Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 7 Mac 2009

Diari - Perbincangan Yang Panas

Salam semua,

Pagi tadi saya menghadiri satu perbincangan yang dianjurkan oleh sebuah persatuan penduduk mengenai projek perumahan mereka yang terbengkalai disebabkan sikap pemaju yang tidak bertanggungjawab. Memandangkan pihak MAIS merupakan Tuan Tanah untuk projek tersebut, pihak MAIS telah dijemput untuk turut sama menghadiri perbincangan itu.

Pada awalnya, perbincangan berjalan dengan baik dan teratur. Bagaimanapun, lama-kelamaan, suasana menjadi semakin hangat kerana beberapa pembeli-pembeli yang hadir bertanyakan mengenai tempoh penyiapan projek kepada pihak MAIS. Suara masing-masing makin tinggi pitchingnya. Saya memahami masalah yang dihadapi oleh pembeli, kerana mereka telah menunggu selama 9 tahun untuk projek tersebut disiapkan, sedangkan beribu-ribu wang yang telah dikeluarkan untuk membayar pinjaman bank.

Pihak MAIS telah menjelaskan kepada pembeli-pembeli mengenai kedudukan sebenar dan usaha pihak MAIS dalam menyelesaikan kelewatan projek tersebut. Sebahagian besar pembeli dapat menerima penjelasan yang diberikan. Apa yang mendukacitakan, terdapat sebahagian kecil pembeli yang bertindak mengapi-apikan pembeli yang lain untuk bersifat agresif terhadap pihak MAIS, termasuk memfailkan tindakan undang-undang dan mensensasikan isu ini di dalam media massa.

Pada saya, terpulang kepada pembeli untuk mengambil sebarang tindakan yang dirasakan wajar. Mereka berhak di sisi undang-undang untuk memfailkan tindakan. Tetapi adakah tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah kelewatan projek yang berlaku? Sedangkan di pihak MAIS, kami berusaha membantu untuk menyelamatkan projek ini sehingga pihak MAIS sendiri terpaksa membiayai dan menanggung kos-kos untuk projek ini (yang sepatutnya ditanggung oleh pemaju). Pihak MAIS juga terpaksa menangguhkan tindakan terhadap pemaju kerana mengambil kira kepentingan umum, iaitu pembeli-pembeli (bimbang projek tersebut akan terbengkalai, dan nasib pembeli-pembeli yang berkemungkinan membayar harga yang tidak tidak terbela.)

Sekarang ramai orang yang suka menyelesaikan masalah mereka melalui pemfailan saman di mahkamah sebagai method utama. Tidak ada salahnya, kerana mereka memang berhak. Tetapi kesannya, dan tempoh penyelesaiannya, perlu diambil kira. Saya ambil contoh, dalam kes-kes keluarga, banyak kes yang tidak dapat diselesaikan kerana pendekatan yang sama (adversarial). Lebih buruk lagi, apabila media mensensasikan lagi kes-kes tersebut (khususnya yang melibatkan selebriti dan VIP). Mujurlah melalui pendekatan Majlis Sulh (penyelesaian secara perbincangan bersama antara pihak bertikai) yang diamalkan di Mahkamah Syariah berjaya menyelesaikan lebih 60% kes-kes kekeluargaan di Mahkamah Syariah. Ini membuktikan, penyelesaian secara perbincangan bersama adalah lebih berkesan daripada pemfailan kes di Mahkamah yang mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Dari sudut sejarah, pada masa dahulu, sebelum kedatangan Inggeris ke Tanah Melayu, sekiranya ada masalah keluarga yang timbul di kalangan orang Melayu, (biasanya melibatkan suami-isteri) pasangan akan merujuk kepada orang tua-tua dalam keluarga mereka. Jika tidak selesai, mereka akan merujuk kepada ketua kampung atau Imam-imam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri dan cuba untuk menyelesaikan pertikaian mereka. Orang Melayu pada waktu itu, amat menjaga maruah keluarga dan menjaga air muka (face saving) dan tidak mahu masalah keluarga mereka diketahui oleh umum. Berbanding zaman ini, kita biasa melihat dan membaca isteri memfailkan saman ke atas suami dan konflik keluarga orang lain di media massa berkenaan gossip/skandal yang menimpa keluarga tersebut. Kesannya, bukan pasangan itu sahaja yang malu, keluarga mereka pun malu, tapi kes masih tak selesai-selesai. Wartawan tetap menulis cerita, mensensasikan cerita supaya akhbar laris. Maruah kita tercemar, rumahtangga porak peranda, anak-anak terabai.

Pada saya, sebagai seorang peguam, apabila anakguam bersetuju untuk ambil tindakan Mahkamah, saya tentu suka. Kerana bila kes bertambah, saraan bulanan saya tentu tinggi. Tetapi, peguam sebenar akan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk anak guamnya, the sooner the better. Rezeki Allah yang tentukan, bukan client.

Sebagai kesimpulan, menurut pengalaman saya, perbincangan antara dua pihak adalah lebih baik daripada memulakan tindakan undang-undang. Jika kedua pihak tidak boleh berinteraksi, boleh menggunakan khidmat perantara (mediator @ arbitrator). Ini selaras dengan konsep pelantikan Hakam dalam Islam. Less formal, save cost dan penyelesaian segera. Filing action di Mahkamah adalah budaya yang diperkenalkan oleh Barat selepas pendudukan Inggeris di Tanah Melayu melalui Charter of Justice. Budaya Islam adalah menyelesaikan pertikaian dengan adil., dengan mendengar kedua-dua pihak. Wallahua'lam. Sekadar pandangan.

Sebahagian penduduk yang hadir dalam perbincangan. Sebahagiannya tenang dan menerima dengan baik penjelasan MAIS, tetapi sebahagian yang lain begitu beremosi.

Pengerusi Persatuan penduduk bersama wakil-wakil MAIS yang hadir. Mudahan-mudahan perbicangan seperti ini dapat diteruskan untuk penyelesaian masalah yang berbangkit.

2 ulasan:

Azri berkata...

salam ustazah
siapa, dimana/kemana pemaju nya ?

Tanpa Nama berkata...

Ada, tapi macam tak ada. Kami nak terminate, nanti kesian kat pembeli, kalau bangunan tak siap. Kami akan ambil tindakan lepas hand over unit2 pada pembeli.