Halaman

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu (benar-benar)di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kamu (wahai manusia) dengan kebenaran, dan berpesan-pesanlah kamu dengan kesabaran".


Al-Asr : 1-3

Aku hanya peguam biasa-biasa, tetapi punya cerita luar biasa.. kerana, kamu mungkin tak bisa rasa, apa yang aku rasa...

Isnin, 12 Januari 2009

Peguam Menulis 5 - Undang-Undang Zakat


Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri. Ini termasuklah undang-undang mengenai Zakat Fitrah atau Baitulmal atau hasil ugama Islam yang seumpamanya.

Seterusnya, merujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri telah diberi kuasa untuk mengutip dan mengagih zakat dan fitrah di negeri masing-masing. Sebagai contoh, seksyen 86 Enakmen Pentadcbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam Selangor untuk membuat kutipan zakat dan fitrah bagi pihak DYMM Sultan Selangor. Dalam melaksanakan kuasa tersebut, pihak Majlis juga diberikuasa untuk membuat peraturan-peraturan berkenaan dengan penetapan kadar zakat dan fitrah yang perlu dibayar,tatacara pemunguta zakat dan fitrah, pelantikan amil-amil bagi membantu untuk pungutan zakat dan fitrah dan kesalahan dan hukuman berkaitan dengan pungutan dan penyerahan pungutan zakat dan fitrah. Ini dinyatakan di dalam seksyen 87 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Pihak Majlis juga boleh mempertimbangkan rayuan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kadar zakat yang dikenakan ke atasnya. Ini dinyatakan di dalam seksyen 88 EPAINS 2003.

Di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, terdapat dua kesalahan yang berkaitan dengan zakat. Seksyen 21 enakmen tersebut memperuntukkan kesalahan tidak membayar zakat atau fitrah yang apabila disabitkan, seseorang boleh dikenakan denda tidak melebihi 5 ribu ringgit atau tidak lebih 3 tahun penjara atau kedua-duanya. Seterusnya, seksyen 37 memperuntukkan untuk kesalahan membuat kutipan zakat atau zakat fitrah tanpa kuasa yang sah daripada Majlis jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi 3 ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Insyaallah, kalau ada apa-apa persoalan berhubung dengan undang-undang zakat, bolehlah saya membantu.

Tangan yang memberi, lebih baik dari yang menerima..

"Memartabat Undang-Undang Syariah"

Nurhani

Shah Alam

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ustazah. Di Selangor ni banyak syarikat 2 besar beroperasi. MAIS/JAIS ada statistics ?Boleh bagitau statistic berapa syarikat, pendapatan mereka dan berapa banyak zakat yang di perolehi ?

Apa beza peranan JAIS dan MAIS ?

Tanpa Nama berkata...

Ustazah,
Zakat wajib untuk orang islam. Kalau syarikat yang bukan sepenuh nya milik orang islam, macam mana kira zakat ?

Apa sebenarnya ikut syarak hukuman orang tak bayar zakat ? (denda 5 ribu tu nothing lah ustazah kalau profit 1 juta )

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin berkata...

Salam tanpa nama,

Statistik dan maklumat mengenai syarikat korporat yang membuat pembayaran zakat boleh diperolehi daripada Lembaga Zakat Selangor, iaitu anak syarikat MAIS yang diberi kuasa untuk membuat kutipan dan agihan zakat dan zakat fitrah di Negeri Selangor. Untuk maklumat lanjut, saudara/i boleh menghubungi LZS di talian 03-55227700 atau layari laman web LZS di http://www.e-zakat.com.my/.

Mengenai perbezaan MAIS dan JAIS, MAIS adalah badan yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang bertanggungjawab membuat dasar-dasar dan polisi-polisi berkenaan dengan hal ehwal pentadbiran agama Islam di Selangor, manakala JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) adalah sebagai pelaksana dan penguatkuasa kepada dasar-dasar dan arahan-arahan MAIS.