Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Selasa, 23 Februari 2010

Diari - Mesyuarat MAIS Bil 2/2010


Salam semua,

Seawal jam 8.40 pagi saya dan Ketua-ketua Bahagian di MAIS tiba di tempat di mana Mesyuarat MAIS diadakan. Seperti biasa, kami bersarapan dahulu sebelum mula mesyuarat. Meja berbentuk 'U' sudah mula dipenuhi oleh ahli MAIS. Kerusi-kerusi di barisan kedua turut dipenuhi oleh pegawai-pegawai kanan MAIS, JAIS, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah dan Masjid Negeri, termasuk saya.

"Hani. Meh la duduk depan," YB Datin Paduka Datuk Zauyah, Penasihat Undang-Undang Negeri mengajak saya duduk di sebelahnya sebelum mesyuarat bermula.

"Ish. Seganlah Datin. Depan tu semua ahli MAIS," balas saya.

"Dok jer depan ni. Tak datang Dato' Arif ni. Meh le. Sunyi depan ni," ajaknya lagi, bersungguh-sungguh.

"Pergilah Cik Hani. Datin dah ajak tu," kata Rohana PRO MAIS.

Mau tak mau, saya duduk juga di hadapan. Nak mengelakkan rasa malu, saya meletakkan 'tag' saya "Penasihat Undang-Undang MAIS" di atas meja di hadapan saya.

"Nampaknya ada ahli MAIS baru," kata Ustaz Zulkifli, urusetia mesyuarat MAIS sambil berjenaka.

Di dalam Mesyuarat kali ini, saya membentangkan tiga kertas kerja, iaitu mengenai cadangan pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, cadangan penyelesaian tuntutan harta pusaka Mohd Hazzery Shah, seorang muallaf yang mati tidak meninggalkan waris yang beragama Islam dan isu mengenai artikel menghina Islam yang dibuat oleh Editor akhbar The Star, P Gunasegaram dan tindakan yang boleh diambil oleh MAIS terhadap isu tersebut. Dua daripada kertas kerja tersebut telah lebih awal saya siapkan, manakala kertas mengenai P Gunasegaran baru disiapkan semalam selepas arahan diterima pada tengahari semalam.

Alhamdulillah, kertas-kertas kerja tersebut diluluskan oleh MAIS dengan beberapa penambahan dan ketetapan. Mesyuarat MAIS turut bersetuju supaya laporan polis dibuat terhadap P Guna dan menegaskan pendirian kami terhadap artikel beliau.

Mesyuarat selesai pada jam 1.30 tengahari. Usai mesyuarat, kami semua menikmati hidangan tengahari. Saya masuk agak lewat ke dewan makan. Saya mengambil lauk pauk dan berjalan ke meja makan sebelum mendengar Puan Norraini menyapa Dato' Azib,"

"Dato' cari sapa? Cari Hani ker?" tanyanya menduga.

"Ha ah,"katanya sambil melilau mencari saya.
"Hani, tolong sediakan draf tu yer..," ucapnya setelah terpandang saya yang sedang berdiri di meja makan di hadapannya.

"Dato', saya belum sempat duduk makan pun Dato', Dato' dah bagi saya kerja?" balas saya sambil bergurau.

Sahabat-sahabat saya yang lain semuanya tergelak dengan gurauan saya.

"Meeting tadi 5 jam, tapi LA MAIS cakap jer dah 2 jam," Dr Halim Tamuri, seorang ahli MAIS yang sedang makan di meja bersebelahan tiba-tiba menyampuk.

"Eh! Mana ada Dr," balas saya, terasa agak malu dengan kenyataan beliau, walaupun saya tahu, beliau bergurau.

"Iye.. Dia ajer yang banyak cakap. Dua jam jugaklah," katanya lagi.

"Hehehe. Hebatnya Dr. Boleh kira masa saya present paper yer. Macam tu, boleh dapat elaun mesyuarat laa..," saya membalas sambil tertawa kecil.

Walaupun agak letih, kerana terpaksa membuat persediaan dan dalam masa yang sama melontarkan pandangan apabila ditanya, namun saya tetap berpuas hati, kerana semua kertas kerja yang disediakan dan dibentangkan diterima dengan baik oleh ahli mesyuarat. Walaupun ada beberapa cadangan dan syor yang dicadangkan ditolak, tetapi keputusan tetap dibuat untuk setiap kertas yang dikemukakan. Itu perkara yang biasa berlaku dalam semua mesyuarat. Ada persetujuan, ada penangguhan atau penolakan. Percanggahan idea dan pendapat tentunya ada. Kerana itu, kita perlu bersedia dengan adab-adab percanggahan pendapat untuk mengelakkan kita terlalu emosi apabila cadangan kita ditolak. Sebaiknya, apa jua pandangan kita, wajarlah dikemukakan di dalam mesyuarat, bukan selepas mesyuarat. Sebahagian kita, sukar memberikan pandangan dalam mesyuarat, tetapi lebih suka menerima pendapat orang lain. Sebahagian yang lain, suka memberikan pandangan, tetapi sukar pula menerima pandangan orang lain. Yang lain pula, tidak mahu memberi pandangan, tetapi mempertikaikan pandangan orang lain. Tapi yang paling teruk, sudahlah tidak mahu memberi pandangan, bercakap-cakap dan mengumpat pula selepas mesyuarat, apabila tidak puas hati dengan sesuatu keputusan. Walhal, percanggahan idea memang wujud dalam apa jua perkara.

Pada pandangan saya, mesyuarat hanyalah satu method untuk mendapatkan keputusan, dan kaedah ini amat-amat digalakkan dalam Islam. Dalam konteks ini, Islam amat mementingkan budaya berjemaah, bukan setakat dalam solat, bahkan dalam membuat keputusan. Paling utama, walau apapun pandangan kita, kedudukan kita, walau berbeza sekalipun, kita masih tetap sama di sisiNya.Wallahua'lam.

"Mengharap Redha Ilahi"
Nurhani
Shah Alam

2 ulasan:

JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI berkata...

salam.tahniah.ex-boss memang pembentang yang hebat. semoga terus cemerlang di bawah bumbung MAIS.

Hunny berkata...

salam Al Muhami,

Dah jadi ex boss baru puji.. kalau masih di MAIS boleh saya bagi markah LNPT 100%.. hehehehe... Insyaallah, semoga semua kita tetap cemerlang, walau di mana berada.. :)