Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Ahad, 31 Mei 2009

Diari - Seminar Krisis Murtad

Salam semua,

Pagi tadi saya menghadiri Seminar Krisis Murtad yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Ulamak Malaysia, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Masjid Negeri Shah Alam dan Unit Dakwah Global MAIS. Bertempat di Masjid Negeri Shah Alam beberapa orang penceramah yang terkemuka turut diundang bagi menjelaskan mengenai isu-isu berkaitan murtad termasuklah Dr Ridhuan Tee dari Universiti Pertahanan Malaysia, Hj Muhamad Abdullah Sylvester (Hidayah Centre), Ustaz Mohd Fitri Abdullah (PERKIM Malaysia). Kesemua penceramah ini diundang untuk slot di sebelah pagi, yang tertumpu kepada penjelasan mengenai perbandingan agama Islam dengan agama-agama Buddha, Hindu dan Kristian. Slot di sebelah petang memfokus kepada isu-isu berkaitan isu-isu murtad dari sudut perundangan dan Perlembagaan Malaysia.

Saya hanya sempat menghadiri program tersebut di sebelah pagi kerana ibu dan adik-beradik saya singgah ke rumah saya di sebelah petang. Yang menariknya, banyak perkara yang dikongsikan oleh penceramah seperti Dr Ridhuan Tee yang dulunya Buddhist, Ustaz Muhamad Nicholas Abdullah yang dulunya Kristian dan Ustaz Fitri yang dulunya Hindu. Banyak perkara asas dalam agama-agama tersebut dikongsikan bersama peserta-peserta yang memenuhi dewan masjid.

Menurut Dr Ridhuan Tee, kita perlu menyelidik berkenaan isu murtad dan mencari penyelesaiannya. Menurut beliau lagi, dakwah kepada orang China adalah yang paling mudah, tetapi pendakwah Islam tidak mengambil peluang ini. Menurut beliau lagi, Buddha atau nama asalnya Gautama Buddha adalah seorang putera beragama Hindu. Beliau adalaha seorang yang berakhlak mulia dan mengharamkan orang lain menyembahnya. Di dalam buku Micheal Hart, yang menulis mengenai tokoh-tokoh agung, Buddha merupakan orang di tangga keempat. Kekasih kita, Junjungan Besar Rasulullah SAW di tempat pertama.

Saudara Nicholas Sylvester pula berkongsi mengenai asas-asas agama Kristian. Menurut beliau , terdapat 5 asas agama Kristian antaranya Dosa Warisan, Anak Tuhan, Ketuhanan Jesus, konsep trinity of god,( saya terlupa satu lagi.) Ustaz Fitri pula menceritakan mengenai agama Hindu yang percaya bahawa Tuhan itu Satu, dan tidak boleh dilihat. Bagaimanapun, penganut Hindu menggambarkan Tuhan dalam kepelbagaian bentuk dan imej dewa-dewi seperti patung dan gambar. Beliau memaklumkan terdapat sebanyak 300 juta dewa-dewi Hindu pada masa kini.

Pada pandangan saya, seminar seumpama ini wajar dibuat dengan lebih kerap khususnya bagi para pendakwah untuk mengetahui mengenai asas-asas agama lain supaya kita mengenali dan tidak menyentuh sensitiviti agama lain dalam mengembangkan dakwah Islam. Dalam Al Quran Allah swt berfirman : "Serulah ke jalan Tuhanmu (Allah ) dengan hikmah dan jalan yang baik". Wallahua'lam. Mudah-mudahan kita semua dapat menjalankan usaha dakwah dengan berkesan. Amin.

"Mengharap Redha Ilahi"

NSJ
Seksyen 3
Shah Alam
30hb Mei 2009
11.30 malam

Dari kiri, MC, Ustaz Fitri, Ustaz Muhamad Abdullah Nicholas Sylvester dan Dr Ridhuan Tee.


Peserta yang memenuhi ruang dewan. Seorang peserta sedang bertanya soalan.

Ustaz Fitri menjelaskan mengenai asas-asas agama Hindu dan perbandingan dengan agama Islam.

4 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.
Seminar seperti ini sangat baik dan tentu sekali banyak maklumat yang disampaikan.
Beberapa tahun dahulu Pak Ngah pernah menghadiri suatu seminar dan pertemuan pelbagai agama di mana matlamtnya untuk memahami dasar agama masing-masing supaya kita dapat hormat menghormati di antara satu sama lain.Mungkin bagi kita dapat menggunakannya sebagai serampang dua mata, ahli panelnya terdiri dari pakar agama masing-masing ( Islam, Budha, Hindu dan Kristian ).
Pak Ngah rasa seminar seperti ini juga perlu diadakan supaya masyarakat kita memahami di antara satu sama lain terutamanya agama rasmi negara. wassalam.

Hunny berkata...

Salam pak Ngah,

Walaupun ada sebahagian golongan yang kurang setuju perbincangan antara agama ini, (termasuk saya pada awalnya.. hehehe)tetapi setelah menghadiri program seumpama itu, rasa ingin tahu mengenai agama lain tu ada. Tujuannya supaya dalam konteks berdakwah, lebiih mudah untuk kita berinteraksi dengan non muslim bila kita dah tahu asas2 agama mereka.

Abd Razak berkata...

Salam sdri Nurhani,

Realiti yang dihadapi masyarakat Malaysia kini khususnya dalam era globalisasi adalah kesan daripada faham-faham anti-agama seperti sekularisme, individualisme, hedonisme, materialisme, yang disogok dan dipaksakan kepada umat.

Nilai-nilai negatif yang sebahagiannya disebar melalui media cetak dan elektronik mulai membudaya dalam masyarakat. Ini menyebabkan persepsi terhadap agama berubah. Nilai-nilai agama semakin tidak dihargai. Agama tidak dilihat sebagai tuntutan utama kehidupan, sebaliknya ia sekadar keperluan budaya yang bukan fundamental. Pandangan seperti ini mulai dianut khususnya oleh generasi muda.

Hunny berkata...

Salam saudara razak,

Terima kasih atas pandangan anda. jujurnya saya mengakui kebejatan akhlak dan minda generasi muda disebabkan faktor2 yang anda nyatakan. persaingan sengit program2 di antara pihak media dan pendakwah2 selalunya 'dimenangi' oleh media, disebabkan kemahiran dan wang ringgit yang banyak.. dan lumrah manusia sendiri yang sukakan program2 bercorak hiburan daripada keagamaan. waalhua'lam.