Akhirnya selesai juga program Munaqasyah Pemerkasaan MAIS 2009-2011 petang tadi, sebelum solat Jumaat. Saya yang bertindak sebagai penyelaras modul untuk sesi bengkel telah membahagikan peserta-peserta kepada 4 bengkel kumpulan iaitu perundangan, pengurusan, sosial dan ekonomi. Setiap bengkel disertai oleh golongan yang pakar dalam bidang-bidang yang ditentukan, iaitu ahli akademik dari universiti-universiti tempatan, ahli-ahli MAIS, pegawai2 MAIS, JAIS dan anak syarikat MAIS. Bengkel-bengkel diadakan serentak bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi. Setiap bengkel terdapat seorang pelapor dan seorang pembantu jurulapor yang ditugaskan untuk mencatat segala resolusi yang diperolehi di dalam setiap bengkel. Setiap kumpulan dipengerusikan oleh seorang moderator (pengerusi) yang dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan resolusi mengenai perkara-perkara yang perlu diputuskan (yang telah pun disediakan oleh saya dengan bantuan seorang pegawai MAIS selaku penyelaras modul). Moderator setiap kumpulan juga perlu membentangkan resolusi yang diputuskan di dalam kumpulan masing-masing selepas bengkel selesai.
Tepat jam 11 pagi, sesi pembentangan resolusi bermula di dewan. Alhamdulillah, dalam masa yang singkat (hanya 2 jam), sebanyak 112 resolusi telah berjaya diperolehi. Resolusi yang diputuskan memberi cadangan mengenai program-program dan tindakan yang perlu diambil oleh pihak MAIS, JAIS, JABATAN MUFTI dan MAHKAMAH SYARIAH pada masa akan datang untuk memperkasa insitusi2 ini. Saya yang turut serta dalam bengkel perundangan merasakan tempoh 2 jam tersebut tidak dapat merungkai semua permasalahan perundangan yang berlaku di negeri Selangor. Banyak lagi perkara dan isu yang menuntut perhatian dan tindakan MAIS, JAIS, LZS dll pihak berkuasa agama. Namun begitu, sekurang-kurangnya, resolusi yang dibuat oleh setiap kumpulan dapat memberi ruang kepada pihak berkuasa agama untuk memperbaiki kelemahan dalam mendepani isu dan cabaran-cabaran menguatkuasakan undang-undang Islam.
Pada sebelah petang, semua urusetia yang terlibat termasuk saya sendiri diminta untuk menghadiri mesyuarat post mortem program. Semua yang hadir diberi peluang oleh pengerusi mesyuarat untuk menyuarakan pandangan/kritikan/ ketidakpuasan hati mengenai pengendalian dan perjalanan program. Pada pandangan saya, sesi post mortem ini merupakan satu bab yang terpenting dalam pengendalian sesuatu program, tetapi yang PALING DILUPAKAN. Kepentingan post mortem adalah untuk memperbaiki kelemahan pengendalian sesuatu program yang dibuat supaya pada masa akan datang, kesilapan yang sama tidak berulang. Dalam konteks diri, ianya samalah seperti konsep MUHASABAH, iaitu memberi ruang untuk mengkoreksi dan memperbaiki diri sendiri. Dalam konteks bermuhasabah juga, sepatutnya kita perlu selalu mengkoreksi diri dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam semua perkara, dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dalam konteks masyarakat, post mortem sebegini perlu dibuat dalam bentuk berpesan-pesan dan ingat-mengingati antara satu sama lain dan menegur serta memperbetulkan kesilapan yang dibuat. Insyaallah, mudah-mudahan amalan POST MORTEM dan MUHASABAH ini akan sentiasa diteruskan oleh saya dan sahabat-sahabat semua supaya kita sentiasa memperbaiki diri untuk dunia dan akhirat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Insyaallah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan