Selepas pengumuman tarikh permulaan puasa pada tahun ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, saya dan Nora bergegas ke Masjid Negeri Shah Alam untuk bersama-sama menyambut malam pertama Ramadhan dengan bersolat jemaah di masjid dan bertarawih. Disebabkan kami bertolak agak lewat (lebih kurang jam 8.30 malam), dan ini adalah malam pertama Ramadhan, keadaan jalan menuju ke Masjid Negeri memang luar biasa sesaknya. Orang ramai berpusu-pusu untuk bersolat berjemaah di masjid. Kereta dan motosikal memenuhi persekitaran masjid negeri yang bercahaya dengan kerlipan lampu-lampu. Kami terpaksa parking agak jauh dari biasa.
"Kita parking kat Yayasan Restu la ye kak," cadang Nora setelah mendengar suara Imam Masjid Negeri melalui pembesar suara di sekeliling masjid sudah pun mengangkat takbiratul ula untuk solat Isyak. Kerana bimbang kami tak sempat berjemaah Isyak, saya terus bersetuju.
Disebabkan kami parking agak jauh, kami hanya sampai di ruang solat wanita pada rakaat yang ketiga. Nak ikat kain telekung lagi, nak susun saf lagi, akhirnya kami masbuk pada rakaat yang keempat. Selepas solat isyak, saya memerhatikan persekitaran ruang solat di masjid yang dipenuhi oleh jemaah.
"Alhamdulillah.. kalau tiap-tiap waktu macam ini kan bagus, especially waktu Subuh," getus saya dalam hati.
Teringat saya kata-kata Puan Hasyimah, seorang ahli lembaga pengarah AMAN Palestin sewaktu dijemput memberikan penerangan di MAIS mengenai AMAN PAlestin. Beliau berkata, seorang rabai Yahudi dengan angkuhnya mengatakan, orang Islam TIDAK AKAN MAMPU mengalahkan orang kafir atau Yahudi sekiranya bilangan orang Islam yang solat Subuh tidak seperti bilangan orang Islam yang solat Jumaat. Betapa beraninya rabai tersebut berkata demikian, kerana sangat pasti dengan iman orang Islam sekarang yang tersangatlah nipis bak kulit bawang, dan sangat mudah meninggalkan solat, sedangkan solatlah punca kepada kekuatan umat Islam, kerana di dalam solat ada doa yang diminta oleh setiap umat Islam kepada Allah, iaitu diberi hidayah dan petunjuk. (Boleh rujuk entri saya terdahulu di: http://nurhanisalwa.blogspot.com/2010/06/diari-aman.html. )
Walaupun saya dan Nora duduk di saf yang terakhir, kerana datang lewat, saya tetap bersyukur dan seronok melihat umat Islam berpusu-pusu ke masjid untuk solat berjemaah. Terasa seperti di Masjidil Haram pun ada. Sementelah sahabat saya, Ustaz Mat, baru kembali dari Tanah Suci. Semoga keadaan seperti ini kekal berterusan. Semoga saya akan ketemu selalu dengan keadaan dan suasana seperti ini di Malaysia, bukan hanya semasa Ramadhan atau hari Jumaat, tetapi pada setiap masa.
Nurhani
Shah Alam
Shah Alam
2 ulasan:
Salam Hani.
Waduh ...cepatnya dua wartawan ini melaporkan peristiwa Ramadan, memang canggih teknologinya.
Sewajarnya Ramadan kerana:
Di depan engkau rahmah.
Di tengah engkau maghfirah.
Di akhir engkau syorga.
Dan selamat dari azab neraka.
Kehadiran engkau, manusia hadir berduyun-duyun berkumpul,
Di masjid.
Di surau.
Di Pasar Ramadan.
Di meja makan.
Salam Pak Ngah,
Bulan puasa ini, saya rasa lebih banyak masa untuk menulis. Cuma satu jer saya bimbang, takut asyik sangat menulis, tak khatam baca 30 juzuk!
Catat Ulasan