Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Khamis, 15 Januari 2009

Diari 20 - Islam is peace, Islam is beautiful..

Salam semua,

Hari ini, pada sebelah pagi, saya dipanggil untuk menyertai satu mesyuarat mengenai penggunaan kalimah-kalimah Islam dan nama-nama orang Islam di kuil-kuil dan tokong-tokong bukan Islam. Penemuan ini walaupun mengejutkan saya, (kerana terdapat banyak kes seumpama ini), tetapi jauh di sudut hati, (walaupun tidak saya suarakan dalam mesyuarat) saya merasakan bahawa ugama-ugama lain sebenarnya mengktiraf Islam sebagai satu agama yang boleh dipercayai oleh mereka, dan mendapat tempat di hati mereka. Kalau tak, masakan mereka boleh menggantung perkataan berunsur Islam di tempat pemujaan mereka? Sebaliknya, berkemungkinan mereka berniat untuk menghina Islam, dengan menggantung perkataan-perkataan tersebut di tempat sembahan mereka. Namun, saya lebih suka menggunakan pendapat pertama saya, kerana jika mereka mahu menghina, mereka tidak akan gantung di tempat yang tinggi, tempat yang mereka puja.

Apapun, secara baik, pihak-pihak yang terlibat telah diminta oleh pihak JAIS dan MAIS untuk menurunkan perkataan-perkataan yang melambangkan Islam di atas premis-premis mereka demi menjaga agama Islam dan mengelakkan sentimen perkauman dan keagamaan. Alhamdulillah, penyelesaian dapat dicapai dengan baik, walaupun ada beberapa pihak yang tidak dapat hadir.

Pada sebelah petangnya, seorang pegawai di bahagian saya memaklumkan bahawa seorang wanita berugama Hindu, yang suaminya telah memeluk Islam dan berkahwin lain, datang meminta nasihat daripada Bahagian Pembangunan Insan MAIS, bahagian yang menguruskan pendaftaran muallaf di Selangor. Beliau hadir bukan untuk memeluk Islam, tetapi meminta bantuan MAIS untuk menasihati suaminya mengenai tanggungjawab suaminya terhadap bekas isterinya, walaupun sudah menukar agama dan berkahwin lain. Subhanallah! Maha Suci Allah yang menggerakkan hati wanita tersebut untuk mendapatkan pandangan pihak kami, sedangkan beliau sebenarnya boleh meminta bantuan kepada saudara seagamanya, yang tentunya lebih dipercayai dari pihak kami. Pelik tetapi benar, tetapi itulah Islam. Indah bukan?

Apapun, ada dua perkara yang ingin saya simpulkan:-

Pertama, isu agama merupakan isu yang paling sensitif. Manusia berbunuhan atas sebab agama. Perang Israel dan Palestin, beratus-ratus nyawa tak berdosa menjadi korban, kerana agama. Puak Syiah dan Sunni, bertahun-tahun berperang sesama sendiri kerana perbezaan agama. Perang Salib antara orang Islam dan Kristian, juga sebab agama. Pada saya, untuk mengelakkan kehilangan nyawa, rundingan secara bersemuka adalah perkara terbaik sebelum tindakan lain diambil, melainkan apabila Islam diperangi, dan tidak ada cara lain untuk menyelesaikan konflik. Kita ambil iktibar perjanjian gencatan senjata yang dibuat oleh Rasulullah dengan orang Quraisy semasa memasuki Makkah untuk menunaikan Haji, walaupun perjanjian tersebut mungkin menyebelahi pihak Quraisy, tetapi ia menunjukkan Islam adalah agama yang bertolak ansur.

Kedua, hidayah, ilham, kuasa menggerakkan hati, semuanya datang dari Allah. Tanggungjawab kita sebarkan Islam, dan tunjukkan Islam itu sempurna dari semua segi. Hanya Allah yang akan menentukan siapa dan bila hidayah untuk menerima Islam atas seseorang. Untuk menyebarkan Islam, kita perlu bersedia dari semua sudut, akidah, ibadah, akhlaq, etc. Mudah-mudahan saya dan sahabat-sahabat tergolong dalam golongan umat Islam yang sentiasa memperbaiki diri untuk Islam.

Boleh tak kita bayangkan tulisan seperti Yasin diletak di atas patung ini? Tentu pelik bukan? Tapi itulah yang terjadi.

Atau tulisan ayat-ayat al-Quran diletakkan di dalam kuil ini? Tentu kita tak senang bukan?

Yang penting, kewajipan menjelaskan betapa Allah is Great! Allah Maha Besar! Tiada Tuhan melainkan Allah! Walaupun nampak mudah, tetapi sukar dilaksanakan.

"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani

Shah Alam

2 ulasan:

JURAISH KAMARUDDIN AL-MUHAMI berkata...

Berjuang untuk Islam dan manusia sejagat.

Tanpa Nama berkata...

Yup. Insyaallah, perjuangan ini akan berterusan, walau dalam bentuk atau cara yang berbeza, Islam perlu ditegakkan.