Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 15 Mei 2010

Diari - Mr Thomas...



Salam semua,

Saat saya menulis entri ini, saya berada di Hotel Impian Morib, untuk program Bengkel semakan fail meja bahagian Undang-Undang MAIS. Setelah beberapa kali Bahagian kami mengalami perubahan perjawatan dan struktur Bahagian, ini kali pertama Bahagian saya menyemak semula fail meja setelah beberapa tahun. Banyak yang perlu ditambah dan diupgrade, khususnya senarai tugas yang bertambah. Kalau sebelum ini, Bahagian saya hanya mempunyai 4 orang pegawai, sekarang sudah bertambah 9 orang pegawai. Jadi, tidak hairanlah kalau tugasan dan tanggungjawab di Bahagian bertambah.

Malamnya, sebelum sesi ketiga berlangsung, kami sempat menonton perlawanan Badminton Piala Thomas di antara pasukan Malaysia menentang pasukan China. Sangat mengecewakan dan terkilan apabilaskuad negara gagal mempersembahkan aksi cemerlang menentang China. Mr Thomas yang diidamkan dan diharapkan oleh semua rakyat Malaysia hanya tinggal kenangan. Saya bersembang dengan kakitangan yang turut menonton sama perlawanan secara live tersebut. Masing-masing mengulas kekalahan Malaysia sebentar tadi.. Macam pengulas sukan pulak..

"Ini mesti sebab ramai yang tak solat maghrib," kata saya.

"Itulah. Pelik juga. Bukannya kita buat di tempat orang, tapi di tempat kita.. Patutnya kita hormat la waktu sembahyang," kata pegawai saya, Zurinah.

"Betullah..Lain lah kalau kita buat kat Denmark ke, China ke... diorang yang control time," saya mengiyakan.

Kami yang menonton di dalam bilik hotel pun penuh semangat menyokong pasukan Malaysia, apatah lagi yang menonton di stadium, tentu lebih bersemangat membara dan tak bangun-bangun dari kerusi. Perlawanan pertama antara Lee Chong Wei dan Lin dan bermula pada jam 7 petang dan berakhir pada jam 7.50. Kemudian, perlawanan beregu pula pada jam 8 malam.. Harapnya, telahan saya tidak benar. Harap-harapnya ramai penonton yang beragama Islam mengambil peluang waktu yang senggang untuk menunaikan solat.

Apapun,tahniah kepada pasukan China kerana berjaya menumpaskan Malaysia dan melayakkan diri ke perlawanan akhir menentang Indonesia.Kepada pasukan Malaysia, usah bersedih. Mungkin belum masanya untuk kita menang pada kali ini. Gandakan usaha untuk merebut Mr Thomas pada perlawanan akan datang. Kalah sekali bukan bererti kalah selama-lamanya.

Kepada peminat-peminat sukan dan penyokong-penyokong Malaysia yang beragama Islam, tak salah menonton dan menyokong apa jenis sukan pun, baik badminton, bola sepak, hoki, bowling, untuk memberi semangat kepada pasukan masing-masing, tetapi perkara yang wajib dan suruhan agama jangan sesekali ditinggalkan. Asal hukum menonton perlawanan bolasepak, harus, tetapi apabila perkara yang mungkar berlaku, dan manusia terlalai disebabkan menonton perlawanan dan sukan, ianya menjadi haram. Berapa ramai yang mampu untuk menonton pertandingan bolasepak liga Inggeris sehingga jam 2-3 pagi yang mengambil masa beberapa jam, tetapi tidak mampu untuk bangun solat Subuh yang mengambil masa lebih kurang 5 minit sahaja. Fikir-fikirkan, semoga yang baik menjad pedoman, yang buruk kita hindarkan. Majulah sukan untuk negara.!

" Usaha Untuk Berjaya"

Nurhani

Hotel Impian
Morib

Tiada ulasan: