Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Sabtu, 13 November 2010

Diari : Muallaf - Part 1

Salam semua,

Tadi, seorang muallaf wanita berbangsa Cina bersama 3 orang anaknya hadir ke pejabat untuk bertemu dengan Pegawai Syariah kami, Ustaz Fahimi. Seorang berumur 14 tahun, masih bersekolah, Juana, berumur 8 tahun dan seorang lagi Kasim, 6 tahun. Beliau pernah dua kali bertemu saya. Kali pertama semasa bekas suami wanita tersebut memohon hak jagaan anak mereka di Mahkamah Sivil. Kali kedua semasa membuat follow up kes permohonan hadhanah mereka di Mahkamah Syariah yang diwakili oleh Ustaz Fahimi. Alhamdulillah, Mahkamah memutuskan supaya hak jagaan diberikan kepada ibunya yang Islam, walaupun terdapat bantahan di pihak bekas suaminya yang tidak memeluk Islam.

Juana dan Kasim berjalan-jalan di sekitar pejabat Ustaz Fahimi. Memandangkan ibu mereka sedang berbincang dengan Ustaz Fahimi, dan saya bimbang keletah mereka mengganggu sesi perbincangan, saya mengajak mereka ke bilik saya. Saya menghadiahkan mereka setiap seorang sebuah kotak pensil yang saya isikan dengan pensil, pemadam, pembaris dan pengasah pensil. Saya turut memberikan mereka sebuah buku nota untuk mereka. Kedua-duanya sangat gembira menerima pemberian saya.

"Terima kasih," kata Kasim, yang terlebih dulu membuat pilihan kotak pensil. Warna biru menjadi pilihannya.

"Shey shey," kata Juana pula dalam bahasa Cina yang bermaksud " terima kasih".

"Saya pandai cakap Burma, Cina dan Melayu." kata Kasim, agak pelat, tetapi saya masih boleh memahaminya.

"Oh! Ye ke? Cuba cakap Burma, Auntie mau dengar," kata saya, ingin menduga.

"Oh! Itu ta (tak) tawu," balasnya masih pelat, menyebabkan saya tergelak. Tadi kata tau, bila tanya, tak tau. Itulah kanak-kanak. Keletah mereka sering mencuit hati.

Menggunakan pensil yang saya beri, mereka berdua duduk di kerusi di hadapan saya sambil melakar sesuatu. Melihat mereka seperti teragak-agak, saya melukis sesuatu di atas buku nota yang saya beri, dan mereka meniru lukisan saya. Selesai saja mereka melukis, mereka mengembalikan kepada saya untuk disemak. Saya membubuh "bintang" pada lakaran mereka. Teringat zaman sekolah dulu, cikgu saya memberikan tanda yang sama jika jawapan kita betul semua..:P. Kemudian, saya lakarkan pula huruf-huruf Jawi alif, ba, ta... sampai habis. Juana cepat-cepat meniru sampai selesai. Kasim mungkin belum kenal huruf-huruf tersebut, jadi dia melakar benda lain.

"Ini kaka (kakak), sudah siap," kata Juana.

"Wah! Pandainya!" kata saya, melihat hasil lakaran Juana. Untuk seorang anak muallaf yang baru saja memeluk Islam lebih kurang 4 bulan, jujurnya saya memuji kecerdasannya. Bahkan bila saya tunjukkan hasil lakaran beliau pada ibunya, ibunya seakan tidak percaya.

"Ustazah. Dia ni paling bodoh Ustazah. Mana dia pandai tulis," kata emaknya pada saya.

"Eh. Puan. Betul ini dia yang tulis. Bukan saya, " saya membalas.

"Ya ka? Hayya... " balasnya sambil menguntum senyuman.

Akhirnya, tiba masa berpisah. Si ibu masuk ke bilik saya untuk bersalaman. Sebelum berpisah, beliau bertanya,

"Eh! Kalau kita masuk Islam, kita ada dapat itu, aaa, buku, ituu, aaaa"Asas-asas Agama Islam". Mana mau dapat itu buku ? Saya sudah cari lama, tala jumpa." kata Puan Khadijah.

"Owh. Masa Puan masuk Islam dulu, tak ada dapat ke buku tu?" tanya saya.

"Tak ada. Saya sudah tanya itu Ustazah Baizura, dia kata sudah habis. Saya mau la itu buku. Abang (suami) minta tanya pada Ustaz Fahimi atau ustazah," katanya lagi.

"Yer ker? Tak pe. Insyaallah, nanti kalau saya dapat buku tu, saya kasi kat u," balas saya.

Saya menghantar mereka pulang. Dalam hati, saya bersyukur kerana Allah menghidayahkan mereka untuk memlih Islam sebagai agama mereka. Saya berdoa supaya Allah sentiasa memberi mereka hidayah kepada mereka untuk terus belajar dan memahami Islam. Golongan mualaf ini, mereka diuji mental dan emosi mereka sebelum dan selepas memeluk Islam. Berbanding kita yang sejak lahir memang beragama Islam, banyak rintangan yang golongan ini terpaksa lalui, demi mengenali Islam dan Pencipta mereka. Dibuang keluarga, dan masyarakat, dihina, terpaksa 'berjuang' di mahkamah untuk mendapatkan hak jagaan anak-anak dan sebagainya. Menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama membantu golongan ini, menurut kemampuan kita, kerana kita tak dapat menjangka apa yang mereka lalui, dalam mencari redha Ilahi. Alhamdulillah, bermula tahun 2009, Bahagian Undang-Undang MAIS berpeluang untuk sama-sama membantu golongan ini dengan memberi khidmat guaman percuma kepada mereka, dengan pembiayaan Lembaga Zakat Selangor melalui peruntukan asnaf muallaf. Jom sama-sama menghulurkan bantuan. Sekurang-kurangnya, doakan mereka supaya hidayah Allah sentiasa di hati mereka. Allah bersama kita.:)

"Mencari Redha Ilahi"
Nurhani

Shah Alam

2 ulasan:

Leenoh berkata...

Salam Hani.

Shey shey ni / Kam sia kerana prihatin dan memberi pertolongan tersebut.

..nOWa.. berkata...

insyaallah, semoga dipermudahkan usaha kita semua..wo po ci taw.. ?