] FMSLR Mahkamah memutuskan bahawa
Islamic law is the law of the land.
8) Dari sudut sosial, melalui pemerhatian saya, walaupun penguatkuasaan undang-undang sivil adalah baik kerana meliputi orang Islam dan bukan Islam, tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan gejala sosial dan maksiat yang semakin meningkat di kalangan orang Islam.
Apapun polisi kerajaan dalam isu ini, pada pandangan saya, undang-undang yang terbaik adalah apabila pelaksanaan sesuatu undang-undang itu, akan menjaga dan melindungi 5 perkara penting dalam Islam iaitu, agama, diri, harta, kehormatan dan akal fikiran. Itulah yang terbaik dan disyariatkan. Tidak kira sama ada ia undang-undang sivil atau syariah, Hudud atau tidak, dibuat untuk orang Islam atau tidak, pastinya ia boleh diterima oleh semua golongan, sama ada Islam atau bukan Islam. Wallahua'lam. Ini cuma pandangan peribadi, kalau ada pandangan lain, boleh dikongsi di sini.
PELAKSANA hukuman sebat menjalankan hukuman itu ke atas
seorang lelaki yang didapati bersalah kerana berjudi
di halaman Masjid Agung Bireun, Aceh
Seorang Pegawai Syariah sedang menjalankan hukuman sebat
ke atas seorang wanita yang di dapati bersalah tinggal serumah
bersama teman lelakinya di hadapan masjid Banda Acheh