Tadi saya sempat menghadiri "Program Kekasih Allah Mencintai Kita" yang telah dianjurkan oleh sahabat baik saya, al-fadhil Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin. Disebabkan saya diminta mengambil gambar-gambar program menggunakan kamera beliau, saya terlupa hendak merakamkan detik-detik menarik Program tersebut. Bagaimanapun, sebahagian gambar-gambar dapat dilihat dalam blog beliau ustazamin.com.
Apa yang nak saya kongsikan adalah, program tersebut adalah gabungan ceramah agama dan persembahan multimedia yang menghasilkan persembahan bertenaga dan hidup. Seronok saya menghayati sirah Nabi Allah Muhammad, sejak kelahiran beliau hingga saat-saat kewafatannya. Paling menyayat hati, apabila sewaktu Ustaz bercerita mengenai kewafatan Nabi, beberapa visual dan video ditayangkan mengenai pengorbanan dan kasih sayang Nabi Allah terhadap umatnya.
Sebak sungguh menyaksikan sedutan filem "Muhamad the Messenger" yang menunjukkan Nabi dibaling batu semasa berdakwah di Makkah dan Taif, dan sahabat2 beliau berusaha melindungi Nabi, sehingga luka-luka dan berlinangan darah di anggota badan mereka. Ditayangkan juga sedutan filem yang sama di saat Sayyidatina Sumayyah disula dan suaminya disalib dan dibelasah oleh orang-orang kafir Quraish kerana memeluk dan mempertahankan Islam. Terharu melihat sahabat2 Nabi yang begitu kuat iman mereka, kepercayaan mereka kepada Nabi, kasih sayang mereka kepada Nabi, sanggup memilih dan berkorban diri dan harta benda kerana cintakan Allah dan Nabi.
Bagaimana dengan kita? Adakah kita sekuat mereka? Sanggup terluka, terhina, dicerca kerana mempertahankan agama? Difitnah kerana memperjuangkan agama? Mudah-mudahan kita meneruskan pejuangan Nabi kita. Mudah-mudahan Nabi mencintai Kita, sebagaimana kita mencintainya. Mudah-mudahan kita tergolong di dalam umatnya yang mencintainya, mengamalkan sunnahnya dan banyak berselawat ke atasnya.
2 ulasan:
Bagaimana dengan kita?. Adakah kita sekuat mereka?.Sanggup terluka, terhina, dicerca kerana memepertahankan agama?. difitnah kerana memperjuangkan agama?.
Semua persoalan tersebut senang dijawab dan dipintas dengan percakapan dan tulisan tetapi sangat berat untuk menghadapinya di dalam alam kenyataan.
Samada suka atau benci, takut atau berani itulah tanggungjawab kita, menegakkan kebenaran dan menyebarkan ajaran Islam, mengajak manusia supaya makrifatullah ( mengenal Allah ).
Mengenangkan perjuangan mereka terasa kerdilnya kita kerana sangat sedikit memberi sumbangan.
Wassalam.
Setuju dengan Pak Ngah. Cuma, buat setakat termampu, jangan tak buat langsung. Walaupun hanya berselawat, supaya paling kurang, dapat syafaat Nabi.
Catat Ulasan