Salam semua,
Saya terpanggil untuk memberikan pandangan saya mengenai isu ini selepas membaca satu artikel dalam suratkhabar Kosmo! hari ini 3 Mei 2009. Di dalam artikel bertajuk Kisah Ajaib Influenza A itu menceritakan bahawa seorang kanak-kanak terselamat dari wabak selsema babi tersebut kerana rajin membasuh tangan. Walaupun selepas bersin, kanak-kanak tersebut akan mencuci tangannya. Saya copykan sedikit keratan artikel tersebut dalam Kosmo! 3 Mei 2009:-
RENCANA UTAMA
Kisah ajaib influenza A
Oleh AMREE AHMAD
Seorang budak terselamat di sebalik seluruh penduduk kampungnya di Mexico maut akibat selesema babi hanya kerana satu perkara – suka mencuci tangan yang kotor. Hakikatnya wartawan CNN yang menjadi wakil media pertama dibenarkan memasuki kampung itu juga terkejut apabila mendapati kanak-kanak kecil tersebut mampu hidup kerana sikap positifnya dalam menjaga kebersihan terutama tangan.“Dia suka basuh tangan jika mendapati tangannya kotor selepas bermain atau diselaputi habuk apatah lagi setelah menyentuh babi. Budak itu cepat-cepat mencuci kedua-dua tangannya waima kerana menutup hidung selepas bersin atau batuk,” katanya. Akhirnya, budak ‘ajaib’ itu masih hidup dan disahkan langsung bebas dijangkiti wabak tersebut semasa ditemui pasukan kecemasan Mexico. Mereka hairan dan menganggap kisah disiplin budak itu sesuatu yang wajar dijadikan pengajaran.
Malam tadi saya menonton Buletin Utama yang memaparkan negara-negara yang dijangkiti wabak ini. Semuanya bukan negara Islam. Hmm.. Saya terfikir.. Kenapa tidak banyak kes selsema babi atau virus H1N1 ini ditemui di negara-negara Islam. Mengapa yer? Akhirnya saya terfikir satu kesimpulan yang amat berkait rapat dengan kedua-dua media massa ini. kesimpulan ini memberikan saya penyelesaian kepada epidemik ini. Berikut adalah pandangan dan kesimpulan saya yang saya temui dalam surah Al-Mudhattir:-
Islam amat menitik beratkan kebersihan. Jika wahyu pertama menekankan mengenai penguasaan ilmu, wahyu kedua menitikberatkan soal kebersihan. Semasa penurunan wahyu kedua, Allah swt berfirman dalam surah Al-Mudhattir:-
"Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan kepada Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatkah kebesaran-Nya!Dan pada pakaianmu, hendaklah kamu bersihkan. Dan segala kejahatan, hendaklah engkau jauhi".
Pada ayat yang pertama, kedua dan ketiga, Allah memerintahkan umatnya supaya bangun dan membesarkanNya. Dalam erti kata lain, membesarkanNya dengan bersolat. Pada ayat yang keempat, Allah memerintahkan supaya menjaga kebersihan pada pakaian. Ini dapat diertikan bahawa sebelum bersolat perlu membersihkan diri dan pakaian.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Solatlah sebagaimana kamu melihatku bersolat". Melalui hadis-hadis lain yang diriwayatkan, Rasulullah SAW bersolat setelah beliau mengambil wudhuk. Wudhuk itulah merupakan satu lambang penyucian dan pembersihan sebelum bersolat. Jadi, jika setiap kali solat, setiap kali itu jugalah kita akan mengambil wudhuk, bukankah dalam masa yang sama kita membersihkan anggota badan kita dari kekotoran dan bakteria yang hinggap? Dalam satu hadis lain diberitakan bahawa Rasululullah SAW bertanya pada sahabatnya sewaktu melalui sebatang sungai,"Wahai sahabatku, adakah akan melekat kotoran pada badan seseorang yang mandi di sungai ini lima kali sehari?" Sahabat menjawab, "Tidak ya Rasulullah, kotoran tidak akan melekat pada badannya". Rasulullah SAW bersabda, "Begitulah perumpamaan seorang yang solat lima waktu, kotoran (dosa) tidak akan melekat pada badannya".
Nah! Bukankah ini satu lagi bukti betapa Islam itu sememangnya indah dan sempurna? Dan betapa hebatnya kesan solat itu pada kebersihan dan kesihatan seseorang? Tak perlu nak guna Dettol @ Lifebuoy, kerana kesan wudhuk yang sempurna setiap kali solat itu jauh lebih baik daripada segala jenis pencuci dan penghadang bakteria. Ini adalah sabda Nabi Muhammad SAW, yang sepatutnya diyakini oleh semua umat Islam.
Sedangkan budak Mexico tersebut hanya mencuci tangan sahaja pun dapat menyelamatkannya daripada virus influenza A yang berbahaya tersebut, apatah lagi umat Islam yang sentiasa dalam keadaan berwudhuk untuk mendirikan solat dan membersihkan anggota-anggota yang sering terdedah kepada kuman (Muka, tangan, kaki, kepala), tentu kesannya lebih baik lagi!! Sebab itulah kemungkinannya, virus ini sukar untuk merebak di negara-negara Islam, kerana penduduknya sentiasa berwudhuk dan bersolat sekurang-kurangnya 5 kali sehari..
So, tunggu apa lagi? Ayuh tunaikan solat sekerap mungkin! Sekurang-kurangnya 5 waktu yang wajib. Sebaik2nya ditambah dengan solat-solat sunat, tentu kesannya lebih baik! Terpulanglah sama ada anda bersetuju dengan saya atau tidak. Ini sekadar pandangan sahaja. :)
Islam juga tidak sekadar mementingkan kebersihan lahiriyyah. Pada ayat seterusnya, Allah mengarahkan orang-orang yang beriman supaya menjaga kebersihan hati dan batiniyyah dari segala kejahatan. Banyak lagi bukti yang menunjukkan Islam mengajak umatnya supaya menitikberatkan kebersihan. Contohnya, Islam mewajibkan mandi untuk hadas besar, dan beristinjak untuk hadas kecil. Pengharaman babi itu sendiri sudah cukup menunjukkan Islam agama yang bersih dan selamat. Allah tidak akan mengharamkan sesuatu melainkan apabila mendatangkan mudharat kepada manusia. Sesungguhnya terbuktilah Islam itu agama yang sempurna, dek kerana itulah ia diredhai ALlah dan bukannya agama lain.
Justeru, ayuh mulakan penjagaan kebersihan dan kesihatan melalui solat bermula detik dan saat ini. Tips penjagaan lain juga perlu diambil kira, termasuklah mencuci tangan, mandi, bersugi, memakai wangi-wangian, memakai pakaian menutup aurat, menjaga kebersihan rumah dan alam sekitar, dll. Kalau demam, cepat-cepatlah jumpa doktor minta nasihat, sebelum melarat. Wallahua'lam.
"Berpesan-Pesan Dengan Kebenaran & Kesabaran"
Nurhani Salwa Bt Jamaluddin
Shah Alam
3 Mei 2009, 11.30 malam